hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, January 21, 2009

Inilah Demokrasi Ala BN


Akhbar Berita Harian hari ini menyiarkan berita mengenai larangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada semua ketua jabatan agensi Kerajaan Persekutuan di negeri Perak dilarang menghadiri mesyuarat rasmi anjuran kerajaan Perak. Sekiranya mereka ingkar terhadap arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak kerajaan.

Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Pusat juga tidak mengiktiraf tandatangan dan cop rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Penghulu untuk sebarang urusan dengan agensi Kerajaan Pusat. Katanya, semua agensi Kerajaan Persekutuan hanya mengiktiraf tandatangan Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Persekutuan (JPPP) yang dilantik oleh Kerajaan Pusat.

Berdasarkan arahan tersebut, jelaslah ini adalah sistem demokrasi ala BN. Sebelum ini BN adalah parti yang mendokong amalan demokrasi dalam negara kita. Malah terus mempertahankan sistem ini yang diaplikasikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia. Hasilnya, rakyat Perak telah membuat penentuan untuk bernaung dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Namun nampaknya kerajaan Persekutuan dibawah pentadbiran BN tidak mengiktiraf kerajaan Perak yang telah dipilih rakyat dalam pilihan raya berdasarkan sistem demokrasi yang didokong oleh BN sendiri.

Kerajaan Persekutuan nampaknya menafikan pegawai lantikan kerajaan negeri malah tidak mengakui kuasa dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka. Sehinggakan tandatangan penghulu lantikan kerajaan negeri pun tidak diiktiraf oleh kerajaan persekutuan. Nampaknya Kerajaan Perak telah menerima nasib yang sama sebagaimana Kerajaan Kelantan alami semenjak menguasai pentadbiran negeri.

Kerajaan Persekutuan sekarang sibuk-sibuk mencadangkan kepada dunia supaya mengiktiraf Hamas sebagai pihak berkuasa Palestin yang juga memenangi pilihan raya melalui proses demokrasi seperti Malaysia. Namun kerajaan persekutuan sendiri seolah-olah lupa tindakan mereka terhadap negeri-negeri yang berada dibawah kuasa pentabiran Pakatan Rakyat.

Semoga Kerajaan Perak terus bertahan dengan karenah birokrasi ini dan rakyat Perak terus bersabar sebagaimana Kerajaan Kelantan dan rakyat Kelantan yang terus berbangga dibawah pentabiran kerajaan sekarang walaupun dianak tirikan oleh kerajaan pusat.

Tuesday, January 20, 2009

Kes serban: Pelajar pondok pilih penjara daripada bayar denda


KOTA BHARU, 19 Jan (Hrkh) - Seorang pelajar pondok sanggup memilih untuk menjalani hukuman penjara daripada membayar denda RM90 setelah disabit bersalah kerana menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Sedangkan ketika ditahan polis beliau memakai serban.

Ahmad Nasir Darus, 27 memilih menjalani hukuman penjara selepas Majistret Tengku Amalin A'Ishah Putri memutuskan dikenakan hukuman denda RM90 atau menjalani hukuman penjara dua hari.

Bagaimanapun di atas alasan memegang prinsip demi mempertahankan sunnah Rasulullah saw beliau lebih sanggup ditahan di penjara.

Keputusan itu dibuat majistret setelah meneliti keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan serta hujahan bertulis yang dikemukakan.

Mahkamah mendapati pihak pembela gagal membuktikan keraguan yang munasabah dan tiada keterangan saksi-saksi lain yang dapat mengesahkan Ahmad Nasir seorang lebai.

Bagaimanapun pelajar pondok itu yang diwakili peguam Ahmad Rizal Effande Zainol memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut bagi membolehkan rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi.

Namun mahkamah menolak permohonan peguam dan mengekalkan keputusan asal. Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat.

Ahmad Rizal ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu beliau menyerahkan kepada anak guamnya untuk memilih sama ada ingin membayar denda atau sebaliknya.

Katanya, anak guamnya merasakan dirinya tidak bersalah kerana ia hanya mempertahankan sunah Rasulullah saw dengan memakai serban.

Oleh itu beliau akan memfailkan permohonan rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

"Saya akan membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi bagi dijadikan bahan akademik dan rujukan kerana terdapat kekaburan pada istilah 'lebai' dalam peruntukan undang-undang," katanya.

Perkarangan mahkamah dipenuhi hampir 100 rakan Ahmad Nasir yang datang untuk memberikan sokongan moral.

Pada 20 September dua tahun lalu Ahmad Nasir disaman di Jalan Pasir Tumboh atas kesalahan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sebaliknya memakai serban.

Beliau disaman kerana melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Kaedah 4 Motosikal (topi keledar keselamatan) 1973 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dibaca bersama dengan Seksyen 128(1) akta yang sama.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 4 November 2007 beliau membuat pengakuan tidak bersalah serta mohon dibicarakan.


Dipetik dari Harakahdaily.

Monday, January 19, 2009

UMNO & HANTU


Dalam kesyukuran anugerah kemenangan yang diberikan Allah s.w.t dalam Pilihan Raya Kecil P.036 Kuala Terengganu, saya sedikit terkejut walaupun sudah menjangka bahawa Dato' Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Putera Umno Malaysia akan membuat kenyataan menafikan bahawa beliau telah ditangkap oleh pasukan petugas Pas dari Kedah.

Saya tersenyum sendirian bila memikirkan kejadian tersebut kerana sayalah peguam yang bertanggungjawab membawa Syed Fadhil Hussain dan Ahmad Rizal untuk membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Chabang 3, Losong.

Syed Fadhil dan Ahmad Rizal menceritakan kepada saya bahawa ketika mereka menahan Dato Azeez setelah beliau keluar dari kawasan pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang 3, Dato' Azeez mendakwa bahawa beliau adalah orang Terengganu. Namun mereka berdua menjawab: " Dato nak tipu sapa, kami ni orang Kedah kawasan Dato'." Dalam loghat Kedah yang agak pekat menyebabkan Dato Azeez terkesima dan lari setelah mereka cuba untuk memanggil pegawai Polis yang bertugas di kawasan tersebut. Selain Syed Fadhil dan Ahmad Rizal, terdapat beberapa individu lagi yang terlibat dalam 'penagkapan' Dato' Azeez tersebut. Mereka semua telah memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Chabang 3 Losong.

Semasa saya dan beberapa orang lain termasuk Syed Fadhil dan Ahmad Rizal masuk ke pejabat pertanyaan Balai Polis Chabang 3 tersebut, terdapat dua orang wanita sedang membuat laporan polis mengenai kehilangan kad pengenalan. Saya diberitahu bahawa salah seorang wanita tersebut hilang kad pengenalannya setelah memberikan kepada petugas pondok panas BN untuk menyemak nama dalam daftar pemilih. Entah bagaimana tiba-tiba kad pengenalan tersebut boleh hilang begitu sahaja. Pelik bin ajaib...mungkin ada hantu atau toyol yang mengambilnya.

Manakala wanita kedua pula yang dalam keadaan menangis memberitahu polis bahawa beg duitnya telah dicuri sewaktu sedang bersolat di bilik gerekan UMNO. Semua barang-barang dalam beg tersebut termasuk kad pengenalan juga turut hilang. Ini lagi pelik, hantu pun boleh mendekati orang sedang solat ke?

Apalagi, Ahmad Rizal memberitahu mereka dalam loghat Kedahnya yang pekat " Itulah hangpa, masuk ke tempat hantu, sekarang dah kena curi dek hantu!"

Bila memikirkan keadaan ini, timbul pertanyaan dalam fikiran saya. SIAPAKAH SEBENARNYA HANTU???

ADAKAH ANDA MEMPUNYAI JAWAPANNYA??


Sunday, January 18, 2009

Syukur..Pas Menang di Kuala Terengganu


Walaupun kepenatan masih lagi terasa, namun kesyukuran dan kepuasan hati amatlah dirasai tatkala diumumkan bahawa calon Pas, YB Haji Abdul Wahid Endut diisytiharkan sebagai ahli parlimen dalam Pilihan Raya Kecil P. 036 Kuala Terengganu.

Saya yang menyertai Legal Team, Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan bersama rakan-rakan yang lain turut menyumbangkan tenaga untuk mempastikan kemenangan Islam di sana.

Syukur kepada Allah s.w.t diatas anugerah kemenangan yang diberikan kepada kita. Namun di sana banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memastikan keberlangsungan Islam. Pas Terengganu perlu membuat muhasabah dari segi gerak kerja yang dilakukan dalam pilihan raya kecil baru-baru ini. Saya lihat masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.

Contohnya, saya telah ditugaskan untuk memantau perjalanan pembuangan undi bagi upu Losong Haji Shafie, Wakaf Beruas dan Seberang Baruh melihat jentera tempatan agak 'slow' jika hendak dibandingkan dengan jentera dari negeri pembantu yang mana bagi ketiga-tiga upu tersebut dibantu dari jentera negeri Kedah dan Perlis. Kehebatan jentera dari Negeri Kedah dan Perlis jauh lebih terserlah dari jentera Pas Terengganu sendiri.

Mungkin saya tidak mempunyai maklumat yang jelas mengenai gerak kerja jentera Pas tempatan. Ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pengamatan saya yang turut bersama membantu jentera Pas Terengganu. Sikap orang Terengganu juga perlu diubah dalam menerima bantuan dari jentera luar. Ramai orang berpendapat bahawa orang Terengganu 'sombong'. Tapi saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya, namun saya juga turut mengalami tempias ini sewaktu bertugas disana. Mungkin hanya segelintir mereka sahaja yang bersikap begitu kot!!

Seterusnya Lajnah Guaman Pas Terengganu juga perlu menarik para peguam yang aktif dalam parti untuk turun bersama berganding bahu bagi memastikan kemenangan parti. Saya tidak mahu memberikan angka peguam Pas Terengganu yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu baru-baru ini. Namun jika hendak dibandingkan dengan Legal Team dari Kelantan yang menghantar 11 orang peguam, tentunya jumlah tersebut lebih banyak dari peguam Pas Terengganu sendiri.

Tujuan saya bukanlah untuk memperburukkan mana-mana pihak, tapi sekadar muhasabah yang perlu dilakukan agar ianya tidak lagi berlaku dikemudian hari demi memastikan kemenangan Islam terus berkekalan.

Monday, January 5, 2009

Israel & Amerika Laknatullah


Ketika luahan perasaann ini ditulis, sudah masuk lapan hari tentera rejim zionis Israel mengadakan kempen penghapusan etnik keatas penduduk Palestin di Wilayah Gaza. Rumah- rumah penduduk dibedil dan dibom sesuka hati mereka dengan alasan bahawa kediaman tersebut merupakan stor penyimpanan senjata Hamas serta menjadi tempat persembunyian pejuang Hamas.


Namun alasan dangkal itu hanyalah sekadar untuk menutup jenayah pembunuhan yang mereka lakukan dengan meningkatnya kematian dari kalangan orang awam termasuklah kanak-kanak yang tidak berdosa. Betapa kejamnya rejim Israel yang kononnya kempen ketenteraan mereka itu adalah untuk menyekat kemaraan para pejuang Hamas daripada terus membedil roket dan mortar ke wilayah Israel.


Ironinya, Amerika yang kononnya berlagak sebagai polis dunia yang selalu menjuarai isu kemanusiaan hanya sekadar menutup mata terhadap kekejaman Israel sekutu jenayah mereka itu. Malah George W. Bush meletakkan beban kekejaman tersebut kepada pejuang Hamas dengan dakwaan jahat kononnya Hamas adalah sebagai punca rejim Israel melancarkan kempen ketenteraan tersebut. Bapa penjahat dunia itu terus membela tindakan tersebut dengan mengatakan bahawa Israel hanyalah sekadar mempertahankan diri mereka sahaja daripada ancaman Hamas.


Pelik tapi benar. Itulah yang boleh dikatakan mengenai dakwaan jahat Bush itu. Masuk akalkah sebuah negara haram Israel yang mempunyai kekuatan ketenteraan antara yang tercanggih dan terbaik di dunia takut kepada tembakan mortar dan bedilan roket sebuah kumpulan pejuang kecil seperti Hamas. Malah saya yakin bahawa Hamas tidak mempunyai sebarang kereta kebal, kereta perisai apatah lagi jet pejuang jika hendak dibandingkan dengan Israel. Adakah alasan Israel untuk mempertahankan diri itu boleh menjustifikasikan tindakan mereka membedil penempatan dan rumah orang-orang awam Palestin di Gaza?


Manakala Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengeluarkan sebarang ketetapan mengenai perkara tersebut kerana wakil tetap Amerika dalam majlis tersebut membantah cadangan 15 anggota majlis yang lain untuk mengadakan resolusi menyekat kemaraan Israel. Sekali lagi Amerika menggunakan kuasanya untuk mempertahankan tindakan jahat Israel itu. Ianya jelas menunjukkan Amerika sebenarnya bersekongkol dengan Israel dalam jenayah perang terhadap Palestin tersebut.


Seluruh masyarakat dunia mengutuk tindakan kejam dan jahat Israel itu dengan mengadakan perhimpunan bantahan secara aman. Namun sejauh manakah ianya berkesan bagi menyekat atau menghentikan tindakan ganas Israel itu? Saya bukanlah hendak memperkecilkan demonstrasi membantah kekejaman Israel itu, malah sebagai Muslim kita wajib mencegah sebarang kemungkaran atau kejahatan walaupun hanya sekadar dalam hati. Tapi adakah setakat itu sahaja usaha kita untuk membantu saudara seagama kita di Palestin bagi menghalang kekejaman Israel daripada terus berlarutan? Dimanakah persaudaraan Iman yang kita lafazkan dalam syahadat sedangkan secara realitinya kita masih bersepakat untuk tidak bersatu.


Saya yakin dan percaya sekiranya seluruh negara Islam bersatu untuk membantu saudara seagama kita khususnya Palestin, nescaya negara kecil seperti Israel itu pasti akan dikalahkan. Namun itulah ujian yang perlu kita hadapinya hingga sekarang dan ia adalah diantara sebab kenapa umat Islam masih tidak dapat merebut kembali Masjid al-Aqsa daripada tangan Yahudi. Mungkinkah Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada kita sehingga kita semua bersatu hati dibawah satu panji keimanan?


Ya Allah, kami letakkanMU dibatang leher musuh kami, dan kami berlindung dengan MU dari kejahatan mereka. Ya Allah, leburkanlah kumpulan mereka, kacau bilaukan persatuan mereka, cerai beraikanlah pakatan mereka, goncangkanlah oendirian mereka. Hantarkanlah anjing-anjing MU keatas mereka.

Wahai Tuhan yang gagah perkasa, wahai Tuhan yang penuh raksaksa, wahai Tuhan yang bersifat murka. Wahai Tuhan yang menurunkan al-Quran, wahai Tuhan yang mengarakkan awan, wahai Tuhan yang menewaskan tentera Ahzab, kalahkanlah mereka, menangkanlah kami keatas mereka.