hasbunallah

hasbunallah

Thursday, September 13, 2012

Meminta Dalil - Ia Bukti Kejahilan Anda!


Artikel ini perlu dibaca dengan tenang dan rasional. Agar anda dapat memahami isi yang hendak disampaikan. Artikel Asal Di Sini

Oleh : Shaykh Ridhwan Saleem

Dengan nama Allah. Segala puji hanya untuk-Nya, Tuhan dan Pelindung kami, dan moga dicurahkan keamanan dan kesejahteraan kepada Utusan terakhir-Nya.

Komentar ini tidak berniat untuk menghina sesiapa. Kami sayang semua saudara se-Islam yang mencintai Allah dan Rasulullah sallahu 'alayhi wasalam, dan yang berkerja dengan ikhlas untuk deen ini, tanpa mengira apa pun pegangan yang mereka pilih. Jika kata-kata ini kelihatan agak kasar bagi sesetengah pihak, maka ia semata-mata bertujuan bagi menyampaikan maksud dengan lebih jelas dan tepat, lebih-lebih lagi di zaman yang penuh mencabar ini.

Tulisan ringkas ini ditulis berikutan satu permasalahan hukum fiqh yang telah diajukan kepada saya. Si penyoal ingin juga mengetahui dalil-dalil yang digunakan tentang sesuatu hukum. Saya menyedari bahawa si penyoal itu sebenarnya berniat untuk membandingkan dalil daripada individu-individu yang telah mereka tanya, dan kemudian membuat kesimpulan sendiri tentang pandangan yang manakah lebih kuat.

Saya berpendapat bahawa mengemukan segala dalil dari pandangan mazhab Hanafi tentang soalan tersebut kepada orang awam adalah satu tindakan yang kurang sesuai. Saya akan cuba untuk menerangkan sebab-musababnya.

Saya memberitahu hukum fiqh tersebut berdasarkan pandangan mazhab Hanafi, dan kemudian saya berkata: "Apa jua fatwa, jika ia datang dari salah satu empat mazhab yang dipegang oleh ahlus sunnah wal jamaah, adalah datang dari studi, kajian, dan ijtihad oleh ratusan ulama terbilang dari ummah ini, yang mana mereka telah memberi sumbangan besar bagi menyemak semua hukum-hakam dalam mazhab masing-masing. Mereka adalah pakar dalam segala disiplin ilmuan Islam. Ramai di antara mereka yang menghafaz lebih seratus ribu buah hadith junjungan Nabi kita. Para ulama mazhab Hanafi yang berjaya mencapai darjat kehormat ini kebanyakannya adalah Hafiz Hadith.

Bukan itu sahaja, bahkan mereka adalah golongan yang mempunyai tahap kesolehan dan ketaqwaan yang begitu tinggi kepada Allah - ia boleh dibuktikan melalui biografi mereka. Maka kita harus menerima dengan gembira segala keputusan yang mereka beri tanpa perlu meyoal apakah dalil-dalil yang digunakan. Dan kita tidak akan pandang kepada golongan yang tidak mengakui autoriti para ulama terbilang ummah ini serta asyik mahu mengkaji dalil bagi setiap hukum. Padahal golongan ini tiada langsung latihan asas dalam lapangan keilmuan Islam, atau pun pernah mempelajari mana-mana kitab muktabar dengan guru yang berkelayakan.

Adalah satu perkara yang mengarut apabila orang awam sentiasa bertanyakan dalil. Ia seperti seseorang yang tidak pernah belajar subjek sains GCSE[1] berdebat tentang teori relativiti[2] dengan seorang profesor fizik. Atau pun seperti seseorang yang tiada langsung ilmu asas biologi atau kimia yang berdebat dengan seorang doktor pakar tentang ubat manakah yang paling tepat bagi merawat sesuatu penyakit.

Orang sebegini pasti akan diketawakan! Apakah anda fikir akan ada mana-mana profesor yang akan melayannya? Profesor itu tidak akan membuang masa untuk berbincang dengannya. Orang yang begini, kalau dia betul-betul ingin memberikan pandangan tentang fizik teoritikal, harus terlebih dahulu mengambil GCSE selama dua tahun, kemudian membuat A-Levels[3] selama dua tahun, kemudian mengambil ijazah (3 tahun), kemudian buat ijazah lanjutan (1-2 tahun), kemudian mengambil PhD (3-5 tahun). Dan akhirnya barulah dia boleh duduk semeja berbincang dengan profesor!

Begitu jugalah dengan seseorang yang tidak pernah belajar langsung kurikulum asas dalam bidang fiqh, tetapi dengan berani mencabar para ulama fiqh yang terbilang, yang menjadi salaf dan khalaf ummah ini. Padahal si fulan ini tiada langsung kemahiran asas bagi memahami atau pun menilai sesuatu dalil.

Anda fikir mengeluarkan pandangan berkaitan hukum-hakam itu lebih mudah berbanding mengeluarkan pandangan dalam fizik teoritikal?

Meminta dalil bagi setiap hukum itu sendiri sudah cukup menjadi dalil jelas kejahilan anda dalam proses melakukan ijtihad.

Apakah anda fikir bahawa cara mengetahui dalil-dalil bagi setiap hukum itu adalah sekadar diberitahu sepotong ayat Al-Quran atau pun hadith? Tugas kamu sebagai orang awam atau pun seorang budak mentah yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang keilmuan Islam bukannya untuk mengetahui segala dalil bagi setiap hukum-hakam. Tetapi tugas kamu cukup sekadar mengetahui hukum bagi sekian-sekian perkara, berdasarkan salah satu daripada empat mazhab yang diterima oleh ahlus sunnah wal jamaah pada hari ini, dan pada masa yang sama harus sedar bahawa semua hukum-hakam itu dibuat berdasarkan ilmu dan kajian yang mendalam dari pelbagai jenis sumber.

Jika kamu sudah betul-betul berminat untuk mengetahui dalil-dalil bagi hukum itu ini, maka sila mulakan langkah yang pertama untuk belajar ilmu Islam yang mulia ini. Kamu sangat-sangat dialukan! Untuk mendapatkan tahap ilmu paling asas pun sudah memerlukan tempoh pembelajaran serius selama 5-8 tahun. Ini baru yang asas; ia tidak termasuk tempoh untuk melakukan pengkhususan!

Percayalah kepada saya, dalil-dalil itu ada dan wujud dalam setiap mazhab. Begitu banyak kitab-kitab rujukan muktabar mazhab Hanafi yang membincangkan dengan begitu terperinci setiap hukum yang ada, dan ia ditulis oleh ulama-ulama hadith dan fiqh yang sangat berwibawa. Jangan malu-malu untuk berjumpa mereka pada bila-bila masa jika anda ingin melihat dalil-dalil bagi sesuatu hukum yang dikeluarkan. Tetapi bagi individu yang tidak terlatih, seperti anda, pasti tidak akan dapat faham hasil tulisan dan kitab peringkat tinggi ini. Ia seperti mana pelajar sains GCSE yang membaca artikel kajian dalam bidang fizik kuantum, atau pun membaca jurnal perubatan yang begitu kompleks. Kamu pasti tidak akan dapat faham langsung apa yang dibaca, malah akan makin keliru.

Inilah masanya untuk kamu merendah diri. Jika kamu pelajar GCSE, kamu hanya perlu belajar perkara asas, dan terima sahaja apa yang guru kamu ajarkan. Bertahun-tahun lepas itu, apabila kamu sudah makin pintar, dan makin rajin mencari ilmu, kamu mungkin akan dapat membincangkan teori-teori yang sangat kompleks dan kemudian membuat rumusan sendiri.

Malangnya, sebagai sebahagian daripada bida'ah zaman moden yang patut diperbetulkan, telah wujud satu fahaman yang menjalari umat, yang mana ia menolak keempat-empat mazhab, dan memberikan dorongan kepada orang awam bagi menyoal setiap hukum - dengan itu mereka dapat membuat pendapat sendiri dan mencanai jalan sendiri! (Ini sebenarnya adalah sunnah seorang penyanyi Amerika, Frank Sinatra, yang menanyi "I did it my way'", tapi ni sudah tentu bukan sunnah para ulama salaf). Jika kamu percaya bahawa pelajar GCSE boleh mengeluarkan pendapat dalam teori kuantum, maka ahlan wa sahlan!

Kamu harus diberikan amaran bahawa apa yang kamu lakukan ini adalah haram, iaitu mengeluarkan fatwa tanpa memiliki kelayakan. Jika semua orang secara automatik berkelayakan untuk mengeluarkan/memilih hukum sendiri, ia akan membawa kepada kemusnahan dan kekacauan dalam bidang perundangan syariah. (Oh ya, hanya kerana kamu berbangsa Arab atau tahu berbahasa Arab, itu tidak menjadikan kamu seorang mufti secara automatik!). Setiap bidang ilmu ada kurikulum dan kaedah masing-masing. Perundangan Islam dan kaedah mengeluarkan hukum-hakam adalah salah satu disiplin ilmu yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk menguasainya.

Sebagai contoh, untuk menjadi seorang peguam, kamu mestilah memiliki keputusan A-level yang cemerlang, kemudian ambil ijazah Perguaman. Malah selepas itu kamu perlu lulus Bar examinations[4]. Itu masih tak cukup! Kamu kemudian perlu menghabiskan masa bertahun-tahun bersama-sama dengan seorang peguam sebelum kamu boleh menjalankan bisnes sendiri. Pada waktu ini, kamu baru setakat menjadi peguam junior. Selepas itu berapa tahun lagi yang diperlukan untuk membuat kajian dan mengumpul pengalaman yang diperlukan sebelum kamu boleh menjadi salah seorang QC, atau hakim tinggi?

Cukup ganjil apabila ada orang yang menganggap dirinya sudah layak untuk mengeluarkan hukum setelah dia membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran dan juga versi rumusan kitab Sahih Bukhari! Ini semua sebenarnya adalah refleksi kepada kejahilan kita yang teramat sangat. Kamu tidak pernah masuk sekolah Undang-undang dan kamu pula begitu teringin untuk mengeluarkan hukum??

Kamu adalah pelajar sains GCSE dan kamu pula ingin masuk bersama dalam perbincangan sesama profesor?

Merendah dirilah! Kalau kamu mahu berbincang isu-isu dalam hukum-hakam Islam, maka pergi cari para ulama yang menjadi pewaris Nabi, dan duduk bersama mereka, dan belajar dengan mereka. Tirulah juga sifat-sifat mulia yang ada pada mereka, termasuk juga ilmu yang para ulama ini miliki - mudah-mudahan kamu dapat menerima cahaya yang ada pada ilmu Islam yang mulia ini.

Jika kamu telah menghabiskan usiamu mempelajari perubatan atau kejuruteraan, atau pun sibuk dalam bidang perniagaan sehingga tiada masa untuk mendalami ilmu Islam, dan kini apabila tiba masa tua, kamu pun berazam untuk menjadi lebih 'religious' - kamu pun selalu berkunjung ke masjid dan lain-lain lagi. Tapi tolonglah, jangan fikir kamu boleh buat crash-course dalam deen ini dengan sekadar membaca Fiqh al-Sunnah atau pun Tafsir al-Mawdudi, dan kemudian kamu fikir kamu sudah sampai tahap untuk berdebat dengan para ulama. Tolong biarkan perkara berkaitan deen kepada mereka yang telah menyimpan masa muda untuknya dan telah mengorbankan masa bertahun-tahun untuk mempelajari disiplin ilmu Islam yang sangat luas ini.

Seorang daripada guru saya selalu berkara: "This is the deen, not teen (fig)!!"[5] Kamu sedang berurusan dengan ilmu Islam! Ini bukan benda main-main yang boleh diperbincangkan sesuka hati oleh orang awam. Ini datang dari budaya Barat yang menjadikan seseorang itu angkuh - mereka percaya bahawa mereka boleh memberikan pandangan dalam segala isu, dari teologi kepadalah hukum fiqh. Hakikat sebenarnya, kamu tidak berada pada kedudukan untuk menilai dalil-dalil yang ada, dan kemudian membuat kesimpulan sendiri akan pandangan manakah yang lebih kuat atau rajih.

Saya masih ingat satu perbualan saya dengan seorang remaja berusia 18 tahun, jambang dan misainya dicukur rapi, memakai jeans dan jaket kulit, di bahagian luar sebuah masjid di kawasan saya. Remaja ini mula mengamalkan Islam dengan baik sejak dua tahun yang lepas. Dia dengan agak serius menerangkan kepada saya tentang bagaimana dia menilai dalil-dalil yang dikemukakan dari mazhab-mazhab yang berlainan tentang sesuatu isu, dan kemudian dia sudah boleh membuat rumusan akan pandangan manakah yang lebih kuat! Walau pun si remaja ini tidak tahu satu pun perkataan dalam bahasa Arab, namun itu tidak membuatkannya berputus asa - pastinya dia akan mendapatkan bahan rujukan yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris!

Malangnya, si remaja ini tiada idea sama sekali betapa kompleksnya proses mengeluarkan hukum, dan juga betapa luasnya perbincangan di antara mazhab tentang sesuatu isu. Apakah dia tidak sedar bahawa dia juga sekadar bertaklid buta kepada apa jua ulama bentangkan kepadanya tentang sesuatu isu? Dia sendiri tidak pernah menyemak sama sekali sumber maklumat yang dijadikan hujah, iaitu kitab-kitab rujukan dalam keempat-empat mazhab - dia tidak melihat apakah yang diperbincangkan dalam keempat-empat mazhab tentang isu tersebut. Sudah diketahui umum bahawa kamu tidak boleh mengeluarkan hukum dalam mazhab Hanafi berdasarkan teks dari mazhab Shafi'i, dan sebaliknya. Ini kerana ia selalu memberikan pandangan kurang tepat tentang mazhab yang lain - kamu sebenarnya kena menelaah teks dari mazhab yang kamu ingin kaji, dan bukannya mengambil teks dan kitab yang ditulis oleh mazhab Shafi'i untuk menilai hukum-hakam dalam mazhab Maliki.

Saya akan berikan anda satu contoh mudah yang selalu dijumpai pada hari ini. Kita akan melihat bagaimana terdapat sesetengah umat Islam yang berfikir bahawa mereka telah pun melakukan 'ijtihad' yang sangat hebat, dan melakukan kesimpulan sendiri berkenaan sesuatu hukum (setelah menyedari bahawa semua empat mazhab telah salah sejak 1424 tahun lamanya). Isu ini adalah berkaitan tentang di manakah sepatutnya meletakkan tangan semasa berdiri dalam solat.

Hari ini agak mudah untuk melihat umat Islam yang meletakkan tangan di atas dada atau leher ketika berdiri dalam solat. Sebenarnya, kaedah sekian lama yang diamalkan lebih seribu tahun adalah meletakkan tangan di bahagian sedikit atas-atau-sedikit bawah dari paras pusat. Dan inilah cara yang dipersetujui dalam keempat-empat mazhab - dan bukannya di atas dada (kecuali bagi wanita mengikut pandangan mazhab Hanafi), dan sama sekali bukan di atas leher! (Sesetengah ulama mazhab Maliki berpendapat adalah sunnah untuk menyengetkan sedikit kedudukan tangan ke bahagian sisi badan).

Namun demikian para Imam Mujtahid muda abad ke-21 lebih cerdik. Bagi mereka, kesemua pakar dalam empat mazhab tidak pernah buka kitab Fiqh al-Sunnah, satu kitab penting bagi yang ingin menjadi mujtahid! Malah kitab ini juga banyak terjemahannya bagi mujtahid yang jahil bahasa Arab! Kamu buka dan selak bab yang membincangkan: "Sunnah dalam Solat, Kedudukan Tangan" (jilid 1, halaman 132) dan kamu akan jumpa hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi yang menunjukkan bahawa Rasulullah sallahu alayhi wasalam bersolat dengan meletakkan tangannya di atas dada. Imam al-Tirmidhi mengatakan hadith ini hasan. Kamu juga akan dapat membaca hadith serupa yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaima dalam kitab Sahih Ibnu Khuzaima, yang mana beliau menarafkan hadith ini sahih.

Nah, itu dia! Mujtahid muda ini telah pun membereskan kerjanya! Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat hadith sahih tentangnya. (Padahal tak tahu pun siapa Ibnu Khuzaima ni...tapi macam penting aje orangnya!). Keempat-empat mazhab - Hanafi, Shafi'i, Maliki, dan Hanbali - telah salah. Dan selepas itu, si mujtahid muda ini kelihatan bersolat di masjid dengan meletakkan tangannya tinggi di atas dada, dan melihat dengan pandangan menghina kepada mereka yang 'bertaqlid membabi-buta' kepada mazhab.

Sekarang kita akan melihat dengan mendalam akan 'dalil-dalil' yang diberikan dalam Fiqh al-Sunnah itu. Dan satu penemuan mengejutkan telah ditemui.

Pertama sekali, bagi mereka yang betul-betul belajar kitab al-Jaami oleh Imam al-Tirmidhi, pasti akan sedar bahawa al-Tirmidhi TIDAK pernah sama sekali menyentuh hadith yang mana Rasulullah meletakkan tangannya di atas dada ketika solat! Apatah lagi menilainya sebagai hasan!! Ini adalah kesalahan yang sangat serius bagi pengarang Fiqh al-Sunnah.

Kesilapan besar nombor dua: Walau pun Ibnu Khuzaima ada membawakan hadith tersebut dalam kitabnya, beliau TIDAK PERNAH menganggapnya ia sahih. Sebenarnya, Ibnu Khuzaima tidak langsung membuat sebarang komen tentang status hadith yang beliau muatkan di dalam kitabnya. Namun demikian, bagi sesiapa yang faham metodologi yang digunakan oleh Ibnu Khuzaima, pasti akan dapat melihat petunjuk-petunjuk yang boleh dijadikan inferens untuk menolak hadith ini sebagai hasan, apatah lagi sahih. Pertama, beliau tidak meletakkan hadith tentang meletakkan tangan di atas dada di bahagian awal bab (yang mana ini adalah kaedah lazim beliau dalam memberi isyarat tentang status hadith di dalam setiap bab). Kedua, beliau meletakkan hadith tersebut di bahagian akhir bab, yang mana ia menandakan kedaifannya.

Sekarang, mari pula kita lihat sanad hadith ini yang menunjukan bahawa terdapat Mu'ammal ibnu Ismail, yang mana majoriti ulama hadith mengatakan bahawa dia adalah periwayat yang lemah, dengan menekankan bahawa beliau seorang yang tidak kuat daya ingatan! Imam Bukhari sendiri mengatakan belliau adalah 'munkar al-hadith', bermaksud hadith yang datang darinya adalah ditolak sama sekali! Terdapat kritikan yang lebih dalam tentang sanad hadith ini, tetapi kita tidak akan membincangkan dengan lebih dalam buat masa ini.

Sekarang kita sudah pun nampak apa masalah sebenar. Mujtahid muda sebenarnya bukanlah seorang mujtahid sama sekali! Dia sekadar membaca satu bab dari Fiqh al-Sunnah dan menerima bulat-bulat dan bertaqlid apa yang dibacanya, tetapi telah merasakan dirinya telah membuat satu ijtihad mantap! Bayangkan berapa banyak lagi kesilapan ilmiah dalam kitab itu, dan kitab ini telah menjadi antara kitab paling popular di kalangan Muslim! Kesalahan yang dikorek dari kitab itu adalah begitu serius. Salah seorang dari guru saya pernah mengatakan bahawa kesalahan fakta dalam kitab Fiqh al-Sunnah itu bukannya kesilapan kecil yang kadang-kala akan dapat kita jumpa dalam tulisan-tulisan para ulama. Tetapi ia adalah bukti kejahilan mutlak pengarangnya, dan ia tidak boleh dimaafkan.

Pada akhirnya nanti, realitinya kamu akan tetap menjadi muqallid, sama ada kamu sedar atau tidak. Untuk mengikut siapa adalah terpulang kepada kamu: sama ada pengarang Fiqh al-Sunnah, atau al-Albani, atau pun salah satu dari mazhab yang empat. Akhir sekali, mempelajari dan mengetahui dalil-dalil bagi hukum-hakam bukannya sesuatu yang salah, tapi ia mesti disesuaikan dengan konteks dan tempatnya.

Sebarang komen boleh dibuat tentang isu ini, tetapi cukuplah bagi saya dengan apa yang telah diutarakan. Berdoalah kepada Allah agar Dia melindungi kita semua dalam payungan rahmat-Nya dan membimbing kita ke arah kebenaran dalam apa jua perkara. Semoga Dia memberikan kekuatan bagi kita untuk melakukan amalan yang dapat menggembirakan-Nya. Dan moga keamanan serta rahmat dicurahkan ke atas Rasulullah sallahu alayhi wasalam, ahli keluarganya, dan para sahabat Baginda. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekian alam.

Ditulis oleh:
Hamba kepada ilmu yang mulia,
Ridhwan ibnu Muhammad Saleem, [bio]
Damascus, Ramadhan 1424 H

Diterjemahkan oleh:
Tawel-Sensei,
hembusan.blogspot.com
30 Rejab 1427 H


Nota Kaki
[1] GCSE adalah singkatan bagi General Certificate of Secondary Education. Ia adalah peperiksaan yang diambil oleh pelajar sekolah berusia 14-16 tahun di Britain, Wales dan Northern Ireland.
[2] Teori relativiti diperkenalkan oleh Albert Einstein.
[3] A-Levels, singkatan Advanced Level adalah salah satu peperiksaan yang digunakan untuk memasuki sesebuah universiti. Kalau di Malaysia, ia setaraf STPM.
[4] Bar examinations adalah peperiksaan bertulis yang wajib dilalui sebelum seseorang itu mendapat lesen untuk menjadi seorang peguam.
[5] "This is the deen, not teen (fig)!!" Teen merujuk kepada pokok tiin. Rujuk Surah at-Tiin. Kata-kata ini mungkin diucapkan oleh guru beliau yang bernama Sheikh Muhammad al-Yaqoubi memandangkan gurunya ini turut fasih berbahasa Inggeris.

