ULASAN Jika
dilihat daripada faktor sejarah, penyebaran agama serta penginstitusion Islam
dan Kristian jelas berbeza biarpun mempunyai asal usul kebudayaan agama
‘Abrahmite'.
Agama Islam
disebarkan melalui kesinambungan dakwah dari tanah Arab ke Asia Selatan dan
benua Melayu menggunakan teks asal dalam Bahasa Arab. Semua penganut dimestikan
belajar bahasa Arab dan mengaji Al-Quran dalam bentuk asal.
Teks serta
ajaran juga dikawal oleh institusi setempat seperti istana yang mempunyai kuasa
penguatkuasaan dan perundangan. Institusi tersebut juga bertanggungjawab dalam
penyelarasan teks dan akidah penganut serta penguatkuasaan kawalan. Namun,
penyebaran agama Kristian pula mempunyai asal-usul yang berbeza.
Di Malaysia,
agama Kristian disebarkan melalui mubaligh daripada pelbagai mazhab,
menggunakan teks dari pelbagai benua. Mereka mengikut tafsiran sendiri.
Agama
Kristian, ekoran pemisahan dari kesinambungan kuasa Rom dan kebangkitan
pergerakan Protestan telah mengguna pakai sistem liberal dan kebebasan dalam
pengolahan teks dalam bahasa dan konteks setempat.
Ia dilakukan
tanpa penyeragaman dan tanpa kawalan dan penguatkuasaan. Maka lahirlah pelbagai
kemelut pengalihan bahasa serta penggunaan istilah serta perkataan yang
mempunyai maksud tersendiri secara organik.
Perkara ini
juga terjadi kerana pihak gereja hilang kawalan dan terpaksa bertanding dalam
proses dakwah dengan mazhab lain. Mereka mula mencari cara baru melalui
exploitasi proses integrasi fahaman setempat.
Sejarah
kontroversi di pelbagai tempat
Kemelut
politik agama dari sudut pengolahan teks agama Kristian dalam bahasa setempat
bukan suatu perkara yang baru. Masalah serta konflik berlaku antara agama,
denominasi atau mazhab dalam agama Kristian itu sendiri.
Pada tahun
2008, di India, tercetus kontroversi antara kepimpinan institusi agama Hindu
dan Kristian ekoran penerbitan Kitab Injil atau Bible dalam bahasa suku kaum
asal. Illustrasi
Bible yang dikenali sebagai "New Community Bible" dinyatakan
mengandungi teks serta naratif dari Bhagavad Gita, mantra serta rujukan kepada
prinsip Ahimsa Mahatma Ghandi.
Bible
tersebut juga mengandungi naratif Jesus sebagai seorang miskin dari India
lengkap dengan ilustrasi serban dan tanda dahi atau ‘bindi' yang diamalkan
masyarakat Hindu. Bible
tersebut diiktiraf oleh kepimpinan tertinggi mazhab Roman Katolik dan
dipertahankan sebagai mesej kemanusiaan kepada semua. Namun pelbagai pihak
termasuk Kristian bermazhab Protestant membuat bantahan atas sebab tersasar
dari prinsip asal dan menyesatkan umat dari prinsip tersebut.
Perkara yang
serupa juga dilaporkan dalam Bible di India yang sering mencetuskan kontroversi
mengenai dakwah dan cubaan mengkristiankan orang Hindu secara sistematik dengan
exploitasi istilah dan budaya setempat. Di India
juga, penentangan terhadap dakwah Kristian bersifat ganas dan keras. Perkara
ini juga bukan kes terpencil.
Seorang
pengkaji Korea Sangkeun Kim dalam bukunya berjudul Strange Names of God, The
Missionary Translation of Divine Name, menghalusi mengenai kontroversi pengalihan
bahasa nama tuhan dalam Bible di India, Jepun dan Peru. Kim dalam kajian kes
beliau mencatatkan kontroversi antara agama Kristian dengan Hindu, Buddha dan
agama Orang Asal.
Di Selatan
India, penggunaan istilah "Son of Ishvara" sebagai rujukan kepada Yesus
Kristus dalam Bible bahasa ehtnik India Selatan mencetuskan kontroversi. Kepimpinan
tertinggi Buddha menyatakan secara terbuka bahawa ada unsur unsur memesong dan
menipu masyarakat untuk tujuan dakwah.
Kes tersebut
juga membawa masalah fahaman penganut Kristian yang pincang kerana istilah
‘Ishvara' yang digunakan di Bible tempatan juga mencetus kekeliruan kerana
istilah asal Ishvara juga merangkumi isteri beliau.
Perkara ini
membawa salah faham yang serius kerana menyifatkan Yesus sebagai seorang yang
mempunyai isteri dan membawa krisis maksud dalam konteks asal di kalangan
penganut Kristian.
Perkara sama
juga dilaporkan di Jepun, dengan rujukan Bible yang dialih bahasa dan diolah
oleh Anjiro, seorang bekas penganut Buddha yang dikatakan mengeksploitasi
budaya serta agama asal Jepun untuk tujuan dakwah.
Anjiro dalam
proses alih bahasa telah mengambil istilah istilah seperti ‘Jodo' yang
bermaksud syurga, ‘tamashii' untuk maksud roh, ‘tennin' untuk maksud malaikat,
‘jigoku' untuk maksud neraka dan ‘Dainishi' untuk maksud tuhan.
Penggunaan
istilah istilah ini yang mempunyai maksud serta rujukan tersendiri dalam bahasa
Jepun dalam konteks agama Buddha telah mencetus kontroversi ekoran ‘Dainishi'
dalam bahasa Jepun bermaksud Matahari Ulung.
Setelah
kontroversi tersebut diperdebatkan, istilah ‘Dainishi' di tukar kepada ‘
Daiusu' menurut istilah Latin Deus yang bermaksud tuhan mengikut loghat Jepun.
Selepas
kejadian itu, pada tahun 1552, kesemua istilah istilah kontroversi di tukar
kepada istilah lain mengikut kerangka baru yang dikenal pasti. Begitu juga di
Peru antara tahun 1588, melibatkan istilah Orang Asli Peru keturunan Quechua.
Setelah
tanah orang asli ditakluk dan ditukar agama mereka, pihak mubaligh melihat
bahawa Orang Asli Kristian masih mengamalkan agama lama mereka.
Pada masa
itu, pihak mubaligh menggunakan istilah Orang Asli seperti ‘Dios' dan ‘Appo'
yang merujuk kepada kepercayaan asal suku kaum Andes ini dan membentuk
perkataan baru ‘Appodios' .
Perkara ini
juga dijelaskan dalam jurnal University Edinburgh berjudul 'The appropriation
of Quehua language by the church and the Cristianisation of Peru in early
Sixteenth and Seventeenth Centuary'.
Penggunaan
istilah Quehua ini dibuat atas andaian bahawa Orang Asli Peru tidak mempunyai
kapasiti untuk memahami tuhan baru mereka dan lemah dari struktur semantik,
biarpun ia dilaporkan tidak berasas.
Pembanterasan
anti-Kristian 1737
Berlainan
pula cerita di China dalam isu ‘The Chinese Rite Controversy', yang mana
mubaligh yang menerima sambutan positif berakhir dengan tentangan hebat dari
Maharaja Kangxi yang mengusir semua golongan itu dari China.
Peristiwa
itu juga merupakan titik tolak polisi pembanterasan anti-Kristian pada 1737. Peristiwa
di China merupakan satu lagi masalah pengambilan istilah tempatan yang membawa
maksud yang bercanggah dengan pemujaan dan kepercayaan nenek moyang.
Pada satu
masa, perkembangan istilah istilah ini membawa kepada konflik di mana gereja
mula masuk campur untuk menghalang penganutnya melakukan pemujaan fahaman
mereka demi melindungi erti kata baru Kristian.
Penggunaan
istilah serta campur tangan gereja untuk membetulkan fahaman ekoran dari
penggunaan istilah ini telah membawa salah faham sehingga Maharaja Kangxi
memutuskan agama Kristian sebagai ajaran sesat Buddha dan Tao.
Kebimbangan
pemimpin dan masyarakat Islam dalam perkara penggunaan istilah ‘Allah' adalah
bertempat, berdasarkan rekod lampau gereja Katolik yang kurang
memberangsangkan. Perkara ini juga
dirumitkan lagi setelah pihak Vatican secara langsung membuat intevensi dalam
kes ini.
Namun di
Malaysia, biarpun penggunaan Istilah ‘Allah' oleh pihak gereja mempunyai risiko
pengolahan maksud namun ia juga membawa risiko pemesongan agama Kristian itu
sendiri.
K SHAN
pengerusi Institut Kebangsaan Intergriti Pilihan Raya dan Demokrasi (NIEI)
serta aktivis sosial.
Dipetik dari
Malaysiakini