hasbunallah

hasbunallah

Monday, January 19, 2009

UMNO & HANTU


Dalam kesyukuran anugerah kemenangan yang diberikan Allah s.w.t dalam Pilihan Raya Kecil P.036 Kuala Terengganu, saya sedikit terkejut walaupun sudah menjangka bahawa Dato' Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Putera Umno Malaysia akan membuat kenyataan menafikan bahawa beliau telah ditangkap oleh pasukan petugas Pas dari Kedah.

Saya tersenyum sendirian bila memikirkan kejadian tersebut kerana sayalah peguam yang bertanggungjawab membawa Syed Fadhil Hussain dan Ahmad Rizal untuk membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Chabang 3, Losong.

Syed Fadhil dan Ahmad Rizal menceritakan kepada saya bahawa ketika mereka menahan Dato Azeez setelah beliau keluar dari kawasan pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang 3, Dato' Azeez mendakwa bahawa beliau adalah orang Terengganu. Namun mereka berdua menjawab: " Dato nak tipu sapa, kami ni orang Kedah kawasan Dato'." Dalam loghat Kedah yang agak pekat menyebabkan Dato Azeez terkesima dan lari setelah mereka cuba untuk memanggil pegawai Polis yang bertugas di kawasan tersebut. Selain Syed Fadhil dan Ahmad Rizal, terdapat beberapa individu lagi yang terlibat dalam 'penagkapan' Dato' Azeez tersebut. Mereka semua telah memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Chabang 3 Losong.

Semasa saya dan beberapa orang lain termasuk Syed Fadhil dan Ahmad Rizal masuk ke pejabat pertanyaan Balai Polis Chabang 3 tersebut, terdapat dua orang wanita sedang membuat laporan polis mengenai kehilangan kad pengenalan. Saya diberitahu bahawa salah seorang wanita tersebut hilang kad pengenalannya setelah memberikan kepada petugas pondok panas BN untuk menyemak nama dalam daftar pemilih. Entah bagaimana tiba-tiba kad pengenalan tersebut boleh hilang begitu sahaja. Pelik bin ajaib...mungkin ada hantu atau toyol yang mengambilnya.

Manakala wanita kedua pula yang dalam keadaan menangis memberitahu polis bahawa beg duitnya telah dicuri sewaktu sedang bersolat di bilik gerekan UMNO. Semua barang-barang dalam beg tersebut termasuk kad pengenalan juga turut hilang. Ini lagi pelik, hantu pun boleh mendekati orang sedang solat ke?

Apalagi, Ahmad Rizal memberitahu mereka dalam loghat Kedahnya yang pekat " Itulah hangpa, masuk ke tempat hantu, sekarang dah kena curi dek hantu!"

Bila memikirkan keadaan ini, timbul pertanyaan dalam fikiran saya. SIAPAKAH SEBENARNYA HANTU???

ADAKAH ANDA MEMPUNYAI JAWAPANNYA??


Sunday, January 18, 2009

Syukur..Pas Menang di Kuala Terengganu


Walaupun kepenatan masih lagi terasa, namun kesyukuran dan kepuasan hati amatlah dirasai tatkala diumumkan bahawa calon Pas, YB Haji Abdul Wahid Endut diisytiharkan sebagai ahli parlimen dalam Pilihan Raya Kecil P. 036 Kuala Terengganu.

Saya yang menyertai Legal Team, Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan bersama rakan-rakan yang lain turut menyumbangkan tenaga untuk mempastikan kemenangan Islam di sana.

Syukur kepada Allah s.w.t diatas anugerah kemenangan yang diberikan kepada kita. Namun di sana banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memastikan keberlangsungan Islam. Pas Terengganu perlu membuat muhasabah dari segi gerak kerja yang dilakukan dalam pilihan raya kecil baru-baru ini. Saya lihat masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.

Contohnya, saya telah ditugaskan untuk memantau perjalanan pembuangan undi bagi upu Losong Haji Shafie, Wakaf Beruas dan Seberang Baruh melihat jentera tempatan agak 'slow' jika hendak dibandingkan dengan jentera dari negeri pembantu yang mana bagi ketiga-tiga upu tersebut dibantu dari jentera negeri Kedah dan Perlis. Kehebatan jentera dari Negeri Kedah dan Perlis jauh lebih terserlah dari jentera Pas Terengganu sendiri.

Mungkin saya tidak mempunyai maklumat yang jelas mengenai gerak kerja jentera Pas tempatan. Ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pengamatan saya yang turut bersama membantu jentera Pas Terengganu. Sikap orang Terengganu juga perlu diubah dalam menerima bantuan dari jentera luar. Ramai orang berpendapat bahawa orang Terengganu 'sombong'. Tapi saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya, namun saya juga turut mengalami tempias ini sewaktu bertugas disana. Mungkin hanya segelintir mereka sahaja yang bersikap begitu kot!!

Seterusnya Lajnah Guaman Pas Terengganu juga perlu menarik para peguam yang aktif dalam parti untuk turun bersama berganding bahu bagi memastikan kemenangan parti. Saya tidak mahu memberikan angka peguam Pas Terengganu yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu baru-baru ini. Namun jika hendak dibandingkan dengan Legal Team dari Kelantan yang menghantar 11 orang peguam, tentunya jumlah tersebut lebih banyak dari peguam Pas Terengganu sendiri.

Tujuan saya bukanlah untuk memperburukkan mana-mana pihak, tapi sekadar muhasabah yang perlu dilakukan agar ianya tidak lagi berlaku dikemudian hari demi memastikan kemenangan Islam terus berkekalan.

Monday, January 5, 2009

Israel & Amerika Laknatullah


Ketika luahan perasaann ini ditulis, sudah masuk lapan hari tentera rejim zionis Israel mengadakan kempen penghapusan etnik keatas penduduk Palestin di Wilayah Gaza. Rumah- rumah penduduk dibedil dan dibom sesuka hati mereka dengan alasan bahawa kediaman tersebut merupakan stor penyimpanan senjata Hamas serta menjadi tempat persembunyian pejuang Hamas.


Namun alasan dangkal itu hanyalah sekadar untuk menutup jenayah pembunuhan yang mereka lakukan dengan meningkatnya kematian dari kalangan orang awam termasuklah kanak-kanak yang tidak berdosa. Betapa kejamnya rejim Israel yang kononnya kempen ketenteraan mereka itu adalah untuk menyekat kemaraan para pejuang Hamas daripada terus membedil roket dan mortar ke wilayah Israel.


Ironinya, Amerika yang kononnya berlagak sebagai polis dunia yang selalu menjuarai isu kemanusiaan hanya sekadar menutup mata terhadap kekejaman Israel sekutu jenayah mereka itu. Malah George W. Bush meletakkan beban kekejaman tersebut kepada pejuang Hamas dengan dakwaan jahat kononnya Hamas adalah sebagai punca rejim Israel melancarkan kempen ketenteraan tersebut. Bapa penjahat dunia itu terus membela tindakan tersebut dengan mengatakan bahawa Israel hanyalah sekadar mempertahankan diri mereka sahaja daripada ancaman Hamas.


Pelik tapi benar. Itulah yang boleh dikatakan mengenai dakwaan jahat Bush itu. Masuk akalkah sebuah negara haram Israel yang mempunyai kekuatan ketenteraan antara yang tercanggih dan terbaik di dunia takut kepada tembakan mortar dan bedilan roket sebuah kumpulan pejuang kecil seperti Hamas. Malah saya yakin bahawa Hamas tidak mempunyai sebarang kereta kebal, kereta perisai apatah lagi jet pejuang jika hendak dibandingkan dengan Israel. Adakah alasan Israel untuk mempertahankan diri itu boleh menjustifikasikan tindakan mereka membedil penempatan dan rumah orang-orang awam Palestin di Gaza?


Manakala Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengeluarkan sebarang ketetapan mengenai perkara tersebut kerana wakil tetap Amerika dalam majlis tersebut membantah cadangan 15 anggota majlis yang lain untuk mengadakan resolusi menyekat kemaraan Israel. Sekali lagi Amerika menggunakan kuasanya untuk mempertahankan tindakan jahat Israel itu. Ianya jelas menunjukkan Amerika sebenarnya bersekongkol dengan Israel dalam jenayah perang terhadap Palestin tersebut.


Seluruh masyarakat dunia mengutuk tindakan kejam dan jahat Israel itu dengan mengadakan perhimpunan bantahan secara aman. Namun sejauh manakah ianya berkesan bagi menyekat atau menghentikan tindakan ganas Israel itu? Saya bukanlah hendak memperkecilkan demonstrasi membantah kekejaman Israel itu, malah sebagai Muslim kita wajib mencegah sebarang kemungkaran atau kejahatan walaupun hanya sekadar dalam hati. Tapi adakah setakat itu sahaja usaha kita untuk membantu saudara seagama kita di Palestin bagi menghalang kekejaman Israel daripada terus berlarutan? Dimanakah persaudaraan Iman yang kita lafazkan dalam syahadat sedangkan secara realitinya kita masih bersepakat untuk tidak bersatu.


