hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, July 10, 2012

Ketidakadilan Buat Kelantan


Entah masyarakat sedar atau tidak terutamanya UMNO dan para penyokongnya tentang isu ketidakadilan terhadap rakyat dan Kerajaan Kelantan? Pelbagai usaha dan kenyataan ditujukan kepada Kelantan yang bertujuan untuk memburukkan nama Kelantan disebabkan oleh semata-mata perbezaan ideology antara Kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS dengan Kerajaan Pusat yang ditadbir oleh BN. Tindakan ini bukanlah sesautu yang baru, malah ianya bermula sejak PAS mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1990.

Pada 30 Januari 2008 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir membuat pengakuan dihadapan lebih 30 orang pengamal media dengan mengaku telah dipaksa oleh pemimpin-pemimpin UMNO supaya menyekat sebarang bentuk bantuan oleh Kerajaan Pusat kepada Negeri Kelantan. Tun berkata, “… bukan sahaja Mustapha (Mohamed) tetapi pemimpin-pemimpin UMNO lain pun mintak sekat”. Pengakuan ini dibuat ketika mengulas pengakuan Dato’ Mustapha Mohamed yang ketika itu Menteri Pelajaran Tinggi dan ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas di dalam Dewan Negeri Kelantan. Video pengakuan Tok Pa itu boleh dilihat oleh sesiapa sahaja di youtube dan ia bukanlah satu fitnah yang cuba dibuat-buat.

Sejak itu jugalah Kerajaan Pusat telah mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan yang bertindak sebagai kerajaan haram mentadbir Kelantan. Segala peruntukan dan projek yang seharusnya diberikan kepada Kerajaan Kelantan telah disalurkan kepada JPP. Selama ini kerajaan meminta pembangkang menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat dalam memilih kerajaan. Namun dengan tindakan melantik JPP sebagai kerajaan kedua mentadbir Kelantan adalah sebagai bukti bahawa Kerajaan Pusat sendiri tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

Adakah adil apabila PM sendiri mengumumkan bahawa Negeri Kelantan adalah yang paling miskin pada 17/02/2012 sewaktu mengadakan lawatan ke Lahad Datu, Sabah. Sedangkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Pusat sendiri menyatakan sebaliknya. Adakah kenyataan sebegitu berdasarkan fakta atau ianya merupakan sebuah dendam yang membara dalam hati seorang PM apabila melihat Negeri Kelantan ditadbir oleh PAS dan bukan BN?

Rata-rata menteri dan pihak Kerajaan Pusat asyik berkata bahawa Negeri Kelantan miskin dan mundur. Sedarkah mereka bahawa jika benar demikian, ianya adalah disebabkan peruntukan yang sepatutnya diterima Kelantan telah dinafikan. Seperti tuntutan royalti minyak yang sepatutnya diberikan kepada Kelantan.

Semua negeri-negeri lain yang mempunyai hasil minyak diberikan royalti oleh Kerajaan Pusat. Namun begitu, Negeri Kelantan telah dinafikan hak tersebut. Malah Kerajaan Pusat berdolak dalih bahawa Kelantan hanya diberikan wang ehsan sahaja, itupun disalurkan melalui JPP dan bukan terus kepada Kerajaan Negeri.

Saya tidak pasti sama ada tindakan Kerajaan Pusat tersebut boleh dianggap adil. Tapi yang saya yakin bahawa penafian hak tersebut merupakan satu kezaliman yang jelas Kerajaan Pusat keatas rakyat Negeri Kelantan.

Ingatlah satu firman Allah SWT:
     
Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan. (al-Maidah : 8)






1 comment:

En Crab said...

fikir ..fikirkan lah .