---
Bacaan Tambahan
1. "Refutation of those who follow other than the four legal schools" ("radd 'ala man ittaba'a ghayr al madhahib al arba'ah"), by Imam Ibn Rajab al-Hanbali (Arabic)
2. "Non-madhabism: The most dangerous innovation threatening the Islamic Law" ("La madhhabiyyah: akhtar al-bid'ah tohaddidu al-sharee'ah al-islamiyyah"), by Shaykh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti (Head of the dept. of Sharee'ah, University of Damascus) (Arabic)
3. "The legal status of following a madhhab", by Justice Shaykh Taqi 'Uthmani (Chief Qadi of Pakistan ) (English)
4. "The Four Madhhabs", by Shaykh Abdul-Hakeem Murad (English)
5. "Benefits of the sciences of jurisprudence" ("fawaa'id 'uloom al-fiqh"), introduction to "'ilaa ul-sunan", by Shaykh Kayranwi (Arabic)
6. "Meaning of the saying of the Muttalibi Imam: 'If a hadith is authentic, then it is my madhhab'", ("ma'na qawl al-imam al-muttalib: itha sahha al-hadith fa huwa madhhabi"), by Shaykh ul-Islam, Imam Taqi ul-Deen al-Subki (Arabic)
7. "Fatwa Concerning the Obligation of Following Rightly Guided Scholars", by Shaykh Murabit al-Haajj and Shaykh Hamza Yusuf (Arabic/English)

Tuesday, September 11, 2012

Konsep al-Wasatiyyah


Mutakhir ini perkataan al-Wasatiyyah diwar-warkan, menggantikan slogan Islam Hadhari yang ditenggelamkan entah di mana dan tidak diketahui sampai ke mana. Jangan terjebak dengan apa yang disebut oleh ucapan Sayyidina Ali K.W.
كلمة حق أريد بها باطل
(Kata-kata yang benar dijadikan tujuannya kebatilan)

Kebenaran yang mutlak tanpa dipertikaikan ialah kenyataan daripada Allah. Marilah kita berpegang kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud:-
Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang wasatun, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad S.A.W) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: 143)

Dari sini bertolaknya konsep al-Wasatiyyah. Perkataan al-Wasatiyyah (الوسطية) dalam bahasa Arab adalah daripada  perkataan al-Wasat(الوسط)  yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan. Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.

Apabila menafsirkan al-Quran dan menghuraikan hadith daripada perkataan al-Wasat adalah tidak tepat dengan makna zahir bahasanya sahaja, sehingga membawa maksud pertengahan di antara baik dan buruk secara bercampur aduk atau adil dan zalim sama-sama dilakukan, dengan maksud boleh dikumpulkan  benar dan salah, makruf dan munkar, buat baik dan buat maksiat kerana mesej Islam yang bersumberkan al-Quran dan ditafsirkan oleh sunnah Rasulullah S.A.W membawa mesej pelaksanaan kebaikan yang terbaik dengan betul dan istiqamah serta meninggalkan segala kemunkaran dan mencegahnya secara hikmah.

Ramai yang mengambil kesempatan meninggalkan syariat Allah dengan sengaja, berselindung di sebalik menafsirkan al-Wasatiyyah dengan hujjah, kononnya mengikut kehendak semasa, dengan cara tidak istiqamah mengikut perintah Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan bergantung kepada terjemahan dari segi zahir bahasanya sahaja yang bermakna pertengahan di antara baik dan buruk, adil dan zalim, makruf dan munkar dalam keadaan mencampur adukkan kebaikan dan keburukan atau melaksanakan Islam secara terpilih, bukan keseluruhannya kerana mengikut langkah-langkah syaitan atau  beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian lagi, laksana kaum Yahudi yang dimurka Allah (al-maghdub alaihim), atau mengikut kemahuan sendiri laksana penganut ajaran sesat (al-dallin), tanpa usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan mesej umat terpilih dengan menegakkan makruf dan menentang kemunkaran atau tidak bercita-cita melaksanakan Islam sepenuhnya, dibuktikan dengan lebih setengah abad berpeluang mendapat kuasa politik memegang amanah.

Sederhana bukan beramal dengan Islam tanpa kesungguhan atau tidak melampau sehingga menyerah kalah, tanpa perhitungan sempadan nilai yang sebenar daripada hukum Allah dan matlamat kejadian manusia dan fitrahnya mengikut penciptanya sendiri iaitu Allah S.W.T, sehingga  meninggalkan syariat Allah yang asasi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, meninggalkan kewajipan beramal dengan syariat Allah serta tidak sempurna melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar. Allah memberi amaran kapada kaum Bani Israil yang dimurka sehingga hari kiamat, supaya menjadi pengajaran kepada umat Islam.

Firman Allah yang bemrkasud:-
Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.(Surah al-Baqarah: 42)

Apabila Islam keseluruhannya adalah panduan dan petunjuk jalan serta batas sempadan perjalanan kehidupan manusia, jika meninggalkannya atau pelaksanaannya tidak sempurna, menyebabkan berlakunya banyak perkara-perkara yang merosakkan kehidupan manusia dan alam sekelilingnya, maka Islam pula yang dipersalahkan.

Perlu difahami bahawa setiap aspek ajaran Islam yang berkait dengan akidah dengan setiap rukun dan cabangnya, syariat dalam segala urusannya, akhlak dalam segala hubungannya dan sistem pelaksanaannya secara menyeluruh adalah mata rantai yang tidak boleh dipisahkan atau dikurangkan.

Zahir ayat Ummat Wasatiyyah tersebut menegaskan bahawa umat Islam dijadikan contoh di kalangan seluruh manusia dan layak menjadi saksi bagi pihak Rasul terhadap manusia pada hari kiamat kelak, bahawa para Rasul telah menyampaikan petunjuk Allah yang bernama Islam dengan amanah dan sempurna, sehingga mengharungi perjuangan bersama Rasul atau meneruskan perjuangannya yang penuh pengorbanan harta dan jiwa raga, bagi mengislamkan manusia dalam seluruh cara kehidupannya dari dunia dan berwawasan hari akhirat, bukan sekadar wawasan 2020.

Mengikut kaedah ilmu tafasir, al-Quran hendaklah ditafsirkan mengikut keutamaan. Sekiranya ada ayat-ayat al-Quran sendiri yang menafsirkan al-Quran hendaklah didahulukan, kemudian diikuti dengan sunnah Rasulullah S.A.W yang menafsirkan al-Quran, seterusnya diikuti dengan tafsir para ulama sahabat yang menerima secara berdepan dan menyaksikan tafsiran Rasulullah S.A.W secara menghayatinya, kemudian tafsir para ulama salaf dan khalaf (generasi awal dan mutakhir) yang menafsirkan al-Quran mengikut Ulum al- Quran (Ilmu-Ilmu alat bagi memahami al-Quran). Begitulah caranya al-Quran ditafsirkan dengan tepat, mengikut  perintah Allah dan petunjuknya melalui Rasulullah S.A.W supaya diamalkan dengan berdasarkan iman. Kalau tidak maka tafsirnya salah dan berdosa besar  atau menyeleweng sehingga sesat dan menyesatkan. Kalangan ulama yang mengambil pendekatan begitu adalah mengambil contoh golongan ahli kitab yang dimurka Allah (al-Maghdub alaihim dalam surah al-Fatihah) atau ulama jahat.
Firman Allah menunjukkan adanya kalangan ulama seperti ini yang bermaksud :

Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.

Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.

Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim.(Surah al-A’raf: 175-177)

Para ulama tafsir menceritakan ayat-ayat ini berkait dengan ulama yang disuap dengan kesenangan dunia sehingga sanggup memutar belit ayat-ayat Allah.

Al-Quran tidak boleh diseleweng dan dipermainkan kerana tetap dipelihara oleh Allah. Al-Quran itu hendaklah ditafsirkan mengikut ilmu-ilmu yang berkait dengannya  iaitu ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf, balaghah, sastera Arab kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab. Ilmu asbab al-nuzul (sebab-sebab turunnya ayat), nasikh dan mansukh dan juga ilmu riwayat dan dirayat.

Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya.  Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran  dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah  di akhirat.

Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah  masyarakat manusia itu  dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah yang bermaksud:
Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)

Firman Allah yang bermaksud:
 (Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang bangun menegakkan agama Allah kerananya (dengan ikhlas), supaya menjadi para saksi dengan adil, dan janganlah dengan sebab kamu bermusuh terhadap sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil Berlaku adillah, kerana lebih hampir kepada sifat taqwa dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha teliti pengetahuannya terhadap apa-apa yang kamu lakukan). (Surah al-Maidah: 8)

Rasulullah S.A.W memulakan pembangunan insan generasi awal yang pertama menjadi contoh Ummatan Wasatan dengan menegakkan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, bersumberkan ilmu daripada Allah. Apabila ditawarkan melalui Abu Talib yang paling disegani menjadi Raja atau Ketua dengan harta kekayaan dikumpulkan untuknya, tawaran yang mahal ini ditolak dengan tegas, sabdanya :
(Wahai bapa saudara kesayanganku, sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati kerananya nescaya aku tidak meninggalkannya). (Sejarah Ibn Kathir)

Al-wasatiyyah dalam agama dan sistem cara hidup

Kedatangan Rasulullah S.A.W membawa Islam agama Allah adalah kesinambungan risalah para Rasul sebelumnya, setelah ajaran Rasul terdahulu dipesong menjadi sesat. Dua agama samawi, Yahudi dan Kristian yang terserlah sudah dipinda dan diubah oleh para pendeta dan paderi yang bersekongkol dengan kerajaan yang zalim di zaman masing-masing, sehingga berlaku penindasan agama terhadap masyarakat  dengan mengadakan hukum yang tidak diizin oleh Allah.

Agama yang tidak samawi pula lebih sesat, sehingga menjadikan manusia memuja makhluk seperti batu dan binatang yang tidak berakal, serta menyanjung para sami seperti Tuhan. Islam berada ditengah-tengah penyelewengan agama, membawa Aqidah Tauhid mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup, menentang penyelewengan agama samawi dan tidak samawi. Menentang agama yang menjadikan manusia seperti malaikat dan meletakkan manusia seperti binatang dan lebih rendah daripada binatang  dan makhluk yang lain.

Berdasarkan firman Allah yang bermaksud :
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.(Surah al-Israk: 70)

Islam meletakkan manusia mengikut konsep Wasatiyyah, ada ruh  berhubung dengan Tuhan tidak seperti malaikat, ada jasad dan hawa nafsu tidak seperti binatang dan boleh bergerak tidak seperti batu dan kayu.

Islam juga tidak melampau seperti Kristian yang memuja Rasul sehingga diletakkan setaraf ketuhanan dan tidak seperti Yahudi yang menolak Rasul dengan keras sehingga membunuhnya dan meminda ajarannya mengikut hawa nafsu.

Maka Islam adalah wasatiyyah di kalangan agama, kerana meletakkan manusia mengikut fitrahnya dengan tepat dan terbaik mengikut ketentuan Allah, sekiranya manusia itu berpegang dengan Islam dan beramal sepenuhnya dalam cara beragama, bukan dengan makna agama secara sekularisme.

Dalam aspek politik, wujudnya pemerintahan diktatur (kuku besi) yang memberi kuasa mutlak kepada seseorang atau kumpulan. Kemudiannya lahir amalan teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada ahli agama, dan demokrasi Barat yang dikatakan hak kepada rakyat secara mutlak. Maka Islam berbeza dengan semua teori tersebut dengan menyerlahkan wasatiyyah menentang diktatur dan teokrasi serta menentang penipuan terhadap rakyat di atas nama hak rakyat tanpa mengira jahil dan terdesak,  dengan  menyatakan batas sempadan ketaatan kepada pemimpin dan para ulama dan hak rakyat dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada sesiapa.

Meletakkan batas sempadan perkara-perkara  kemampuan manusia dan di luar kemampuan manusia. Islam menegaskan syarat iman, ilmu dan akhlak mengikut perhitungan agama yang adanya muhasabah halal dan haram, serta dosa dan pahala dalam amalan politik, bukan sahaja dalam perkara ibadat, kerana Islam tidak memisahkan politik daripada agama. Menerima apa yang baik dan bijaksana walaupun datang daripada mana tanpa mengira timur dan barat, dan menolak yang buruk dan jahat walaupun dilahirkan di bumi Makkah.

Dalam aspek ekonomi pula Islam menentang teori kapitalisme yang membebaskan hak individu sehingga mengorbankan hak masyarakat dan menentang komunisme dan sosialisme yang merampas hak individu di atas nama keadilan terhadap masyarakat, dan semua teori tersebut berteraskan kebendaan samada memisahkan kewajipan agama dalam ekonomi atau menafikan adanya peranan agama dalam kehidupan manusia.

Islam mengizinkan miliki harta dan mengurusnya, tetapi wajib menunaikan kewajipan 
bermasyarakat dengan zakat dan lain-lain.

Firman Allah bermaksud :
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.(Surah az-Zariyat: 19)

Islam juga memerintahkan supaya membelanjakan harta secara sederhana, tidak boros dan tidak bakhil. Firman Allah bermaksud :
Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya (boros) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.(Surah al-Israk: 29)

Dalam kehidupan berkeluarga Islam tidak seperti agama yang mengharamkan paderi dan saminya  berkahwin seperti malaikat dan ajaran yang membebaskan pergaulan seperti binatang, kerana kedua-duanya bertentangan dengan fitrah manusia. Maka Islam menetapkan hukum berkeluarga bermula daripada pertunangan, sehinggalah perkahwinan, nafkah dan perceraian.

Islam juga menetapkan ajaran yang berkait dengan adab pergaulan dalam keluarga dan masyarakat yang luas, daripada hukum berpakaian sehingga hukum bergaul dan bermuamalat, bagi menjaga akhlak manusia dan keharmonian kehidupan mereka.

Bagi menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah dan harta yang menjadi rukun kehidupan manusia maka Allah mewajibkan undang-undang jenayah, qisas dan hudud secara nas dalam hanya beberapa perkara yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia yang tetap bersifat makhluk yang lemah. Bagi perkara-perkara yang boleh dicapai dengan ilmu dan pengalaman, maka Islam mengizinkan kebijaksanaan akal dan pengalaman dengan panduannya.

Islam juga berkonsepkan al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa, perdamaian adalah konsep pertama yang wajib didahulukan, dalam masa yang sama mengakui bahawa adanya peperangan yang menjadi fitrah manusia, kerana adanya perbezaan yang membawa pergeseran dan wujudnya manusia yang menjadi pengikut syaitan yang wajib ditentang dengan cara peperangan apabila diceroboh dengan zalim, tetapi diharamkan melampau menggunakan senjata, ketika berperang dan selepasnya walaupun mencapai kemenangan.

Firman Allah bermaksud :
Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.(Surah al-Baqarah: 190)

Islam mendahulukan perdamaian

Firman Allah bermaksud :
Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

Dan jika mereka bermaksud menipumu, Maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin.(Surah al-Anfal: 61-62)

Al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa bermakna wajib berlaku adil di masa damai dan perang, tidak menyerah kalah terhadap kezaliman dan tidak melampau apabila bertindak.

Al-Wasatiyyah mengikut al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W menjadi ikutan adalah tetap, teguh dan istiqamah, bukan slogan politik sementara seperti Islam hadari, bersih cekap dan amanah, kepimpinan melalui teladan, yang pelaksanaannya tidak cukup dan tidak berpijak di bumi nyata, tenggelam dalam gejala keruntuhan yang tidak mampu dibaiki dengan islah kerana prinsip yang salah dan konsep yang tempang dan didatangi masalah baru yang bertalu-talu.

Makna wasatiyyah bukan melaksanakan Islam tidak sempurna atau secara terpilih  atau campur aduk. Bukan sekadar mendirikan masjid tanpa sempurna mendirikan sembahyang, mengadakan Bank Islam tanpa kuasa mencegah kemunkaran riba, mengadakan musabaqah sekadar mendengar suara tanpa menjadikan petunjuk dalam amalan dan akhlak, kehilangan harta dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan salah urus lebih besar daripada bantuan kepada yang berhak dan kesimpulannya menegakkan kebaikan yang tidak sempurna  membiakkan kemunkaran yang meningkat. Maka tidak layak bersifat al- Wasatiyyah untuk menunjukkan model Islam dan tidak layak menjadi saksi di dunia dan akhirat.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
Dipetik dari Harakahdaily 

Thursday, July 26, 2012

Air Oh Air


Sebelum ini pelbagai pihak menuduh Kerajaan Kelantan gagal menguruskan air dengan baik menyebabkan ramai rakyat Kelantan tidak dapat menikmati air bersih. Bahkan selalu juga dibuat lawak “Air teh atau air Kelantan ni?”

Ada pihak yang mengunakan atas nama NGO seperti MTRK, PERKASA dan TUKAR ganti apa entah telah membuat demonstrasi di hadapan Komplek Kota Darul Naim yang antaranya menuntut Kerajaan Kelantan menyelesaikan isu air yang dikatakan sedang meruncing.

Maka timbulah Menteri yang mendakwa bahawa sejumlah peruntukan telah diberikan kepada Kelantan untuk menyelesaikan isu air ini secara percuma. Padahal kenyataan tersebut suatu pembohongan kerana wang tersebut merupakan pinjaman dan disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) iaitu pentadbiran haram di Kelantan. Malah kontraktor-kontraktor yang menjalankan kerja-kerja membaik pulih air di Kelantan juga adalah dilantik oleh pihak JPP. Tetapi bila terdesak, Kerajaan Negeri Kelantan yang dituduh bertanggungjawab.

Namun begitulah, kadang-kadang kita lupa bahawa akan tiba masanya Allah hendak tunjukkan kebenarannya. Sekarang ini, air di Selangor yang meruncing pula. SYABAS adalah badan yang bertanggungjawab menyelenggara air di Selangor adalah dibawah seliaan Kerajaan Pusat dan bukannya Kerajaan Selangor. Kalau rasa hebat sangat, kenapa Kerajaan Pusat tidak juga dapat selesaikan isu bekaan air Selangor?? Kenapa hendak letakkan kesalahan tersebut keatas Kerajaan Selangor?

Kerajaan Pusat menyalahkan Kerajaan Selangor yang kononnya tidak memberikan kerjasama dalam menangani isu air. Namun permintaan Kerajaan Selangor untuk turut serta dalam pentadbiran SYABAS ditolak Kerajaan Pusat. Siapa sebenarnya yang bersalah?
Tapi yang pasti, SYABAS adalah bawah pentadbiran Kerajaan Pusat dan bukan Kerajaan Selangor seperti Air Kelantan. So, kalau rasa hebat buat jer la! Jangan dok berdolak dalih pulak!!!    

Semasa pertemuan dengan Majis Professor Negara pun isu ini turut dibangkitkan. Jawapan saya kepada mereka adaah, memang Kelantan mengalami masalah air tapi ianya tidaklah sebagaimana yang digembar gemburkan oleh media kerana negeri-negeri lain bawah pentadbiran UMNO pun turut mengalami masalah air.  

Tuesday, July 10, 2012

Ketidakadilan Buat Kelantan


Entah masyarakat sedar atau tidak terutamanya UMNO dan para penyokongnya tentang isu ketidakadilan terhadap rakyat dan Kerajaan Kelantan? Pelbagai usaha dan kenyataan ditujukan kepada Kelantan yang bertujuan untuk memburukkan nama Kelantan disebabkan oleh semata-mata perbezaan ideology antara Kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS dengan Kerajaan Pusat yang ditadbir oleh BN. Tindakan ini bukanlah sesautu yang baru, malah ianya bermula sejak PAS mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1990.

Pada 30 Januari 2008 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir membuat pengakuan dihadapan lebih 30 orang pengamal media dengan mengaku telah dipaksa oleh pemimpin-pemimpin UMNO supaya menyekat sebarang bentuk bantuan oleh Kerajaan Pusat kepada Negeri Kelantan. Tun berkata, “… bukan sahaja Mustapha (Mohamed) tetapi pemimpin-pemimpin UMNO lain pun mintak sekat”. Pengakuan ini dibuat ketika mengulas pengakuan Dato’ Mustapha Mohamed yang ketika itu Menteri Pelajaran Tinggi dan ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas di dalam Dewan Negeri Kelantan. Video pengakuan Tok Pa itu boleh dilihat oleh sesiapa sahaja di youtube dan ia bukanlah satu fitnah yang cuba dibuat-buat.

Sejak itu jugalah Kerajaan Pusat telah mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan yang bertindak sebagai kerajaan haram mentadbir Kelantan. Segala peruntukan dan projek yang seharusnya diberikan kepada Kerajaan Kelantan telah disalurkan kepada JPP. Selama ini kerajaan meminta pembangkang menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat dalam memilih kerajaan. Namun dengan tindakan melantik JPP sebagai kerajaan kedua mentadbir Kelantan adalah sebagai bukti bahawa Kerajaan Pusat sendiri tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

Adakah adil apabila PM sendiri mengumumkan bahawa Negeri Kelantan adalah yang paling miskin pada 17/02/2012 sewaktu mengadakan lawatan ke Lahad Datu, Sabah. Sedangkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Pusat sendiri menyatakan sebaliknya. Adakah kenyataan sebegitu berdasarkan fakta atau ianya merupakan sebuah dendam yang membara dalam hati seorang PM apabila melihat Negeri Kelantan ditadbir oleh PAS dan bukan BN?

Rata-rata menteri dan pihak Kerajaan Pusat asyik berkata bahawa Negeri Kelantan miskin dan mundur. Sedarkah mereka bahawa jika benar demikian, ianya adalah disebabkan peruntukan yang sepatutnya diterima Kelantan telah dinafikan. Seperti tuntutan royalti minyak yang sepatutnya diberikan kepada Kelantan.

Semua negeri-negeri lain yang mempunyai hasil minyak diberikan royalti oleh Kerajaan Pusat. Namun begitu, Negeri Kelantan telah dinafikan hak tersebut. Malah Kerajaan Pusat berdolak dalih bahawa Kelantan hanya diberikan wang ehsan sahaja, itupun disalurkan melalui JPP dan bukan terus kepada Kerajaan Negeri.

Saya tidak pasti sama ada tindakan Kerajaan Pusat tersebut boleh dianggap adil. Tapi yang saya yakin bahawa penafian hak tersebut merupakan satu kezaliman yang jelas Kerajaan Pusat keatas rakyat Negeri Kelantan.

Ingatlah satu firman Allah SWT:
     
Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan. (al-Maidah : 8)