hasbunallah

hasbunallah

Sunday, March 24, 2019

Keganasan Bukan Milik Mana-Mana Agama


Keganasan merupakan satu perbuatan yang dikutuk oleh semua agama. Keganasan juga bukan milik mana-mana agama. Bahkan amat salah jika kita menetapkan bahawa keganasan itu ajaran daripada mana-mana agama.  Sebagai contoh, Islamophobia yang menjadi anutan masyarakat barat terhadap Islam dengan meyakini bahawa Islam itu agama pengganas. Setiap keganasan yang berlaku mereka kaitkan dengan Islam. Sehinggakan kejadian 09/11 juga dikaitkan dengan Islam walaupun terdapat kajian yang mempertikaikan tuduhan tersebut.

Mungkin mereka tidak tahu bahawa kitab al-Quran yang menjadi pegangan utama umat Islam mencatatkan firman Allah yang melarang umatnya daripada melampau.

قُلۡ يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ لَا تَغۡلُواْ فِي دِينِكُمۡ غَيۡرَ ٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهۡوَآءَ قَوۡمٍ قَدۡ ضَلُّواْ مِن قَبۡلُ وَأَضَلُّواْ كَثِيْرًا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ 
Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul" (al-Maidah: 77)

Sekiranya Allah swt sendiri yang melarang umat Islam daripada melampau, mana mungkin ‘melampau’ itu menjadi sebahagian daripada ajaran agama? Setiap larangan, maka isyaratnya jelas bahawa ia bukanlah daripada ajaran Islam.

Antara sebab-sebab yang boleh berlakunya keganasan adalah kerana terdapatnya sifat fanatik, taksub dan melampau dalam fikiran seseorang menyebabkan segala tindakan mereka dipengaruhi oleh sifat-sifat tersebut. Sifat fanatik, taksub dan melampau berkaitan bangsa dan agama adalah antara yang amat merbahaya yang boleh menjuruskan kepada keganasan.

Sebelum ini masyarakat barat terutamanya mengaitkan tragedi 09/11 dengan Islam menyebabkan Islam terus dilabelkan sebagai agama keganasan. Namun begitu, mereka seolah-olah lupa atau cuba untuk menutup mata dengan tindakan-tindakan kejam zionis Yahudi terhadap penduduk Islam Palestin sejak bertahun-tahun lamanya mereka ditindas serta dibunuh.

Kitab Talmud (iaitu kitab yang mengandungi syariat dan ajaran-ajaran Yahudi) telah menyebut, bahawa seorang Yahudi di sisi Allah dianggap lebih baik dan lebih dikasihi daripada Malaikat, dan seorang Yahudi itu adalah sebahagian daripada Allah, kerana itu apabila seorang bukan Yahudi memukul Yahudi maka seolah-olah dia memukul keagongan Ilahi. Perbezaan antara martabat manusia dan haiwan adalah seperti perbezaan antara Yahudi dan bukan Yahudi, hinggakan harus bagi Yahudi memberi makan anjing pada hari·hari perayaan, sedangkan memberi makan kepada manusia bukan Yahudi adalah diharamkan.

Dalam tragedi terbaru yang berlaku ialah serangan ganas tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang dilakukan pendokong "white supremacy” yang bernama Brenton Tarrant. Berdasarkan tulisan-tulisan yang ada, dia adalah penganut Kristian mendokong fahaman ‘ketuanan kulit putih’ menyebabkan dia membenci bangsa dan agama lain. Daripada tulisan-tulisan yang terdapat pada senapang yang digunakan oleh Brenton, jelas menunjukkan bahawa dia adalah golongan fanatik, taksub dan melampau yang telah membunuh 49 orang ketika mereka bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.

Jadi, daripada 2 contoh di atas maka jelas menunjukkan bahawa taksub, fanatik dan melampau yang boleh menyebabkan keganasan adalah bukan milik Islam dan mana-mana agama. Malah golongan ini ada dalam mana-mana agama namun mereka berfahaman menyimpang daripada ajaran agama mereka.

Fahaman yang salah berkaitan bangsa dan agama akan menyebabkan berlakunya keganasan. Tidak ada salahnya untuk mencintai dan menyanjungi bangsa dan agama, namun apabila salah fahaman dalam perkara tersebut boleh membawa kepada fahaman bahawa bangsa lain adalah lebih rendah martabatnya dan agama lain wajib diperangi. Maka disitulah akan tercetusnya keganasan. Rasulullah SAW telah bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلَّا بِالتَّقْوَى. (رواه أحمد)
Wahai mannusia, ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu adalah satu, dan bapa
kamu juga satu (yakni Adam a.s.). Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas bukan Arab, dan tidak juga kelebihan bukan Arab ke atas orang Arab, dan tidak ada kelebihan bagi yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam dan tidak Juga yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah kecuali dengan bertaqwa. (Ahmad bin Hanbal)

Maka berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas, Islam melarang umatnya daripada fanatik, taksub dan melampau kerana ia akan menjadi punca kepada keganasan. Adalah amat salah apabila ada pihak yang mengaitkan Islam dengan keganasan kerana keganasan bukanlah ajaran Islam. Firman Allah SWT:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ 
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (an-Nahl: 125)

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Islam ini adalah agama kedamaian yang mengajak penganut agama lain dengan cara hikmah dan bijaksana. Semoga ia menjadi mengajaran dan iktibar kepada kita dengan tragedi yang berlaku di Christchurch tersebut.





Monday, March 11, 2019

Biarkan Serunai Ini Iringi Tari Kalian


Julung-julung kalinya Usrah Jamadil Kubra mengadakan Hari Gelanggang Keluarga pada 14 Februari 2019 yang lalu bertempat di rumah Cikgu Zaini. Urusan pengaturan acara majlis diserahkan kepada anak-anak (Bentara).

Satu ketetapan telah dibuat bahawa semua orang kena bersilat tanpa sebarang alasan. Tidak kira kecil atau besar, muda atau tua. Maka kalutlah para ahli keluarga untuk berlatih bagi mengingat kembali langkah tari yang sudah lama berkarat di tinggalkan.

Majlis yang memberikan ruang dan peluang yang luas serta besar kepada ahli keluarga untuk bersilat semahu mereka. Melepaskan segala yang terbuku di hati, merungkai segala simpulan simpulan mati dan membebaskan segala yang terkurung dalam sangkar hati.

Majlis dimulakan dengan solat hajat pada sebelah malam dan pada sebelah paginya upacara membuka gelanggang dimulakan dengan sembah tari oleh para Paduka kelurga dan kemudiannya diikuti oleh para anak-anak Bentara.
Walaupun masing-masing mempunyai perguruan silat yang berlainan langkah serta perbezaan sembahnya, namun kami tetap boleh menari dalam satu gelanggang keluarga yang sama tanpa sumbang. 

Program ini cukup memberikan kepuasan kepada saya kerana ia dapat mengumpulkan ahli Usrah Jamadil Kubra serta dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan.