hasbunallah

hasbunallah

Monday, April 30, 2012

BERSIH 3.0 : Coretan Seorang Pemerhati


BERSIH 3.0 yang berlangsung semalam (28/04/2012) berhampiran Dataran Merdeka, Kuala Lumpur meninggalkan pelbagai kenangan serta kesan terhadap peta politik, pentadbiran Negara, undang-undang dan sebagainya. Tidak kurang juga ia turut menjadi isu perdebatan antara yang menyokong dan yang menentang BERSIH 3.0 tersebut dengan mengemukakan pelbagai hujah dari pelbagai sudut yang berbeza.

Saya bersama pasukan peguam dari Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah diarahkan oleh Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) untuk membuat pemerhatian terhadap perjalanan himpunan tersebut di dua lokasi berbeza iaitu Petaling Street dan Dataran Maybank.

Walaupun himpunan tersebut dijadualkan bermula dari pukul 2:00 petang 28/04/2012, namun peserta sudah memasuki Bandaraya Kuala Lumpur dan memenuhi kawasan-kawasan tertentu sejak petang 27/04/2012 lagi. Peserta himpunan tersebut datangnya dari seluruh pelosok Negara dengan tujuan untuk menuntut suatu sistem pilihan raya yang adil dan telus.

Pastinya ramai golongan yang menentang BERSIH 3.0 tersebut mempersoalkan, kalau pilihan raya Negara kita tidak adil macam mana Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan dapat ditawan oleh pihak pembangkang?  

Jawapan saya, apakah maksud sistem pilihan raya? Ia adalah satu proses yang bermula dari pendaftaran seorang pemilih sehinggalah kepada pentadbiran sesebuah kerajaan sesudah pilihan raya berlaku. Bukan hanya sekadar pilihan raya. Bahkan ianya adalah satu sistem secara keseluruhan. Contohnya isu pendaftaran pemilih.

Saya sendiri beberapa terlibat dalam pendengaran awam SPR mengenai bantahan pendaftaran pemilih pos dalam Dun Kok Lanas yang amat jelas menunjukkan bahawa SPR sememangnya tidak telus dalam mengendalikan proses tersebut dengan memberikan alasan dan hujah yang langsung tidak masuk akal. Bahkan sehingga ke tahap borang permohonan pun boleh diubah.

Pastinya golongan yang menentang BERSIH 3.0 kemudian berhujah: tidak perlu berhimpun, kenapa tidak adakan rundingan atau menggunakan cara yang lebih harmoni?

Jawapan saya: saya sendiri telah terlibat dengan pelbagai rundingan dengan pihak SPR ini. Bahkan saya sendiri yang turut mengemukakan cadangan kepada Parliament Select Committee (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili di Kota Darul Naim, Kelantan. Namun usaha tersebut kelihatannya seperti tidak diendahkan.

Kemudian mereka mempersoalkan lagi: kenapa perlu menyokong BERSIH 3.0 yang diketuai oleh Ambiga yang secara jelas menyokong LGBT (lesbian, gay, bisexual, and transgender) yang haram dalam Islam.

Jawapan saya: memetik tulisan Dr MAZA sebagai berkata “Islam adalah agama Allah yang ajaran-Nya berasas fitrah yang Dia ciptakan kepada manusia. Maka Islam adalah agama fitrah (natural religion), sesuatu yang bercanggah dengan fitrah manusiawi ditolak oleh agama ini.

Islam yang sebenar selaras dengan sifat penciptaan manusia yang telah Allah jadikan. Maka, Islam menolak homoseksual, lesbian dan segala yang menyanggah fitrah asal insan itu.

Demikian Islam menolak kezaliman, penindasan, ketidakadilan, kebodohan dan seterusnya kerana ia bercanggah dengan fitrah manusia.

Mereka yang menolak homoseksual ataupun lesbian tetapi membiarkan atau akur dengan ketidakadilan tidak memenuhi elemen fitrah yang Allah ciptakan.

Demikian juga mereka yang menentang ketidakadilan tetapi menerima amalan songsang, ia bercanggah dengan roh Islam ini.

Sebagai akhirnya walaupun masih banyak persoalan yang ingin ditanya oleh golongan yang menetang BERSIH 3.0, cukuplah dulu sebab sudah tidak larat untuk menjawabnya. Cuma sekadar peringatan bersama kepada sesiapa sahaja yang ingin memberikan komen atau pendapat, bercakaplah sekadar ilmu kita yang ada sahaja, jangan bercakap apa yang tidak kita ketahui kerana ia boleh menampakkan kebodohan kita sendiri. 

Tuesday, April 17, 2012

Bersama Ulama Madinah al-Munawwarah


as-Syeikh Dr. Mahmood
Abd Rauf al-Mirghalani

Pada 12/04/2012 yang lalu, saya telah berkesempatan buat kali kedua untuk bertemu dan menghadiri majlis bersama seorang ulama dari Madinah al-Munawwarah iaitu al-Alim al-Allamah Fadhilah a-Syeikh Dr. Mahmood Abd. Rauf al-Mirghalani. Majlis tersebut telah diadakan di Madrasah Ahbabul Mustafa, Tumpat.

Dalam program tersebut, as-Syeikh telah sudi untuk menyampaikan tausyiah serta mengijazahkan beberapa buah kitab kepada saya dan hadirin yang hadir. Memang sesuatu yang indah apabila kita berada dalam taman-taman syurga. Apatah lagi majlis tersebut diserikan dengan bacaan qasidah oleh murid kanan beliau iaitu ustaz Rahmat as-Syazili.

Bersama Ustaz Mashrin
Bagi orang yang memiliki hati yang sentiasa hidup dengan zikir, pasti akan tersentuh dengan bacaan qasidah yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tersebut oleh Ustaz Rahmat. 






Kitab yang telah diijazahkan oleh as-Syeikh Dr. Mahmood Abd. Rauf al-Mirghalani kepada saya pada malam tersebut:




Semoga Allah swt memberikan saya peluang yang berterusan untuk terus menimbal ilmu dari guru yang hebat ini.