Oleh:
Dr. Mohd
Nazari Ismail[1] dan Ahmad Nizam bin Samsudin[2]
Kesan GST
kepada Kos Kehidupan Rakyat Malaysia
Pengenalan
dan Latarbelakang
Semasa
pembentangan Belanjawan Kerajaan 2014 pada 25 Oktober 2013, Perdana Menteri Malaysia
telah mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan Goods and Services Tax
(GST) dan penghapusan Sales and Services Tax (SST) yang akan berkuatkuasa pada
1 April 2015.
Kerajaan
menyatakan bahawa langkah tersebut adalah perlu kerana keadaan kewangan kerajaan
adalah tenat. Ini terbukti apabila Syarikat Fitch, sebuah agensi ‘Rating’
menurunkan (downgrade) bon kerajaan ke tahap `Negatif’ pada bulan Julai
2013.[3]
Susulan dari
itu telah timbul perdebatan sama ada langkah itu adalah adil kepada rakyat atau
tidak serta sama ada ianya akan membebankan rakyat di masa akan datang.
Percukaian
di Malaysia – SST dan GST
Jika sistem
percukaian negara ini dilihat dengan lebih dekat, akan didapati rakyat Malaysia
telah pun membayar cukai dalam bentuk SST yang menjadi sebahagian daripada kos barangan
dan perkhidmatan semenjak tahun 1972 lagi. Beza antara GST dan SST ialah GST adalah
cukai nilai tambahan atau ‘value added tax’ (VAT) yang dikenakan bagi setiap urusniaga
yang berlaku. Kadar GST yang ditetapkan oleh kerajaan menentukan berapa banyak
cukai yang ditanggung oleh pengguna.
Mengikut
undang-undang, GST dikenakan ke atas setiap urusniaga kecuali urusniaga itu diberi
pengecualian dari skop GST. Semua perkhidmatan atau barangan yang tidak diumumkan
sebagai “dikecualikan” akan dikenakan GST. Walupun GST akan dikenakan pada setiap
peringkat urusniaga, namun pada akhirnya pengguna membayar sekali sahaja kerana
GST mempunyai mekanisma ‘Input tax credit’ dimana cukai yang dibayar oleh
sesebuah firma dalam proses pembuatan dan pengagihan boleh dituntut balik. Cuma
pengguna akhir sahaja yang tidak dapat meminta balik cukai yang dibayar. Di
samping itu, hanya firma yang menjual barang atau perkhidmatan melebihi
RM500,000 setahun diwajibkan mendaftar untuk mengenakan GST.
Secara
umumnya pakar-pakar percukaian di Malaysia bersetuju bahawa kaedah GST jika dilaksanakan
akan membantu kerajaan untuk meningkatkan pendapatan cukainya dalam jangka
panjang. Namun mereka berbeda pendapat berkenaan kesannya kepada pihak pengguna.
Alasan utama
kepada hujah yang menyatakan GST tidak membebankan rakyat ialah kadar yang
dikenakan adalah rendah iaitu 6% sahaja. Di samping itu, 40 kategori barangan
asas tidak akan dikenakan cukai langsung. Ini termasuk beras, gula, susu tepung
dan gandum. Di samping itu juga perkhidmatan yang diklasifikasikan sebagai
penting seperti perkhidmatan kesihatan adalah dikecualikan dari
cukai. Lagipun pelaksanaan GST juga bermakna SST akan dihapuskan.
Akibatnya bagi sesetengah keluaran harga mungkin akan menurun kerana penghapusan
cukai SST. Ini kerana di bawah sistem SST sedia ada, pengguna bukan
sahaja membayar cukai jualan, bahkan dalam kes minuman berkarbonat di hotel
sebagai contoh, pengguna juga dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus
yang dikenakan pihak hotel pula.
Sebaliknya
masalah cukai berganda ini tidak akan berlaku di bawah sistem GST kerana cukai yang
dibayar pemilik hotel diperolehi semula dalam bentuk kredit cukai input dan
tidak mewakili kos kepada hotel.
Namun
terdapat pandangan lain yang menyatakan bahawa ada beberapa aspek pelaksanaan GST
yang akan menghasilkan keadaan di mana harga barangan akan meningkat. Hujah utama
mereka ialah dengan pelaksanaan GST, walaupun kadar cukai adalah lebih rendah
dan banyak barangan dan keperluan asas adalah dikecualikan dari cukai, namun
skop GST adalah lebih besar kerana melibatkan banyak aktiviti urusniaga.
Sebagai contoh kos menghasilkan alat keluaran seperti mesin, bahan
pembungkusan, elektrik dan lain-lain semuanya akan dikenakan GST.
Akibatnya pengilang terpaksa menaikkan harga untuk menampung kenaikan kos
akibat GST ini walaupun ianya melibatkan pengeluaran barangan asas.
Dalam erti
kata yang lain, walaupun kadar cukai 10% sekarang (iaitu cukai jualan) akan dikurangkan
menjadi 6% dibawah GST, hakikatnya sekarang hanya 6-7 perkhidmatan harian yang
dikenakan cukai dan hanya 10–15 barangan harian yang digunakan dikenakan cukai.
Namun di
bawah sistem GST nanti 90% dari barangan dan perkhidmatan harian dikenakan cukai,
walaupun pada kadar yang lebih rendah. Jadi, bebanan rakyat seharian menjadi semakin
tinggi kerana semakin banyak barangan dan perkhidmatan yang perlu dibayar
cukai.
Kos
melaksanakan GST (seperti mencetak invois baru, membayar akauntan, kursus dan lain-lain)
dianggarkan mencecah RM15,000 setahun bagi setiap syarikat. Perbelanjaan ini
akan dimasukkan di dalam kos yang akan menaikkan harga. Ini akan memberi kesan
kepada peningkatan harga sesuatu barang.
Akhir sekali
apabila GST dilaksanakan nanti, 89% dari keluarga di Malaysia yang sebelum ini dikira
tidak perlu membayar cukai kerana pendapatannya rendah, perlu membayar cukai
GST secara tidak langsung. Malah, mereka juga tidak menikmati faedah dari
penurunan cukai pendapatan kerana pendapatan mereka rendah. Sebahagian besar
rakyat Malaysia tergolong dalam kumpulan ini yang terpaksa menanggung cukai
baru tetapi tidak pula mendapat faedah dari penurunan cukai sedia ada.
Berdasarkan
perbincangan di atas, tidak hairanlah kenapa wujud perbedaan pendapat berkenaan
sama ada GST akan meningkatkan kos kehidupan rakyat atau tidak.
Walau bagaimana pun kami berpendapat bahawa
pandangan yang menyatakan bahawa pelaksanaan GST tidak akan menghasilkan
kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah tidak meyakinkan. Sebaliknya
kami merasakan bahawa kenaikan harga asas masih akan pasti berlaku akibat
fenomena kenaikan kos pengeluaran barang dan perkhidmatan yang menyeluruh di
dalam pasaran. Cuma kadar kenaikan harga mungkin tidak berapa tinggi buat masa
terdekat memandangkan kadar cukai yang ditetapkan adalah hanya 6% buat masa
ini.
Di samping
itu, sistem GST yang memerlukan pengiraan cukai input dan output yang lebih teliti
oleh peniaga akan menyukarkan mereka dalam memberi fokus kepada perniagaan
utama mereka. Masalah kurang ketelitian cukai input dan cukai output ini
mungkin akan menyebabkan peniaga lebih sukar untuk menganggar kos sebenar
perbelanjaan perniagaan mereka dan ini menyebabkan mereka terpaksa menaikkan
harga barang atau perkhidmatan mereka. Tambahan pula kos hal pentadbiran bagi
mengurus pelaksanaan GST akan bertambah dan ini juga akan meningkatkan harga
barang dan perkhidmatan. Akhir sekali, jika kadar cukai GST dinaikkan lagi
(dari kadar 6% sekarang) dan melibatkan banyak lagi kategori barangan dan
perkhidmatan, maka kos kehidupan rakyat sudah tentu akan meningkat lagi.
Rumusan
Pelaksanaan
cukai SST atau GST sebenarnya tidak akan mampu menyelesaikan masalah kewangan
kerajaan serta masalah kenaikan harga barangan. Ini kerana punca kepada masalah
adalah kombinasi banyak faktor termasuk sistem Riba yang diamalkan di negara
kita serta perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal akibat amalan pembaziran
dalam perbelanjaan kerajaan dan amalan korupsi yang berleluasa.
Oleh kerana
itu kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada usaha mengawal perbelanjaannya
dengan menghapuskan amalan pembaziran dan amalan korupsi. Disamping itu
kerajaan dan rakyat juga mesti mengorak langkah untuk membersihkan segala
bentuk amalan riba dalam sistem ekonomi dan kewangan negara demi kesejahteraan
masyarakat dalam jangka panjang.
Artikel khas
oleh Unit Penyelidikan IKRAM
[1] Profesor
di Jabatan Dasar dan Strategi, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya
[2] Akauntan
Bertauliah (M) dan Pengarah Hazi and Nizam Corporate Services Sdn. Bhd.