Pada 10 Zulhijjah (Jumaat), saya berkesempatan untuk bertemu dengan YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan sewaktu hendak menunaikan solat fardhu Jumaat di Masjid al-Karomah, Baung. Saya menyambut salamnya sewaktu beliau keluar dari Proton Perdana. Buat seketika Tok Guru merenung kearah saya. Mungkin beliau sedikit terpaku dengan penampilan saya berambut panjang melepasi bahu, berjubah dan bersongkok tinggi. Saya hanya sekadar tersenyum sahaja.
Walaupun, beliau sibuk dengan jadual yang padat namun Tok Guru masih lagi sempat meluangkan masa untuk hadir menemui rakyat kalaupun sekadar solat Jumaat. Wajahnya membayangkan keletihan kerana sudah lanjut usia dan juga kepenatan dalam menghadapi kerikil-kerikil tajam di tengah laluan perjuangan. Sebagaimana yang diketahui, terlalu banyak isu yang dihadapi oleh Tok Guru tetapi beliau masih lagi kelihatan tenang.
Saya akui, dugaan dalam perjuangan merupakan asam garam yang perlu ditempuhi oleh setiap orang yang meletakkan diri mereka dalam arus perjuangan. Tidak kira tahap mana kita berada, ujian tetap akan kita temui bersesuaian dengan tahap kita. Begitu juga saya, jika diikutkan perasaan seperti mahu sahaja terus mengalah dengan ujian tersebut. Ianya terlalu mengganggu fikiran dan perjalanan hidup saya. Jika dilihat, ujian tersebut tidak sebesar mana sangat. Hanya segelintir manusia yang suka meletakkan perasaan tidak puas hati sebagai satu isu yang memecah belahkan masyarakat. Saya pun agak buntu dalam menghadapi golongan ini. Beberapa kali perbincangan telah dibuat untuk menjelaskan perkara sebenar, tapi ianya tetap tidak menemui jalan penyelesaian kerana perbahasannya tidak berdasarkan al-Quran dan Sunnah.
Kalau perkara kecil dijadikan isu besar dan kesalahan sendiri tidak pernah disedari, macam manalah agaknya perkara tersebut hendak selesai. Bila bercakap, mengaku sebagai golongan yang berjuang untuk Islam tetapi tindakan mereka tidak pernah melambangkan percakapan mereka.
Allahu Akbar...sekadar hendak lepaskan sedikit kepanasan dada dan beratnya fikiran yang saya tanggung. Tapi tatkala terkenang sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diceritakan oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam fiqh sirahnya, terlalu kecil sangat kerikil dipertengahan jalan perjuangan yang saya hadapi berbanding Baginda Rasul. Saya mohon kepada Allah Taala agar diberikan kekuatan jiwa seperti Rasulullah dalam menempuhi dugaan perjuangan. Lalu teringatlah saya akan firman Allah s.w.t yang bermaksud:-