Saya yakin dan percaya sekiranya seluruh negara Islam bersatu untuk membantu saudara seagama kita khususnya Palestin, nescaya negara kecil seperti Israel itu pasti akan dikalahkan. Namun itulah ujian yang perlu kita hadapinya hingga sekarang dan ia adalah diantara sebab kenapa umat Islam masih tidak dapat merebut kembali Masjid al-Aqsa daripada tangan Yahudi. Mungkinkah Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada kita sehingga kita semua bersatu hati dibawah satu panji keimanan?


Ya Allah, kami letakkanMU dibatang leher musuh kami, dan kami berlindung dengan MU dari kejahatan mereka. Ya Allah, leburkanlah kumpulan mereka, kacau bilaukan persatuan mereka, cerai beraikanlah pakatan mereka, goncangkanlah oendirian mereka. Hantarkanlah anjing-anjing MU keatas mereka.

Wahai Tuhan yang gagah perkasa, wahai Tuhan yang penuh raksaksa, wahai Tuhan yang bersifat murka. Wahai Tuhan yang menurunkan al-Quran, wahai Tuhan yang mengarakkan awan, wahai Tuhan yang menewaskan tentera Ahzab, kalahkanlah mereka, menangkanlah kami keatas mereka.



Wednesday, December 31, 2008

Sambutan Tahun Baru Melalaikan


KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak mengadakan sambutan tahun baru 2009 sememangnya bertepatan dengan keadaan semasa. Namun, lebih elok sekiranya acara sambutan itu dibuang terus daripada agenda tahunan kerajaan kerana ia ternyata membazirkan duit rakyat dan lebih banyak mengundang masalah berbanding manfaat. Alasan mengatakan penangguhan sambutan itu berlaku kerana fenomena kemelesetan ekonomi dunia, bencana alam di Bukit Antarabangsa, menghormati Maal Hijrah dan serangan Israel terhadap Palestin sebenarnya alasan sementara yang mungkin berguna untuk menangguhkan sambutan itu tahun ini, akan tetapi tidak lagi relevan pada tahun mendatang. Apa yang pasti budaya konsert dan menunggu detik loceng jam pada waktu tengah malam sebenarnya bertentangan dengan Islam dan fitrah manusia. Sambutan itu tidak banyak memberikan impak positif kepada perkembangan rakyat kerana kebiasaannya selepas majlis itu kadar jenayah, tahap kebersihan dan masalah moral akan meningkat dengan mendadak.

Penganjuran acara itu juga bertentangan dengan galakan kerajaan agar rakyat mengamalkan gaya hidup sihat. Mana mungkin mendapat hidup sihat sekiranya waktu tidur terganggu dengan pesta sedemikian. Selain itu, budaya berjaga malam untuk berpesta juga bertentangan dengan fitrah malam yang dijadikan khusus untuk manusia berehat seperti firman Allah: "Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya, perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya)" (Yunus:10.67). Firman Allah lagi; "Dan di antara rahmat pemberian-Nya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki daripada limpah kurnia-Nya dan juga supaya kamu bersyukur" (al-Qasas: 28.73).

Juga firman Allah: "Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur" (Ghafir: 40.61).
Sambutan itu yang rata-ratanya berakhir selewat jam tiga pagi sudah pasti akan melahirkan anggota masyarakat yang sakit, tidak produktif, malas dan dimurkai Allah kerana terbabit dengan budaya mungkar seperti pergaulan bebas dan meninggalkan solat fardu subuh pada keesokan harinya. Peningkatan masalah ini ternyata merugikan negara dalam segenap aspek. Bayangkan masa dan tenaga kerja membabitkan polis, Kementerian Kesihatan, hospital, klinik dan pihak berkuasa tempatan untuk mengurus masalah jenayah, kesihatan dan kebersihan akibat daripada majlis itu.

Untuk itu intelektual negara dalam semua bidang perlu tampil memberikan buah fikiran bernas mengenai kaedah menyambut tahun baru, sekiranya berasakan sambutan itu satu tuntutan yang amat diperlukan negara. Namun, biarlah sambutan itu dalam acuan kita sendiri bersesuaian dengan status negara Islam.


ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ,
Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa,
Universiti Islam Antarabangsa.


Dipetik dari Berita Harian

Biar Ada Objektif Sambut Tahun Baru, Perbaiki Kelemahan


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar


2009 pasti menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha bersungguh-sungguh merubah keadaan MINGGU ini adalah minggu yang penuh bermakna. Tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertukar pada minggu ini. Dua hari lalu umat Islam meraikan tahun baru Hijrah ke-1430. Perayaan ini lebih dikenali sebagai Maal Hijrah yang membawa maksud bergerak bersama hijrah. Esok pula tahun Masihi yang baru akan muncul. Tahun 2009 Masihi seperti biasa akan disambut oleh segenap lapisan masyarakat. Pelbagai program dibuat bagi menyambut tahun baru ini. Bukanlah tujuan penulis ingin menyanggah program sambutan tahun baru, tetapi sambutan itu biarlah berpada-pada dan mempunyai maksud yang jitu. Sambutan Maal Hijrah dan tahun baru sepatutnya dibuat dengan objektif memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada tahun ini dan tidak mengulanginya pada masa akan datang.

Kemunculan tahun baru ini seharusnya menjentik minda kita memikirkan apakah yang berlaku sepanjang tahun dan bagaimana pula kita akan menghadapi tahun baru nanti. Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiada gunanya tahun berlalu tanpa sebarang manfaat yang kita peroleh. Tiada manfaatnya tahun berlalu tanpa kita memperbaikinya untuk masa akan datang. Apa yang berlaku sudah tercatat sebagai sejarah. Tiada siapa dapat mengubahnya. Sejarah itu pasti berulang. Itulah lumrah alam. Oleh yang demikian, kita tidak dapat lari daripada memikirkan apa yang berlaku kepada kita.
Jika kita menyorot apa yang berlaku sepanjang tahun, tentu banyak perkara yang akan merungkai minda kita. Bersama-samalah kita meneliti kembali apa yang berlaku dan mencari jalan bagaimana mengatasinya. Umpamanya alam bersuara kerana kerakusan manusia melakukan pembangunan yang langsung tidak mengambil kira panduan yang diberikan agama. Walaupun al-Quran menegaskan gunung ganang itu adalah pasak bumi, ketamakan manusia mengatasi panduan ini kerana mereka memusnahkan pasak yang akan mengelakkan tanah runtuh dan malapetaka. Itulah sebabnya Allah memberi amaran kepada kita dengan mendatangkan musibah. Namun, ternyata Allah masih sayangkan kita kerana musibah yang melanda masih kecil berbanding musibah yang terpaksa ditempuhi orang lain di tempat lain. Ramai juga yang menanam keazaman tatkala muncul tahun baru. Namun, azam itu kebanyakannya hanya tinggal azam tanpa mendatangkan hasil. Inilah yang menjadi masalahnya kerana tiada kesungguhan di dalam merealisasikan keazaman masing-masing.

Penulis mengharapkan tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun bibit penambahbaikan itu mula dirasai, ia bukannya suatu jaminan agar umat Islam berasa selesa dan menghentikan perjuangan. Walaupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam disemai, masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan antara NGO Islam. Walaupun keputusan beberapa kes di mahkamah berpihak kepada Islam, peguam Islam perlu menghadapi lebih banyak kes yang mencabar kedaulatan Islam pada tahun depan. Melihat kepada cabaran akan dihadapi nanti, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baru.

Tahun baru mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya. Bukan caranya menyambut tahun baru dengan pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya bangsa dan agama. Bagi anak yang mula melangkah ke alam persekolahan tentulah 2009 menjanjikan kelainan kepada pelajar. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan alam persekolahan. Begitu juga bagi pelajar lain yang bercuti lebih sebulan akan memasuki semula sekolah masing-masing. Sudah pasti ketika cuti sekolah pelbagai aktiviti dilakukan bagi memanfaatkan cuti sekolah mereka. Rutin harian persekolahan akan kembali mewarnai hari persekolahan. Penulis juga mengharapkan perpecahan di kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki.

Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula akan dapat ditingkatkan di samping saling menghormati antara satu sama lain sejajar prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita. Apa yang penting ialah kita menelusuri sejarah dan berpegang dengannya. Jangan sesekali mengherdik orang lain seperti kita sendiri tidak mahu diri kita diherdik. Jangan memperlekehkan orang lain seperti kita tidak mahu diri kita diperlekehkan. Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi 1430H/2009M ini. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain. Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada 2009. Perjuangan tidak akan berhenti. Perjuangan memerlukan pengorbanan. Perjuangan masih belum selesai. Oleh itu, setiap umat Islam perlu memainkan peranan masing-masing bagi menegakkan syiar Islam.

Setiap orang penting dan perlu menggalas tanggungjawab masing-masing. Besar atau kecil, Allah yang menentukannya. Walaupun 2008 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran dan perpaduan masyarakat, 2009 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang berlaku. Untuk itu pihak kerajaan, -badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri saja. Moga tahun baru ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa.

Bagi pihak Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), penulis mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah dan selamat tahun baru kepada semua ahli PGSM, pembaca ruangan Peguam Syarie Menulis dan Hak Muslim serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam. Bagi yang bukan Islam PGSM mengucapkan selamat tahun baru. Penulis juga mengambil kesempatan ini untuk mengukir sebuah penghargaan kepada pengurusan Berita Harian termasuk pengarang dan wartawan yang menjadi sahabat kepada PGSM dan memperuntukkan ruangan kepada PGSM. Moga pertautan erat sebegini akan dapat diperkukuhkan tahun depan dan seterusnya. Semoga keimanan kita makin bertambah.


Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.


Dipetik dari Berita Harian

Thursday, December 4, 2008

Sensitiviti Kaum Bukan Alasan Halal Penjualan Arak


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Jati diri umat Islam dikorban kerana meletakkan hawa nafsu mengatasi kepentingan awam. TINDAKAN Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan Pas Selangor untuk memperkenalkan peraturan membataskan penjualan arak berkuat kuasa Januari depan, amat dikesali. Alasan yang diberikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana menghormati sensitiviti berbilang kaum dan agama di negeri itu amatlah pelik dan tidak masuk akal. Apa yang dicadangkan Pas Selangor hanya peraturan membabitkan orang Islam. Tidak langsung timbul masalah dengan masyarakat berbilang bangsa atau cubaan untuk melaksanakan undang-undang Islam terhadap bukan Islam.

Mereka bebas mengamalkan agama masing-masing. Ini juga menggambarkan keretakan dan keampuhan kerajaan diterajui PKR di negeri itu. Penulis tidak berhasrat menulis isu politik, tetapi secara objektifnya hanya menyentuh aspek perundangan dan hukum syarak yang menunjukkan betapa silapnya keputusan kerajaan negeri itu. Ruangan ini juga bulan lalu menulis berhubung rasional mengehadkan penjualan arak di kalangan orang bukan Islam dari sudut perundangannya. Rencana itu boleh didapati melalui laman web www.peguamsyarie.org. Seperti dinyatakan di atas, peraturan dicadangkan hanya dilaksanakan terhadap orang Islam dan isu berbilang kaum dan agama tidak harus diketengahkan.

Sering kita berlindung di bawah sensitiviti ini bagi mengelak daripada mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Namun, sebenarnya kita mengorbankan jati diri umat Islam serta menerjah keluar tatacara kehidupan yang dianjurkan Rasulullah. Tidakkah akhlak Rasulullah adalah terbaik dan tidak minum arak.

Demi menjaga sensitiviti ini, Kerajaan Selangor sebenarnya mempromosikan kesalahan jenayah kerana bagi umat Islam menjadi kesalahan minum arak di tempat awam atau kedai minuman yang memabukkan. Bukan minum saja yang menjadi kesalahan, membuat, menjual menawarkan untuk jualan, mempamer untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman memabukkan juga adalah satu kesalahan. Perkara ini jelas termaktub di dalam seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. (lihat info) Menerusi seksyen ini, pihak berkuasa atau kerajaan mesti berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan arak dan dalam memberikan lesen itu harus diletakkan syarat penjual arak bukan orang Islam.

Kerajaan negeri perlu menghormati Islam sebagai agama negeri dan Persekutuan lebih daripada segalanya kerana kedudukan Islam disebut secara khusus dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan. Kerajaan negeri tidak harus menutup sebelah mata terhadap peruntukan ini.

Secara tuntas, tindakan Selangor mempromosikan kesalahan itu kerana kebanyakan penjual di kedai serbaneka 24 jam umpamanya ialah orang Islam. Mereka menanggung risiko ditangkap dan dituduh atas kesalahan dinyatakan di atas. Ada juga umat Islam menganjurkan supaya diboikot kedai seperti ini dan membuat aduan terhadap kedai berkenaan. Namun, hakikatnya yang akan menjadi mangsa ialah pekerja Islam yang menjual arak dan kita tiada pilihan bagi mereka mendapatkan pekerjaan. Dalam erti kata lain, majikan mengaut keuntungan daripada penjualan arak, tetapi pekerjanya ditangkap atas kesalahan terbabit. Adakah perkara ini adil demi menjaga sensitiviti pelbagai kaum di Malaysia. Bukan saja Selangor, malah kerajaan negeri lain juga sama ada dari negeri Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional perlu melaksanakan kawalan penjualan arak.

Mengapa kita terlalu mementingkan naluri dan nafsu terhadap arak itu seolah-olah tidak boleh hidup tanpa arak. Walaupun terbukti arak tidak baik untuk kesihatan dan meningkatkan gejala sosial, kita masih meletakkan hawa nafsu mengatasi kepentingan awam. Yang peliknya, masyarakat Barat mula sedar pentingnya membatasi penjualan arak. Di negara umat Islam adalah minoriti dan kawalan itu dibuat bukan atas dasar Islam tetapi demi menjaga kepentingan awam dan mengelak kebejatan masyarakat. Hal ini dapat diterima oleh masyarakat umum. Nampaknya seolah-olah orang Timur ingin menjadi Barat dan orang Barat menggayakan pula budaya timur. Di mana salahnya?

Orang Barat sebenarnya jelak dengan budaya mabuk yang selalu menggoyah susun atur masyarakat serta merosakkan keamanan dan kedamaian setempat. Pelbagai usaha diambil bagi memberi kaunseling menyedarkan agar menjauhi arak. Pelbagai peraturan digarap bagi mengawal atau membataskan penjualan arak. Semua ini tidak pula mendapat bantahan atau reaksi negatif daripada orang ramai. Oleh itu, Selangor khususnya dan kerajaan negeri lain perlu melihat semula keputusan yang dibuat dan jangan hanya melihatnya dari aspek yang terlalu mikro. Pandangan lebih makro yang merangkumi aspek sosial, pengalaman luar negara dan perundangan perlu diberi penekanan setimpal. Jika cadangan Pas Selangor tidak dilihat dari perspektif lebih besar, sekurang-kurangnya kerajaan tidak boleh mempromosi kesalahan yang sah di sisi undang-undang dan mengambil segala upaya bagi memastikan rakyat tidak melanggar undang-undang.

Jelas kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor gagal mengambil kira sensitiviti orang Islam. Jangan mendabik dada dengan apa yang ada sekarang kerana suatu hari nanti pasti Allah membalas apa yang kita kerjakan hari ini. Ini juga manifestasi betapa rapuh hubungan antara parti siasah di bawah Pakatan Rakyat. Penulis menyeru semua wakil rakyat Islam di Selangor khususnya dan di seluruh negara amnya bersatu tanpa mengira parti yang diwakili demi meletakkan undang-undang Islam di tempatnya sebenar.

Kedudukan undang-undang Islam yang tinggi harus tidak menggusarkan bukan Islam kerana undang-undang Islam ini hanya terpakai kepada orang Islam saja. Kita sering mengelak daripada menyelesaikan masalah umat Islam kerana semata-mata dikatakan ingin mengambil hati orang bukan Islam. Siapa pula yang ingin menjaga hati orang Islam?


INFO Undang-undang haram arak

Termaktub dalam seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
18(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
18(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menuar-uarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Layari http://peguamsyarie.org/


Futsal Mahabbah DPPKT


Pada 7 November 2008 (Jumaat) Masa : 8.30 malamTempat : Dewan Futsal Kg Tal 7, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan satu kejohanan futsal mahabbah antara ajk pemuda-pemuda dun merangkumi Dun Kelaboran, Dun Wakaf Bharu, Dun Pasir Pekan dan Dun Pengkalan Kubor. Tujuan diadakan kejohanan ini adalah untuk mengeratkan hubungan ukhwah antara pemuda-pemuda dun.

YB Mohd Zaki Hj. Ibrahim selaku Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan dan YB Che Abdullah Mat Nawi, exco Kerajaan Kelantan juga turut hadir serta turut menyertai pasukan dun masing-masing.

Dalam kejohanan ini, sekali lagi pemuda Dun Kelaboran telah berjaya merebut piala pusingan Ketua Pemuda Pas Tumpat buat dua tahun berturut-turut. Tahniah diucapkan kepada pemuda Dun Kelaboran. Yang penting, para pemain semua telah menunjukkan ukhwah dan semangat kesukanan yang tinggi..