hasbunallah

hasbunallah

Thursday, February 6, 2014

Tiada Panggilan Sepenting Seruan Ilahi

Saya percaya hampir setiap masjid dan surau di Negara kita mempunyai papan tanda peringatan agar ‘mematikan hand phone’  semasa berada dalam masjid bagi mengelak dari menggangu ahli jemaah lain untuk beribadat, memuliakan majlis ilmu dan juga sebagai menghormati masjid. 

Namun begitu, bunyi deringan hand phone masih tetap kedengaran dalam masjid walaupun peringatan telah diberikan menyebabkan jemaah lain merasa terganggu apatah lagi deringan yang panjang beranika lagu ketika solat kerana tidak dijawab. Sibuk sangatkah kita sehingga tidak boleh ‘mematikan hand phone’ buat seketika bagi menghadap Allah swt dan menjawab panggilanNya? Bukankah Allah yang mengatur dan menentukan urusan kehidupan harian kita?

Imam Malik r.h telah meriwayatkan bahawa al-Bayadhiyyi r.a telah berkata:

أَنَّ رَسُوْلَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ خَرَجَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ يُصَلُّو نَ وَقَدْ عَلَتْ أَصْوَا تُهُمْ بِالْقِرَاءَةِ فَقَالَ: أَنَّ الْمُصَلِّي يُنَا جِيْ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فَلْيَنْظُرْ بِمَ يُنَاجِيْهِ وَلاَ يَجْهَرْ بَعْضُكُمْ عَلَىَ بَعْضٍ بِالْقِرْ آنِ.

"Bahawa Rasulullah s.a.w pada suatu ketika keluar kepada orang ramai. Didapatinya ramai orang bersolat dan ramai pula yang mengeraskan (meninggikan) suara mereka dalam membaca al-Qur’an. (Melihat yang demikian) Maka Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya orang yang sedang bersolat itu sedang munajat atau berkomunikasi dengan Tuhannya ‘Azza wa Jalla, maka seharusnya dia mengetahui apa yang diperkatakannya itu! Dan janganlah pula sebahagian kamu mengeraskan suara melebihi yang lainnya dalam membaca al-Qur'an." - H/R Ahmad dalam Musnad Ahmad (no. 19022).

Dalam riwayat Abu Daud (no. 1332) ada disebutkan:

أعْتَكَفَ رَسُوْلَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ فِيْ الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُوْنَ بِا الْقِرَاءِة فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ أَلاَّ اِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلاَ يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلاَ يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَىَ بَعْضٍ فِيْ الْقِرَاءِةِ أَوْ قَالَ فِيْ الصًّلاَةِ.

Rasulullah s.a.w memerhatikan orang-orang yang beriktikaf di masjid dan baginda mendengar mereka menguatkan suara mereka sewaktu membaca al-Qur'an. Baginda menyelak kain langsir dan berkata:

"Setiap daripada kamu sedang berkomunikasi dengan Tuhannya. Janganlah sebahagian daripada kamu mengganggu yang lainnya. Janganlah kamu menguatkan suara kamu melebihi yang lainnya sewaktu membaca al-Qur'an atau ketika kamu sedang solat.

Walaupun ulama membahaskan larangan ini dengan panjang lebar mengenai larangan Rasulullah saw itu dalam kitab-kitab mereka, namun secara asasnya mengganggu ahli jemaah lain dalam masjid adalah dilarang. Sekiranya membaca al-Quran dengan kuat pun ditegur oleh Rasulullah saw, apatah lagi dengan bunyi deringan hand phone yang lebih-lebih lagi mengganggu.

Sebagai contoh, sekiranya kita sedang berhadapan dengan raja atau sultan atau menteri adakah kita akan membiarkan hand phone kita dalam ‘mood’ biasa tanpa menukar kepada ‘silent mood’? Sekiranya dihadapan penguasa Negara pun kita bertindak ‘mematikan hand phone’ apatah lagi jika kita berhadapan dengan Penguasa Alam Semesta?


Kita seharusnya menjaga adab-adab dalam masjid agar tidak menyakiti jemaah lain supaya niat kita untuk beribadah di sana lebih bernilai dan diberikan ganjaran sewajarnya oleh Allah swt. 

No comments: