hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, June 19, 2012

S 114A Akta Keterangan Bertentangan Dengan Natural Justice


Pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 1950 dengan memasukkan seksyen 114A merupakan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip Natural Justice yang diakui dan diamalkan di seluruh dunia. Seksyen tersebut menjadi bebanan yang besar terhadap pengguna internet.

Sebelum ini beban pembuktian (burden of proof) terhadap sesuatu tuduhan adalah terletak keatas pihak pendakwaan. Ianya selari dengan prinsip Natural Justice iaitu "In criminal cases, as every man is presumed to be innocent until the contrary is proved, the burden of proof rests on the prosecutor."

Atau dalam bahasa mudahnya ialah, dalam kes jenayah seseorang itu adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Dan beban pembuktian adalah terletak di atas bahu pihak pendakwaan.

Malah dalam Islam sendiri telah menggariskan satu kaedah feqah sebagai panduan yang jelas mengenai beban pembuktian berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

البينة على المدعى واليمين على من أنكر
Mengemukakan keterangan adalah menjadi kewajipan yang mendakwa dan bersumpah adalah menjadi tanggungjawab yang mengingkarinya. (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad yang sahih)

Mengikut Prof. Dr Abd Karim Zaidan di dalam kitabnya نظام القضاء في الشريعة الإسلامية  bahwa: jika yang kena dakwa itu membantah atau menafikan apa yang didakwa oleh pendakwa itu maka barulah hakim meminta orang yang mendakwa mengemukakan keterangannya bagi membuktikan apa yang didakwanya itu.

Maka disini adalah jelas sekali dalam Islam menetapkan bahawa pihak yang mendakwa berkewajipan untuk mengemukakan keterangan ataupun bukti bagi membuktikan dakwaan mereka. Selepas bukti atau keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwaan, barulah hakim akan meminta keterangan atau sumpah daripada orang yang kena dakwa.

Namun pindaan dengan memasukkan seksyen 114A Akta Keterangan tersebut adalah menjadi sebaliknya yang meletakkan beban pembuktian keatas orang yang kena dakwa untuk membuktikan bahawa bukan dia yang melakukan kesalahan tersebut.

Memang tidak dinafikan bahawa pihak berkuasa menghadapi kesukaran untuk menangkap dan mendakwa pesalah siber ini di Mahkamah. Namun kesukaran tersebut bukanlah sesuatu yang boleh menjustifikasikan tindakan kaedah natural justice. Sekiranya pihak berkuasa sedar keadaan begini, maka mereka seharusnya meningkatkan lagi peralatan, melantik pakar-pakar professional dalam bidang tersebut bagi membolehkan tangkapan dan pendakwaan dibuat terhadap pesalah siber.

Saya yakin dan percaya, pindaan ini akan membuatkan ramai orang yang tidak bersalah dan tidak tahu apa-apa akan ditangkap dan dituduh dibawah seksyen ini. Tentunya akan menjadi kesukaran kepada tertuduh untuk membuat pembelaan kerana beban pembuktian adalah terletak ke atas mereka.  Sedangkan satu hadis nabi dari Ibn Abbas r.a bahawa Rasulullah saw telah bersabda:

لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لاَدَّعَى قَوْمٌ دِمَاءَ قَوْمٍ وَأَمْوَالَهُمْ وَلَكِنَّ الْيَمِيْنَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ. (رواه البخارى ومسلم)
Kalau diberi kepada manusia berdasarkan dakwaan mereka semata-mata, maka akan mendakwalah sesuatu kaum akan darah dan harta kaum yang lain, akan tetapi sumpah adalah diwajibkan ke atas yang kena dakwa.

Pindaan ini mungkin akan memudahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah siber namun ia akan menyababkan ketidakadilan berlaku dan menganiaya orang yang tidak bersalah. 

No comments: