hasbunallah

hasbunallah

Sunday, October 19, 2008

Kenyataan Khas Majlis Raja-Raja


Majlis Raja-Raja Melayu yang telah bersidang buat kali ke 215 di Istana Maziah, Kuala Terengganu telah mengeluarkan satu kenyataan khas berkaitan dengan Kontrak Sosial. Majlis Raja-Raja Melayu mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mempertikai atau mempersoalkan tentang hak-hak orang Melayu, bahasa Melayu, kedudukan orang Melayu dan sebagainya yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara. Walaupun demikian, hak-hak kaum lain di negara ini tetap terjamin.

Sekarang ini sudah ramai individu yang cuba mempersoalkan perkara sensitif yang telah termaktub dalam Perlembagaan tersebut menyebabkan orang Melayu rasa seperti tercabar. Kenapa perlu berlaku demikian dalam negara kita yang terkenal dengan amalan demokrasi? Sehingga sekarang ini, adakah terdapat kaum-kaum lain yang ada dalam negara ini ditindas atau diperlakukan sewenang-wenangnya?

Setahu saya, perkara tersebut tidak berlaku. Hanya sekadar gembar gembur yang dijadikan untuk kepentingan politik. Padahal semua orang tahu bahawa perkara tersebut sekiranya tidak ditangani secara betul, boleh menyebabkan kekecohan. Inilah yang kita cuba elakkan supaya peristiwa hitam 13 Mei tidak lagi berulang.

Tapi mungkin juga, mereka yang membangkitkan perkara ini adalah orang yang tidak tahu sejarah atau buta sejarah ataupun sengaja tidak mahu merenung sejarah negara ini. Bagaimana asal usul negara kita tertubuh. Oleh itu janganlah ada orang yang cuba-cuba untuk menyiram minyak ke api kerana ia akan menjadi marak dan terus membakar apa sahaja.


Wednesday, October 15, 2008

Harga Barang Keperluan Tidak Turun


Sebagai rakyat Malaysia, setiap orang mesti bersyukur dengan penurunan harga minyak sebanyak 15 sen berkuatkuasa hari ini sebagaimana yang telah diumumkan kerajaan semalam. Ini merupakan penurunan kali ke 3 semenjak ia dinaikkan secara mendadak oleh pihak kerajaan beberapa waktu dahulu.


Terima kasih diucapkan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna diatas keprihatinan beliau mengenai kesusahan dan tekanan yang dialami oleh rakyat akibat kenaikan harga minyak tersebut. Namun begitu, dengan penurunan harga minyak sahaja belum boleh mengurangkan bebanan yang rakyat tanggung selama ini. Sekiranya kita perhatikan, setelah tiga kali penurunan harga minyak tidak pernah pun diantara masa-masa tersebut harga barang keperluan pengguna turut menurun.

Sepatutnya, sekiranya harga minyak diturunkan sudah tentu harga barangan keperluaan turut turun sama. Tapi sehingga sekarang, rakyat masih lagi dibebani dengan harga barangan keperluan harian yang tidak pernah turun. Asyik pandai naik sahaja dan tiada musim turun.

Saya cadangkan supaya Menteri bertanggungjawab juga perlu menyediakan satu mekanisma untuk menurunkan harga barangan keperluan ini dengan segera. Semasa minyak naik, seluruh negara gempar apabila semua harga barangan keperluan turut naik sehinggakan harga roti canai dan teh tarik kedai mamak pun turut naik. Namun, apabila harga minyak sudah mulai turun ini, harga barangan yang naik ketika itu tidak turun-turun. Ini adalah sewaktu fenomena yang agak pelik berlaku.

Pihak kementerian perlu mengenakan tindakan tegas terhadap golongan yang suka mengambil kesempetan diatas kesusahan orang lain ini. Biar mereka juga turut susah..


Datuk Shah Rukh Khan


Apa dah jadi dengan Malaysia tanahairku ini!!. Sudahlah politik negara kian tidak menentu, kini kita dihangatkan lagi dengan berita seorang artis Bollywood iaitu Shah Rukh Khan. Beliau dikatakan salah seorang daripada 758 pemerima anugerah dan pingat sempena Harijadi Yang Dipertua Negeri Melaka yang ke-70, yang dijadualkan esok. Pelakon Bollywood itu akan menerima Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk. Kita bukan mahu mempertikaikan hal ini, cuma apakah rasionalnya seorang rakyat India yang hanya merupakan artis dan sesekali datang ke Malaysia untuk menghiburkan peminatnya diberi anugerah sedemikian?.

Banyak perkara pelik telah berlaku dinegara kita semenjak akhir-akhir ini. Sekiranya kita menyelusuri sejarah negara sejak zaman sebelum Hang Tuah dahulu lagi, pingat kebesaran negeri hanyalah diberikan kepada orang-orang yang memang berjasa kepada negeri tersebut. Mereka sanggup mempertahankan maruah sultan walaupun dengan jiwa raga mereka sendiri. Jadi tidak hairanlah kalau orang seperti itu yang mendapat pingat kebesaran negeri sebab memang dia layak.

Ini alih-alih si Shah Rukh Khan, pelakon Bollywood yang entah apa jasanya kepada negara kita terutamanya untuk negeri Melaka sendiri yang menyebabkan dia layak menerima pingat kebesaran tersebut sehingga membawa gelaran Datuk? Sekarang ni untuk mendapat anugerah pingat dah tak susah-susah mempertaruhkan nyawa. Cukup sekadar jadi penyanyi ke atau pelakon ke dah layak mendapat anugerah Datuk. Kalau hendak beri anugerah sangat, kenapa tidak diberikan sahaja kepada Shamsudin, artis sezaman Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Aziz Satar tu je! Saya fikir dia lebih layak menerimanya daripada Shah Rukh Khan tu!
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sendiri telah menghantar bantahan yang diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dr Muzahet Masruri membuktikan ketegasan anak seni tempatan supaya kerajaan negeri memandang serius usaha mereka membangunkan industri hiburan dengan jerit perih, tanpa perlu terlalu mengagungkan orang luar.
Surat bantahan terhadap penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada aktor Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) dilihat sebagai sesuatu yang keterlaluan, malah memberikan tamparan hebat kepada anak seni tempatan.

Kalaulah fenomena ini terus berlaku, saya pasti anugerah pingat kebesaran tidak akan ada nilainya lagi sebab semua orang layak untuk mendapatkannya walaupun tidak pernah berjasa. Mungkin akan tiba suatu hari nanti ada orang yang tidak mahu menerima anugerah pingat kebesaran kerana malu sebab sudah tidak bernilai.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah sikit. Macam sudah tidak ada calon yang layak dalam negara kita untuk menerima pingat tersebut. Entahlah saya....apa perasaan orang Melaka agaknya ek!



Tuesday, October 14, 2008

Calon Pemimpin


Sekarang ini negara kita begitu hangat dengan isu peralihan kuasa pucuk kepimpinan negara daripada Pak Lah kepada Najib yang telah dipercepatkan. Ini adalah kerana desakan pelbagai pihak terutamanya para pemimpin dan ahli UMNO sendiri yang mungkin sudah tidak selesa berada dibawah tampuk kepimpinan Pak Lah. Kenapa yea?

Ianya merupakan satu persoalan yang perlu direnungkan bersama walaupun tidak perlu menjawabnya. Namun, jawapannya mesti ada terhadap desakan tersebut. UMNO yang dikenali sebagai sebuah parti Melayu dikatakan telah banyak berjasa kepada negara terutamanya dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dari genggaman penjajah sewaktu ketika dahulu seolah-olah tidak lagi gah dan boleh dibanggakan.

