hasbunallah

hasbunallah

Thursday, May 7, 2009

Undang-undang wajib zakat perlu kajian teliti

Sejak Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam, pelbagai pembaharuan cuba dilakukan atas dasar cuba memantapkan Islam. Antara pembaharuan yang cuba dilakukan ialah cadangan memperkenalkan undang-undang dan menguatkuasakan pembayaran zakat keatas umat Islam.

Pada pendapat saya, cadangan tersebut amat bagi kerana terlalu ramai masyarakat Islam tidak menunaikan tanggungjawab yang menjadi kefarduan itu. Apa salah sekiranya umat Islam dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan tetapi diwajibkan untuk membayar zakat. Kutipan tersebut pula boleh diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerja sama majlis agama masing-masing atau pusat kutipan zakat.

Saya percaya, umat Islam mengetahui tentang kewajipan berzakat. Namun kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab tersebut terlalu rendah dikalangan masyarakat. Sekiranya kita melihat kembali sejarah khalifah yang lalu, Saiyidina Abu Bakar telah mengeluarkan fatwa mengisytiharkan perang ke atas golongan yang enggan mengeluarkan zakat. Ini jelas menunjukkan betapa beratnya hukuman bagi orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat.
Cuma, perlaksanaan tersebut memerlukan kajian yang menyeluruh terutamanya makenisma-makenisma yang boleh membantu melicinkan lagi pengkuatkuasaan undang-undang ini.




Monday, May 4, 2009

Kemana Hilangnya Ulama’ Kita?


Saya terpanggil untuk turut saya berkongsi pandangan mengenai keputusan Kabinet baru-baru ini mengenai status anak-anak yang berumur bawah 18 tahun apabila salah seorang daripada ibu bapa mereka memeluk Islam. Para ahli kabinet telah bersetuju untuk menetapkan bahawa agama bagi anak-anak yang dibawah umur 18 tahun apabila salah seorang dari ibu bapanya memeluk Islam ialah kekal sebagaimana agama asal sewaktu kedua ibu bapanya berkahwin. Ramai diantara menteri dan ahli Kabinet yang membuat ketetapan tersebut terdiri dari kalangan mereka yang mengaku beragama Islam.

Keputusan itu menimbulkan reaksi dari pelbagai pihak sama ada yang menyokong dan tidak pula yang membangkang termasuklah
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Peguam Pembela Islam (Pembela). PGSM dan Pembela melihat keputusan Kabinet itu seolah-olah telah membelakangi Perlembagaan Malaysia sendiri. Malah mereka mendakwa bahawa Kabinet tidak pernah merujuk atau mendapatkkan pandangan ulama’, mufti atau pakar perundangan Islam sebelum mereka membuat keputusan tersebut. Sebaliknya Kabinet telah mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan serta NGO-NGO bukan Islam untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai perkara tersebut.

Dalam akhbar Berita Minggu semalam (03/05/2009) dipaparkan pendapat dua tokoh yang mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara ini.
Prof. Madya Dr. Ibrahim Abu Bakar, pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyokong keputusan Kabinet tersebut dan berpendapat ianya tidak bertentangan dengan syara’. Manakala Datuk Nooh Gadut, Penasihat Majlis Agama Islam Johor pula berpendapat bahawa ketetapan Kabinet tersebut perlu disemak semula kerana ianya jelas bercanggah dengan hukum Islam.

Perkara ini seolah-olah tidak begitu mendapat perhatian para ilmuan Islam. Tidak seperti
isu setiausaha DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming yang membacakan ayat al-Quran sewaktu menyampaikan ceramah beliau. Akibatnya pelbagai pihak dan individu tampil memberikan pandangan dan pendapat termasuklah para mufti dan ulama yang mengecam tindakan Adun tersebut yang dilihat seolah-olah cuba untuk mempermain-mainkan Islam.

Pada pendapat saya tindakan Nga tersebut yang membacakan ayat al-Quran semasa ceramah beliau adalah terlalu kecil kesannya jika hendak dibandingkan keputusan Kabinet ini yang akan menjadi ketetapan untuk mana-mana pihak membuat keputusan termasuklah Mahkamah.

