hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, November 26, 2008

Yoga Haram


Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini setelah menjalankan kajian secara terperinci telah mengeluarkan satu fatwa bahawa Yoga, senaman yang berasal dari penganut agama Budha adalah haram. Ini adalah kerana senaman tersebut mengandungi unsur-unsur pemujaan dan mentera-mentera yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Perlu diingatkan bahawa fatwa pengharaman tersebut adalah untuk orang Islam. Jadi, orang bukan Islam masih bebas untuk mengamalkannya. Oleh itu tidak perlulah orang bukan Islam mempertikaikan fatwa tersebut kerana ianya tidak bersangkutan pun dengan mereka. Kenapalah masih ada orang bukan Islam cuba untuk mencampuri urusan agama Islam.

Bagi orang Muslim pula, kenapa kita hendak mengamalkan senaman milik bangsa lain yang bercanggah dengan aqidah itu? Padahal masih banyak senaman-senaman yang boleh kita lakukan untuk memiliki tubuh badan yang sihat. Kalau mengamalkan Yoga untuk bermeditasi atau menenangkan jiwa, Islam sendiri memiliki amalan-amalan yang berbentuk meditasi dan boleh menenangkan jiwa seperti solat dan zikir.

Solat dan zikir telah terbukti boleh memberikan ketenangan jiwa kepada pengamalnya sekiranya dilakukan dengan betul. Banyak buku-buku dan kitab-kitab para ulama yang membahaskan perkara tersebut. Jadi sebagai seorang Muslim, kembalilah kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah agar kita tidak tergolong dalam golongan yang sesat.


Monday, November 10, 2008

Usah Campur Hak Umat Islam


Hari ini akhbar Berita Harian telah menyiarkan tentang segelintir pertubuhan bukan Islam (NGO) bukan Islam cuba untuk mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah mengharamkan perlakuan ‘pengkid' atau wanita yang menyamai lelaki. Dikatakan bahawa NGO tersebut ialah Katagender dan Food-not-Bombs telah mengadakan satu demontsrasi membantah fatwa tersebut yang dikatakan bertentangan dengan hak asasi manusia.

Saya amat sensitif bila ada pihak bukan Islam cuba untuk mempertikaikan apa-apa kepercayaan atau amalan orang Islam. Siapa mereka untuk bertindak sedemikian? Sejauh manakah kefahaman mereka mengenai hukum hakam yang terdapat dalam Islam? Saya yakin dan percaya bahawa mereka bukan sahaja tidak mengetahui selok belok hukum- hakam yang terdapat dalam Islam, malah mereka juga tidak memahami konsep dan kepercayaan yang terdapat dalam agama mereka sendiri.

Setahu saya, umat Islam di Malaysia tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau mengutuk mana-mana amalan atau kepercayaan agama lain di Malaysia walaupun pada hakikatnya amalan atau kepercayaan tersebut dihukumkan sesat atau salah disisi Islam. Islam menghormati agama lain selagi mana mereka menghormati Islam. Fahamilah agama anda sendiri sebelum hendak mempertikaikan kepercayaan atau hukum agama Islam.

Saya amat berharap agar pihak kerajaan terutamanya Perdana Menteri supaya mengambil tindakan tegas demi untuk menjamin kesucian institusi fatwa dan Islam khususnya daripada terus dicemuh atau diperlekehkan oleh mana-mana agama lain. Sepatutnya orang bukan Islam mengambil iktibar dan peringatan daripada kenyataan rasmi Majlis Raja-Raja mengenai Islam baru-baru ini.


Sajak Kematian


Semalam berita tv menyiarkan mengenai pendapat orang ramai mengenai ‘Sajak Kematian’ yang ditayangkan oleh pihak sekolah kepada murid-murid yang berumur 7 dan 8 tahun.

Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa tidak wajar untuk menayangkan perkara-perkara yang mempunyai unsur- unsur ketakutan kepada murid-murid. Mereka juga berpendapat bahawa disana terdapat banyak lagi cara untuk mendidik murid-murid seperti memberikan kaunseling serta motivasi dan bukannya dengan cara menakut-nakutkan mereka.

Agak pelik apabila pendapat itu diutarakan oleh orang Islam yang berpendidikan tinggi. Bagi mereka, jiwa anak-anak yang masih muda seolah-olah tidak sepatutnya didedahkan kepada perkara yang menakutkan. Kenapa isu ini timbul apabila pihak sekolah menayangkan satu lakonan yang bertajuk ‘ Sajak Kematian’? Padahal saya amat percaya, sekiranya ditanya kepada anak-anak tersebut mengenai filem-filem seram yang pernah mereka tengok, sudah tentu mereka akan menyebut filem Pocong, Orang Minyak, Pontianak Harum Sundal Malam dan bermacam-macam filem lagi yang ditayangkan dilayar perak.

Namun ianya tidak pernah dipersoalkan sama ada ianya sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak atau tidak. Sekiranya hendak dibandingkan dengan filem-filem tersebut dengan tayangan ‘ Sajakk Kematian’ itu, saya amat yakin bahawa ‘Sajak Kematian’ itu jauh lebih memberikan manfaat dan pengajaran kepada anak-anak itu.

Sebagai seorang yang mengaku Muslim, kita wajib mempercayai bahawa Allah telah menyediakan petunjuk dalam pentarbiyahan anak-anak. Allah s.w.t telah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [Surah at-Tahrim: 6]

Ayat diatas merupakan asas yang patut diambil berat tentang pendidikan anak-anak serta ahli keluarga secara amnya. Allah menyuruh para suami supaya mendidik ahli keluarga mereka agar dapat dijauhkan dari seksa api neraka.

Mungkin ramai diantara kita tidak tahu bilakah bermulanya waktu pentarbiyahan untuk anak-anak. Padahal ramai ulama yang mengatakan bahawa tarbiyah anak-anak itu bermula sejak lahir lagi. Malah ada sesetengah ulama yang berpendapat bahawa pendidikan atau pentarbiyahan anak-anak ini bermula sejak bapa memilih calon ibu untuk bakal anak-anaknya lagi.

Al-Hassan bin Ali k.r.w ada meriwayatkan dari Nabi s.a.w bahawa baginda bersabda:
“Barang siapa diberikan anak yang beru lahir, kemudian ia menyuarakan azan pada telinga kanan dan iqamat pada telinga kirinya maka anak yang baru lahir itu tidak akan terkena bahaya Ummu as-Shibyan.”

Diantara tujuan azan dan iqamat pada telinga anak-anak yang baru lahir adalah untuk memberikan pentarbiyahan pertama kepada mereka. Memperkenalkan mereka kepada kalimah suci dan agong kerana anak-anak kecil atau bayi mampu mendengar. Allah s.w.t telah berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.” [Surah al- Insan: 2]

Kalaulah anak-anak itu tidak dapat mendengar kalimah-kalimah suci tersebut sudah tentu Rasulullah s.a.w tidak akan menyuruhkan azan dan iqamat pada telinga anak-anak yang baru lahir kerana mustahil Rasulullah menyuruh kepada perkara yang sia-sia.

Ibnu al- Qayyim al-Jauziyyah ada menyebut dalam Tuhfatul Maulud tentang rahsia azan dan iqamat pada telinga anak-anak baru lahir ialah agar apa yang pertama-tama menembusi pendengaran manusia adalah kalimah-kalimah seruan Yang Maha Tinggi yang mengandungi kebesaran Tuhan dan syahadat yang dengannyalah ia pertama-tama masuk Islam. Hal itu adalah merupakan talqin (pengajaran) baginya tentang syariat Islam ketika dia memasuki dunia, sebagaimana halnya kalimah tauhid ditalqinkan kepadanya ketika dia meninggal dunia. Dan tidak mustahil bila pengaruh azan itu akan meresap di dalam hatinya, walaupun dia tidak merasa.

Nah, daripada hujah diatas ianya jelas menunjukkan bahawa pentarbiyahan anak-anak itu bermula sejak mereka lahir lagi. Mereka perlu didedahkan kepada agama sejak dari awal supaya mereka tidak akan rasa asing dengan agama mereka sendiri.

Oleh itu apa salahnya mendedahkan tayangan ‘Sajak Kematian’ itu kepada murid-murid supaya mereka mengambil iktibar dan pengajian saat-saat kematiian apabila ia mengunjungi manusia. Kita sepatutnya tahu bahawa bukan orang tua sahaja yang mati, malah kanak-kanak dan bayi juga turut mati apabila tiba ajalnya. Adakah dengan tidak membenarkan kanak-kanak menonton ‘Sajak Kematian’ mereka tidak akan mati?

Sekurang-kurangnya dengan tayangan tersebut boleh memberikan gambaran kepada mereka bagaimana tibanya saat ajal manusia. Mereka diberikan pengetahuan apakah bekal yang patut dibawa ke liang lahad. Adakah berguna bagi mereka harta yang banyak, pangkat besar atau kemegahan dunia tatkala didatangi malaikat munkar dan nakir?

Rujukan:

Dr. Abdullah Nasih Ulwan, Tarbiyatul Awlad. Penerbit as- Syifa, Bandung. 1995.

Al- Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad, Ayyuhal Walad. Khazanah Banjariah, Kedah. 1998.

As- Sayuti, Imam Jalaluddin, Li Bab an-Nuqul Fi Asbab al-Nuzul. Victory Agencie, Kuala Lumpur. 2004.

Thursday, November 6, 2008

Harapan Buat Barack Hussein Obama


Seluruh dunia menyambut kemenangan besar Barack Hussein Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang memberi harapan menyaksikan perubahan dalam sikap Amerika terhadap menangani masalah keselamatan dan ekonomi sejagat.

Obama, 47, dari parti Demokrat yang muncul Presiden kulit hitam pertama AS apabila menewaskan lawannya dari Republikan, John McCain, turut mengetuai parti Demokrat memperluaskan penguasaan di kedua-dua Dewan Kongres.

Satu-satunya Presiden Amerika yang beragama Islam yang mendapat sokongan majoriti rakyat Amerika Syarikat. Beliau secara rasminya akan sebagai Presiden Amerika yang ke 44 pada 2o Januari depan dilihat akan membawa perubahan besar kepada dasar Amerika terutamanya dasar luar yang berkaitan perang dan ketenteraan.

Sama-samalah kita berdoa agar dengan perlantikan Obama tersebut akan terus melenyapkan keangkuhan Amerika yang diketuai Bush sebelum ini. Kita harapkan semoga sinar Islam yang berada dalam hatinya akan memandu beliau dalam membuat keputusan.

Kita tunggu dan lihat hasilnya nanti...


Sunday, November 2, 2008

Razak Baginda Bebas


Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membebaskan penganalisis politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Saya sedikit pun tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah itu, kerana saya percaya bahawa keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin adalah berdasarkan keterangan dan bukti yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaraya di Mahkamah. Saya juga percaya bahawa Razak memang tidak terlibat dalam pembunuhan model Mongolia itu.

Namun disana terdapat persoalan mengenai siapakah sebenarnya yang berada disebalik tabir pembunuhan kejam itu? Saya cukup percaya bahawa Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar hanyalah orang suruhan untuk melakukan pembunuhan tersebut. Saya tidak menuduh sesiapa, namun itu adalah berdasarkan analisis yang dibuat sepanjang perbicaraan yang memakan masa 151 hari itu.

Siapa ek?!!!