Sehingga bila agenda perjuangan bangsa Melayu hendak dijulang? Sedangkan sehingga sekarang masih ramai lagi bangsa Melayu yang tidak terbela nasibnya malah turut ditindas sendiri oleh pemimpin UMNO yang kononnya ingin memperjuangkan nasib orang Melayu. Kata-kata Hang Tuah, "Takkan Melayu Hilang Di Dunia" yang pernah menjadi kebanggaan UMNO serta dilaungkannya dengan semangat oleh mereka kelihatannya luntur bersama arus zaman yang berlalu.

Apakah kelebihannya kata-kata Hang Tuah itu jika hendak dibandingkan dengan kata-kata Tuhan? Yang manakah lebih perlu di yakinkan sebagai sebuah aqidah dan dihadamkan betul-betul diantara ayat-ayat Tuhan dan kata-kata Hang Tuah tersebut? Saya bukanlah hendak mempersoalkan keramat Hang Tuah, pahlawan legenda Melayu tersebut. Tetapi saya ingin menarik anda untuk membuat penilaian sebagai seorang Islam mengenai keutamaan yang perlu anda dahulukan.

Jika hendak memperjuangkan bangsa Melayu, dimanakah jagoan UMNO sewaktu orang Melayu sendiri yang sebelumnya beragama Islam telah mengisytiharkan sebagai telah murtad! UMNO yang juga turut mengisytiharkan untuk memperjuangkan Islam seolah-olah membisu seribu bahasa. Di mana anda? Agama itu adalah lebih berhak untuk diperjuangkan jika hendak dibandingkan dengan bangsa. Sekiranya Rasulullah s.a.w lebih memilih bangsanya yang Arab sudah tentu tidak akan ada bangsa lain yang akan mendapat nikmat syurga Allah selain dari bangsa Arab. Bahkan Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

" Tiadalah perbezaan antara orang Arab atau orang A'jam melainkan dengan taqwa."


Kembali kepada persoalan calon pemimpin, nasihat saya kepada rakan-rakan UMNO supaya memilih pemimpin yang benar-benar layak untuk memperjuangkan Islam dan bukannya yang boleh memberikan anda manfaat keduniaan sekiranya seseorang itu dilantik sebagai pemimpin. Untuk memilih pemimpin yang sebenar tidak semestinya mendengar apa yang dikatakannya, namun perhatikanlah sikapnya dengan Tuhan. Sekiranyanya sikapnya dengan Tuhan tidak pernah terpuji, apatah lagi sikapnya di sisi manusia.

Hanya ALLAH sahaja Yang Maha Mengetahui akan segalanya....




Thursday, October 9, 2008

Sedih Melihat Segelintir Ilmuan Agama


Hari ini hati saya 'panas sedikit'. Sebenarnya telah lama melihatkan keadaan ini berlaku. Semenjak ada golongan yang mengatakan ingin mentajdid agama, dan mengatakan diri mereka sahaja yang mengikut al Quran dan Sunnah. Sedih melihatkan sesama saudara Islam bertelagah darihal perkara khilaf antara ulamak. Yang sorang sibuk datangkan dalil mengatakan amalan itu bid'ah, dan kononnya disertakan dengan takhrij hadith seolah-olah pendapatnya sudah betul-betul benar.

Apatah lagi mempertikaikan aqidah sesama umat Islam. Saya selalu melihatkan beberapa nick name di dalam beberapa forum yang sering mengadakan perbalahan dan 'tidak reti bahasa' di dalam mencari keharmonian. Perkara khilaf ulamak sepatutnya kita sama-sama merghormati dan berlapang dada.

Jika tidak bersetuju dengan hujjah ulamak yang membolehkan amalan bacaan yasin 3 kali di dalam nisfu sya'ban terpulanglah dan tidak perlu membid'ahkan pendapat ulamak lain. Sekiranya tidak bersetuju dengan mereka yang menerima bid'ah hasanah terpulanglah, maka kerana itu tidak perlu berlagak juga dengan kalam ulamak lain untuk menghukum sesama Islam dengan gelaran sesat, duduk dalam neraka. Seolah-olah hujjah sudah menjadi qot'ie (secara pasti) bahawa hujjah yang dibawakan orang lain (disertakan dengan dalil dan hujjah) adalah tertolak. Hebat bila ada yang mengatakan ulamak tersilap, tersalah.. Dengan kalam siapa katakan ia tersilap dan salah? Adakah dengan ilmu kita yang tidak sampai pun sejengkal kaki ulamak yang direndah-rendahkan tersebut.

Sedangkan bila dikaji semula antara para muhaddith pun mereka ada berkhilaf tentang kekuatan darjat sesuatu hadith sebagaimana juga ahli ilmuwan hadith seperti albani yang ada kalanya dahulu dia mendhoiefkan hadith yang sahih dan mensahihkan hadith yang dhoief (ini juga telah ditegur sendiri oleh dr Yusof al Qardhawi di dalam feqh muassarohnya).

Menghukum Saudara Islam Masuk Neraka Dengan Khilaf Ulamak

Yang hanya pandai menghukum amalan orang lain sesat, masuk neraka. Adakah sudah pasti kita berada di mana? Adakah amalan kita sendiri tidak sesat apabila menyesatkan sesama umat Islam yang jelas sudah mengadakan dalil dan hujjah. Tak perlu nak bicara tentang latarbelakang ilmu orang lain. Tetapi belajar dulu AKHLAQ di dalam berbicara.

Yang rajin benar membawakan perbahasan ulamak dengan kata ini batil, ini salah. Adakah sudah faham tentang feqh waqi'? Sedar atau tidak siapa yang membaca di dalam artikel, yang mendengar, melihat? Ada di antara mereka yang ingin belajar, mahu mengenal Islam, mahu melihat keindahan ukhuwah antara sesama Islam. Tetapi apa yang telah tunjukkan dengan perasaan emosi. Di mana diletakkan akhlaq yang sudah ditunjukkan di dalam AL QURAN DAN HADITH SAHIH? Atau letakkan di hujung-hujung kaki sahaja kerana kononnya ilmu lebih utama? Apa dahulu tidak diajar RasuluLLah bagaimana berakhlaq sesama saudara seIslam?


Memahami Perbezaan Dari Petunjuk Sirah

Apakah tidak belajar sirah bagaimana rasuluLLah menanggapi khilaf antara sahabat? Tunjukkan bukti bahawa RasuluLLah berwenang mengatakan sesat kepada para sahabat yang berselisih faham dalam ijtihad terutamanya ketika ada sahabat yang solat asar sebelum bertolak dan ada yang solat asar selepas bertolak ketika hendak menghadapi kaum yahudi yang melanggar perjanjian piagam madinah.

Sedangkan dalil2 sudah diberi, dan sibuk pula mempertikaikan ulamak lain. Tidak belajarkah ijtihad yang benar akan diberi 2 pahala, dan ijtihad yang yang silap diberikan 1 pahala. Lihat bagaimana ketika ada 2 pendapat antara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar mengenai tebusan Badar. Kita nak perlekehkan yang mana satu? Banyak lagi perselisihan ijtihad dan amalan baru yang tiada di zaman RasuluLLah tetapi ada di zaman sahabat, tabi'ien dan tabi;ut tabi'en. Sedangkan mereka semua mengikut al Quran dan Sunnah jua!! Ada sesiapa nak pertikaikan?

ALlahu ALLah....

Bila mereka yang hebat2 ini mengatakan ulamak itu tersalah, tak betul. Kemudian pada masa yang lain pula telah gunakan kalamnya kerana ada pendapatnya yang sama dengan pendapat sendiri. Maka adakah ini bermakna kita sedang MENGGUNAKAN HAWA NAFSU UNTUNG MENANG?

Maka pendapat saya - dari belajar feqah dan hadith yang tinggi dan mendalam tetapi akhlaq tiada. Baiklah belajar akhlaq dahulu.

Syaitan sudah ketawa lagi... orang yang memusuhi Islam bergelak ketawa lagi...


Dipetik dari Ibnu Nafis