Prof Madya
Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Semalam ada
pihak yang bertanya saya tentang mereka yang memakai kasut semasa solat. Soalan
itu merujuk kepada kumpulan anak-anak muda yang membantah kenaikan harga barang
yang bersolat dalam keadaan memakai kasut di tempat mereka berkumpul. Ada pula
yang cuba menyatakan solat itu tidak sah, bahkan ada yang menyatakan itu
seperti menghina solat.
Rentetan
dari itu juga ada yang menyatakan anak-anak muda yang memakai topeng ala
vendetta dalam perhimpunan itu telah rosak akidah mereka kerana menyerupai
ajaran kristian.
Tujuan
Politik
Samada kita
bersetuju ataupun tidak dengan perhimpunan anak-anak muda, suatu hal yang lain,
tapi yang jelas kenyataan-kenyataan ini walaupun berbunyi agama tetapi hakikat
bukan bertujuan agama. Sebaliknya, bertujuan kepentingan politik pihak tertentu
malangnya, unsur agama dimainkan untuk menjatuhkan pihak yang bertentangan. Hal
ini berlaku dalam banyak pihak dan puak sepanjang sejarah politik manusia.
Memakai
kasut semasa solat bukanlah satu kesalahan jika kasut itu bersih dari najis.
Dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, ada riwayat yang disahihkan oleh al-Zahabi,
daripada Anas bin Malik, berkata:
“Nabi
s.a.w tidak pernah menanggalkan kasut dalam solat melainkan sekali, lalu
–ketika itu- orang ramai pun turut menanggalkannya. Nabi s.a.w bertanya:
“Mengapa kamu menanggalkan kasut kamu?”. Mereka menjawab: “Kami melihat engkau
menanggalkannya, maka kami pun tanggalkan”. Nabi s.a.w bersabda: “Jibril telah
memberitahu aku bahawa pada kedua kasutku ada kotoran”.
Dalam
riwayat Ibn Khuzaimah ditambah: “Seseorang kamu hendaklah melihat kasutnya,
jika ada kotoran hendaklah dia sapu di tanah (gesel hingga bersih di tanah),
kemudian dia boleh bersolat memakainya”
Ertinya,
bukan satu masalah yang besar, bahkan diizinkan solat memakai kasut jika
bersih. Namun ia dijadikan isu kerana ada kepentingan politik. Betapa ramai
yang pergi konsert yang pelbagai dalam negara ini yang entah bila mereka
bersolat pun tiada siapa yang tahu. Tidak pernah pula menjadi isu pun bagai
‘agamawan politik’ ini, tiba-tiba yang bersolat berkasut pula menjadi isu.
Topeng
vendetta memanglah bukan dari ajaran Islam, tapi sejak bila pula ia dari ajaran
Kristian?! V for Vendetta adalah hasil dari novel David Llyold dan Tony Weare
pada tahun 1982. Ia menjadi terkenal kerana difilemkan pada tahun 2005 dengan
tajuk ‘V for Vendetta’. Dalam sejarah, topeng itu menggambarkan keberanian Guy
Fawkers dan kumpulannya yang menentang penguasa yang menindas rakyat pada tahun
1605. Cuma dalam kisah topeng ini kumpulan pemuda yang menentang penguasa itu
agak ekstrim dengan merancang untuk membunuh King James dan meletupkan negara.
Dikatakan mereka juga ingin menghapuskan parlimen dan mengembalikan monarki
Katolik. Dari sudut itu, ia bukan satu perlambangan yang baik.
Cuma,
sebenarnya bukan isu kristianisasi yang ditakuti, sebaliknya isu politik yang
hendak dikaitkan. Betapa ramai orang politik negara ini yang hadir dalam majlis
sambutan Krismas, Depavali, sambutan itu dan ini yang dari segi latar
sejarahnya memang mempunyai unsur agama. Tidaklah pula mereka itu dikaitkan
dengan kristianisasi, hinduisisasi ataupun seumpamanya.
Demikian
juga sama apabila ada pihak yang mengharamkan muslim menyertai parti musuhnya yang
tidak meletakkan Islam sebagai dasar kerana dianggap menolak Islam. Namun
kemudiannya membolehkan muslim menyertai parti lain yang tidak berteraskan
Islam sebagai dasar disebabkan parti itu berbaik dengan mereka.
Semua
hukuman yang tidak selaras dan terpilih ini akibat dari menjadikan agama
sebagai senjata dalam berpolitik.
Politik
Agama
Percampuran
antara politik dan agama boleh membawa kesan yang positif yang diredhai dan
dikehendaki Allah dan RasulNYA, tapi boleh juga membawa kesan yang negatif yang
merosakkan agama Allah dan rasulNYA. Ia semua amat bergantung kepada siapa yang
mengendalikan percampuran tersebut. Atas apa hasrat dia ingin mencampurkan
agama dan politik menentukan hasil percampuran itu.
Jika dia
mencampurkan keduanya untuk mendapat panduan Tuhan dalam memimpin manusia
secara adil dan amanah maka itu membawa kepada kebaikan. Namun, jika
percampuran politik dan agama atas hasrat menguatkan kedudukan politik cuma,
maka itu akan merosakkan nama Allah dan agamaNYA. Agama hanya akan menjadi
mainan kepentingan penguasa dan segala tafsiran mempunyai kepentingan mereka
yang terbabit dalam politik.
Dalam
sejarah Kristian ketika golongan agama di Vatican menguasai politik, betapa
ramai tokoh-tokoh yang dihukum mati atas tuduhan heresy (murtad) hanya kerana
tidak bersetuju dengan penyelewengan pihak gereja dan kuasa politik. Umpamanya
dalam isu penjualan indulgences atau borang pahala yang dijadikan saluran untuk
golongan agama mengaut harta dengan cara menipu fakta agama, ramai dibunuh
kejam hanya kerana mengkritik. Demikian juga isu purgatory, relics, saints dan
pelbagai lagi yang menjadikan cara golongan agama menipu orang awam. Mereka
yang jujur bangun mengkritik dijatuhkan hukuman mati dan dibakar hidup-hidup.
Inilah nasib yang menimpa Jan Huss (1370-1415) yang merupakan reformis agama
Bohemian, yang dibakar hidup-hidup di khalayak ramai. Demikian tekanan yang
dikenakan kepada reformis agung Kristian Martin Luther (1483-1546) dan para
pengikutnya yang sebahagian mereka dibakar hidup-hidup. Golongan politik
mengambil kekuatan dari cengkaman kuasa agama ke atas rakyat. Penyelewengan
pengurusan dan harta negara bagaikan diampun Tuhan kerana golongan agama
bersama mereka.
Inilah hasil
apabila kuasa politik dicampur dengan agama yang dikendalikan oleh mereka yang
berkepentingan.
Politik
Islam?
Di negara
kita kini, lihat bagaimana ada pihak yang ‘so called’ agamawan yang sibuk
membaca dalil kepada rakyat supaya bersyukur dan jangan membazir kerana itu
amalan syaitan. Dalam masa yang sama tidak pula aktif membaca nas-nas ini
kepada golongan atasan.
Persoalannya,
apakah ayat-ayat Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan? Sementara
golongan atasan –samada sultan ataupun menteri- ayat-ayat Tuhan tidak terkena
mereka? Ada agamawan yang menghalalkan darah orang bawahan yang berkumpul
secara aman tanpa senjata. Kononnya mereka itu bughah yang dihalalkan bunuh.
Padahal bughah adalah istilah mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri.
Tidak dinamakan bughah yang boleh diperangi oleh pemerintah rakyat yang
berkumpul tanpa senjata. Dalam konteks hari ini, apakah bughah rakyat yang
masih membayar cukai dan mengikut pelbagai peraturan yang tetapkan oleh negara?
Kita mungkin
boleh tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut untuk dihalalkan
darah awam sedemikian rupa?
Lihatlah
bagaimana agama boleh menjadi senjata kuasa politik sehingga perintah
dibenarkan menumpah darah rakyat yang lemah. Saya tidak menyeru kepada
pengasingan agama dari politik kerana itu bukan tabiat Islam. Pun begitu, jika
agama sekadar senjata untuk kepentingan politik, lebih baik ia diasingkan.
Politik
Islam itu bukan semestinya membaca dalil agama itu dan ini sedangkan
intipatinya tidak memenuhi maksud rahmat dan keadilan yang menjadi tujuan
ajaran Islam. Sekali lagi saya nukilkan kata-kata al-Imam Ibn Qayyim
al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq
al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah:
“Berkata
al-Shafi’i: “Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak”.
Kata Ibn ‘Aqil: “Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya
manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak
ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan
dengan perkataanmu “Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak” iaitu
tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan
tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga
menyalahkan para sahabah.. apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya
memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan
agamaNYA.. bahkan Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan
mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam
kalangan hamba-hambaNYA dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa
saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama
ini, dan ia tidak menyanggahinya.”
Dipetik dari
http://drmaza.com/home/?p=2608
1 comment:
kepada yang beragama Islam, adakah semasa atau dalam aktiviti politik, Allah tidak ada? .... Allah hanya ada semasa aktiviti ibadah, muamalah, munakah sahaja..???
Post a Comment