Saya bukanlah orang yang layak untuk memberikan pandangan mengenai perkara ini, tetapi sekurang-kurangnya Majlis Mufti turut memberikan kenyataan dan penjelasan mengenai perkara ini. Sekiranya keputusan Kabinet tersebut bertepatan dengan syara’, maka perjelaskan dasar-dasarnya. Manakala sekiranya keputusan Kabinet tersebut bercanggah dengan syara’, maka perjelaskan juga asas-asas percanggahannya. Ini bagi merungkaikan kekeliruan yang ada dalam masyarakat terutamanya para Menteri Kabinet yang bertanggungjawab membuat keputusan tersebut.

Jika kita soroti sejarah Perjanjian Hudaibiyyah diantara Rasulullah s.a.w dan musyrikin Mekah suatu ketika dulu, antara isi kandungan perjanjian tersebut ialah sekiranya ada orang Mekah yang melarikan diri kepada kaum Muslimin, maka dia hendaklah dikembalikan kepangkuan Musyrikin. Manakala sekiranya ada dari kalangan orang Islam yang melarikan diri kepada orang Musyrikin, maka dia tidak perlu dikembalikan kepangkuan orang Muslimin.

Akibatnya, ramai para sahabat mempersoalkan keputusan Rasulullah s.a.w tersebut yang kelihatannya menguntungkan kaum musyrikin Mekah. Namun begitu, setelah dijelaskan oleh Rasulullah, maka para sahabat ridwanullah a’laihim ajmain dapat menerimanya dengan hati terbuka. Ini telah dinyatakan oleh Syeikh Muhammad al-Khudry dalam kitabnyya Nurul Yaqin. Itu adalah keadaan Rasulullah s.a.w yang tidak nafikan sentiasa mendapat petunjuk wahyu Allah.

Manakala menteri Kabinet pula adalah berlainan keadaannya. Mereka seharusnya merujuk pakar ilmuan Islam sebelum memutuskan sebarang ketetapan atau undang-undang berkaitan agama Islam dan bukannya mencari alasan-alasan tertentu setelah membuat sebarang keputusan bagi meyakinkan rakyat.

Dalam Islam, terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum menetapkan sesuatu hukum. Manakala orang yang benar-benar layak untuk menetapkan hukum berkaitan Islam ialah ulama dan bukannya menteri yang berlagak seperti ulama.

Atau mungkin anda mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini?


Wednesday, April 22, 2009

Mencari Barakah


Semalam (21/04/2009) seusai memberikan kuliyah maghrib di Masjid at-Tawwabeen Kg. Tanjung Kuala, Tumpat adik saya telah memberitahu akan kedatangan al-Alim al-Allamah Habib Ali bin Muhammad al-Jufri ke Bandar Tumpat ini.

Lalu saya merebut peluang yang jarang diperolehi ini dengan menghadiri majlis pertemuan dengan ulama Indonesia itu yang telah diadakan di Rumah Tamu Baitul Jamil, Kastam Di Raja Malaysia. Dalam majlis tersebut turut diadakan bacaan qasidah, burdah serta maulid nabi Khairul Anam.

Sebagai penutupnya, Habib Ali telah berbesar hati menyampaikan maui’zah al-hasanah buat kami. Beliau menekankan supaya para hadirin mengikuti jejak langkah dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Tidak ada sebaik-baik contoh ikutan selain Rasulullah s.a.w. Beliau juga turut berpesan supaya terus berpegang dengan aqidah ahlu sunnah wal jamaah.

Walaupun majlis tersebut tamat lewat tengah malam, namun ia cukup menguja jiwa saya tatkala berpeluang untuk bertemu dengan ulama yang hebat itu. Semoga Allah memberkati kami dengan ulama-ulama pewaris nabi tersebut.

