hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, February 18, 2014

Kewujudan golongan anti hadis satu yang mengaibkan

KERAJAAN Malaysia dan ahli politik mesti mengecam ajaran sesat yang menolak keperluan kepada hadis, menolak kesahihan hadis sekaligus menolak baginda nabi Muhammad SAW sebagai pentafsir ayat-ayat mujmal dan ringkas dalam al-Quran.

Menolak hadis bererti menolak al-Quran kerana ALLAH memerintahkan nabi menjelaskan al-Quran kepada manusia. Penjelasan nabi datang dalam bentuk hadis dan sunnahnya.  Lihat ayat dari surah An-Nahl ayat ke 44 dan 64. Antaranya firman ALLAH:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً نُّوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

Ertinya : Dan KAMI tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang KAMI beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui ( An-Nahl : 44)

Juga firman ALLAH:

بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : keterangan-keterangan (mukjizat) dan kitab-kitab. Dan KAMI turunkan kepadamu al- Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan. ( An-Nahl : 64)

Nabi jadi ikutan melalui hadisnya

Al-Quran mengarahkan kita menturuti Nabi dan mengambilnya sebagai ikutan sebagaimana disebut oleh ALLAH di dalam surah Al-Ahzab ayat ke-21:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Ertinya : Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak berzikir kepada ALLAH. ( Al-Ahzab : 21)

Tiba-tiba golongan anti hadis di Malaysia berkata hadis patut ditolak, sedangkan tanpa hadis nabi dan perincian kehidupannya tiada siapa mampu mengambilnya sebagai ikutan.

Taati Rasulullah bererti hadis sampai

ALLAH turut menwajibkan kita mentaati RasulNYA, sebagaimana termaktub arahan ini di dalam al-Quran, contohnya ayat surah Al-Nisa 13:

تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ وَمَن يُطِعِ اللّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Ertinya : (Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari ALLAH. Barang siapa taat kepada ALLAH dan Rasul-NYA, nescaya ALLAH memasukkannya ke dalam surga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar.

Mentaati Rasul bererti hadis Rasulullah akan dijadikan oleh ALLAH untuk sampai kepada manusia bagi cabaran manusia yang beriman untuk mentaatinya dan ia adalah termasuk di dalam erti mentaati ALLAH.

Jelas, sesiapa menolak hadis adalah juga menolak al-Quran. Mereka yang berkepercayaan begini boleh membawa kepada murtad.

Sesiapa yang meragui kewujudan hadith lambat laun tentunya akan meragui al-Quran kerana al-Quran disampaikan oleh Rasulullah kepada sahabat-sahabatnya. Melalui kaedah dan metod yang hampir sama juga pelbagai hadis sampai kepada kita. Iaitu melalui hafazan para sahabat dan penulisan kemudiannya dan diturunkan dari generasi ke generasi. Demikian juga hadis, bezanya hanyalah jumlah yang meriwayatkan hadith tidak seramai al-Quran.

Namun apabila telah ALLAH janji menjaga al-Quran dari penyelewengan sebagaimana disebut dalam surah Al-Hijr ayat ke-9, maka amat mesti pula ALLAH menjaga penjelas kepada maksud al-Quran iaitu Rasulullah dan hadis-hadisnya.

Hasil dari itu, jika kerajaan sebelum dan ketika ini bersungguh-sungguh mengambil tindakan terhadap Syiah, kumpulan anti hadis ini adalah sama menyeleweng dan berbahaya. Maka wajiblah pihak berkuasa agama dan ahli politik mengambil tindakan dan bukan diberi muka pihak anti hadis berprogram di Yayasan Kepimpinan Perdana kelmarin yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri.

Ini satu yang mengaibkan Malaysia. Syiah ada negara seperti Iran namun kita bertegas mengambil tindakan, namun kumpulan sesat anti hadis langsung tiada negara hatta daerah di dunia ini yang menyokongnya, malangnya tindakan tidak cukup tegas pula.

Semoga umat Islam terpelihara dari doktrin sesat anti hadis yang dibawa oleh Kassim Ahmad dan pengikutnya. Inilah antara punca yang menjadikan umat Islam semakin lemah dan semakin mudah terjejas pegangannya.

DR. ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
Presiden

Multaqa Asatizah & Duat ( Murshid)

4 comments:

Sky Block Devilinside Prelude said...

Salam, Abe Rashid golongan ni (anti-hadis) gelincir dok akidah? bermakna memperlekehkan Nabi sebagai pembawa wahyu, dan kalo dikira kafir wajib perangi ko dok?

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

Kalau mrk menafikan Rasulullah sebagai nabi dan rasul utusan Allah, maka mereka tergelincir dari aqidah kerana ianya adalah salah satu drp rukun iman. Tidak dinamakan beriman sekiranya tidak memenuhi keenam-enam rukun tersebut. Sama ada mrk wajib diperangi atau tidak, itu tertaklu kpd pdgn fatwa ulama serta maslahah semasa yg ada.

Sky Block Devilinside Prelude said...

Terima kasih atas penjelasan tersebut

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

Fatwa:
Golongan Anti Hadith
Akidah

Tarikh Keputusan: 5 Jan, 1996
Keputusan:
1. Mana-mana orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku berikut:
(a) 'Hadis Satu Penilaian Semula' yang dikarang oleh Kassim Ahmad;
(b) 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik' yang dikarang oleh Kassim Ahmad;
(c) 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu: Hadis Di dalam Al-Quran' yang dikarang oleh Hj. Idris Abd. Rahman;
(d) 'Bacaan' yang dikarang oleh Othman Ali;
(e) 'The Computer Speaks; God's Message To the World' yang dikarang oleh Dr. Rashad Khalifa; dan
(f) Risalah "Iqra" terbitan Jemaah Al-Quran Malaysia;

(selepas ini disebut secara kolektif sebagai 'buku-buku dan risalah tersebut') adalah murtad.

2. Mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(1) untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah tersebut.

(2) untuk mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan atau mengedarkan buku-buku dan risalah tersebut atau mana-mana bahagian buku-buku dan risalah tersebut dalam;

(i) apa-apa bentuk versi atau variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku dan risalah tersebut itu pada atau atas apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(3) untuk menjadi anggota atau pemimpin mana-mana kumpulan yang tersebut dalam perenggan 1 atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.

Keterangan/Hujah:
Bahawa Hadith Nabi Muhammad SAW adalah satu sumber syariat Islam yang wajib dipegang oleh umat Islam berdasarkan :
a) Ayat-ayat al-Qur"an antara lain merujuk kepada:
i. Surah al-Hasyr : ayat 7
ii. Surah an-Nisa' : ayat 59, 65, 80, 105, 150-151
iii.Surah Ali "Imran: ayat 31-32
iv. Surah an-Nahl : ayat 44

b) Hadith Nabi SAW antara lain bermaksud :
i."Ikutilah Sunnahku dan Sunnah Khulafa' ar-Rasyidin yang diberi petunjuk sesudahku dan berpegang teguhlah padanya" (H.R. Al-Hakim)
ii."Aku telah meninggalkan kepada kamu dua perkara, Kitab Allah dan Sunnahku, tidak kamu sesat selama berpegang padanya" (H.R. Tirmizi)

c) Ijma' para sahabat Rasulullah SAW sama ada ketika hayat baginda ataupun sesudah baginda wafat.


Status Penwartaan: Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 29 Feb, 1996
Nombor Rujukan: PMM/0020 Klt.2 (26)
Akta/Enakmen: No. 78