hasbunallah

hasbunallah

Friday, August 29, 2014

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta



Tanggal 31 Ogos nanti, Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 57 dengan tema kali ini ‘Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’. Tema yang dipilih itu sangat signifikan bagi memberikan kesan mendalam dan melahirkan semangat kecintaan terhadap negara di dalam hati semua rakyat. Difahamkan, tema berkenaan adalah dipetik daripada lirik lagu Warisan yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad

Bagi saya, ia merupakan satu tema yang unik dan membangkitkan rasa berlainan daripada tema-tema sambutan ulang tahun kemerdekaan Negara kita sebelum ini. Tema kali ini membuatkan semua rakyat akan berfikir dan merenung sejarah perjuangan para pejuang kemerdekaan negara kita. Kerana cinta mereka kepada negara, nyawa mereka sendiri adalah sebagai taruhan yang tiada galang ganti.

Seorang tokoh pemikir arab al-A’ini menyebut bahawa beliau pernah bertanya A’rabi mengenai cinta. Maka dijawabnya ” Cinta itu satu perkara yang nyata lebih dari tersembunyi, tersembunyi lebih dari kelihatan, tersembunyi seperti tersembunyi kepanasan dan arang batu.”

Cintakan tanah air adalah satu fitrah yang diakui sendiri oleh Rasulullah saw sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dari Abdullah bin Abbas yang bermaksud:
Betapa engkau (Mekah) negeri yang terbaik dan engkau yang amat ku cintai. Jika bukan kerana kaumku yang mengusir aku daripada bumi engkau, maka sudah tentu aku tidak akan pergi melainkan kekal tinggal di bumi engkau.   

Dengan cintakan tanah air dan memastikan tanah air kita selamat serta aman, membolehkan kita mematuhi perintah Allah swt. Menegakkan hukum Islam, menyuruh kepada kebaikan dan menegah perkara mungkar. Ketika itu manusia akan dapat memenuhi sebahagian besar tanggungjawab sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini. Apabila seseorang cintakan tanah airnya, maka dia akan mempertahankan kedaulatan dan kemakmurannya daripada sebarang anasir yang tidak baik sama ada dari luar atau dari dalam. Saya percaya, setiap orang akan mempertahankan sesuatu yang dicintainya daripada diganggu oleh orang lain walaupun dengan nyawa sendiri.

Dalam Islam, terdapat kategori jihad mempertahankan tanah air apabila ianya diserang musuh sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Fiqh Manhaji dan hukumnya wajib apabila termasuk dalam kerahan am. Ini menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf cintakan tanah air dan kewajiban mempertahankannya.

Maka atas nama cinta, semua rakyat Malaysia mestilah memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keamanan dan keharmonian yang ada. Kita sedar bahawa Malaysia diduduki oleh masyarakat berbilang bangsa dan agama, oleh yang demikian setiap bangsa dan agama perlu mengamalkan sikap toleransi dengan menghormati agama, kepercayaan dan adat bangsa lain bagi mengekalkan keharmonian yang kita kecapi bersama.

Setiap warganegara mempunyai hak masing-masing yang dijamin oleh Perlembagaan dan undang-undang negara. Maka janganlah ada antara kita yang cuba membuat onar dengan memainkan sentimen perkauman seperti menghina adat, kepercayaan dan agama bangsa lain. Jika kita semua memahami perkara tersebut, maka kita akan menikmati rasa cinta pada tanah air yang lahir di hati kita.

Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke 57.