hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, March 4, 2014

Pencerahan Buat Kassim Ahmad (Bahagian I)

Setelah membaca teks ucapan Kassim Ahmad sempena Seminar Pemikiran Dr. Kassim Ahmad yang dianjurkan oleh Yayasan Pemikiran Perdana pada 15 dan 16 Februari 2014 di Putrajaya membuatkan saya terpanggil untuk membuat sedikit pemurnian terhadap pemikiran idealist tersebut.

Agak terlalu sukar untuk membuat penjelasan kepada Kassim Ahmad menggunakan hujah hadis dan pandangan ulama Islam muktabar kerana beliau mempunyai pandangan yang skeptik terhadap kedua-dua sumber tersebut. Sedangkan dalam ajaran Islam, hadis dan pandangan ulama muktabar merupakan dua sumber rujukan perundangan dan hukum. Namun begitu, memadailah sekiranya tulisan saya ini boleh memberikan pencerahan terhadap kegelapan akal pandangan orang-orang yang mula berjinak atau terpengaruh dengan ’pemikiran’ modernis Kassim Ahmad tersebut.

Kesilapan terbesar Kassim Ahmad ialah merasai dirinya tahu dan pandai dalam bab agama terutama dalam menafsirkan ayat al-Quran. Sedangkan beliau tidak mempunyai pendidikan berasaskan agama apatah lagi pengajian bahasa arab yang menjadi tunjang utama untuk memahami firman Allah swt Yang Maha Suci dari segela sesuatu.

Saya ingin menyentuh beberapa perenggan daripada teks ucapan tersebut dengan sedikit penjelasan dan pencerahan agar orang yang terpengaruh dengan pemikiran Kassim Ahmad tersebut boleh menilai dengan akal yang sejahtera dan hati yang terbuka.

1. Kesalahfahaman Terhadap Hudud

Kassim Ahmad menyatakan bahawa ’konsep “sempadan Allah”, atau apa yang disalah-ertikan sebagai “hukum hudud”. Konsep ini langsung tidak ada kena-mengena dengan hukuman.’

Nampaknya beliau tidak memahami konsep pahala dan dosa dalam Islam. Sekiranya Allah mempunyai sempadan, adakah seseorang yang melanggar sempadan tersebut dikira bersalah atau tidak? Apa gunanya ada sempadan sekiranya sesiapa sahaja boleh melanggarnya sesuka hati kerana tidak dikira sebagai satu kesalahan. Bukankah pandangan atau pendapat tersebut terlalu dangkal? Nampaknya banyak lagi ayat al-Quran yang gagal difahami oleh beliau. Sedangkan beliau mencadangkan supaya al-Quran itu ditafsirkan semula secara bebas tanpa terikat dengan Hadis Rasulullah dan pandangan ulama. Adakah beliau tidak pernah membaca ayat firman Allah swt dalam surah an-Nisa’ ayat 14:

14.  Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya siksa yang menghinakan.

Allah swt sendiri menyatakan dalam al-Quran bahawa Dia akan memasukkan sesiapa yang melanggar ketentuan atau sempadanNya akan menyeksanya dalam neraka. Bukankah itu suatu hukuman yang telah ditetapkan Allah swt bagi sesiapa sahaja yang melanggar sempadanNya? Barangkali pengkajian Kassim Ahmad mengenai HUDUD masih belum sampai kepada ayat ini. Bukankah Kassim Ahmad sendiri menyatakan bahawa al-Quran itu sepatutnya ditafsirkan dengan al-Quran sendiri?

2. Menyamakan Ulama Dengan Paderi dan Kasta Hindu

Kassim Ahmad menyatakan bahawa ” Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran. Inilah kesilapan yang besar yang telah mereka lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi yang dipanggil ulama, seperti penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu.”

Allah swt telah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 7:


Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada Mengetahui.

Adakah Kassim Ahmad tahu siapakah Ahli Zikr itu? Jika saya kemukakan pandangan atau tafsiran ulama mengenai Ahli Zikr, tentu Kassim Ahmad atau orang yang mengikutinya tidak akan menerima hujah tersebut kerana mereka adalah golongan yang menolak pendapat ulama. Terlalu pelik jika kumpulan yang membawa slogan penafsiran semula al-Quran gagal untuk memahami kalimat dalam al-Quran?

Sekurang-kurangnya mereka boleh merujuk kamus dalam mencari erti atau makna Ahli Zikr tersebut agar fikiran mereka tidak tersasar. Bagaimana mereka ingin menafsirkan al-Quran tanpa panduan Hadis Nabawi dan pendapat ulama sedangkan syarat-syarat sebagai ahli tafsir pun mereka gagal memenuhinya. Al-Hafiz Imaduddin Ibn Kathir telah menafsirkan Ahli Zikr itu sebagai ulama.

