hasbunallah

hasbunallah

Thursday, July 31, 2008

Muqabalah Atau Muzakarah


Sekarang isu muqabalah atau muzakarah antara Pas dan Umno merupakan yang paling hangat diperkatakan sama ada di kedai-kedai kopi, surat khabar, tv, internet dan sebagainya. Saya tertanya-tanya kenapa Umno nampaknya bersungguh-sungguh atau beria-ria sangat ingin bermuzakarah dengan Pas? Sedangkan suatu ketika dahulu mereka tidak pernah menyahut cabaran Pas untuk bermuzakarah. Sebagai orang politik, kita perlu melihatnya dengan lebih teliti supaya perkara tersebut tidak memakan diri kita sendiri.

Banyak pendapat, komen dan buah fikiran dilontarkan mengenai perkara ini. Saya bersetuju dan menyokong dengan kenyataan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan serta pandangan peribadi saudara Hanipa Maidin mengenai perkara ini. Pada fikiran saya, Umno tidak lebih seperti orang yang hampir tenggelam kelemasan dalam lautan yang luas. Apa sahaja yang dapat dicapai untuk menyelamatkan dirinya akan digapai sekuat-kuatnya. Saya takut, nanti Umno akan berpaut pada Pas yang menyebabkan Pas tenggelam. Tapi Umno sempat menyelamatkan diri atas ketenggelaman Pas tersebut.

Tapi mungkin setiap orang mempunyai pendapat dan pendirian tersendiri. Namun itulah pendirian saya!


Wednesday, July 30, 2008

PTPTN Dikaji


Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengadakan muzakkarah di Putrajaya yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz. Muzakarah tersebut telah memutuskan supaya PTPTN perlu mengubah caj perkhidmatan sebanyak 3% tersebut kepada konsep upah sejajar matlamat penubuhannya untuk membantu pelajar membiayai pengajian.

Sejak ia ditubuhkan, caj perkhidmatan sebanyak 3% tersebut telah membebankan para pelajar yang kebanyakkannya masih menganggur setelah tamat pengajian. Apatah lagi zaman ekonomi yang tidak menentu ini akan menambahkan lagi bebab para pelajar.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata jika konsep upah ini digunakan oleh PTPTN, kadarnya mestilah berbaloi dengan kerja dan tidak membebankan pelajar. Walau bagaimanapun, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak menetapkan kadar dan cara pengiraannya secara khusus.

Saya percaya bahawa berita ini sekurang-kurangnya boleh melegakan sedikit dada para mahasiswa yang rata-ratanya berpendapatan sederhana untuk membayar balik pinjaman tersebut. Apasalahnya jika PTPTN menggunakan kaedah pinjaman pengajian yang disediakan MARA yang tidak membebankan para pelajar untuk membuat bayaran balik.

Kadar caj perkhidmatan (kononnyalah!) sebanyak 3% tersebut amat membebankan para pelajar apatah lagi zaman ekonomi yang tidak menentu ini. Caj tersebut juga lebih tinggi berbanding faedah yang dikenakan oleh pihak bank. Seolah-olah PTPTN ini ditubuhkan untuk bertindak sebagai 'along kerajaan' seumpama lintah darat yang menghisap darah para pelajar. Kemudahan kad kredit yang disediakan oleh mana-mana bank hanya menetapkan faedah sebanyak 1.5% setahun.
Mungkin pihak kerajaan menubuhkan PTPTN ini adalah untuk mengaut keuntungan bagi menambah dana kerajaan dan bukannnya untuk membantu pelajar untuk mendapatkan pendidikan dengan lebih sempurna sebagaimana yang diheboh-hebohkan.
Sama-samalah kita doakan agar PTPTN dapat mengubah cara pengiraan dan pembayaran balik pinjaman bagi tidak membebankan pelajar. Bukan hanya asyik dok bayar bunga je.

Sunday, July 27, 2008

Let's Do It Yourself


Semalam, 26/07/2008 Pemuda Dun Kelaboran telah menganjurkan satu prgram motivasi untuk pelajar-pelajar PMR dan SPM di SMU(A) Mahaad Muhammadi Tumpat dengan tema "Let's Do It Yourself".

Program ini telah disertai hampir 240 orang pelajar dan telah dirasmikan oleh YB Hj. Che Abdullah Mat Nawi selaku Exco Kerajaan Kelantan merangkap Adun Wakaf Bharu. Dalam ucapan perasmian, beliau telah menasihati para pelajar supaya berusaha bersungguh-sungguh bertepatan dengan tema program motivasi. Beliau turut menambah 'Let's do it youself because nobody can do it for you.' Beliau juga turut berkongsi pengalamannya semasa belajar dahulu untuk dijadikan satu panduan kepada para pelajar semua.

Saya selaku pengarah program, amat berpuas hati dengan penglibatan dan kerjasama yang telah diberikan oleh pihak pentadbiran sekolah serta guru-guru yang tentunya mahu melihat pelajar-pelajar mereka cemerlang dalam peperiksaan.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Kita sama-samalah berdoa untuk melihat hasilnya yang cemerlang.

Sunday, July 20, 2008

Balasungkawa


Saya mengucapkan takziah kepada kakak ipar sekeluarga atas pemergian ayahandanya Arifin Awang Hamat semalam. Saya cumanya agak ralat kerana hanya disebabkan perkara kecil Allahyarham telah terbunuh.

Mengikut sumber, Allahyarham telah ditetak gara-gara anak lembu peliharaannya telah memasuki kebun jirannya. Padahal perkara sebegini sepatutnya boleh diselesaikan secara musyawarah dan tidak perlu sampai berperang begitu sekali. Kalau hendak marah sangat, tetak sahaja anak lembu itu sudahlah. Inilah akibatnya apabila marah menguasai diri, maka nafsulah yang akan menjadi raja dan syaitanlah jadinya.

Saya yang turut sama memandikan jenazah setelah dibedah siasat oleh pasukan forensik di HPRZII turut sedih melihat kesan tetakkan pada leher jenazah Allahyarham yang dikatakan punca kematian beliau. Pihak polis sudah mengenal pasti siapakah yang punya angkara dan usaha untuk menangkapnya untuk dibawa kemuka pengadilan sedang dilakukan.

Semoga Allah merahmati roh beliau dan menempatkannya bersama para solihin. Amin!!!

Kursus Kepimpinan Dun Kelaboran 2008

Pada 18/07/2008, Pemuda Dun Kelaboran telah mengadakan satu Kursus Kepimpinan Peringkat Dun Kelaboran 2008 bertempat di Sudara Beach Resort. Kursus tersebut dihadiri oleh ajk Majlis Tindakan Dun (MTD), Pemuda Dun, Penghulu dan ketua cawangan.

YB Mohd Zaki Hj Ibrahim selaku Adun Kelaboran merangkap Timbalan Speaker Kerajaan Negeri Kelantan dalam ucapan perasmian kursus telah menyebut:
Program ini memberikan kita peluang bertukar fikiran sesama kita. Mewujudkan wahdatul fikr (Kesatuan Pemikiran) antara kita serta memudahkan gerak kerja yang akan menghasilkan wahdatul a'mal (kesatuan kerja) yang dapat diperolehi daripada program ini.

Pengalaman-pengalaman sahabat-sahabat yang lama dalam politik dapat kita gabungjalinkan boleh memperkukuhkan parti kita. Sebagai hardcore parti yang akan menentukan pergerakan parti di dun kita, jika kita bermasalah maka akan menyebabkan orang bawahan kita juga bermasaalah.

Kita janganlah menghiraukan apa-apa tuduhan yang dilemparkan kepada kita. Cuma kita boleh mengambil pengajaran daripada tuduhan tersebut supaya kita tidak menjadi sebagaimana tuduhan yang dibuat terhadap kita tersebut.

Sebagai pemimpin, kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t nanti. Kita telah diamanahkan oleh rakyat untuk mentadbir negeri. Tanggungjawab kita berbeza dengan sebelum era tahun 1990 iaitu sebelum kita memerintah negeri. Namun sekarang, tanggungjawab kita adalah lebih besar lagi setelah kita dapat memerintah negeri. Kita perlu menyelesaikan semua masalah yang timbul dan jangan hanya melepaskan bebanan tersebut kepada penghulu atau pejabat dun sahaja.

Kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan akan diagihkan kepada rakyat. Penghulu dan ketua cawangan adalah orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan pengagihan tersebut. Setiap kelulusan memerlukan pemantauan dan pemerhatian supaya ianya diperolehi oleh orang yang benar-benar layak.

Walau banyak masalah yang dikemukakan oleh rakyat, kita mestilah bersabar dan ingatlah kepada Allah. Mudah-mudahan dengan kesabaran kita akan memudahkan lagi kita untuk membantu rakyat serta memperkuatkan lagi parti dan kerajaan kita.

Kertas kerja I bertajuk Pemimpin Dan Kepimpinan Efektif Dalam Menghadapi Perubahan Dan Peralihan Masa telah dibentangkan oleh En. Azman Ibrahim.





Kertas kerja II bertajuk Peranan Pimpinan Pas Cawangan Dalam Menggerakkan Parti dibentang oleh Timbalan Pengarah I MTD, En. Mohd Adanan Hj Hassan. Antara intisari kertas kerja tersebut ialah pimpinan Pas perlulah menjadi contoh dan tauladan kepada ahli dan masyarakat.




Kertas kerja III bertajuk Faktor-Faktor Berlaku Keciciran Dalam Gerakan Islamiyyah dibentangkan oleh Timbalan Pengarah III MTD, Ust. Abdul Aziz Yusoff. Beliau memetik buku yang ditulis oleh Fathi Yakan.


Dalam kesimpulan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Dun selaku pengarah program, ada tiga perkara yang telah menjadi asas utama disebut oleh ketiga-tiga pembentang kertas kerja. Pertamanya, setiap pimpinan perlu menjadi contoh dan tauladan kepada orang lain. Kedua, setiap pimpinan perlu mendalami ilmu agama.Ketiga perlu ada wahdatul fikr dan wahdatul amal dikalangan para pimpinan.

Wednesday, July 16, 2008

Sister In Islam


Sister In Islam (SIS) merupakan satu organisasi bukan kerajaraan (NGO) yang kononnya ditubuhkan untuk memperjuangkan hak wanita. Saya percaya, mungkin benar prinsip asas organisasi ini adalah untuk memperjuangkan hak-hak wanita, tapi dasar perjuangan mereka tidak terikat dengan batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama.

Kebanyakan penggerak utama SIS ini merupakan para cendikiawan atau cerdik pandai yang beragama Islam, namun banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh SIS terang-terang bertentangan dengan Islam. Contohnya dalam isu poligami serta cara wanita berpakaian. Kenyataan mereka itu boleh dilihat dalam web rasmi SIS.

Mengenai cara wanita berpakaian contohnya, mereka berkeras bahawa itu adalah hak wanita untuk menentukan bagaimana cara mereka mahu berpakaian. Sedangkan Islam telah menetapkan garis panduan yang wajib bagi wanita dalam etika berpakaian. Bagi mereka, wanita yang berpakaian menjolokkan mata bukanlah antara sebab berlakunya jenayah seksual seperti rogol. Inilah antara kesilapan mereka. Jika berlaku jenayah seksual seperti cabul, gangguan seksual, rogol dan sebagainya, mereka akan menyalahkan golongan lelaki yang kononnya dikatakan tidak boleh mengawal nafsu mereka.

Malah mereka mendesak kerajaan untuk menggubal undang-undang mengenai gangguan seksual terhadap wanita. Pihak kerajaan juga sepatutnya menggubal undang-undang gangguan seksual terhadap lelaki. Saya yakin dan pasti sekiranya wanita berpakaian yang menjolok mata dihadapan lelali, seseorang lelaki yang normal pasti terganggu naluri seksual mereka. Nah, itukan juga gangguan seksual namanya.

Saya berharap, para pendokong SIS turut meneliti ajaran agama sebelum membuat satu-satu kenyataan, tindakan atau sebagainya supaya ianya tidak melangkaui batas-batas agama. Sekiranya ini berlaku, itulah sebenarnya 'Pelampau Agama'.

Debat Perdana


Saya percaya, seluruh rakyat negara ini menyaksikan debat perdana bertajuk Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak sama ada melalui tv atau hadir sendiri ke DBP antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Dato' Shabery Cheek semalam.

Agak menarik juga debat antara kedua-dua tokoh tersebut.Namun, kelihatannya Menteri Penerangan telah gagal untuk menjawab banyak persoalan yang diutarakan oleh Anwar. Daripada isi kandung debat tersebut, saya yakin dan percaya bahawa Anwar sama sekali tidak mempersalahkan Petronas dalam isu kenaikan harga minyak. Tetapi yang diutarakan oleh Anwar Ibrahim ialah kegagalan kerajaan dalam memenfaatkan keuntungan Petronas yang diberikan kepada kerajaan yang berjumlah berbilion ringgit itu dalam menangani masalah kenaikan harga minyak negara.

Menteri Penerangan telah gagal dalam banyak perkara untuk menjawab persoalan yang diajukan. Malah syarat debat yang tidak membolehkan mana-mana pendebat menyerang pribadi pendebat lain juga tidak dipatuhi oleh Menteri Penerangan tersebut.