Sunday, April 19, 2009

Mesyuarat Agung Pas Kawasan Tumpat Ke 52


Semalam (18/04/2009) Pas Kawasan Tumpat telah mengadakan mesyuarat agungnya untuk kali ke 52 bertempat di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh Tumpat. Saya sebagai perwakilan Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat turut hadir bagi menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan itu. Perasmian mesyuarat agung ini telah disempurnakan oleh YB Dato Mohd Amar Nik Abdullah, Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Walaupun mesyuarat kali ini mempunyai pemilihan ahli jawatankuasa Pas yang baru, namun Pas Kawasan Tumpat telah membuat syura dab menetapkan bahawa 3 jawatan tertinggi iaitu Yang Di Pertua, Timbalan Yang Di Pertua dan Naib Yang Di Pertua adalah tidak dipertandingkan. Jadi syura telah menetapkan bahawa YB Dato' Hj. Ahmad Yaacob (TMB) adalah YDP Pas Kawasan Tumpat, YB Mohd Zaki Hj Ibrahim (Adun Kelaboran) sebagai Timbalan YDP dan YB Che Abdullah Mat Nawi (Adun Wakaf Bharu) sebagai Naib YDP.

Saya amat bersyukur kerana jawatan tertinggi itu telah diputuskan melalui syura. Saya juga mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga YB tersebut diatas pemilihan mereka yang pada pandangan saya cukup tepat serta gandingan yang mantap bagi meneruskan aspirasi Allahyarham Hj. Wan Mohd Jamil Wan Mahmood.

Nama saya juga turut mendapat pencalonan untuk bertanding sebagai ajk Pas Kawasan Tumpat, namun saya menarik diri dari pencalonan kerana memikirkan saya tidak mampu untuk memikul tanggungjawab yang sedia ada ini. Jadi saya beri laluan kepada mereka yang lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut.

Saya doa dan harapkan dengan kepimpinan baru ini, Pas Kawasan Tumpat akan terus bergerak maju dalam menongkah arus politik negara ini.

Takbir!!!!!!!!!

Saturday, April 11, 2009

AGM DPPKT KE 32


Semalam (10/04/2009) Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan mesyuarat agung tahunan kali ke 32 yang telah dirasmikan oleh exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Che Abdullah Mat Nawi. Walaupun diserang demam yang agak teruk, saya tetap gagahkan diri untuk hadir bagi menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya.

Saya juga sempat menjawab beberapa persoalan yang diajukan oleh perwakilan yang hadir serta turut membahaskan usul-usul yang dikemukakan oleh pemuda cawangan kepada Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat. Alhamdulillah, saya telah diberikan Allah kemampuan untuk bertahan sehingga mesyuarat tersebut tamat. Sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Pas, DPPKT telah mengadakan pemilihan ajk baru bagi sesi 2009/2011 dan saya juga turut terpilih untuk menganggotai saf kepimpinan baru tersebut.

Thursday, April 9, 2009

Bila Rakyat Membuat Pilihan

Berita kemenangan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam Pilihan Raya Kecil P059 Bukit Gantang membuatkan semua rasa penat dan letih telah terbayar kesemuanya. Hampir dua minggu saya dan pasukan peguam Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pas Pusat berkampung di Bukit Gantang bagi memantau perjalanan pilihan raya kecil di sana serta memberikan nasihat perundangan kepada parti.

Sepanjang keterlibatan saya dalam pilihan raya, ini adalah pilihan raya yang dapat mengumpulkan hampir 30 orang peguam dari Kelantan, Selangor, Johor, Terengganu dan Perak sendiri. Biasanya pasukan peguam dari Kelantan akan mendominasi, namun kali ini Selangor turut menghantar pasukan peguam yang hampir sama banyak dengan Kelantan.

Sepanjang tempoh berkempen bermula dari hari penamaan calon hinggalah hari pengundian, pasukan peguam telah mengendali serta menguruskan pelbagai kes yang melibatkan hal-hal perundangan terutamanya dengan pihak polis. Satu kes menjadi tumpuan media semasa kempen ialah kes ‘londeh’ seluar.

Pihak kami telah mendapat panggilan telefon dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mengatakan mereka memerlukan bantuan kami untuk membuat satu laporan polis di Balai Polis Simpang. Saya, Nik Bahrum (my boss) dan Nurul Huda terus bergegas ke sana bagi membantu mereka.