Kassim Ahmad menyamakan ulama dengan paderi dan kasta Hindu adalah merupakan satu pemikiran yang jauh dari kebenaran. Ulama dalam Islam adalah orang yang diberikan ilmu oleh Allah swt dan Allah swt mengangkat martabat mereka sebagaimana firman Allah swt dalam surah al-Mujadalah ayat 11:


Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat.

Adalah suatu padangan yang salah apabila menyamakan ulama Islam dengan paderi dan kasta Hindu kerana Allah swt sendiri yang memperakui kelebihan ulama. Adakah mereka tidak membaca ayat ini atau mereka tidak memahami maksud ayat ini sewaktu membacanya?

Allah swt berfirman lagi dalam surah Fathir ayat 28:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama

Makin bertambah keraguan saya mengenai kredibiliti Kassim Ahmad dalam memahami al-Quran kerana padangan beliau mengenai kedudukan ulama adalah jauh tersasar dengan firman Allah swt. Sedangkan beliau sendiri yang menyeru agar penafsiran al-Quran itu tidak tertakluk kepada Hadis dan pandangan ulama tetapi memadai dengan ayat al-Quran itu sendiri. Namun Kassim Ahmad sendiri nampaknya telah gagal untuk memahami maksud harfiah kalimat a-Quran, apatah lagi untuk menafsirkannya.

Satu hadis nabi sebagai sokongan buat orang yang mahu mengambil pengajaran yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
إن مثل العلماء في الأرض كمثل النجوم يهتدى بـها في ظلمات البر والبحر فـإذا انطسمت النجوم أو شك أن تضل الـهداة. (رواه أحمد)
Sesungguhnya perumpamaan ulama di bumi ini adalah seperti bintang-bintang yang dijadikan petunjuk dalam kegelapan-kegelapan di darat dan di laut. Apabila bintang-bintang in lenyap di antara kegelapan-kegelapan tadi maka sudah tentu para penunjuk jalan akan dikhuatiri akan tersesat jauh.[1]

Saya percaya bahawa penjelasan ringkas ini boleh memberikan gambaran asas perbezaan ulama Islam dengan paderi dan kasta Hindu serta dapat menolak pandangan salah Kassim Ahmad tersebut.

3. Mendewa-dewakan ulama

Kassim Ahmad berkata ” Mereka mendewa-dewakan pemimpin ugama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka – apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’

Saya tidak pasti kepada siapakah Kassim Ahmad menujukan kata-kata tersebut kerana dalam Islam hanya Nabi dan Rasul sahaja yang maksum. Sekiranya ada golongan yang mengatakan bahawa ada orang lain selain Nabi dan Rasul juga maksum, maka ia telah terkeluar dari ajaran Islam. Atau Kassim Ahmad membuat andaian sendiri berdasarkan serkap jarang yang tidak mempunyai bukti yang kukuh di atas dakwaan tersebut? Allah swt telah berfirman dalam surah at-Taubah ayat 31:

31.  Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah[639] dan (juga mereka mempertuhankan) Al masih putera Maryam, padahal mereka Hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Adakah Kassim Ahmad memahami maksud ayat al-Quran di atas sehingga beliau menyamakan ulama dengan paderi ataupun kasta Hindu? Dalam ayat diatas, Allah swt menceritakan golongan manusia yang mematuhi ajaran-ajaran orang-orang alim dan rahib-rahib mereka dengan membabi buta, biarpun orang-orang alim dan rahib-rahib itu menyuruh membuat maksiat atau mengharamkan yang halal.

Adakah ulama Islam berbuat demikian sebagaimana yang diceritakan oleh ayat al-Quran tersebut? Nampaknya beliau telah gagal untuk memahami ayat al-Quran tersebut apatah lagi untuk menafsirkannya.

Pintu ijtihad ditutup kepada orang yang bukan ahli ijtihad. Tetapi masih terbuka bagi mereka yang memenuhi syarat dan kepakaran untuk terus berijtihad. Jika pintu ijtihad ini dibukakan seluas-luasnya sehingga kepada orang yang bukan ahli, maka ditakuti orang seperti Kassim Ahmad ini akan mengambil kesempatan untuk berijtihad dan berfatwa sesuka hati walaupun mereka sama sekali tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat demikian. Maka timbulah kekalutan dalam masyarakat.

Ulama ini adalah pengiktirafan yang diberikan masyarakat kepada seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan agama yang luas serta mempunyai kemahiran dalam membuat analisis hukum. Ulama ini bukan satu pangkat yang boleh didakwa oleh seseorang individu dengan sesuka hati.

InsyaAllah bersambung...


[1] Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, Martabat Ilmu & Ulama. PSN Publication, Shah Alam. 2012, muka surat : 67. 

No comments: