hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, February 10, 2009

Derhakakah Kita?



Sekarang ini isu yang paling hangat diperkatakan walaupun dimana sahaja termasuklah kedai kopi, pejabat, akhbar, majalah, internet dan sebagainya adalah mengenai 'Derhaka kepada raja.' Perkara ini timbul apabila kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah ditumbangkan dengan cara tidak 'gentleman' oleh BN.


Akibat itu, Menteri Besar Pakat Datuk Seri Ir. Nizar enggan meletakkan jawatan walaupun setelah dititahkan oleh Paduka Seri Sultan Perak atas alasan bahawa hanya Dewan Undangan Negeri sahaja yang boleh memutuskan kedudukan beliau sebagai MB Perak. Kemudiannya Karpal Singh selaku Pengerusi DAP turut memberitahu keinginannya untuk memfailkan saman terhadap Sultan dan Kerajaan Perak yang baru.

Tindakan mereka itu kemudiannya disifatkan sebagai penderhaka kepada Sultan atau Raja Melayu. Pelbagai pihak yang mengecam tindakan mereka itu termasuklah NGO serta BN/ UMNO yang kononnya ingin memperjuangkan kedaulatan Sultan atau Raja Melayu. Saya percaya bahawa tindakan UMNO itu hanyalah sekadar bermuka-muka sahaja.

Alasan saya berkata demikian ialah jika kita selusuri kembali sejarah konflik perlembagaan di negara kita ini, parti manakah yang telah memindah Perlembagaan Malaysia untuk menghapuskan kekebalan atau imuniti Raja-Raja Melayu? Parti manakah yang kemudiannya juga turut meminda Perlembagaan dengan mewujudkan Mahkamah Khas untuk mengadili atau membicarakan Raja-Raja Melayu? Parti manakah yang menentang kehendak Seri Paduka Baginda Tuanku dalam perlantikan MB Terengganu?

Mungkin inilah hakikat dan kenyataan sebagaimana yang disebut oleh mantan PM kita Tun Dr. Mahathir sebagai 'Melayu Mudah Lupa!!' Saya amat yakin dan percaya bahawa parti yang meminda Perlembagaan pada ketika itu bukanlah komponan Pakatan Rakyat. Dan saya amat pasti bahawa UMNO/ BN adalah parti yang bertanggungjawab meminda Perlembagaan dengan menghapuskan kekebalan atau imuniti Raja-Raja Melayu ketika itu!!! Saya percaya, kata-kata Tun Dr. Mahathir bahawa 'Melayu Mudah Lupa' tersebut bermaksud Melayu UMNO lah yang mudah lupa sebab saya tidak pernah lupa peristiwa pindaan Perlembagaan tersebut.

Jadi, jika kita teliti kembali siapakah sebenarnya Penderhaka Kepada Raja-Raja Melayu? Anda mungkin ada jawapannya....


Sunday, February 8, 2009

Antara Amanah & Tanggungjawab

Minggu lepas, jiran sebelah rumah ada memberitahu isteri saya bahawa dia berhajat untuk minta saya ajarkan anak-anaknya membaca al-Quran. Saya pun tidak pasti macam mana dia boleh bertanya sebegitu kepada isteri saya sedangkan saya tidak pernah menawarkan untuk membuka kelas pengajian al-Quran kepada sesiapa pun. Hanya sekadar mendengar dan membetulkan bacaan al-Quran isteri saya di rumah sahaja.

Saya bukanlah orang yang berkemahiran sangat dalam hukum tajwid atau tarannum al-Quran ni. Tapi saya sempat belajar secara talaqqi dengan guru saya Ustaz Ismail Daud, bekas Qari al-Quran suatu ketika dulu. Beliau merupakan anak murid kepada arwah Haji Mat Pergau. Jadi, saya hanya sekadar mengambil ilmu tajwid sahaja daripada Ustaz Ismail Daud atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Bilal Mail kerana suara saya agak sumbang untuk belajar tarannum.

Sekali fikir, agak susah juga untuk saya memberikan kesanggupan tersebut kerana kadang-kadang saya agak sibuk dengan mesyuarat mahupun program. Namun bila fikirkan ia adalah sebenarnya amanah dan tanggungjawab yang diberikan Allah sebagai Muslim, saya memberikan persetujuan dengan begitu berat hati dengan doa semoga Allah membantu meringankan dan memudahkannya demi menegakkan kalimahNYA yang suci dimuka bumi ini.

Oleh itu, malam ini adalah malam yang pertama anak-anak jiran saya akan datang mengaji al-Quran di bawah bimbingan saya. Beberapa hari yang lepas, saya telah membeli sebatang rotan sebagai persediaan.


Thursday, February 5, 2009

Kemelut Politik di Perak


Hari ini, terlerai sudah teka-teki politik yang melanda Perak apabila pejabat KDYMM Paduka Seri Sultan Perak mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa Sultan Perak tidak memberikan perkenan kepada YB Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak.

Sebaliknya Paduka Seri Sultan menitahkan supaya MB dan semua exco meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta atau sekiranya tidak, kerusi kesemua jawatan tersebut dikira kosong. Begitulah kata dua yang diberikan oleh pihak istana kepada Kerajaan Pakatan Rakyat yang tumbang sebelum sempat menyambut ulang tahun pemerintahan yang pertama.

Cuma yang menjadi kemusykilan disini ialah apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak surat pemberitahuan kekosongan kerusi dun yang dihantar oleh Speaker Dun Perak atas alasan bahawa surat perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dan Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu (Changkat Jering).

Kedua-dua exco yang kini didakwa di Mahkamah atas tuduhan rasuah itu telah mengantar surat yang berasingan kepada Pengerusi SPR dengan mengatakan bahawa mereka tidak pernah menghantar surat perletakan jawatan tersebut. Sedangkan surat tersebut sebenarnya telah ditandatangani oleh kedua-dua mereka sebelum mereka memegang jawatan exco Perak.

Dengan keputusan yang dibuat oleh Istana Perak itu, maka BN mula merancang untuk menubuhkan kerajaan mereka di Perak. Jika melihat kepada bilangan ahli dewan, kedua-dua pihak iaitu BN dan Pakatan Rakyat mempunyai ahli yang sama banyak. Cuma yang membezakannya ialah pengakuan 2 bekas wakil rakyat PKR dan satu bekas wakil rakyat DAP untuk menyokong BN menyebabkan BN seolah-olah mempunyai mandat untuk menubuhkan kerajaan di Perak. Ini dikuatkan lagi dengan kemasukan semula Adun Bota kedalam BN.

Ini adalah ujian buat kita untuk dimuhasabahkan. Dimana silapnya percaturan kita? Terutamanya dalam memilih calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Saya percaya, ada hikmah yang terselindung disebalik kejadian ini. Sama-samalah kita berdoa agar berlaku keajaiban yang tidak kita jangkakan yang membolehkan kita merampas kembali kerajaan Perak dari BN.

Pada pendapat saya, wakil rakyat yang melompat parti atas alasan yang tidak syarie adalah merupakan pengkhianat kepada para pengundi yang telah memilih mereka dalam pilihan raya yang menyebabkan mereka terpilih.





Monday, February 2, 2009

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga


Sejak serangan secara besar-besaran Israel keatas penduduk Palestin di Gaza, seluruh dunia menunjukkan keprihatinan dengan menghantar pelbagai bantuan termasuklah makanan, ubat-ubatan, pakaian dan juga kewangan bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh penduduk Gaza.

Namun, Berita Harian semalam melaporkan bahawa Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, parti yang memerintah Palestin sekarang nampaknya telah bertindak menyekat bantuan masuk ke Gaza. Benarkah demikian berlaku? Sekiranya benar, maka kesengsaraan penduduk Gaza makin bertimpa-timpa. Sebelum ini, hanya negara yang bersempadan dengan Palestin sahaja seperti Mesir bertindak menutup pintu sempadan menyebabkan pasukan bantuan tidak dapat menghantar masuk bantuan ke Gaza. Tindakan Mesir tersebut juga menyebabkan penduduk Gaza tidak dapat mencari perlindungan di Mesir.

Tetapi sekarang ini, Fatah selaku parti yang memerintah sendiri menghalang bantuan untuk disalurkan kepada penduduk di Gaza. Saya percaya ini adalah kerana penduduk Gaza kebanyakannya adalah para penyokong Hamas, seteru tradisi Fatah sejak dahulu lagi. Mungkin juga Fatah telah diugut atau ditekan oleh satu kuasa lain supaya berbuat demikian yang kononnya boleh melemahkan semangat perjuangan Hamas di Gaza.

Kalau dah keadaan begini, makin susahlah bantuan disalurkan ke Gaza. Saya tidak tahu, atas prinsip apakah perjuangan Fatah itu ditubuhkan. Walau berbeza fahaman politik sekalipun, apakah salah bantuan dihantar demi kemanusiaan. Islam menganjurkan kita membantu sesama makhluk yang dalam kesusahan, apatah lagi mereka itu adalah saudara seagama kita.