Kalau kita ikuti berita arus perdana sama ada melalui tv atau akhbar, pihak media termasuklah para menteri dan pembesar negara secara melulu menuduh 'pihak pembangkang yang mencetuskan provokasi', 'pihak pembangkang bertindak ganas' dan sebagainya lagi demi untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat di mata rakyat semua.
Padahal yang berlaku adalah sebaliknya. Saya sendiri yang berada di sana bermula dari 09/10/2009 (Jumaat) sehingga 11/10/2009 (Ahad) untuk membantu jentera disana telah melihat sendiri tindak- tanduk para penyokong dan jentera BN terutamanya Pemuda dan Putera Umno.
Pada malam 09/10/2009 semasa saya berada di Markaz Induk Pas di Bagan Pinang, Pemuda UMNO yang bermotosikal secara berkonvoi dengan bangganya membuat bising di hadapan markaz dan bunyi ekzos yang nyaring. Bahkan ada diantara mereka telah membaling risalah propaganda UMNO ke dalam Markaz Pas. Mungkin para pemimpin UMNO akan menafikannya, tapi itulah realitinya.
Manakala pada hari pengundian iaitu 11/10/2009 (Ahad) saya, Nik Bahrum, Ahmad Najib dan Mohd Farhan telah ditugaskan untuk memantau dan menyelia pusat pembuangan undi di Sekolah Rendah Kebangsaan Panglima Adnan, Bagan Pinang telah menyaksikan sendiri provokasi yang dibuat oleh golongan Pemuda dan Putera UMNO.
Mereka mengeluarkan kata-kata kesat serta lucah kepada petugas-petugas Pas, malah para pengundi yang sepertinya memberikan sokongan kepada Pas juga turut dihambur kata-kata yang menyakitkan hati. Sehinggakan berlaku beberapa siri pergaduhan yang sengaja dicetuskan oleh pihak UMNO tetapi mereka masih menunding jari ke arah penyokong Pas.
Insiden yang teruk sekali ialah apabila UMNO menayangkan satu banner propaganda yang menunjukkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang berdoa dengan kata-kata ' Ya Allah berikanlah kemenangan kepada Tan Sri Isa Samad. Amin!!' . Keadaan in telah mencetuskan rasa tidak puas hati dikalangan para penyokong dan jentera Pas. Mereka telah meminta supaya UMNO menurunkan banner tersebut tetapi mereka menolaknnya dengan angkuh lalu berlaku pertikaman lidah. Kemuncaknya pihak UMNO telah membaling botol air minuman, batu serta bungkusan nasi kearah penyokong Pas dan telah mencederakan seorang penyokong Pas dan seorang anggota polis yang berkawal di situ. Nasib baik ketika itu saya berada di atas bukit di kawasan tersebut dan dapat melihjat kejadian tersebut dengan jelas sekali.
Namun saya amat percaya bahawa anggota polis yang turut tercedera dalam insiden itu tidak dilaporkan oleh media kerana ianya akan membuktikan siapakah yang telah membaling batu tersebut sebab ketika kejadian anggota polis tersebut sedang berada dalam kawasan penyokong Pas.
Jadi siapakah sebenarnya yang telah mencetuskan provokasi serta bertindak ganas? Saya tetap yakin dan percaya bahawa ianya pasti akan dinafikan oleh para pemimpin UMNO. Alaaa..biasa...UMNO..kalau tidak macam tu bukan UMNO la namanya...
No comments:
Post a Comment