hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, August 12, 2009

Kalam Hikmah 1

Berkatalah Syeikh al-Muhaqqiq Sayyidi Abu Madyan Syu'aib ibn al-Husin al-Ansori al-Andalusi al-Tulmasani:-"Tidak patut mendengar ilmu ini melainkan orang yang telah terhasil padanya empat perkara; zuhud, ilmu, tawakkal dan yakin."
Maksudnya ialah tidak layak mendengar ilmu Tasawuf melainkan orang yang memiliki empat sifat:-

1. Zuhud

Meninggalkan mengambil yang halal secara berlebihan kerana orang yang salik itu bermusafir kepada Tuhannya. Apabila dia membawa barang berlebihan daripada keperluan perjalanannya, akan membebankan dan menghalang kelancaran perjalanannya.

2. Ilmu

Ilmu syariat yang berperanan memperbaiki zahirnya. Orang yang tidak mengetahui cara memperbaiki zahirnya, tidak akan mengetahui cara untuk memperbaiki batinnya kerana orang yang tidak berhenti di pintunya, tidak akan dapat memasuki rumah Kekasihnya.

3. Tawakkal
Memadai dengan pengetahuan Allah ke atasnya daripada bergantung hati kepada yang lain. Jika kamu mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui segela perbuatan kamu, Maha Berkuasa untuk mencukupkan segala keperluan kamu, Maha Penyayang melebihi kasih sayangmu terhadap dirimu sendiri, nescaya hati kamu akan menghadap sepenuhnya kepadaNya tanpa menghadap kepada selainNya.

4. Yakin
Kepercayaan yang qatai' (putus dan bulat) terhadap segala yang dikhabarkan oleh Allah dan RasulNya tanpa rasa syak. Dengan demikian, segala yang ghaib itu seakan-akan dilihat di depan matanya. Maka dia mengetahu dengan perasaannya, bahawa Allah tidak menjadiakn jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaNya, tidak dijadikan pancainderanya melainkan untuk melakukan ketaatan kepadaNya, dan tidak dijadikan hatinya emelainkan untuk mengingatiNya dan tidak berpaling kepada selainNya.
Dipetik daripada Lataiful Minani fi Syarhi Hikam Abi Madyan karangan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki.

Saturday, August 8, 2009

Kekecohan: Siapa Yang Salah?

Pihak kerajaan telah membuka kaunter aduan awam di sekitar Jalan Tunku Abd. Rahman (TAR) bagi menerima aduan para peniaga sekitar jalan tersebut yang terjejas akibat Demonstrasi Hapuskan ISA baru-baru ini. Mereka mendakwa bahawa para peniaga di Jalan TAR mengalami kerugian teruk akibat demontrasi tersebut kerana terpaksa menutup kedai dan tiada pelanggan.

Saya tidak pasti sejauh manakah benarnya dakwaan tersebut. Namun apa yang saya tahu ialah ramai orang telah pergi membeli-belah di Jalan TAR sebelum menyertai demontrasi tersebut sehinggakan para peniaga tidak menang tangan untuk melayan mereka. Tapi yang pastinya demonstrasi yang dirancangkan secara aman dan terkawal itu telah bertukar menjadi huru-hara akibat campur tangan pihak polis dan FRU yang menggunakan kekerasan untuk menyuraikan perhimpunan tersebut.

Menggunakan meriam air, gas pemedih mata dan belantan dengan sewenang-wenangnya bukanlah satu tindakan bijak untuk menyuraikan satu perhimpunan aman. Kecualilah terdapat bukti bahawa perhimpunan itu akan mencetuskan keganasan sebagaimana yang berlaku di Thailand dan Indenosia.

Walaupun tindakan pihak polis dan FRU itu mungkin dibenarkan undang-undang atas dasar menyuraikan satu perhimpunan haram, namun ia juga sepatut mengambil kira perikemanusiaan. Para pesert himpunan ditangkap dan diperlukan denganm begitu kasar sekali seolah-oleh mereka adalah penjenayah besar yang dikehendaki dunia. Janganlah kita menggunakan undang-undang sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan yang melampaui batas kemanusiaan.

Saya yakin dan percaya sekiranya pihak polis dan FRU tidak menggunakan kekerasan dalam menyuraikan perhimpunan tersebut, huru-hara pasti tidak akan berlaku. Kehadiran pihak keselamatan sepatutnya atas dasar untuk menjaga keselamatan agar tidak berlaku kekecohan, namun sebaliknya telah berlaku kerana dikatakan bahawa pihak polis adalah punca berlakunya kekecohan tersebut. Nampaknya kita seperti sudah tidak selamat lagi bila berdepan dengan pihak polis dan FRU.

