Trio Datuk T yang menjadi dalang utama penayangan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Rahim Thamby Chik bersama dua lagi tertuduh, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur iaitu tiga bulan selepas mereka menayangkan video tersebut di sebuah hotel kepada sekumpulan wartawan. Shazryl Eskay dan Shuib mengaku salah atas tuduhan berkenaan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 bawah undang-undang sama. Rahim didenda RM1,000 manakala Shazryl Eskay dan Shuib pula masing-masing didenda RM3,000 dan RM1,500.
Kompleks Mahkamah Jalan Duta turut di hadiri oleh penyokong Datuk T tersebut sebagai menunjukkan tanda sokongan mereka terhadap tiga orang wira negara yang kononnya sanggup berdepan dengan undang-undang negara demi menegakkan keadilan dan mencegah kemungkaran!
Sebagaimana yang dilaporkan portal Malaysiakini yang memetik Rahim sebagai berkata:
"Rahim yang mengaku salah bersubahat menayangkan rakaman hubungan seks itu juga berkata, beliau sanggup berbuat demikian demi mendedahkan kes didakwa melibatkan Anwar dan "mempertahankan kepentingan dankeselamatan negara."
"Kita korbankan diri kita tiga orang untuk memastikan kita mencapai matlamat ini. Supaya rakyat dapat menimbang dan menghakimi.
"Pemimpin yang korup dari segi moral akan terdedah kepada perkara-perkara korup yang lain.
"Sebab itu kita berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melakukan hipokrisi ini tidak layak memimpin," kata Rahim lagi yang disambut sorakan oleh kira-kira 100 orang penyokongnya di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Rahim dan gengnya dilihat sebagai wira dengan pendedahan video seks tersebut sekaligus menutup lipatan sejarahnya yang turut melibatkan Lim Guan Eng ketika itu.
Sememangnya situasi ini telah saya jangkakan. Datuk T cuba membersihkan nama mereka terutamanya Rahim Tamby Chik serta untuk mendapatkan political mileage mereka. DSAI tidak akan di dakwa dalam masa terdekat ini atas tuduhan berkaitan video seks tersebut kerana kertas siasatan yang dibuka pihak polis di bawah Seksyen 292(a) dan 34 Kanun Keseksaan adalah terhadap Datuk T dan bukannya terhadap DSAI.
Saya bersetuju dengan tulisan Wira Arjuna dalam portal Malaysiakini yang bertajuk "Perbicaraan Datuk T atau pesta serang Anwar?" Perbicaraan pada hari tersebut seolah-olah menjadi medan untuk 'mendedahkan' segala-segalanya mengenai video seks yang dikaitkan dengan DSAI tersebut tanpa ada sedikit ruang pun untuk DSAI membela diri ketika itu.
Saya menjadi sangsi dan ragu terhadap pendedahan tersebut apatah lagi setelah melihat track record geng Datuk T tersebut. Ingatlah firman Allah Taala yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (al-Hujurat: 6)