hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, December 1, 2009

DPPNK Buat Laporan Polis


Selepas solat maghrib semalam, saya telah menerima sms dari Setiausaha Kerja, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) meminta saya menghadirkan diri ke Balai Polis Kota Bharu, Kelantan pada pukul 10.00 malam bagi membantu untuk membuat satu laporan polis berkaitan satu khabar angin bahawa hari ini akan diadakan satu perhimpunan haram di hadapan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan, Kompleks Kota Darul Naim oleh pihak tertentu.

Saya bersama Hisham Fauzi dan Ahmad Najib Deris selaku wakil Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah mengiringi saudara Wan Azimin Wan Adnan, Bendahari DPPNK untuk membuat laporan polis tersebut. Turut hadir bersama sebagai tanda sokongan ialah kira-kira 30 orang pemuda Pas serta para wartawan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

Kemudiannya, satu kenyataan akhbar telah dibuat oleh saudara Hisham Fauzi selaku Naib Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Juham. Katanya, tujuan laporan polis tersebut dibuat adalah sebagai satu langkah keselamatan dan untuk memohon pihak polis menyiasat serta menyekat agar perhimpunan haram itu tidak akan berlaku. Ini adalah kerana perhimpunan haram tersebut diadakan seolah-olah ingin mengganggu gugat pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Laporan tersebut juga dibuat supaya pihak polis mengadakan siasatan bagi mengenal pasti siapakah dalang disebalik rancangan tersebut.

Saya pulang kerumah setelah hampir pukul 12.00 tengah malam dalam keadaan hujan renyai-renyai.



Sunday, November 29, 2009

Kerikil Di Laluan Perjuangan

Pada 10 Zulhijjah (Jumaat), saya berkesempatan untuk bertemu dengan YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan sewaktu hendak menunaikan solat fardhu Jumaat di Masjid al-Karomah, Baung. Saya menyambut salamnya sewaktu beliau keluar dari Proton Perdana. Buat seketika Tok Guru merenung kearah saya. Mungkin beliau sedikit terpaku dengan penampilan saya berambut panjang melepasi bahu, berjubah dan bersongkok tinggi. Saya hanya sekadar tersenyum sahaja.

Walaupun, beliau sibuk dengan jadual yang padat namun Tok Guru masih lagi sempat meluangkan masa untuk hadir menemui rakyat kalaupun sekadar solat Jumaat. Wajahnya membayangkan keletihan kerana sudah lanjut usia dan juga kepenatan dalam menghadapi kerikil-kerikil tajam di tengah laluan perjuangan. Sebagaimana yang diketahui, terlalu banyak isu yang dihadapi oleh Tok Guru tetapi beliau masih lagi kelihatan tenang.

Saya akui, dugaan dalam perjuangan merupakan asam garam yang perlu ditempuhi oleh setiap orang yang meletakkan diri mereka dalam arus perjuangan. Tidak kira tahap mana kita berada, ujian tetap akan kita temui bersesuaian dengan tahap kita. Begitu juga saya, jika diikutkan perasaan seperti mahu sahaja terus mengalah dengan ujian tersebut. Ianya terlalu mengganggu fikiran dan perjalanan hidup saya. Jika dilihat, ujian tersebut tidak sebesar mana sangat. Hanya segelintir manusia yang suka meletakkan perasaan tidak puas hati sebagai satu isu yang memecah belahkan masyarakat. Saya pun agak buntu dalam menghadapi golongan ini. Beberapa kali perbincangan telah dibuat untuk menjelaskan perkara sebenar, tapi ianya tetap tidak menemui jalan penyelesaian kerana perbahasannya tidak berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Kalau perkara kecil dijadikan isu besar dan kesalahan sendiri tidak pernah disedari, macam manalah agaknya perkara tersebut hendak selesai. Bila bercakap, mengaku sebagai golongan yang berjuang untuk Islam tetapi tindakan mereka tidak pernah melambangkan percakapan mereka.

Allahu Akbar...sekadar hendak lepaskan sedikit kepanasan dada dan beratnya fikiran yang saya tanggung. Tapi tatkala terkenang sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diceritakan oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam fiqh sirahnya, terlalu kecil sangat kerikil dipertengahan jalan perjuangan yang saya hadapi berbanding Baginda Rasul. Saya mohon kepada Allah Taala agar diberikan kekuatan jiwa seperti Rasulullah dalam menempuhi dugaan perjuangan. Lalu teringatlah saya akan firman Allah s.w.t yang bermaksud:-






Tuesday, November 24, 2009

Ariffahmi Dinasihatkan Letak Jawatan

Hari ini YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menasihatkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman meletakkan jawatan yang dipegangnya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Nasihat Tuan Guru itu dibuat setelah satu pertemuan diadakan dengan pimpinan Pas Pusat di rumah kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 hari ini.

Bagi saya, nasihat Tuan Guru selaku Mursyidul Am Pas amat tepat pada masanya. Berundur tidak semestinya membenarkan segala tuduhan atau fitnah yang telah dilemparkan terhadap menantu Menteri Besar itu. Tapi tindakan itu adalah sebenarnya demi menjaga nama baik dan imej Pas sebagai sebuah parti Islam. Lagipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat segala tuduhan rasuah yang melibatkan Ariffahmi selaku CEO PMBK itu.

Berundur bukan bererti mengalah, apatah lagi sekiranya kita fikirkan tindakan tersebut dibuat demi menjaga nama baik sebuah parti Islam sudah tentu ia akan dipandang mulia. Mengenai segala tuduhan tersebut, SPRM masih menyiasat dan kita tunggu sahaja hasilnya. Ingatlah sebuah firman Allah s.w.t:-


 
Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap". (al-Isra': 81)

Saturday, November 14, 2009

Forum Integriti

Pada hari Khamis (12/11/2009) yang lepas, saya dan pimpinan kawasan Tumpat telah menyertai satu program FORUM KEPIMPINAN INTEGRITI POLITIK DAN MASYARAKAT UNTUK PERINGKAT AKAR UMBI BAGI KAWASAN PARLIMEN TUMPAT anjuran Institut Integriti Malaysia yang telah diadakan di Hotel New Pacific, Kota Bharu.

Antara slot yang sangat menarik perhatian saya ialah sesi dialog bertajuk Pemantapan Integriti Politik Negara: Isu dan Cabaran yang telah dipengerusikan oleh YB. Mohd Zaki Hj Ibrahim manakala panelisnya terdiri daripada Prof. Dr. Aziz Bari (Pensyarah Undang-Undang, UIA) dan Dato' Hj. Zakaria Hj. Jaafar (Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM).

Pelbagai isu dikemukakan berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam politik di Malaysia telah dikupas oleh kedua-dua panelis sama ada semasa memberi ceramah mahupun semasa menjawab soalan yang diajukan oleh para peserta.

Walaupun Prof. Dr. Aziz Bari adalah personaliti konstraversi dikalangan ahli Pas sekarang ini, namun begitu beliau tetap menjadi orang yang saya kagumi semenjak saya masih menuntut di UIA dulu lagi. Beliau adalah pakar undang-undang perlembagaan selalu sahaja dijemput untuk memberikan ceramah berkaitan undang-undang.

Banyak pengetahuan baru yang diperolehi oleh peserta terutamanya undang-undang baru SPRM yang telah memasukkan pekerja parti sebagai penjawat awam dan ianya tertakluk dibawah akta SPRM serta boleh didakwa sekiranya terlibat dengan rasuah atau penyalahagunaan kuasa yang mana sebelum ini tidak termasuk dalam akta BPR.

Sunday, November 8, 2009

Bola Oh Bola



Walaupun saya tidak begitu minat perlawanan bola sepak, namun malam ini saya mengambil kesempatan untuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan. Pemuda Dun Kelaboran dengan kerjasama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan telah memasang skrin besar di Padang Kemahkotaan, Tumpat untuk peminat-peminat bola menonton perlawanan tersebut dengan selesa.

Rata-rata peminat bola memberitahu bahawa persembahan Kelantan malam ini agak mengecewakan kerana tidak dapat menahan asakan Negeri Sembilan dan barisan pertahanan selalu sahaja bolos menyebabkan gawang gol Kelantan selalu dalam keadaan bahaya. Namun begitu, saya tidak kisah sangat sebab memang sudah adat permainan.

Yang saya kesalkan di sini ialah sikap para penyokong Kelantan yang masih tidak dapat mengawal tingkah laku. Tindakan mereka melempar mercun dan botol air kearah pemain Negeri Sembilan sewaktu hendak mengambil tendangan sudut menunjukkan sikap penyokong Kelantan yang masih tidak berubah. Setelah Negeri Sembilan mendapat gol ketiga, mereka bertindak membakar kain rentang dan tempat duduk yang terletak dikawasan mereka. Sebagai rakyat Kelantan, saya turut rasa malu dengan sikap penyokong Kelantan yang boleh mencemarkan imej Kelantan itu.

Kenapalah para penyokong Kelantan masih belum dapat mengawal diri mereka sendiri. Entahlah, saya lebih kecewa dengan sikap para penonotong Kelantan berbanding kekalahan Kelantan 1-3 dengan Negeri Sembilan.



Monday, November 2, 2009

Penangkapan Dr. Asri

Walaupun saya memang tidak bersependapat dengan Dr. Asri yang dikenali sebagai pelopor fahaman Wahabi di Malaysia, namun cara penangkapan beliau begitu adalah amat tidak patut sama sekali. Apatah lagi beliau yang sepatutnya di dakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak terpaksa dilepaskan begitu sahaja oleh pihak Mahkamah kerana tiada wakil Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor untuk membuat pertuduhan ke atas beliau.

Sekiranya Dr. Asri memang melanggar mana-mana akta atau enakmen, beliau sepatutnya di tuduh di Mahkamah. Dibacakan pertuduhan keatas beliau dan memberikan peluang kepada beliau untuk membela diri. Dan bukannya dengan cara sedemikian kerana ini boleh memburukkan lagi keadaan yang telah kusut akibat penangkapan yang tidak mengikut prosedur itu.

Walau bagaimanapun, saya juga turut menyokong Memorandum yang dihantar oleh NGO Islam kepada Yang Di Pertuan Agong bagi membantah perlantikan Dr. Asri sebagai Yang Di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagaimana alasan-alasan yang terkandung dalam Memorandum tersebut.



Saturday, October 31, 2009

Pesta Bola 9 Sebelah Dun Kelaboran

Petang ini (Sabtu 31/10/2009) saya telah hadir untuk menyaksikan perlawanan bola sepak sempena Pesta Bola Sepak 9 Sebelah Dun Kelaboran, anjuran Lajnah Sukan Dewan Pemuda Pas Dun Kelaboran yang bermula sejak semalam (Jumaat) lagi. Sebanyak 12 pasukan telah mengambil bahagian dalam pesta bola ini.

Kehadiran saya juga ada sebagai mengganti YB Mohd Zaki Hj Ibrahim, Adun Kelaboran yang tidak dapat hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pasukan yang menang. Dalam perlawanan ini, Pasukan Kg. Baru Nelayan telah mendapat johan, tempat naib johan disandang oleh Pasukan Kg. Besut, manakala tempat ketiga bersama dikongsi oleh Pasukan Kg. Dalam Rhu dan Pasukan Kg. Padang Tembesu.

Ribuan kesyukuran saya panjatkan kerana program ini berjaya dilaksanakan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.