Wednesday, August 5, 2009

Hormatilah Sensitiviti Umat Islam


Saya merasa turut terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai dua isu yang agak hangat diperkatakan di negera kita beberapa hari yang lalu berkaitan agam yang kita imani iaitu Islam. Isu pertama ialah mengenai Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) merampas minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8, Shah Alam baru-baru ini.

Tindakan MBSA itu berdasarkan peraturan yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri serta enakmen syariah negeri Selangor. Kerajaan Selangor telah memutuskan semua minuman keras tidak dibenarkan dijual secara terbuka di kedai runcit dan 7-eleven tetapi ia perlu lesen khas untuk orang bukan Islam.

Namun begitu, exco negeri Ronnie Liu, daripada DAP, yang didakwa "campur tangan dalam hal-ehwal Islam" apabila memaksa MBSA supaya memulangkan semula arak yang telah dirampas tersebut dengan alasan bahawa minuman yang mengandungi hanya 8% alkohol sahaja tidak dianggap sebagai minuman keras.

Sepatunya Liu perlu lebih peka terhadap maksud 'arak' mengikut pandangan Islam. Apabila dikatakan arak, ia tetap haram sama ada ianya banyak ataupun sedikit. Lagipun kerajaan Selangor hanyalah tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka sahaja. Sedangkan orang cina atau bangsa lain masih boleh membeli dan meminumnya sampai mabuk sekalipun di premis yang telah dikhaskan untuk mereka. Kerajaan Selangor tidak menghalangkan penjualan arak di premis khas untuk orang-orang bukan Islam. Malah kalau mereka hendak minum sampai habis setangki pun tidak mengapa asalkan di tempat yang telah dikhaskan.

Inilah yang masih belum difahami oleh kebanyakan pemimpin yang bukan beragama Islam. Mereka terlalu meremehkan sensitiviti dan perasaan umat Islam. Saya harap Liu perlu lebih berhati-hati dalam berbuat sesuatu yang berkaitan dengan orang Islam demi menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang agama dan bangsa di Malaysia ini.

Isu kedua yang turut menarik perhatian saya ialah tindakan biadap dan melampau Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi merangkap Ketua Staf Ketua Menteri Pulau Pinang , menuduh Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai 'ekstremis agama' yang disiarkan di dalam akhbar the Star Ahad lalu di mukasurat N12.

Saya pun tidak pasti apakah asas Jeff Ooi membuat tuduhan melampau begitu terhadap sebuah badan NGO yang telah sekian lama di tubuhkan untuk menjaga hal ehwal orang Islam terutamanya para pelajar. Ataupun mungkin juga Jeff Ooi rasa cemburu kerana tidak dapat menyertai JIM tersebut?

Saya agak hairan, kenapa penganut agama lain terlalu mudah untuk menuduh Islam dengan pelbagai label serta mencampuri urusan agama Islam yang mereka sendiri tidak fahami. Seingat saya, umat Islam tidak pernah membuat kenyataan atau tindakan yang menunjukkan agam lain selain dari Islam itu sebagai pelampau serta teroris atau pengganas walaupun jelas umat Islam dibunuh sebagaimana yang berlaku di negara China baru-baru ini.

Nampaknya penganut agama lain yang selalunya menghendaki supaya umat Islam menghormati hak mereka sedngkan mereka sendiri tidak menghormati hak dan sensitiviti dan perasaan umat Islam.

TOLONG FIKIRKANLAH PERKARA INI DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT YANG BERBILANG AGAMA DI MALAYSIA.

Thursday, July 23, 2009

Masih Ada Yang Belum Faham!!!


KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Isnin lalu menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap model sambilan dari Singapura, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, atas kesalahan meminum arak di sebuah resort di Cherating kira-kira jam 11.40 malam pada 11 Julai 2007, mencetuskan kontroversi.

Apa yang lebih menghairankan ialah orang-orang Islam sendiri yang mencetuskan kontroversi tersebut yang terdiri dari kalangan rakyat jelata dan tidak ketinggalan juga para pemimpin negara. Saya percaya, kontroversi tersebut timbul adalah kerana ketidakfahaman mereka dalam perkara hukuman jenayah syariah.

Yang menjadi peliknya ialah jika hakim Mahkamah sivil yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap pesalah-pesalah jenayah rogol, dadah dan sebagainya tidak pula mencetuskan kontroversi begini. Namun apabila Hakim Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman sebatn keatas pesalah yang telah mengaku bersalah meminum arak, tiba-tiba sahaja masyarakat menjadi heboh mengenainya.

Padahal, kalau hendak diikutkan hukuman sebat 6 kali tersebut adalah terlalu sedikit dengan hukuman yang telah dijalankan oleh Rasulullah s.a.w terhadap pesalah minum arak iaitu sebanyak 40 rotan. Manakala zaman Khalifah Umar al-Khatab, beliau melaksanakan hukuman rotan sebanyak 80 kali terhadap pesalah minum arak.

Jadi saya harap, masyarakat perlu lebih peka terhadap isu yang melibatkan hukum agama. Jangan kita mudah melatah sedangkan kita bukan orang yang ahli untuk berbuat demikian. Sekurang-kurangnya tanyalah orang yang lebih mengetahui sebelum membuat sesuatu kenyataan kerana jika kita tersilap- langkah, aqidah kita mungkin goyah dan bakal tergadai.

Thursday, July 16, 2009

Terbayar Sudah Sebuah Kepenatan


Alhamdulillah, tiadalah sebaik-baik kata yang patut diucap bagi menggambarkan sebuah rasa kesyukuran diatas anugerah Allah yang berupa sebuah kemenangan. Jika hendak diukur betapa penatnya saya sepanjang tempoh pilihan raya kecil (PRK) N.41 Manek Urai itu, tiada suatu alat atau sukatan yang boleh mengukurnya. Ada ketikanya saya terpaksa bertolak dari bandar Kota Bharu jam 6.00 petang selepas pulang kerja ke Manek Urai yang jaraknya hampir 100 km. Manakala saya akan bertolak balik ke Kota Bharu jam 1 atau 2 pagi kerana ada kes mahkamah yang perlu dikendalikan.

Ada ketikanya juga saya perlu bermalam di sana bagi menyiapkan kerja-kerja penting yang telah dipertanggungjawabkan parti kepada Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan bagi memastikan perjalanan dan proses PRK tersebut berjalan lancar mengikut lunas undang-undang. Apatah lagi saya telah dilantik sebagai setiausaha jentera PRK Juham.

Namun begitu, sahabat-sahabat Juham yang banyak memberikan kerjasama dan bantuan terutamanya my boss, En. Nik Bahrum yang memahami serta memberikan peluang. Serta isteri saya yang amat penyabar dan memahami tugas dan tanggungjawab agama yang perlu saya tunaikan. Saya amat bersyukur dikurnaikan seorang isteri yang amat memahami perjuangan saya.

Banyak pengalaman yang dapat dikongsikan bersama namun mungkin saya tidak dapat gambarkan kesemuanya di sini kerana saya buntu macam mana untuk ceritakan kepada semua pembaca.

Antaranya ialah berurusan dengan pihak polis mengenai permit ceramah apabila pihak pemantau pilihan raya serta pegawai polis tidak membenarkan YB Dato Sri Nizar Jamaluddin untuk memberikan ceramah di UPU Manek Urai Lama serta berurusan dengan pihak polis yang telah membatalkan permit konvoi bermotor anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan.

Saya telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan menyelia UPU Temalir. Sepanjang tempoh pilihan raya, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku di upu tersebut tidak seperti di upu lain.

Syukur saya ucapkan, namun begitu Pas perlu mengadakan bedah siasat mencari punca kemerosotan undi terutamanya di saluran orang muda. Padahal sebelum ini saluran pengundi muda yang memberikan undi terbanyak berbanding dengan saluran orang tua. Punca tersebut perlu diteliti segera agar ianya tidak berulang lagi dalam pilihan raya yang akan datang.



Wednesday, July 15, 2009

Talqin Buat UMNO & BN



Alhamdulillah, tiadalah sebaik-baik kata yang patut diucap bagi menggambarkan sebuah rasa kesyukuran diatas anugerah Allah yang berupa sebuah kemenangan. Walaupun PAS memenangi Dun Manek Urai dengan kemenangan tipis iaitu dengan majoriti 65 undi sahaja, namun ianya tetap sebuah kemenangan yang perlu disyukuri oleh Pas dan wajib diakui oleh UMNO/ BN sendiri.

Para pengundi N.41 Manek Urai telah membuat pilihan yang sah melalui proses yang sah ciptaan UMNO/ BN sendiri iaitu proses pilihanraya untuk terus memilih Pas sebagai parti yang akan mewakili penduduk Manek Urai dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Hakikat ini wajib di terima dan diakui oleh UMNO/ BN dengan lapang dada walaupun saya tahu UMNO tetap menyimpan dendam kesumat dan keinginan yang meluak-luak untuk merampas Manek Urai khususnya dan Negeri Kelantan amnya.

Jika kita menyelusuri kembali sepanjang tempoh kempen PRK Manek Urai tersebut, kita akan lihat pelbagai janji palsu telah ditaburkan UMNO/ BN seperti memberikan gula-gula kepada anak-anak yang sedang menangis untuk mengaburi mata para pengundi di Dun Manek Urai bertujuan meraih sekongan mereka bagi memastikan kemenangan BN di Manek Urai.

UMNO/ BN telah menggunakan pelbagai cara dengan menurunkan semua jentera mereka termasuklah jabatan-jabatan kerajaan bagi memastikan mereka menang di Manek Urai. Menggunakan kawasan sekolah atau dewan sekolah untuk ceramah, Jabatan Kabajikan Masyarakat dan sebagainya.

UMNO/ BN juga telah mengisytiharkan akan menjadikan Manek Urai sebagai 'anak emas' Kerajaan Persekutuan semasa kempen tersebut. Perut saya rasa mual dan tekak saya tiba-tiba sahaja rasa macam loya hendak muntah bila melihat kain rentang janji UMNO/ BN tersebut. Padahal, UMNO/ BN telah memiliki 6 dun lain di Kelantan tapi tidak pernah pulak di isytiharkan sebagai 'anak emas' Kerajaan Persekutuan. Bukan setakat 'anak emas', anak angkat Kerajaan Persekutuan pun tidak pernah diisytiharkan oleh UMNO/ BN bagi dun-dun tersebut. Agak-agak la, masuk akal ke janji UMNO tu?

Manakala janji UMNO/ BN untuk jadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan juga merupakan janji retorik semata-mata. Ini adalah kerana janji UMNO semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu untuk membina Jambatan Sultan Yahya Kedua masih lagi tidak tercapai. Nampaknya UMNO/ BN memang suka menanam tebu di pinggir bibir namun dihati pahit seperti hempedu untuk merealisasikannya.

Sepatutnya UMNO/ BN mengambil pengajaran daripada beberapa siri Pilihan Raya Kecil yang lalu yang menyaksikan UMNO/ BN telah ditewaskan oleh Pakatan Rakyat. Kalaulah duit untuk membiayai PRK Manek Urai digunakan untuk membina dan menyiapkan Jambatan Sultan Yahya Kedua, saya rasa jambatan tersebut telah lama siap.

Maka, sedarlah wahai UMNO/ BN daripada kesesatan kamu. Kembalilah ke jalan yang benar dan carilah arah cahaya yang gemilang. Tinggalkanlah bohong serta dusta dan bertaubatlah sebelum terlambat. Sedarlah bahawa setiap perbuatan itu akan dipersoalkan di hadapan Tuhan nanti sekiranya kamu benar-benar beriman.


YB Zaki dan para penyokong melihat gelagat penyokong UMNO yang pelik

Para penyokong Pas

Hanya sebilangan kecil penyokong UMNO/ BN yag hadir

Gelagat Puteri UMNO


Para petugas IT Pas



Bendera untuk perarakan kemenangan



Wednesday, July 8, 2009

Alhamdulillah! Selesai Fasa Pertama


Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah s.w.t diatas limpah kurnia dan rahmatNya, fasa pertama Pilihan Raya Kecil N. 41 Manek Urai iaitu proses penamaan calon telah selesai pada 06/07/2009 baru-baru ini.

Saya dan sahabat peguam Juham yang terlibat secara langsung dalam proses mengisian borang penamaan calon merasa amat lega dan syukur kerana borang penamaan calon yang di kemukakan oleh calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah telah diterima oleh Pengurus SPR tanpa sebarang bantahan.

Anggota Juham yang bertungkus lumus meneliti pengisian borang bagi memastikan borang pencalonan tersebut tidak memberikan ruang kepada mana-mana pihak terutamanya UMNO untuk membuat bantahan. Ternyata segala usaha yang telah dilakukan itu mendapat restu Allah s.w.t.

Sekarang hanya tinggal fasa kedua sahaja lagi iaitu hari pembuangan undi yang pastinya akan lebih hangat. Doa saya, semoga proses pengundian akan terus berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak di ingini seterusnya Allah memberikan kemenangan kepada PAS.