hasbunallah

hasbunallah

Sunday, August 10, 2008

Majlis Pernikahan & Walimatul Urus Dun Kelaboran


Seramai enam pasangan pengantin baru selamat diijabkabul dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai di Dewan Bunga Raya, Pantai Seri Tujoh tepat jam 3.30 petang 08/08/2008. Pengantin-pengantin tersebut dinikahkan oleh imam besar Masjid Bandar Tumpat, Haji Azmi Mohd Zain sambil diwalikan oleh wali pasangan masing-masing.

Majlis pernikahan dan walimatul urus Dun Kelaboran '08 itu adalah julung kali diadakan yang dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu dari setiap keluarga pasangan. Adun Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim berkata, majlis perkahwinan beramai-ramai ini adalah bertujuan membantu pasangan yang tidak berkemampuan selain dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan pemimpin dan rakyat dan bercadang menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan.

"Segala persiapan tempat, jamuan makan ditanggung oleh penganjur yang melibatkan kos sebanyak RM10,000," katanya kepada pemberita selepas upacara akad nikah dilangsungkan. Katanya, setiap pasangan dibenarkan mengundang 100 orang sahaja mewakili setiap pasangan. Sementara mas kahwin adalah ditanggung oleh pasangan masing-masing.

Bagi menghargai sokongan pasangan pengantin yang menyertai perkahwinan beramai-ramai ini, pihak penganjur menyampaikan cenderahati berupa sekeping dinar emas bernilai lebih RM100.
Turut hadir memeriahkan majlis, Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaafar.
Enam pasangan pengantin baru terdiri dari anak tempatan dan luar negeri. Pertama, Wan Azwandi Wan Nor, 32 seorang mekanik dan pasangannya, Rosnany Zakaria, 29 seorang jururawat. Keduanya berasal dari Tumpat dan bekerja di Johor. Pasangan Mohd Mahadzir Derahman, 25 (tentera) dan Norhidayu Razali, 24 (guru) masing-masing berasal dari Kuala Krai dan Tumpat; Mohd Zamri Md Ripin, 24 (buruh) dan isterinya Norzarina Rusli , 19 (surirumah) juga berasal dari Tumpat. Manakala Mohd Zakhi Zakaria, 23 (juruteknik ICT) dari Tumpat dan isterinya Nurul Fazilah Ahmad, 23 berasal dari Pahang.

Sementara Mohd Fithri Zainal, 25 yang berasal dari Kuala Lumpur bertemu jodoh dengan Munirah Ismail, 24 dari Tumpat. Kedua-dua mereka bertugas sebagai jurutera di Kuala Lumpur dan Selangor. Pasangan terakhir, Mohd Shahidan Daud, 32 penuntut pusat pengajian pondok memilih Hasliza Harun, 31 seorang peniaga sebagai pasangan hidup. Setiap pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM2000 seorang daripada suami masing-masing.

Selamat pengantin baru buat semua. Semoga berkekalan hingga akhir hayat. Terkenang masa saya kahwin dulu. Seronok!!

No comments: