hasbunallah

hasbunallah

Thursday, July 16, 2009

Terbayar Sudah Sebuah Kepenatan


Alhamdulillah, tiadalah sebaik-baik kata yang patut diucap bagi menggambarkan sebuah rasa kesyukuran diatas anugerah Allah yang berupa sebuah kemenangan. Jika hendak diukur betapa penatnya saya sepanjang tempoh pilihan raya kecil (PRK) N.41 Manek Urai itu, tiada suatu alat atau sukatan yang boleh mengukurnya. Ada ketikanya saya terpaksa bertolak dari bandar Kota Bharu jam 6.00 petang selepas pulang kerja ke Manek Urai yang jaraknya hampir 100 km. Manakala saya akan bertolak balik ke Kota Bharu jam 1 atau 2 pagi kerana ada kes mahkamah yang perlu dikendalikan.

Ada ketikanya juga saya perlu bermalam di sana bagi menyiapkan kerja-kerja penting yang telah dipertanggungjawabkan parti kepada Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan bagi memastikan perjalanan dan proses PRK tersebut berjalan lancar mengikut lunas undang-undang. Apatah lagi saya telah dilantik sebagai setiausaha jentera PRK Juham.

Namun begitu, sahabat-sahabat Juham yang banyak memberikan kerjasama dan bantuan terutamanya my boss, En. Nik Bahrum yang memahami serta memberikan peluang. Serta isteri saya yang amat penyabar dan memahami tugas dan tanggungjawab agama yang perlu saya tunaikan. Saya amat bersyukur dikurnaikan seorang isteri yang amat memahami perjuangan saya.

Banyak pengalaman yang dapat dikongsikan bersama namun mungkin saya tidak dapat gambarkan kesemuanya di sini kerana saya buntu macam mana untuk ceritakan kepada semua pembaca.

Antaranya ialah berurusan dengan pihak polis mengenai permit ceramah apabila pihak pemantau pilihan raya serta pegawai polis tidak membenarkan YB Dato Sri Nizar Jamaluddin untuk memberikan ceramah di UPU Manek Urai Lama serta berurusan dengan pihak polis yang telah membatalkan permit konvoi bermotor anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan.

Saya telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan menyelia UPU Temalir. Sepanjang tempoh pilihan raya, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku di upu tersebut tidak seperti di upu lain.

Syukur saya ucapkan, namun begitu Pas perlu mengadakan bedah siasat mencari punca kemerosotan undi terutamanya di saluran orang muda. Padahal sebelum ini saluran pengundi muda yang memberikan undi terbanyak berbanding dengan saluran orang tua. Punca tersebut perlu diteliti segera agar ianya tidak berulang lagi dalam pilihan raya yang akan datang.



No comments: