Pindaan
terbaru terhadap Akta Keterangan 1950 dengan memasukkan seksyen 114A merupakan
sesuatu yang bertentangan dengan prinsip Natural Justice yang diakui dan
diamalkan di seluruh dunia. Seksyen tersebut menjadi bebanan yang besar
terhadap pengguna internet.
Sebelum ini
beban pembuktian (burden of proof) terhadap sesuatu tuduhan adalah
terletak keatas pihak pendakwaan. Ianya selari dengan prinsip Natural Justice
iaitu "In criminal cases, as every man is presumed to be innocent until
the contrary is proved, the burden of proof rests on the prosecutor."
Atau dalam
bahasa mudahnya ialah, dalam kes jenayah seseorang itu adalah dianggap tidak
bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Dan beban pembuktian adalah terletak
di atas bahu pihak pendakwaan.
Malah dalam
Islam sendiri telah menggariskan satu kaedah feqah sebagai panduan yang jelas
mengenai beban pembuktian berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
البينة
على المدعى واليمين على من أنكر
Mengemukakan
keterangan adalah menjadi kewajipan yang mendakwa dan bersumpah adalah menjadi
tanggungjawab yang mengingkarinya. (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad
yang sahih)
Mengikut
Prof. Dr Abd Karim Zaidan di dalam kitabnya نظام
القضاء في الشريعة الإسلامية bahwa: jika yang kena
dakwa itu membantah atau menafikan apa yang didakwa oleh pendakwa itu maka
barulah hakim meminta orang yang mendakwa mengemukakan keterangannya bagi
membuktikan apa yang didakwanya itu.
Maka disini
adalah jelas sekali dalam Islam menetapkan bahawa pihak yang mendakwa
berkewajipan untuk mengemukakan keterangan ataupun bukti bagi membuktikan
dakwaan mereka. Selepas bukti atau keterangan dikemukakan oleh pihak
pendakwaan, barulah hakim akan meminta keterangan atau sumpah daripada orang
yang kena dakwa.
Namun pindaan
dengan memasukkan seksyen 114A Akta Keterangan tersebut adalah menjadi
sebaliknya yang meletakkan beban pembuktian keatas orang yang kena dakwa untuk
membuktikan bahawa bukan dia yang melakukan kesalahan tersebut.
Memang tidak
dinafikan bahawa pihak berkuasa menghadapi kesukaran untuk menangkap dan
mendakwa pesalah siber ini di Mahkamah. Namun kesukaran tersebut bukanlah
sesuatu yang boleh menjustifikasikan tindakan kaedah natural justice. Sekiranya
pihak berkuasa sedar keadaan begini, maka mereka seharusnya meningkatkan lagi
peralatan, melantik pakar-pakar professional dalam bidang tersebut bagi
membolehkan tangkapan dan pendakwaan dibuat terhadap pesalah siber.
Saya yakin
dan percaya, pindaan ini akan membuatkan ramai orang yang tidak bersalah dan
tidak tahu apa-apa akan ditangkap dan dituduh dibawah seksyen ini. Tentunya akan
menjadi kesukaran kepada tertuduh untuk membuat pembelaan kerana beban
pembuktian adalah terletak ke atas mereka. Sedangkan satu hadis nabi dari
Ibn Abbas r.a bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
لَوْ
يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لاَدَّعَى قَوْمٌ دِمَاءَ قَوْمٍ وَأَمْوَالَهُمْ
وَلَكِنَّ الْيَمِيْنَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ. (رواه البخارى
ومسلم)
Kalau
diberi kepada manusia berdasarkan dakwaan mereka semata-mata, maka akan
mendakwalah sesuatu kaum akan darah dan harta kaum yang lain, akan tetapi
sumpah adalah diwajibkan ke atas yang kena dakwa.
Pindaan ini
mungkin akan memudahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap
pesalah siber namun ia akan menyababkan ketidakadilan berlaku dan menganiaya
orang yang tidak bersalah.