Tanggal 31 Ogos
nanti, Malaysia
akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 57 dengan tema kali ini ‘Di Sini
Lahirnya Sebuah Cinta’. Tema yang dipilih
itu sangat signifikan bagi memberikan kesan mendalam dan melahirkan semangat
kecintaan terhadap negara di dalam hati semua rakyat. Difahamkan, tema
berkenaan adalah dipetik daripada lirik lagu Warisan yang dipopularkan oleh
Allahyarham Sudirman Haji Arshad
Bagi saya, ia merupakan satu tema yang unik dan membangkitkan rasa berlainan
daripada tema-tema sambutan ulang tahun kemerdekaan Negara kita sebelum ini. Tema
kali ini membuatkan semua rakyat akan berfikir dan merenung sejarah perjuangan
para pejuang kemerdekaan negara kita. Kerana cinta mereka kepada negara, nyawa
mereka sendiri adalah sebagai taruhan yang tiada galang ganti.
Seorang tokoh pemikir arab al-A’ini menyebut bahawa beliau pernah bertanya
A’rabi mengenai cinta. Maka dijawabnya ” Cinta itu satu perkara yang nyata
lebih dari tersembunyi, tersembunyi lebih dari kelihatan, tersembunyi seperti
tersembunyi kepanasan dan arang batu.”
Cintakan tanah air adalah satu fitrah yang diakui sendiri oleh Rasulullah
saw sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dari Abdullah bin
Abbas yang bermaksud:
Betapa engkau (Mekah) negeri yang terbaik dan engkau yang
amat ku cintai. Jika bukan kerana kaumku yang mengusir aku daripada bumi
engkau, maka sudah tentu aku tidak akan pergi melainkan kekal tinggal di bumi
engkau.
Dengan cintakan tanah air dan memastikan tanah air kita selamat serta aman,
membolehkan kita mematuhi perintah Allah swt. Menegakkan hukum Islam, menyuruh
kepada kebaikan dan menegah perkara mungkar. Ketika itu manusia akan dapat
memenuhi sebahagian besar tanggungjawab sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini.
Apabila seseorang cintakan tanah airnya, maka dia akan mempertahankan
kedaulatan dan kemakmurannya daripada sebarang anasir yang tidak baik sama ada
dari luar atau dari dalam. Saya percaya, setiap orang akan mempertahankan
sesuatu yang dicintainya daripada diganggu oleh orang lain walaupun dengan
nyawa sendiri.
Dalam Islam, terdapat kategori jihad mempertahankan tanah air apabila ianya
diserang musuh sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Fiqh Manhaji dan
hukumnya wajib apabila termasuk dalam kerahan am. Ini menunjukkan bahawa Islam
mengiktiraf cintakan tanah air dan kewajiban mempertahankannya.
Maka atas nama cinta, semua rakyat Malaysia mestilah memainkan peranan
masing-masing dalam menjaga keamanan dan keharmonian yang ada. Kita sedar
bahawa Malaysia diduduki oleh masyarakat berbilang bangsa dan agama, oleh yang
demikian setiap bangsa dan agama perlu mengamalkan sikap toleransi dengan
menghormati agama, kepercayaan dan adat bangsa lain bagi mengekalkan
keharmonian yang kita kecapi bersama.
Setiap warganegara mempunyai hak masing-masing yang dijamin oleh
Perlembagaan dan undang-undang negara. Maka janganlah ada antara kita yang cuba
membuat onar dengan memainkan sentimen perkauman seperti menghina adat,
kepercayaan dan agama bangsa lain. Jika kita semua memahami perkara tersebut,
maka kita akan menikmati rasa cinta pada tanah air yang lahir di hati kita.
Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan
Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke 57.
No comments:
Post a Comment