Mahkamah Persekutuan hari
ini membuat keputusan bahawa tidak perlu dibuat semakan semula terhadap hasil
penemuan oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat klip video kontroversi
melibatkan peguam Datuk VK Lingam yang didakwa cuba campur tangan dalam pelantikan
hakim.
Panel tiga hakim Mahkamah
Persekutuan terdiri Presiden Mahkamah Rayuan yang baru, Hakim Tan Sri Md Raus
Sharif, Ketua Hakim Malaya yang baru, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong yang membuat keputusan
sebulat suara itu, mendapati bahawa Suruhanjaya Diraja itu sekadar membuat
penemuan dan perakuan dan bukannya satu keputusan selepas mendengar keterangan
ketika menyiasat klip video peguam berkenaan yang didakwa cuba menggunakan
pengaruhnya dalam pelantikan hakim.
Hakim Md Raus, yang
membacakan keputusan mahkamah itu, berkata bahawa kedudukan Lingam dan dua
bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul
Halim, tidak terjejas teruk akibat daripada penemuan suruhanjaya itu.
Mahkamah membuat keputusan
itu selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Diraja itu terhadap keputusan
Mahkamah Rayuan yang membenarkan Lingam dan dua bekas Ketua Hakim Negara
berkenaan, membuat rayuan bagi mencabar keputusan suruhanjaya itu.
Suruhanjaya terdiri lima
anggota itu, dalam laporannya, memperakukan supaya tindakan sewajarnya diambil
terhadap enam individu terdiri Lingam (kiri), Eusoff, Ahmad Fairuz, jutawan Tan
Sri Vincent Tan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana
salah laku.
Laporan itu menyebut
bahawa terdapat keterangan prima facie bagi menyiasat mereka ini berhubung
kesalahan mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan Akta
Profesion Guaman.
Suruhanjaya itu mendapati
bahawa klip video berkenaan adalah tulen dan Lingam merupakan orang yang
dilihat sedang bercakap (melalui telefon) dengan Ahmad Fairuz.
Dipetik dari Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment