hasbunallah

hasbunallah

Monday, March 14, 2011

Fahami akta sebelum bincang isu Islam


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my
2011/03/14

Usah jadikan alasan Bible tulisan Melayu sebagai usaha untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan

PERKARA 11 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada setiap rakyat menganut dan mengamalkan ajaran agamanya tetapi Perkara 11 juga memberi sekatan kepada pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan penganut Islam.

Ini disebabkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan istimewa agama Islam berbanding agama lain di Malaysia. Hal itu diakui penghakiman mahkamah seperti dalam kes Meor Atiqurrahman dan Lina Joy.

Perkara 11(4) Perlembagaan menyatakan undang-undang boleh digubal badan perundangan negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan untuk mengawal penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.

Setakat ini, empat negeri masih belum menggubal undang-undang mengawal pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam itu mewujudkan kesalahan yang boleh dilaksanakan di Mahkamah Sivil dan menyatakan dengan terperinci kalimah serta frasa yang tidak boleh digunakan bukan Islam bagi merujuk agama mereka.

Ramai cuba berhujah berkaitan undang-undang ini walaupun mereka sendiri tidak pernah membaca undang-undang itu. Undang-undang ini bukan menghalang orang bukan Islam menyebut kalimah dan frasa mempunyai asal agama Islam tetapi menjadi kesalahan jika kalimah dan frasa itu dirujuk untuk agama bukan Islam.

Umpamanya kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat jika dirujuk kepada agama Islam tidak menjadi kesalahan bagi bukan Islam mengucapkannya. Ia hanya menjadi kesalahan jika kalimah itu dirujuk kepada agama bukan Islam seperti Allah sebagai tuhan penganut Kristian, Baitullah sebagai gereja orang Kristian ataupun solat sebagai upacara sembahyang penganut Kristian.

Selain kalimah dan frasa, undang-undang itu melarang penerbitan bahan agama bukan Islam diberikan kepada orang Islam.

Timbul kembali isu mengenai Bible berbahasa Melayu yang dirampas pihak berkuasa. Bible berbahasa Melayu ini sarat dengan perkataan dan frasa yang dilarang dirujuk bagi agama bukan Islam.

Undang-undang menghalang penggunaan perkataan dan frasa itu pula masih lagi berkuat kuasa dan tidak dimansuhkan di sesetengah negeri. Oleh itu, tindakan pihak berkuasa merampas Bible mengandungi perkataan terlarang itu sejajar undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam.

Hak mengembangkan agama bukan Islam melalui Bible berbahasa Melayu ini sebenarnya tertakluk kepada peruntukan Perkara 11(4). Ia tidak boleh diberikan, dijual atau dicetak untuk orang Islam. Sekiranya Perlembagaan ini dapat diikuti dan perkataan terlarang itu dikeluarkan mungkin ia boleh dibenarkan.

Mungkin sudah menjadi aliran sekarang ini agama lain langsung tidak boleh disentuh tetapi apabila berkaitan dengan agama Islam semua mahu menjadi mufti mengeluarkan fatwa termasuklah orang bukan Islam.

Ada kalangan bukan Islam melabelkan sesetengah orang itu lebih fakih Islamnya berbanding orang lain semata-mata kerana orang itu mengeluarkan pandangan agak liberal. Tanpa segan silu mereka mempersoalkan isu Islam tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam termasuklah mufti yang mengeluarkan fatwa.

Dalam kalangan orang Islam juga ada yang terlalu takjub dengan logika akal dalam isu Bible berbahasa Melayu ini dalam erti kata mendaulatkan bahasa kebangsaan. Persoalannya apakah dalam isu Bible ini saja kita mahu mendaulatkan bahasa kebangsaan tetapi tidak dalam aspek lain seperti pendidikan, penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah dan dokumentasi perundangan?

Mengapa tidak pula mereka memimpin isu ini? Kenapa hanya dalam isu Bible berbahasa Melayu saja mahu ditegakkan penggunaan bahasa Melayu?

Bagi saya, isu agama Islam hendaklah diletakkan kepada pakar agama Islam. Saya sendiri agak kekok untuk mengeluarkan hukum kerana saya bukan graduan lulusan agama. Undang-undang kawalan agama adalah hasil dari permesyuaratan ahli agama.
Ia bukanlah suatu yang dipolitikkan seperti sering ditohmah. Masyarakat kini terlalu mudah menuduh sesuatu perkara itu dipolitikkan pihak kerajaan sedangkan ia tidak benar, dalam hakikat sebenar orang yang menuduh itulah yang mempolitikkan isu agama ini.

Saya menyarankan supaya sebelum isu enakmen kawalan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam atau Bible berbahasa Melayu diperkatakan, bacalah dulu undang-undang berkenaan.

Tidak cukup dengan undang-undang itu, bacalah juga hansard (perbahasan di Parlimen/ dewan undangan negeri) ketika undang-undang itu digubal bagi mengetahui undang-undang dan falsafahnya. Membuat sanggahan atau komentar terhadap sesuatu undang-undang yang seseorang itu sendiri tidak pernah membacanya adalah amat memalukan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi: zainul.rijal@abubakar.my

2 comments:

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

Isu ini perlu ditangani dengan teliti dan jangan dilihat dari sudut politik semata-mata. Ini adalah kerana masyarakat Islam di Malaysia kini agak jauh dari pengamalan Islam yang sebenar. Sekiranya Injil berbahasa Melayu ini dibenar untuk diedarkan, ditakuti akan menggoyahkan lagi keimanan mereka yang telah goyah. Sedang khat yang memetik ayat Injil pun mereka tidak dapat bezakan dengan khat ayat al-Quran, inikan pula isi kandungan Injil Melayu tersebut boleh diselewengkan oleh pihak-pihak yang berniat jahat!

Malaysiakini said...

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid berkata 5,000 naskah kitab Injil berbahasa Melayu akan dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah di dalam kitab suci Kristian itu, lapor Tv Selangor.
Tamyes sekali gus mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa tindakan kerajaan memansuhkan penahanan naskah Kitab Injil berbahasa Melayu tidak sah di sisi undang-undang syariah di Selangor.

Mufti Selangor itu berkata kebimbangan utama pihaknya terhadap arahan kerajaan pusat menarik balik penahanan itu adalah kesannya ke atas generasi muda umat Islam.
"Saya tetap berpandangan bahawa memang sewajarnya (pengedaran kitab Injil itu) dihalang, kerana terjemahannya mengandungi kalimah God yang diterjemahkan kepada Allah (dan) ini adalah bahaya dan mengelirukan kepada anak-anak muda khususnya," katanya kepada Tv Selangor.

Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang syariah yang menghalang penggunaan kalimah “Allah” sama ada secara lisan ataupun bertulis.
Selain 5,000 naskah di Pelabuhan Kelang, penahanan 30,000 naskah Kitab Injil yang sama di Kuching turut ditarik balik, mengikut pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala petang Selasa lalu.

Kenyataan bercanggah
Kenyataan Nazri dan Tamyes bersabit pengedaran Kitab Injil itu dijangka menambah kemelut susulan kenyataan-kenyataan yang bercanggah oleh Kementerian Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersabit isu itu.

Tamyes sendiri melahirkan rasa kesal kerana tidak ada penyelarasan dalam menangani isu kitab-kitab Injil berbahasa Melayu yang diimport dari Indonesia itu.

"Sepatutnya kita ni kalau nak buat keputusan biarlah ada persepakatan, kenapa pula seorang mengatakan boleh seorang mengatakan tidak," katanya.

Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengeluarkan kenyataan mendakwa pihaknya menunggu keputusan Peguam Negara sama ada penahanan 35,000 Kitab Injil di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang boleh ditarik balik.

Menurut Hishamuddin, keputusan itu berkait dengan kes penggunaan kalimah Allah yang masih belum dibicarakan di Mahkamah Rayuan yang berlarutan sejak 2010.

Namun pada pagi Selasa, Muhyiddin berkata isu itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet esok. Katanya, Menteri harus membincangkan perkara itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Syarat KDN satu penghinaan
Ironinya, sebelah petang hari sama Idris Jala mengumumkan kesemua 35,000 naskah yang ditahan di Pelabuhan Kelang (sejak 2009) dan Pelabuhan Kuching (sejak Januari 2011) akan dibenarkan masuk ke negara ini.

Bagaimanapun KDN meletakkan dua syarat iaitu setiap naskah kitab suci itu harus mempunyai nombor bersiri dan cop "Hanya Untuk Penganut Kristian" sebelum dibenarkan pengedaran dan mesti bersertakan nombor siri.
Syarat itu, bagaimanapun ditolak oleh pihak gereja di Sarawak yang melihatnya sebagai satu penghinaan terhadap kesucian agama Kristian dan kekangan terhadap kerja-kerja dakwah yang dijalankan oleh gerakan mubaligh.

Paderi Goodnews Church, Jefferey Wei ketika dihubungi Tv Selangor menegaskan penganut Kristian tidak dapat menerima perkara yang merendahkan martabat kitab suci mereka.
“Saya rasa jika kita letak nombor siri dan cop atas Kitab Injil ini, kita seperti mencemarkan kitab suci kami dan menghina kedudukannya. Ia menjadikan seolah-olah seseorang yang memiliki kitab ini melakukan satu jenayah. Tiada penganut Kristian akan menerima perkara ini,” katanya.