Kalau diperhati dan diteliti sama ada dalam media cetak ataupun media elektronik, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita mengenai rompakan bersenjata, samun dan pembunuhan kejam yang berlaku di negara kita ini. Nampaknya para penjahat dan penjenayah semakin berleluasa dan seolah mereka tidak takut pada undang-undang yang ada.
Dulu selalunya kita dengar kes culik biasanya melibatkan kanak-kanak. Namun sekarang orang tua pun sudah tidak selamat kerana mereka juga turut diculik oleh para penjenayah yang tidak berperikemanusiaan. Perompak dan penyamun sekarang juga sudah tidak mengira mangsa dan habuan yang bakal mereka perolehi. Asalkan mereka dapat hasilnya sudah memadai tidak kira sama ada ia banyak ataupun sedikit.
Jenayah yang berlaku semakin kejam dan tidak berperikemanusian. Berapa banyak kes pembunuhan kemudian mangsa dikerat ataupun dipotong sebelum dibakar. Manusia apakah mereka ini? Keadaan seolah tidak selamat untuk didiami. Apakah tindakan segera atau langkah yang diambil kerajaan untuk menangani masalah jenayah yang semakin bermaharajalela ini?
Setakat ini seolah-olah diserahkan tugas ini kepada pihak polis sahaja. Manakala pihak kerajaan pula sibuk dengan politik yang entah apa-apa. Seperti takut pada bayang-bayang sendiri sahaja. Sibuk dengan perpecahan parti dan peralihan kuasa. Pemuda pula sibuk buat laporan polis terhadap Teresa Kok kerana kenyataan beliau mengenai makanan semasa dalam tahanan! Setakat itu sahajakah Pemuda Umno ditubuhkan?
Kalau sekadar kenyataan bahawa makanan yang diberikan semasa dalam tahanan seperti makanan anjing, biar pihak yang berkenaan seperti Kementerian Dalam Negeri sahajalah yang ambil tindakan. Pemuda perlu fikir masalah yang lebih besar dalam negara dan bukannya jadi kaki pengampu untuk mendapatkan kuasa atau jawatan atau sekadar untuk menjuarai sesuatu isu tertentu!!!
Semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dalam menangani masalah jenayah yang semakin berlelauasa dan kejam ini. Pihak kerajaan terutamanya perlu mencari langkah serta mekanisma yang boleh mengawal kadar jenayah ini. Dan dalam mencari jalan penyelesaiannya kita juga perlu mencari sebab dan musabab kenapa jenayah semakin berleluasa? Mungkin kita engkar dengan perintah serta melanggar larangan Allah?
Fikirkanlah.....
No comments:
Post a Comment