hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, August 26, 2009

Suara-Suara Sumbang Yang Kedengaran


Sekali lagi isu model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno yang telah dikenakan hukuman 6 kali sebatan kerana meminum arak menjadi isu hangat diperkatakan. Sebelum ini saya telah mengulas mengenai perkara tersebut dalam entry yang lalu. Tapi isu ini kembali hangat susulan pihak berkuasa menangguhkan hukuman tersebut dengan alasan tiada kepakaran menyebat dari perspektif syariah.

Nampaknya, undang-undang mengenai hukuman bagi kesalahan tersebut telah ada. Namun cara aplikasi hukuman tersebut pula masih belum dibuat. Ini yang membuatkan seolah-olah undang-undang tersebut menjadi pelik. Sekadar hukuman sahaja yang dapat dijatuhkan tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai kepakaran.

Persoalan yang agak pelik juga ialah terdapat suara-suara sumbang yang menyuruh atau menasihatkan supaya model tersebut membuat rayuan terhadap hukuman sebatan itu. Padahal model itu sendiri redha dan pasrah dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah serta bersedia untuk menerimanya. Ini orang lain yang tidak ada kena mengena pulak macam terasa seolah-olah mereka yang akan kena sebat. Ataupun memang mereka takut akan kena sebat suatu hari nanti sekiranya tertangkap dan disabitkan meminum arak?

Sohibus Somahah Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menyatakan bahawa sepatutnya kesalahan minum arak ini dihukum 80 kali rotan. Kalau setakat enam kali sebatan itu, apa yang nak diriuhkan. Terapat juga pemimpin negara kita yang masih tidak faham dengan hukuman syariah ini. Kita canangkan sampai luar negara bahawa Malaysia ini sebagai sebuah negara Islam model Madinah al-Munawwarah seperti zaman Rasulullah, tapi yang peliknya pemimpin tidak seperti Rasulullah.

Entah apa hendak jadi pun saya tidak tahu tapi perlbagai khabar angin yang berlalu seolah-olah ada tangan-tangan ajaib yang turut mencampuri urusan perlaksanaan hukuman tersebut. Hanya Allah sahaja Yang Maha Tahu.

No comments: