hasbunallah

hasbunallah

Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri



Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidulfitri kepada semua sahabat sekalian. Ampun dan maaf andainya:-

Terkasar bahasa
Tersilap bicara

Termarah yang tak kena
Tertanya tak tentu hala
Tersasul yang tak sengaja

Terpukul kat mana-mana
Terpekik di telinga
Terhantuk di kepala
Terpinjam harta benda
Termoody tak semena-mena
Terumpat bila-bila
Termacam-macam lagi
Yang kena mengena


Semoga dimaafkan kerana andalah sahabat saya dunia & akhirat.

Thursday, September 25, 2008

Malaysia & Jenayah

Kalau diperhati dan diteliti sama ada dalam media cetak ataupun media elektronik, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita mengenai rompakan bersenjata, samun dan pembunuhan kejam yang berlaku di negara kita ini. Nampaknya para penjahat dan penjenayah semakin berleluasa dan seolah mereka tidak takut pada undang-undang yang ada.

Dulu selalunya kita dengar kes culik biasanya melibatkan kanak-kanak. Namun sekarang orang tua pun sudah tidak selamat kerana mereka juga turut diculik oleh para penjenayah yang tidak berperikemanusiaan. Perompak dan penyamun sekarang juga sudah tidak mengira mangsa dan habuan yang bakal mereka perolehi. Asalkan mereka dapat hasilnya sudah memadai tidak kira sama ada ia banyak ataupun sedikit.

Jenayah yang berlaku semakin kejam dan tidak berperikemanusian. Berapa banyak kes pembunuhan kemudian mangsa dikerat ataupun dipotong sebelum dibakar. Manusia apakah mereka ini? Keadaan seolah tidak selamat untuk didiami. Apakah tindakan segera atau langkah yang diambil kerajaan untuk menangani masalah jenayah yang semakin bermaharajalela ini?

Setakat ini seolah-olah diserahkan tugas ini kepada pihak polis sahaja. Manakala pihak kerajaan pula sibuk dengan politik yang entah apa-apa. Seperti takut pada bayang-bayang sendiri sahaja. Sibuk dengan perpecahan parti dan peralihan kuasa. Pemuda pula sibuk buat laporan polis terhadap Teresa Kok kerana kenyataan beliau mengenai makanan semasa dalam tahanan! Setakat itu sahajakah Pemuda Umno ditubuhkan?

Kalau sekadar kenyataan bahawa makanan yang diberikan semasa dalam tahanan seperti makanan anjing, biar pihak yang berkenaan seperti Kementerian Dalam Negeri sahajalah yang ambil tindakan. Pemuda perlu fikir masalah yang lebih besar dalam negara dan bukannya jadi kaki pengampu untuk mendapatkan kuasa atau jawatan atau sekadar untuk menjuarai sesuatu isu tertentu!!!

Semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dalam menangani masalah jenayah yang semakin berlelauasa dan kejam ini. Pihak kerajaan terutamanya perlu mencari langkah serta mekanisma yang boleh mengawal kadar jenayah ini. Dan dalam mencari jalan penyelesaiannya kita juga perlu mencari sebab dan musabab kenapa jenayah semakin berleluasa? Mungkin kita engkar dengan perintah serta melanggar larangan Allah?

Fikirkanlah.....

Monday, September 15, 2008

Amerika Si Penyibuk


Boleh dikatakan semua akhbar utama negara semalam mengenengahkan isu tiga individu yang telah ditahan di bawah ISA. Penahanan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng telah ditahan atas alasan untuk menjaga keselamatan serta ketenteraman rakyat negara ini.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan penahan mereka di bawah ISA, namun saya lagi tidak bersetuju dengan campur tangan Amerika dalam hal ehwal dalaman negara kita. Mengikut laporan Berita Minggu semalam, Jabatan Negara Amerika telah memanggil Duta Malaysia ke Washington, Ilango Karuppannan bagi mendapatkan penjelasan mengenai penggunaan ISA keatas tiga individu tersebut.

Nampaknya, Amerika hendak tunjuk baik dan jagoan dalam hal berkaitan hak asasi manusia. Hal negara orang selalu nak campur tangan, padahal masalah dalaman negara mereka sendiri pun masih belum selesai. Banyak peristiwa yang menunjukkan campur tangan Amerika akan hanya membawa kepada kehancuran dan kemusnahan negara lain. Contohnya Vietnam, Afganistan dan Iraq. Pada mulanya Amerika sekadar memberikan pertolongan dalam menyelesaikan konflik dalam negara tersebut, namun akhirnya negara tersebut hancur musnah dilanyak Amerika yang kononnya bertindak atas dasar memerangi keganasan.

Amerika kononnya sebuah negara yang menghormati hak asasi manusia gagal mematuhi ketetapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menutup penjara Teluk Guantanamao walaupun dikecam hebat oleh pihak antarabangsa. Amerika selalu menunding jari kearah orang lain sebagai jahat atau pengganas sedangkan Amerika adalah sebenarnya pengganas yang berselindung disebalik topeng polis dunia.

Saya naik meluat dengan Amerika yang selalu cuba untuk menonjolkan diri dan cuba untuk memenangi sesuatu isu tertentu. Sedangkan mereka sebenar mempunyai niat terselindung yang jahat disebalik sikap hero mereka itu.

Menyampah aku!!!

Wednesday, September 10, 2008

Sensitiviti Kaum


Sekarang, isu yang paling hangat di perkatakan ialah mengenai kandungan ceramah Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini.

Dalam ceramah atau kempen itu, beliau dilaporkan telah berkata bahawa orang Cina menumpang di negara ini. Rentetan daripada itu, maka bangkitlah perkumpulan, parti dan orang cina perseorangan mengutuk Datuk Ahmad oleh kerana ucapan beliau itu dikatakan tidak mengambil kira sensitiviti kaum cina di negara kita ini.

Selang beberapa hari selepas itu, Datuk Ahmad tampil membuat kenyataan bahawa ucapan atau kata-kata beliau itu sebenarnya merujuk kepada fakta sejarah negara sebelum merdeka. Yang mana orang cina telah dibawa masuk oleh penjajah ke negara untuk tujuan sebagai pekerja buruh terutamanya dilombong-lombong bijih timah.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini merupakan pendapat peribadi saya dan tiada kaitan dengan mana-mana individu, pertubuhan atau parti. Sekiranya kita selusuri sejarah negara, apa yang dijelaskan oleh Datuk Ahmad itu ada benarnya. Tanyalah pakar-pakar sejarah Negara kita mengenai perkara tersebut dan saya yakin bahawa mereka akan mengatakan bahawa memang benar orang cina merupakan pendatang pada ketika itu.

Apabila kata-kata tersebut dikeluarkan oleh Datuk Ahmad, semua orang termasuk orang Melayu sendiri mengutuk tindakan beliau itu yang dikatakan seolah-olah cuba memecah belahkan perpaduan antara kaum dengan menyentuh isu sensitiviti kaum cina. Nampaknya orang cina begitu sensitif apabila mereka dikatakan sebagai kaum pendatang ke negara kita ini.

Namun, terfikirkah kita sebagai orang Islam Melayu mengenai sensitiviti agama dan kaum kita? Adakah orang cina sebelum ini tidak pernah menyentuh mengenai sensitiviti orang Islam Melayu? Perkara ini perlu kita soroti kembali supaya terdapat keadilan di sana. Sekiranya kita mahu orang lain menjaga sensitiviti kaum kita, maka kita juga perlu menjaga sensitiviti kaum lain agar tidak dicalari oleh kata-kata atau tindakan kita.

Di sini saya ingin menarik perhatian semua untuk dijadikan perbandingan. Contohnya dalam isu murtad yang agak hangat perbahasannya dalam negara kita. Orang Islam yang dengan sedar telah mengisytiharkan untuk keluar dari agama Islam dan berhasrat untuk masuk agama lain seperti Budha, Kristian dan Hindu.

Orang Islam ketika itu bangkit mempertahankan agama mereka dan berkehendakkan supaya orang yang ingin murtad itu ditolak permohonan mereka ataupun dihukum mengikut agama Islam. Pada ketika itu juga ramai kaum lain yang masuk campur memberikan pandangan mengenai perkara tersebut sehinggakan mereka lupa bahawa mereka telah melanggari sensitiviti umat Islam Melayu negara kita ini.

Kononnya mereka berbuat demikian atas dasar hak asasi manusia yang bebas untuk menganut apa sahaja kepercayaan mereka. Adakah mereka tahu hukum-hakam agama kita mengenai perkara tersebut? Adakah selama ini masyarakat Islam Melayu ada mencampuri urusan agama mereka?

Setahu dan seingat saya, masyarakat Islam Melayu tidak pernah mencampuri urusan agama lain yang ada dalam negara kita ini. Malah mereka dibiarkan bebas untuk mengamalkan kepercayaan mereka dan mengadakan perayaan mereka dengan besar-besaran. Mereka dibenarkan berarak dan menari dijalanan sewaktu merayakan hari kebesaran mereka.

Saya bukanlah hendak menambahkan lagi isu yang telah hangat ini, cuma sekadar peringatan kepada kaum lain sahaja. Islam mengamalkan prinsip toleransi antara kaum dan agama. Selama mana kaum dan agama lain boleh bertoleransi dengan Islam, maka selama itulah kebajikan kaum tersebut akan terjaga dan terpelihara. Jadi prinsipnya amat mudah. Sekiranya sesuatu kaum atau agama itu tidak mahu diganggu gugat oleh kaum atau agama lain, maka mereka seharusnya terlebih dahulu jangan mencampuri urusan kaum atau agama lain. Sekiranya kita ada hati dan perasaan, maka orang lain pun turut ada hati dan perasaan macam kita.


Monday, September 1, 2008

Bajet 2009



Semalam YAB Perdana Menteri telah bentangkan Bajet 2009 di Parlimen. Semua komen dan pendapat yang diberikan sama ada oleh orang perseorangan, masyarakat, media dan sebagainya menyatakan bahawa bajet 2009 yang dibentangkan tersebut merupakan bajet yang prihatin terhadap rakyat.

Walau bagaimanapun, disini saya bukanlah ingin mengulas sama ada Bajet 2009 tersebut benar-benar prihatin atau tidak. Tapi saya ingin menarik perhatian mengenai beberapa allocation yang dibuat dalam bajet tersebut.

Pertamanya sejumlah RM5.4 bilion telah diperuntukan bagi meningkatkan keupayaan PDRM. Elauan intensif khas juga telah dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan. Alangkah bagusnya sekiranya daripada jumlah tersebut digunakan oleh PDRM untuk meningkatkan integriti anggota polis serta meraihkan kembali kepercayaan masyarakat terhadap polis.

Akhir-akhir ini kepercayaan masyarakat terhadap PDRM semakin terhakis akibat terlalu banyak kejadian jenayah yang melibatkan anggota polis sendiri. Kejadian terbaru ialah kehilangan sejumlah besar dadah yang dirampas polis Johor daripada simpanan mereka. Penangkapan anggota polis yang turut terlibat dalam menyalah gunaan dadah serta jenayah-jenayah lain seperti rompakan dan rasuah.

Sepatutnya pihak kerajaan dan PDRM sendiri mengambil langkah yang drastik bagi memulihkan imej polis. Adakah kajian yang dibuat oleh Suruhan Diraja Penambahbaikan Polis telah diambil tindakannya atau hanya sekadar tinggal diatas kertas sahaja. PDRM sebagai sebuah badan peguatkuasa keamanan negara seharus dan sepatutnya menjaga keamanan dan membenteras jenayah turut terlibat dengan jenayah tersebut. Ia bukan sahaja melibatkan anggota berpangkat rendah malah pegawai atasan juga turut terlibat sama.

Jadi, dengan peruntukan kewangan yang cukup besar itu diharapkan PDRM mampu meningkatkan integriti dan sekaligus mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.

Keduanya peruntukan kerajaan kepada kakitangan kerajaan dalam bentuk bonus sebulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000. Tahun lepas, kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji untuk semua kakitangan kerajaan. Namun begitu CEUPACS masih lagi mendesak kerajaan supaya menaikkan bayaran KOLA kepada RM500 sebulan bagi setiap kakitangan awam.

Jika diteliti, setiap kali pembentangan bajet oleh PM tentu ada habuannya untuk kakitangan awam sama ada dalam bentuk kenaikan gaji ataupun bonus. Tapi adakah pemberiaan kerajaan itu berbaloi dengan tahap servis atau kerja yang dilakukan oleh kakitangan awam? Sepatutnya kerajaan memberikan kenaikan kepada jabatan tertentu sahaja yang memenuhi dan menepati satu tahap kerja yang cemerlang sebagai menghargai usaha mereka dalam memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan.

Saya amat percaya sekiranya diadakan kaji selidik dikalangan masyarakat mengenai tahap kerja dan layanan yang diberikan oleh kakitangan awam terutamanya yang berurusan dengan masyarat sudah pasti ada yang merungut tidak berpuas hati. Kerja yang dibuat sambil lewa, tidak menepati masa, tidak menghormati pelanggan, tidak mesra dan sebagainya merupakan antara rungutan masyarakat.

Sepatutnya kakitangan awam perlu sedar bahawa mereka memikul amanah negara dalam memberikan khidmat. Pendapatan mereka adalah diambil daripada hasil yang dibayar masyarakat. Bagi saya, tiada gunanya kerajaan menuruti kehendak kesatuan sedangkan para kakitangan awam tidak pernah memenuhi satu tahap kerja yang benar-benar memuaskan.

Ingatlah, tidak saya halalkan walaupun satu sen yang dibayar daripada cukai yang saya bayar yang diberikan kepada kakitangan awam yang tidak memenuhi tanggungjawab mereka sebagaimana yang diamanahkan.

Dua perkara ini pihak kerajaan perlu memberikan perhatian yang amat teliti bagi menjamin pembangunan negara yang lebih telus baik, cemerlang, gemilang dan terbilang!!!