hasbunallah

hasbunallah

Monday, September 20, 2010

Jauh Tapi Dekat


Pada 18/09/2010 (Sabtu) yang lalu, seorang lagi anak buah saya Mohd Izzat Dhiaul Haq Bin Azman al-Kubrawiy al-Husaini akan berangkat meninggalkan tanah airnya yang tercinta serta keluarganya yang dikasihi untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Ahqaf, Yaman.

Terasa seperti suatu kehilangan besar bagi diri saya bila mengenangkan kehadirannya merupakan suatu rahmat Allah buat kami semua. Beliau seorang pemuda yang baik, rajin, cintakan ilmu, mulia dan disayangi oleh keluarga, teman, rakan mahupun kawan.

Namun oleh kerana perpisahan ini merupakan satu perjuangan dalam mencari ilmu, maka kami redha dengan kembaranya itu. Saya dan keluarga sentiasa mendoakan kejayaannya walau dimana sahaja dia berada.

Walaupun kelihatannya kami jauh dari segi lahiriah, namun pada hakikatnya kami dekat kerana keberadaanya sentiasa dihati dan fikiran kami. Teruskanlah perjuanganmu duhai anak..

Friday, September 10, 2010

Aidilfitri, Terry Jones & Perancangan Allah


Hari ini kebanyakan Negara Islam merayakan Aidilfitri selepas Madrasah Ramadhan yang telah kita lalui selama sebulan. Hari yang disyariatkan Allah swt sebagai meraikan kemenangan umat Islam kerana berjaya menentang hawa nafsu.

Maka pada hari ini sebagai tanda kesyukuran, umat Islam mempamerkan kegembiraan kejayaan dengan takbir dan tahmid yang memenuhi alam. Oleh yang demikian, janganlah ada antara kita yang mencemari hari yang mulia ini dengan kemungkaran dan maksiat. Semoga kita dapat mengekalkan amal dan ibadah yang kita lakukan sepanjang Ramadhan yang lalu.

Namun begitu, dalam ketaqwaan Ramadhan dan kemeriahan Syawal dunia digemparkan dengan satu perancangan yang dibuat oleh Paderi Terry Jones, pemimpin Dove World Outreach Center, sebuah gereja perjanjian baru di Gainesville, Florida, AS, akan menjadi tuan rumah ‘Hari Pembakaran Al Quran Antarabangsa’ dalam memperingati 9 tahun tragedi serangan 11 September 2001.

Rancangan Jones itu mendapat bantahan dari pelbagai pihak. Bukan sahaja umat Islam seluruh dunia, bahkan ada juga pemimpin agama lain juga turut mengutuk tindakan Jones tersebut.

Kita perlu memandang serius rancangan jahat Jones tersebut kerana al-Quran merupakan kitab suci umat Islam yang perlu dipertahankan. Ia merupakan Kalamullah yang suci dan bukannya catatan biasa yang boleh dipermainkan apatah lagi dihina sedemikian rupa.

Amerika yang sebelum ini berlagak sebagai polis dunia hanya sekadar mengutuk keras perancangan Jones tersebut. Cuba kita bayangkan, sekiranya ada umat Islam yang bertindak merancang untuk membakar Injil, kitab suci agama mereka? Saya pasti, bukan sekadar kutukan semata-mata malah amaran keras juga mungkin akan dikeluarkan oleh polis dunia itu untuk mengambil tindakan yang bersifat fizikal.

Oleh yang demikian, dalam masa kita bergembira menyambut Aidilfitri ini janganlah kita lupa untuk memanjatkan doa terutamanya qunut nazilah agar Allah swt menghancurkan perancangan jahat Jones itu serta menjadikan ianya suatu pengajaran kepada sesiapa sahaja yang ingin menghina Islam.

Allahu Akbar !!!!  

Friday, September 3, 2010

Kembara Singgah Berbuka


Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana perancangan bersama untuk menganjurkan program Kembara Singgah Berbuka telah Berjaya dilaksanakan semalam (Khamis 02/09/2010). Program anjuran Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) itu dengan kerjasama Pemuda Pas Dun Kelaboran telah dilaksanakan di Kg. Besut dan Kg. Pok Joh dalam Dun Kelaboran.

20 keluarga telah terpilih untuk menerima sumbangan berupa barangan dapur dan zakat terdiri dari keluarga miskin, ibu tunggal dan orang sakit. Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada penghulu mukim serta ajk Pas cawangan tersebut.

Program sebegini dapat merapatkan masyarakat dengan pemuda serta memberikan gambaran jelas mengenai kehidupan mereka yang memerlukan perhatian.

Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada wakil DPPKT, ajk Pemuda Kelaboran serta semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa kalian itu.