hasbunallah

hasbunallah

Thursday, April 9, 2009

Bila Rakyat Membuat Pilihan

Berita kemenangan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam Pilihan Raya Kecil P059 Bukit Gantang membuatkan semua rasa penat dan letih telah terbayar kesemuanya. Hampir dua minggu saya dan pasukan peguam Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pas Pusat berkampung di Bukit Gantang bagi memantau perjalanan pilihan raya kecil di sana serta memberikan nasihat perundangan kepada parti.

Sepanjang keterlibatan saya dalam pilihan raya, ini adalah pilihan raya yang dapat mengumpulkan hampir 30 orang peguam dari Kelantan, Selangor, Johor, Terengganu dan Perak sendiri. Biasanya pasukan peguam dari Kelantan akan mendominasi, namun kali ini Selangor turut menghantar pasukan peguam yang hampir sama banyak dengan Kelantan.

Sepanjang tempoh berkempen bermula dari hari penamaan calon hinggalah hari pengundian, pasukan peguam telah mengendali serta menguruskan pelbagai kes yang melibatkan hal-hal perundangan terutamanya dengan pihak polis. Satu kes menjadi tumpuan media semasa kempen ialah kes ‘londeh’ seluar.

Pihak kami telah mendapat panggilan telefon dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mengatakan mereka memerlukan bantuan kami untuk membuat satu laporan polis di Balai Polis Simpang. Saya, Nik Bahrum (my boss) dan Nurul Huda terus bergegas ke sana bagi membantu mereka.

Apabila sampai di sana, pihak kami di maklumkan bahawa salah seorang Srikandi PKR cuba dilondehkan seluarnya oleh penyokong BN sewaktu dia dan beberapa orang yang lain sedang menyebarkan risalah kempen.

Satu kenyataan yang perlu diterima oleh semua orang terutamanya BN/ UMNO bahawa rakyat Perak terutamanya penduduk Bukit Gantang masih menaruh kepercayaan kepada Datuk Seri Nizar. Buktinya ialah beliau telah diisytiharkan sebagai memenangi pilihan raya Bukit Gantang tersebut dengan majoriti 2,789 undi berbanding 1,566 yang diperolehi oleh Allahyarham Roslan Shaharum dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu.

Peningkatan undi tersebut sendiri sebagai jawapan terhadap semua tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan oleh BN/ UMNO terhadap Datuk Seri Nizar. Oleh itu saya cadangkan BN/ UMNO supaya bermuhasabah diri dalam menerima kekalahan ini. Terlalu banyak tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan UMNO terhadap Datuk Seri Nizar, terutamanya mengenai isu penderhaka kepada raja. Padahal UMNO yang bodoh sombong untuk tidak mahu menerima makna sebenar ‘mohon sembah derhaka’ Datuk Seri Nizar.

Kalau diteliti sejarah Malaysia, UMNO adalah parti yang telah menderhakai raja atau sultan sejak dulu lagi. Banyak keratan-keratan akhbar tersebut didedahkan semasa kempen pilihan raya Bukit Gantang yang lalu mengenai pencabulan UMNO terhadap institusi raja perlembagaan di Malaysia. Entahlah, penat saya mahu mengulas isu tersebut apatah lagi fikiran saya masih lagi penat kerana sampai di Kota Bharu dari Perak pukul 2.30 pagi semalam.

Sebelum bertolak balik, semua peguam yang terlibat dalam PRK Bukit Gantang telah mengadakan mesyuarat terakhir untuk memberikan laporan sepanjang kempen kepada Aminuddin Zulkipli selalu penasihat undang-undang dalam PRK Bukit Gantang ini. Kami diberikan penghormatan apabila Datuk Seri Nizar sudi meluangkan masa untuk bersama kami serta merakamkam ucapan terima kasih diatas bantuan yang kami berikan.

Betapa manisnya apabila segala penat lelah selama ini dibayar Allah s.w.t dengan sebuah kemenangan. ALLAHU AKBAR!!!!!



No comments: