hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, September 10, 2008

Sensitiviti Kaum


Sekarang, isu yang paling hangat di perkatakan ialah mengenai kandungan ceramah Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini.

Dalam ceramah atau kempen itu, beliau dilaporkan telah berkata bahawa orang Cina menumpang di negara ini. Rentetan daripada itu, maka bangkitlah perkumpulan, parti dan orang cina perseorangan mengutuk Datuk Ahmad oleh kerana ucapan beliau itu dikatakan tidak mengambil kira sensitiviti kaum cina di negara kita ini.

Selang beberapa hari selepas itu, Datuk Ahmad tampil membuat kenyataan bahawa ucapan atau kata-kata beliau itu sebenarnya merujuk kepada fakta sejarah negara sebelum merdeka. Yang mana orang cina telah dibawa masuk oleh penjajah ke negara untuk tujuan sebagai pekerja buruh terutamanya dilombong-lombong bijih timah.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini merupakan pendapat peribadi saya dan tiada kaitan dengan mana-mana individu, pertubuhan atau parti. Sekiranya kita selusuri sejarah negara, apa yang dijelaskan oleh Datuk Ahmad itu ada benarnya. Tanyalah pakar-pakar sejarah Negara kita mengenai perkara tersebut dan saya yakin bahawa mereka akan mengatakan bahawa memang benar orang cina merupakan pendatang pada ketika itu.

Apabila kata-kata tersebut dikeluarkan oleh Datuk Ahmad, semua orang termasuk orang Melayu sendiri mengutuk tindakan beliau itu yang dikatakan seolah-olah cuba memecah belahkan perpaduan antara kaum dengan menyentuh isu sensitiviti kaum cina. Nampaknya orang cina begitu sensitif apabila mereka dikatakan sebagai kaum pendatang ke negara kita ini.

Namun, terfikirkah kita sebagai orang Islam Melayu mengenai sensitiviti agama dan kaum kita? Adakah orang cina sebelum ini tidak pernah menyentuh mengenai sensitiviti orang Islam Melayu? Perkara ini perlu kita soroti kembali supaya terdapat keadilan di sana. Sekiranya kita mahu orang lain menjaga sensitiviti kaum kita, maka kita juga perlu menjaga sensitiviti kaum lain agar tidak dicalari oleh kata-kata atau tindakan kita.

Di sini saya ingin menarik perhatian semua untuk dijadikan perbandingan. Contohnya dalam isu murtad yang agak hangat perbahasannya dalam negara kita. Orang Islam yang dengan sedar telah mengisytiharkan untuk keluar dari agama Islam dan berhasrat untuk masuk agama lain seperti Budha, Kristian dan Hindu.

Orang Islam ketika itu bangkit mempertahankan agama mereka dan berkehendakkan supaya orang yang ingin murtad itu ditolak permohonan mereka ataupun dihukum mengikut agama Islam. Pada ketika itu juga ramai kaum lain yang masuk campur memberikan pandangan mengenai perkara tersebut sehinggakan mereka lupa bahawa mereka telah melanggari sensitiviti umat Islam Melayu negara kita ini.

Kononnya mereka berbuat demikian atas dasar hak asasi manusia yang bebas untuk menganut apa sahaja kepercayaan mereka. Adakah mereka tahu hukum-hakam agama kita mengenai perkara tersebut? Adakah selama ini masyarakat Islam Melayu ada mencampuri urusan agama mereka?

Setahu dan seingat saya, masyarakat Islam Melayu tidak pernah mencampuri urusan agama lain yang ada dalam negara kita ini. Malah mereka dibiarkan bebas untuk mengamalkan kepercayaan mereka dan mengadakan perayaan mereka dengan besar-besaran. Mereka dibenarkan berarak dan menari dijalanan sewaktu merayakan hari kebesaran mereka.

Saya bukanlah hendak menambahkan lagi isu yang telah hangat ini, cuma sekadar peringatan kepada kaum lain sahaja. Islam mengamalkan prinsip toleransi antara kaum dan agama. Selama mana kaum dan agama lain boleh bertoleransi dengan Islam, maka selama itulah kebajikan kaum tersebut akan terjaga dan terpelihara. Jadi prinsipnya amat mudah. Sekiranya sesuatu kaum atau agama itu tidak mahu diganggu gugat oleh kaum atau agama lain, maka mereka seharusnya terlebih dahulu jangan mencampuri urusan kaum atau agama lain. Sekiranya kita ada hati dan perasaan, maka orang lain pun turut ada hati dan perasaan macam kita.


No comments: