Dengan
izin dan rahmat Allah swt, saya telah diberikan peluang dan kesempatan untuk
mengunjungi dua tanah suci pada 21/12/2013 untuk mengerjakan umrah bersama
ash-Har Travel. Rombongan yang berjumlah seramai 35 orang itu berangkat dari
KLIA dengan penerbangan Saudi Arabian.
Kami
dijadualkan untuk ke Kota Suci Madinah al-Munawwarah terlebih dahulu.
Penerbangan yang mengambil masa 8 jam itu ahak meletihkan namun cukup teruja
untuk menziarahi Baginda Rasulullah Sang Kekasih Allah. Saya sampai di Kota
Rasul tatkala azan subuh berkumandang dari menara Masjid Nabawi.
Suhu
yang dingin dan angin yang bertiup perlahan membuatkan tubuh kesejukan sewaktu
turun dari bas yang membawa rombongan dari Lapangan Terbang Jeddah. Sewaktu
pertama kali kaki melangkah memasuki Masjid Nabawi, hati mula terasa sayu
terkenang jasad Baginda Nabi Yang Mulia bersemadi di bawah Kubah Hijau.
Saya
beriktikaf sehingga masuk dhuha bagi mencari peluang dalam ribuan manusia untuk
masuk solat dan berdoa di Raudhah. Seusai solat dhuha dan membaca al-Quran,
saya menyelinap di celahan manusia yang berpusu-pusu mencari peluang untuk
memasuki Raudhah dan Alhamdulillah saya berpeluang untuk masuk solat dan berdoa
berdekatan Mihrab Rasulullah.
Saya
mengambil peluang untuk berdoa semahunya di Raudhah sebagaimana yang dianjurkan
oleh ulama. Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan Imam Nawawi Rahimahullah menyatakan
bahawa Raudhah ini adalah antara tempat yang seharusnya diperbanyakkan berdoa. Maka
saya panjatkan doa untuk kebahagian dunia akhirat buat diri sendiri, ahli
keluarga dan sahabat handai.
Setelah
itu saya melangkah keluar dari Raudhah menuju Makam Kekasih Allah yang mulia.
Ketika itu para penziarah tidak ramai dan memudahkan saya untuk berdiri
betul-betul di hadapan Makam Rasulullah tanpa berasak-asak. Air mata mula
mengalir tatkala menyampaikan salam dan selwata buat Baginda Rasul, Kekasih
Allah yang amat dirindui.
“Selamat
sejahteralah ke atas Engkau wahai Junjungan yang mulia, Rasul yang agung
pemurah lagi penyayang, moga-moga dirahmati dan diberkati Allah ke atasnya,
sesungguhnya selamat sejahteralah wahai Nabi Allah, selamat sejahteralah wahai
makhluk pilihan Allah, selamat sejahteralah wahai Habibullah, aku bersaksi
bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa dan
sesungguhnya engkau adalah hambaNya lagi pesuruhNya, aku bersaksi, bahawa
engkau telah menyampaikan risalah, menyempurnakan tanggungjawab dan telah
memberi nasihat kepada umat dan engkau telah berjihad kerana meninggikan agama
Allah, maka selawat dan salam ke atasmu berkekalan sehingga hari kiamat. Ya
Allah ya Tuhanku, kurniakanlah kepada Baginda kemuliaan dan pangkat-pangkat
darjat yang tinggi serta anugerahkan kepadanya tempat yang terpuji yang telah
Engkau janjikan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji sekali-kali.”
Terkenang
kasihnya Baginda Rasul kepada umatnya dalam menilai kasihnya kita kepada
Baginda. Berapa banyak air mata kita yang tumpah kerana merindui Baginda Rasul
berbanding air mata Baginda Rasul yang mulia tumpah kerana kasih kepada kita
sebagai umatnya?
Kemudiannya
saya menyampaikan salam buat dua orang sahabat Baginda Saiyidina Abu Bakar
as-Sidiq dan Saiyidina Umar al-Khatab.
Sepanjang
4 hari saya berada di Kota Radulullah ini, hampir setiap waktu saya mengambil
peluang untuk menziarahi Baginda, menyampaikan salam dan selawat kepada
baginda. Kebanyakkan masa saya habiskan untuk beriktikaf di Masjid Nabi supaya
tertebus
rindu dengan kedekatan saya dengan Baginda Rasulullah.
Tatkala
tiba masanya untuk berangkat ke Kota Suci Mekah, terasa sayu untuk berpisah dan
berjauhan dengan Baginda Rasul. Air mata mengalir dan dada menjadi sebak
tatkala melakukan ziarah wida’.
Ya
Allah, janganlah jadikan kunjungan keatas KekasihMu ini sebagai satu kunjungan
yang terakhir bagiku. Tetapi jadikanlah kunjungan ini permulaan bagi keakraban
sebuah cinta dan kasih yang berpanjangan selamanya harum.
Ya
Allah, jadikanlah rinduku pada kekasihMu ini sebagai salah satu bukti
kecintaanku padanya dan jadikanlah ia sebagai semangat yang kuat untuk bertemu
dengan kekasih Mu ini lagi.
No comments:
Post a Comment