hasbunallah

hasbunallah

Saturday, January 22, 2011

Syeikh Qurra' Dari Syiria


Alhamdulillah, dalam kesibukan dunia ini saya masih diberikan ALLAH swt kesempatan untuk menemui dan menghadiri majlis talaqqi al-Quran bersama Syeikh Qurra’ (Ketua Ulama al-Quran) dari Syiria iaitu Fadhilat as-Syeikh Muhammad Kuraim Rajih yang telah dating ke Kota Bharu Kelantan pada 20/01/2011. Majlis tersebut telah diadakan di Masjid al-Muhammadi dan Masjid Telipot, Kota Bharu Kelantan.  Semoga saya akan terus diberikan ALLAH peluang-peluang untuk bertemu dan mempelajari ilmu-ilmu dari para ulama yang hebat.

Berikut adalah serba sedikit latar belakang Syeikh Qurra’ tersebut:-

Beliau dilahirkan pada tahun 1344 h = 1926 m di Hayyul Maidan, Damsyik, Syiria . Mula mempelajari dan menghafaz al-Quran semenjak kecilnya dengan Ibunya sendiri yang seorang alimah. Kemudian berpindah berguru kepada masyaikh , antaranya: Syeikh Yaasin az-Zarzuur, Syeikh Hasan Habannakah (Ulama terkemuka ketika itu), Syeikh Husain Khitab, Syeikh Sulaim al-Hilwaniy (Syeikh Qurra ketika itu).

Beliau mendalami pengajian Qiraat Sepuluh Kecil (Toriq Syathibiyyah dan ad-Durrah) dengan: Syeikh Sulaim al-Hilwaniy kemudian dengan Syeikh Ahmad Sulaim al-Hilwaniy (setelah wafat ayahnya). Kemudian dengan Syeikh Mahmud Faiz Ad-Dir ‘Atthoniy dan ramai lagi.

Beliau meneruskan pengajian Qiraat sepuluh Besar (Toriq Toyyibah) dengan Syeikh Abdul Qadir Quwaydir . Beliau telah diisytiharkan sebagai Syeikhul Qurra’ pada tahun 1408 h oleh Syeikh Abdul Razzak al-Halabi (Ulama Besar ketika itu) di Masjid Bani Umaiyyah (Masjid Utama di Damsyik), setelah dipersetujui oleh para Ulama dan para Qurra ketika itu termasuk Syeikh Abul Hasan al-Kurdiy dan lainnya. Kekallah beliau sebagai Syeikh Qurra hingga kini .

Beliau menjadi Pakar Rujuk di dalam bidang Qiraat di negara Syiria dan seluruh dunia amnya . Sehingga dengan bantuan beliau terhasilnya kitab: Qiraat Sepuluh yang Mutawatir (dijadikan rujukan utama pengajian Qiraat al-Quran) dan al-Muyassar Qiraat Empat Belas. Karangan beliau : Ringgkasan Tafsir Ibnu Kathir , Ringkasan Tafsir al-Qurthubi, Audhohul Bayan Fis Syarhi Wat Tafsir al-Quran dan lain-lain.

Antara murid beliau yang terkenal adalah : Syeikh Muhammad Fahad Kharuf (juga menantu beliau), Taufiq Haddad, Yusof Farih , Muhammad as-Syafii’. Beliau giat menyebarkan dakwah : Mengajar di Maahad al-Fath al-Islami di Damsyik (bahagian Takhassus). Memberi fatwa di masjid-masjid sekitar Damsyik , seperti Masjid al-Hasan dan Masjid al-Mansur .

Semoga Allah panjangkan umur beliau dan dikurniakan keberkatan dan rahmat Ilahi di dalan usaha dan khitmad beliau untuk Islam dan umatnya, khususnya untuk al-Quran . Diharapkan ziarah beliau buat kali pertama ini akan menghasilkan faedah yang banyak dan berjaya dimanfaatkan oleh umat Islam di negara ini.

Wednesday, January 19, 2011

Saya Penipu Rakyat (SPR)


Pada 29/12/2010 baru-baru ini, Pengarah SPR Johor, Othman Noh telah memberi amaran kepada pihak yang berkenaan agar tidak melaksanakan sebarang bentuk kempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kerana tempoh berkempen hanya bermula pada 22 Januari depan. Sesiapa yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Namun saya percaya bahawa seluruh rakyat Malaysia menyaksikan kempen yang telah dilakukan oleh PM sendiri yang disiarkan melalui televisyen semalam. Adakah ucapan yang sebegitu tidak termasuk dalam kategori ‘berkempen’ di sisi SPR?

Atau disebabkan ceramah atau kempen tersebut dilakukan oleh PM selaku bapa mereka sendiri  menyebabkan mereka terpaksa membisu? Saya yakin dan percaya, sekiranya perkara tersebut dilakukan oleh Pakatan Rakyat sudah pasti SPR akan kedepan menjuarai isu ini dengan mengemukakan pelbagai akta dan peraturan untuk menunjukkan perkara yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat tersebut salah disisi undang-undang.

Tapi apabila ianya dilakukan oleh BN/ UMNO, SPR seolah-olah membisu dan menikus. Dimanakah dakwaan SPR yang mengatakan bahawa mereka telus dalam menjalankan tugas? Sebab itu saya menjadi ragu-ragu, adakah SPR itu bermaksud Suruhanjaya Pilihan Raya atau SAYA PENIPU RAKYAT!

Wednesday, January 12, 2011

Majlis Bersama Ulama Besar Yaman

Alhamdulillah, segala puji yang tidak terhingga saya panjatkan kepada ALLAH SWT kerana ketentuan takdirNya telah memberikan saya sebuah kesempatan untuk menghadiri majlis bersama seorang ulama besar dari Yaman iaitu al-Alim al-Allamah as-Syeikh al-Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafidz yang telah berkunjung ke Kelantan pada 11/01/2011 sehingga 12/01/2011.  

Pada 11/01/2011 majlis bersama beliau telah diadakan di Masjid al-Muhammadi, Kota Bharu Kelantan bermula selepas maghrib dengan bacaan Ratib al-Haddad karangan al- Imam Habib Abdullah al-Haddad dan maulid. Selepas Isyak pula tausyiah khas telah disampaikan oleh Habib Umar kepada para jemaah yang begitu ramai melimpah keluar perkarangan masjid. Sebagai penutup majlis pada malam tersebut, beliau telah mengijazahkan amalan Ratib al-Haddad atau Ratib as-Syahir dengan ijazah am kepada para jemaah untuk diamal serta disebarkan.

Pada 12/01/2011 pula, majlis diadakan di Masjid al-Hakim, Tanjung Chat Kota Bharu seusai solat fardu subuh yang telah diimamkan sendiri oleh Habib Umar. Selepas itu beliau menyampaikan tausyiahnya kepada para jemaah yang hadir sehingga melimpah ke perkarangan masjid tersebut.

Saya rasa begitu bersyukur dan bertuah sekali kerana berkesempatan untuk menghadiri majlis bersama beliau itu. Semoga bumi Serambi Mekah ini akan terus dikunjungi oleh para ulama yang hebat sebagai satu barakah untuk para penduduknya.    

Sunday, January 9, 2011

Banjir

Bersama salah satu pick-up yang dipenuhi barang bantuan
Kebiasaan negeri di Pantai Timur akan mengalami musim tengkujuh bermula bulan November sehinggalah awal bulan Februari. Kawasan yang agak rendah kebiasaannya akan ditenggelami air akibat limpahan air sungai serta hujan lebat yang berterusan. Malah ada juga kawasan lain turut mengalami banjir kilat disebabkan takungan air hujan yang tidak dapat ditampung oleh sistem perparitan yang sedia ada. Maka kejadian ini adalah perkara biasa yang tidak boleh dipersalahkan kepada sesiapa.

Menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir
Namun begitu, ada sekelompok manusia yang tidak dapat melihat dengan jernih perkara ini lalu terus menuduh YB kawasan tersebut tidak buat kerja menyebabkan banjir berlaku. Mereka nampaknya seolah-olah menidakkan kuasa ALLAH swt yang menurunkan hujan serta mengalirkan air sungai. 

Mereka seperti lupa bahawa mana-mana YB sekalipun tidak mampu untuk menyekat turunnya hujan dari langit ataupun limpahan air sungai. Lupakah mereka terhadap firman ALLAH swt:-
Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat Yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) Yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka Dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka Dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat Yang lain? (Surah al-An’am: 6)

Meraduk banjir untuk menyampaikan bantuan
Maka sebagai seorang Muslim, kita wajib memerhatikan setiap tutur kata kita agar tidak menyalahi iman yang kita yakini kerana ia boleh menjerumuskan kita ke lembah kekufuran. Dalam perkara ini seharusnya kita mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan ianya terus berlaku tanpa menidakkan kekuasaan ALLAH serta janganlah sampai kita mempertikaikan dan mempersalahkan ALLAH swt yang menyebabkan banjir ini berlaku.

Walaupun rumah saya turut dinaiki air, namun atas dasar tanggungjawab dan amanah, Jentera Bilik Gerakan Banjir Pemuda Pas Kelaboran dan YB Mohd Zaki Hj Ibrahim (Adun Kelaboran) turun untuk menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa banjir di Kg. Ana, To’ Oh dan Cherang Melintang yang terletak dalam Dun Kelaboran.

Tahniah saya ucapkan kepada YB serta pengarah  Jentera Bilik Gerakan Banjir Pemuda Pas Kelaboran serta semua ajk yang terlibat dalam menunaikan tanggungjawab serta amanah yang diberikan kepada kita semua.