Posted by Nur Islam |
Posted in Akhlak, Cerpen, Dakwah | Posted on 07-06-2009
Uhud, memahat sejarah,
menjadi saksi tumpah darah, membakar harum Syurga bauan Syuhada’. Kisahnya
menggamit aku untuk ke sana. Siapa mungkin bisa lupa akan pengorbanan para
sahabat yg semangat jihadnya bisa menenggelamkan Uhud. Coretan Uhud masih segar
dalam lipatan sejarah. Tatkala membaca lembaran Uhud, rasa mendetik jiwa untuk
turut berjihad sama. Namun, apakah masih ada medan Uhud buatku?Aku masih
tertanya? Apakah medan Uhud masih terbentang buatku yg sedang leka dalam
kealpaan dunia.
Kusingkap helaian kisah
Mus’ab Bin Umair. Seorang rupawan dari keluarga bangsawan. Hidupnya dilimpahi
kesenangan dan kemewahan, berpakaian terbaik dari sutera sulaman tangan yang
membalut tubuh tampannya. Namun, Uhud menjadi saksi merungkai segalanya. Naqib
pertama yang dihantar Rasulullah ke bumi Yathrib itu gugur syahid mengejar
Jannah. Saat matinya, tiada lagi sutera mewah yg bias menjadi kapan. Sehelai
kain hanya cukup untuk menutup wajah ,mendedahkan kaki sehingga meruntun hati suci
Rasulullah. Pemuda kacak yang pernah berpakaian terbaik di Kota Mekah itu
meninggalkan segalanya demi Islam dan bumi Uhud bakal menjadi saksi kelak akan
pengorbanannya menegakkan bendera Islam sehingga kedua tangannya dipotong musuh
Allah. Namun, apakah aku bisa menjejaki Pejuang Uhud itu tatkala helaian baju
mewah masih membaluti tubuhku sehingga aku lupa bahawa itu hanya semata-mata
dunia. Tatkala aku mengejar jenama pakaian terkemuka, melabur wang untuk segak
bergaya, aku terlupa akan pengorbanan Pejuang Uhud ini. Pakaian dan perhiasan
yang menghiasi tubuh ini membuat aku leka dan alpa. Aku tertanya, apakah masih
ada medan Uhud buatku? Ya Allah, seandainya pakaian dan perhiasan ini
membuatkan aku lupa dan leka akan tanggungjawabku untuk menegakkan agamamu,
membuatkan aku semakin menjauhi rahmatmu, Kau padamkanlah kecintaanku pada
pakaian dan perhiasan. Ya Allah, jika pakaian dan perhiasaan ini akan
melambatkan aku untuk sampai ke SyurgaMu, Kau hapuskanlah kecintaanku padanya.
Ya Allah jika pakaian dan perhiasan ini memberatkan aku tika meniti Titian
Sirat, Kau lunturkanlah nafsuku padanya.
Kusingkap helaian kisah
Talhah Bin Ubaidullah. Pengorbanannya menggetarkan setiap tubuh yang bernyawa.
Siapa mungkin akan lupa jasa Talhah mempertahankan Rasulullah tatakala tragedi
Uhud yang mencalit darah pada wajah Rasulullah. Tatkala kemurkaan Rasulullah
menimpa Ibnu Qami’ah yang menitiskan darah suci Rasulullah pada bumi dan
mematahkan giginya, cinta dan kasih Rasulullah membaluti Talhah yang
mengorbankan badan dan tanganya untuk melindungi Rasulullah. Tatkala Rasulullah
diambang bahaya, Talhah mengorbankan dirinya untuk Kekasih Allah itu. Tangan
Talhah lumpuh kerana mempertahankan Rasulullah, Jari jemarinya putus
membentengi Rasulullah. Namun khabar gembira buat Talhah, Rasulullah bersabda :
‘Biarkan jarimu putus. Jika kau menyebut nama Allah, Malaikat akan mengangkatmu
dihadapan mata semua orang’. Tatkala 39 parut luka memahat tubuhnya, Saidina
Abu Bakar mendendangkan sajak buatnya, ‘Oh Talhah bin Ubaidullah!Syurga itu
untukmu seperti air mataair yang
memancur untuk rusa meminumnya. Tatkala Rasulullah lemah kerana kecederaan
sehingga tidak mampu untuk memanjat bukit untuk menyelamatkan diri, Talhah
menggagahkan tubuhnya untuk menjadi tempat untuk Rasulullah memijak untuk
memanjat bukit. Khabar gembira buat Talhah, Sabda Rasulullah ‘Talhah, selepas
kerja ini, telah layak untuk Syurga’. Namun, apakah aku bisa menjejaki Pejuang
Uhud itu untuk ke syurga sana tatkala tubuhku ini kuabdikan untuk keduniaan.
Jari jemariku menari di papan kekunci melayari laman-laman yang hanya
menjanjikan sia-sia, tidak pula untuk memperjuangkan agamaNya. Tanganku,
kugunakan untuk membelanjankan wang membeli itu dan ini, tidak pula kugunakan
untuk memberi sedekah pada yang memerlukannya. Tubuhku ini kuhambakan untuk
mengejar keseronokkan dunia, tidak pula ku kerahkan untuk beribadah padaMu.Maka
aku tertanya, apakah masih ada medan Uhud buatku? Ya Allah jika perbuatan jari jemariku bisa
menimbulkan kemurkaanMu, Kau dendangkanlah lagu jihad buat jari-jemariku
menari-nari menegakkan KalimahMu. Ya Allah jika tulang belulang tanganku selalu
ragu dan kaku untuk menginfak pada jalanMu, Kau ringankanlah dan lembutkan ia
untuk lebih memberi pada jalanMu. Ya Allah jika tubuhku ini berlegar-legar di muka
bumiMu tanpa beribadah dan mengingatiMu, Kau pasakkan ia dan thabitkan ia untuk
berbakti hanya pada agamaMu.
Kusingkap helaian kisah
Hanzalah bin Abu Amir. Dikala masih segar menghirup sakar madu malam pengantin,
semboyan jihad Uhud bertiupan memanggil sang mujahid untuk turun menggalas
pedang menghunus ke batang leher musuh. Lalu, ditinggalkan pangkuan isteri
tercinta berlari menuju pelukan Syurga. Keberaniannya menggerunkan lawan,
Hanzalah berjaya mengharungi benteng lawan sehingga berjaya sampai kepada Abu
Sufyan bin Harb, ketua kafir Quraisyh saat itu dan Hanzalah hampir berjaya
membunuhnya namun, takdir Allah menentukan segalanya. Manis madu malam
pengantin bertukar menjadi racun, Hanzalah gugur syahid di hujung pedang
Shaddad bin Al-Aswad. Tubuh Hanzalah ditemui dalam keaadaan air menitis dari
jenazahnya dan kehairanan itu dijawab Rasulullah bahawa Malaikat telah
memandikannya kerana keadaanya yang sedang berhadas. Maka sebab itulah Hanzalah
dikenali dengan gelaran Ghaseel Al-Malaikah (orang yang dimandikan oleh
Malaikat). Kegembiraan dan kecintaan malam pengantin ditinggalkan Hanzalah demi
menegakkan agama Allah. Masih mampukah aku menjejaki pejuang Uhud ini tatkala
cintaku pada manusia melebihi cintaku pada Sang Pencipta? Rasa cintaku dan
kasihku pada Hawa menggunung melebihi cintaku pada Allah dan RasulNya. Cintaku
pada Hawa kudambakan sepenuh raga, sedangkan cintaku pada Allah masih
samar-samar buta. Kasih dan sayangku pada Hawa meleka aku hingga terlupa
batas-batas agama. Panahan asmaraku menjadi nafsu mengongkong sukma hingga buta
akan tanggungjawab menegakkan agama. Ya Allah, jika cintaku pada Hawa melebihi
cintaku padaMu, Kau anugerahkanlah sebuah relung cinta sebesar semesta untuk
membakar api cintaku padaMu. Ya Allah jika kasihku pada Hawa menjadikan aku
alpa, kau bentangkahlah sejadah cinta untukku bersujud memohon ampun dan
kasihMu. Ya Allah jika asmaraku pada Hawa membutakan mata, Kau sinarkanlah Nur
Kasih menerangi jalan menuju kemilau syurga. Ya Allah kau anugerahkanlah
Tali-Tali cintaMu pada aku dan Hawa untuk kami bergantung padanya dan jika
hubungan kasih suci ini ikhlas hanya keranaMu, kau peliharalah ia, kau
suburkanlah ia, kau damaikanlah ia.
Helaian demi helaian
coretan Uhud ku selak, satu persatu kisah perjuangan sahabat ku baca, namun
persoalan demi persoalan yang menjengah fikiran. Aku masih tertanya apakah
masih ada medan Uhud buatku berjuang? Aku mula fahami, medan Uhud bukan untuk
orang yang mendamba dunia, medan Uhud bukan untuk pencinta wanita, medan Uhud
bukan untuk pembuat durjana medan Uhud tetapi sentiasa di hadapan kita, umat
Muhammad yang mendamba Syurga agar menjadi bukti cinta buat yang Maha Berkuasa.
Dipetik dari Atap Hijau