Apabila sampai di sana, pihak kami di maklumkan bahawa salah seorang Srikandi PKR cuba dilondehkan seluarnya oleh penyokong BN sewaktu dia dan beberapa orang yang lain sedang menyebarkan risalah kempen.

Satu kenyataan yang perlu diterima oleh semua orang terutamanya BN/ UMNO bahawa rakyat Perak terutamanya penduduk Bukit Gantang masih menaruh kepercayaan kepada Datuk Seri Nizar. Buktinya ialah beliau telah diisytiharkan sebagai memenangi pilihan raya Bukit Gantang tersebut dengan majoriti 2,789 undi berbanding 1,566 yang diperolehi oleh Allahyarham Roslan Shaharum dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu.

Peningkatan undi tersebut sendiri sebagai jawapan terhadap semua tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan oleh BN/ UMNO terhadap Datuk Seri Nizar. Oleh itu saya cadangkan BN/ UMNO supaya bermuhasabah diri dalam menerima kekalahan ini. Terlalu banyak tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan UMNO terhadap Datuk Seri Nizar, terutamanya mengenai isu penderhaka kepada raja. Padahal UMNO yang bodoh sombong untuk tidak mahu menerima makna sebenar ‘mohon sembah derhaka’ Datuk Seri Nizar.

Kalau diteliti sejarah Malaysia, UMNO adalah parti yang telah menderhakai raja atau sultan sejak dulu lagi. Banyak keratan-keratan akhbar tersebut didedahkan semasa kempen pilihan raya Bukit Gantang yang lalu mengenai pencabulan UMNO terhadap institusi raja perlembagaan di Malaysia. Entahlah, penat saya mahu mengulas isu tersebut apatah lagi fikiran saya masih lagi penat kerana sampai di Kota Bharu dari Perak pukul 2.30 pagi semalam.

Sebelum bertolak balik, semua peguam yang terlibat dalam PRK Bukit Gantang telah mengadakan mesyuarat terakhir untuk memberikan laporan sepanjang kempen kepada Aminuddin Zulkipli selalu penasihat undang-undang dalam PRK Bukit Gantang ini. Kami diberikan penghormatan apabila Datuk Seri Nizar sudi meluangkan masa untuk bersama kami serta merakamkam ucapan terima kasih diatas bantuan yang kami berikan.

Betapa manisnya apabila segala penat lelah selama ini dibayar Allah s.w.t dengan sebuah kemenangan. ALLAHU AKBAR!!!!!



Monday, April 6, 2009

Gelombang 3 di Bukit Gantang

Saya bertolak ke Bukit Gantang sejak hari Jumaat yang lalu bagi menyertai Gelombang 3, Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda Pas Pusat. Saya akan berada di Bukit Gantang sehingga hari pengundian bagi memastikan undang-undang pilihan raya tidak dicabuli. Lebih kurang 6 hari juga berada disini dan sepanjang tempoh tersebut, saya terpaksa tinggalkan isteri tersayang sendirian di rumah. Apa boleh buat, inilah adat orang berjuang. Namun begitu, terima kasih saya ucapkan buat isteri saya itu kerana memahami situasi saya ketika ini dan merelakannya.


Banyak juga tugas yang perlu diselesaikan disini terutamanya dalam aspek undang-undang. JUHAM telah membekalkan peguam-peguam yang berpengalaman dalam undang-undang pilihan raya untuk memantau setiap tempat pembuangan undi. Ini bagi memberikan nasihat dalam segi perundangan kepada petugas PAS.

Gerak kerja pilihan raya dalam PRK Bukit Gantang ini agak mengujakan saya kerana terdapat wakil Juham dari Selangor, Johor dan Terengganu yang turut saya turun memberikan bantuan. Sebelum ini selalunya Juham pusat dan Luham Kelantan sahaja yang selalu menguasai keadaan. Semoga kebersatuan hati kita dalam gerak kerja kali ini akan berterusan.