hasbunallah

hasbunallah

Monday, December 28, 2009

Halal Oh Haram…



Isu halal bagi umat Islam diseluruh dunia ini bukanlah suatu isu yang baru. Islam mewajibkan umatnya supaya mengambil berat mengenai isu halal sama ada dalam makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.

Saya percaya umat Islam di Negara kita ini khususnya dalam dilemma berkaitan isu makanan halal. Telah timbul beberapa hasil penyelidikan pihak tertentu mendapati bebarapa produk kegunaan harian kita yang bertanda ‘Halal’ namun sebenarnya adalah haram kerana mempunyai unsur-unsur yang tidak halal seperti lemak babi dan lain-lain.

Terlalu sukar untuk kita sebagai pengguna untuk mengenali secara khususnya sama ada sesuatu produk itu halal atau haram apatah lagi sekiranya produk tersebut mempunyai logo halal Jakim sendiri. Kalau yang mempunyai logo halal pun didapati haram, apatah lagi produk yang tidak terdapat sebarang logo atau tanda halal.

Sedangkan ‘halal’ merupakan antara syarat penting untuk kita sebagai umat Islam menacapai redha Allah s.w.t. Sekiranya makanan kita haram, pakaian kita haram, tempat tinggal kita juga haram apakah berkemungkinan untuk Allah Taala perkenankan segala permohonan kita atau kabulkan segala doa kita?

Baru-baru ini telah tersebar di internet menegani senarai Emulsfier Code haram yang terdapat dalam produk makanan. Apabila saya teliti, kebanyakan emulsfier tersebut terdapat dalam kebanyakkan produk makanan di Negara kita, namun produk tersebut terdapat logo atau tanda halal. Saya tidak pasti mengenai kesahihan code tersebut, namun apabila saya buat sedikit penyelidikan saya dapati code-code yang dinyatakan tersebut memang berasal dari bahan-bahan yang tidak halal.

Pada hari ini pula, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ke atas 12 sampel isi daging ikan (surimi) digunakan dalam bebola ikan yang diambil daripada beberapa pasar raya di sekitar Putrajaya dan Nilai, Negeri Sembilan didapati mengandungi bahan tidak halal dalam produk berkenaan. 

Sehingga sekarang saya tidak tahu apakah langkah atau tindakan kerajaan untuk menangani masalah ini. Cuma saya hanya terdengar dalam berita radio sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja tempoh hari bahawa pihak kerajaan akan menggubal Akta Halal pada penghujung tahun depan.

Penghujung tahun depan!!!!! Sehingga ke saat itu, sudah berapa banyak produk haram yang mempunyai logo halal dijual dan dimakan oleh umat Islam? Kenapa tidak dipersegerakan penggubalan Akta tersebut demi menjamin kesejahteraan umat Islam? Adakah kerajaan tidak fikir bahawa akta tersebut juga penting.

Entahlah….saya jadi bingung memikirkannya kerana kita adalah diwajibkan untuk mencari yang halal!!!!

Thursday, December 17, 2009

Hukum Pengamal Sihir

Satu cadangan telah dikemukakan hasil daripada Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor di sini, semalam agar penggunaan ilmu hitam, termasuk bagi menundukkan suami atau isteri serta dalam aktiviti jenayah mendapat perhatian pakar agama yang menyarankan supaya undang-undang sihir diwujudkan untuk mencegah amalan itu berleluasa.

Terlalu banyak berita dan cerita yang kita dengar mengenai amalan sihir yang dilakukan keatas individu-invidu tertentu menyebabkan individu tersebut ditimpa musibah atas kehendak Allah s.w.t. Manakala pengamalnya pula terlepas begitu sahaja kerana negara kita masih tidak mempunyia sebarang undang-undang untuk menghukum pengamal-pengamal sihir ini. 

Walaupun kita tahu bahawa tentunya terlalu sukar untuk mendakwa pengamal-pengamal sihir ini kerana perbuatan tersebut yang berbentuk abstrak dan hanya orang yang pakar sahaja mengetahui mengenai perkara tersebut. Namun begitu, dengan bantuan pakar-pakar perubatan Islam yang banyak di Malaysia ini saya percayai kita mampu untuk mewujudkan undang-undang tersebut.

Manakala pendakwaan serta cara pembuktiannya pula haruslah mempunyai metode khusus dan berbeza dengan cara pembuktian dalam kes-kes biasa. Perkara tersebut perlulah diteliti serta diperhalusi oleh pakar-pakar berkenaan bagi membendung jenayah yang berunsurkan amalan sihir ini.



Tuesday, December 15, 2009

Rehlah ar-Rasyidin

Alhamdulillah, saya ucapkan segala puji kepada Allah s.w.t kerana telah mempermudahkan perjalanan saya ke Palembang bermula pada 11/12/2009 sehingga 14/12/2009 untuk menemui Abuya al-Habib Umar bin Abdul Aziz bin Shihab, Pengasuh Pesantren Rubath al-Muhibbien serta untuk menghadiri beberapa majlis haul ulama-ulama yang hebat.

InsyaAllah, akan datang nanti saya akan paparkan catatan perjalanan saya kesana yang saya namakan sebagai Rehlah ar-Rasyidin : Sebuah Catatan Perjalanan Ke Palembang I seusainya saya menyiapkan Rehlatul Kubra: Sebuah Catatan Perjalanan Ke Sulawesi I. Semoga Allah s.w.t akan mempermudahkan bagi saya untuk menyiapkan catatan ini bagi tatapan umum sebagai salah satu dari media dakwah yang mampu saya lakukan. 

Monday, December 7, 2009

Rehlatul Kubra

Buat para penungunjung sekalian, saya telah memaparkan post terbaru siri Rehlatul Kubra: Sebuah Catatan Perjalanan Ke Sulawesi I  di blog Usrah Jamadilkubra. 

Cuma saya menghadapi sedikit masalah untuk upload gambar berkaitan. InsyaAllah..saya akan cuba sedaya upaya untuk memaparkan gambar tersebut.Catatan hari-hari berikutnya akan dipaparkan dari semasa ke semasa selepas selepas urusan pengeditan.

Anda boleh membaca siri tersebut sebagaimana link dibawah:-

2. Rehlatul Kubra (Hari Kedua)
3. Rehlatul Kubra  (Hari Ketiga)
4. Rehlatul Kubra (Hari Keempat)
5. Rehlatul Kubra (Akhir)

 

Saturday, December 5, 2009

Biarkan Majlis Syura Yang Tentukan


Saya tidak hairan jika orang diluar jemaah atau golongan lain yang mendesak YAB  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan. Namun apa yang saya pelik ialah apabila orang dalaman parti sendiri yang seolah-olah mendesak Tok Guru melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri Besar.

Dalam Kem Murabbi, kami ditazkirahkan mengenai Rukun Bai’ah yang telah disusun oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna. Diantara 10 rukun bai’ah tersebut, rukun yang terakhir adalah Thiqah iaitu kepercayaan. Ianya merujuk kepada kepercayaan kita kepada pemimpin yang telah diangkat oleh jemaah yang telah kita bai’ah.

Bagi saya, tidak perlu kita mengikut rentak golongan musuh. Tok Guru merupakan tunjang dalam Pas, jadi tidak perlulah kita meminta Tok Guru melepaskan jawatan beliau selagi mana Majlis Syura memutuskan Tok Guru masih relevan untuk parti.




Thursday, December 3, 2009

Merintis Denai Sebuah Penyelesaian


Alhamdulillah...segunung syukur saya panjatkan kepada Allah s.w.t kerana telah mengirimkan 3 orang pemuda soleh berhati mulia yang sedar dan prihatin dengan masalah yang saya hadapi. Sama ada masalah pentadbiran Masjid at-Tawwabeen ataupun masalah cawangan.

Bermula dengan penetapan asas perbincangan kami sama ada untuk mencari kebenaran ataupun memperolehi kemenangan. Maka kami  bersetuju bahawa perbincangan ini adalah untuk mencari kebenaran. Kemudian kami juga bersepakat bahawa ukuran atau timbangan kebenaran itu dinilai dengan neraca al-Quran dan Sunnah.

Dalam pertemuan yang diadakan di Pejabat Adun Kelaboran itu kami masing-masing mencari punca masalah yang timbul dan saya sebagai manusia mengakui kesilapan saya serta saya pertahankan kebenaran yang saya yakini dengan ilmu saya. Yang haq itu tetap benar dan yang batil itu tetap salah.

Lagipun saya hanyalah manusia biasa yang tidak punyai sebarang kelebihan berbanding orang lain. Cuma saya telah ditakdirkan Allah s.w.t untuk memegang jawatan serta menanggung amanah yang agak berat ini. Tanpa pertolongan Allah dan bantuan dari 3 orang pemuda mulia ini, sudah tentu sukar untuk saya hadapinya sendirian.

Mungkin Allah memakbulkan doa yang saya rintihkan disetiap sujud mohonkan pertolonganNya disaat ini dengan mengirimkan 3 orang pemuda berhati mulia tersebut. Keprihatinan mereka terhadap masalah yang saya hadapi ini menjadikan bebanan yang saya pikul terasa sedikit ringan walaupun penyelesaiannya masih samar. Namun begitu saya tetap menaruh keyakinan dan harapan bahawa setiap usaha yang dimulakan dengan niat yang baik pasti akan dipermudahkan Allah.

Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga pemuda soleh tersebut yang sudi mendengar rintihan hati saya dan kepada Saiful, penolong setiausaha pemuda dun yang sanggup bersengkang mata di Pejabat Dun Kelaboran menanti tamatnya perbincangan bagi merintis denai sebuah penyelesaian.

Tuesday, December 1, 2009

Bila Pemimpin UMNO Takutkan Doa


Isu terbaru dalam sehari dua ini ialah mengenai kenyataan YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang akan mendoakan kecelakaan terhadap pemimpin UMNO yang menyekat pemberian royalti minyak kepada rakyat Kelantan.

Di sini saya bukanlah ingin mengupas sama ada wajar atau tidak Tuan Guru membuat kenyataan demikian yang telah banyak diulas oleh pelbagai pihak termasuklah Sohibus Samahah Tan Sri Dr. Harussani Zakaria, Mufti Negeri Perak. Ada yang menokong kenyataan Tok Guru itu dan tidak kurang pula yang menentang serta mencemuhnya.

Namun di sini, saya ingin menarik para pembaca dan pengunjung blog saya ini untuk merenung sejenak. Sekiranya Tok Guru tidak membuat kenyataan tersebut, ada ianya bermakna tidak ada orang yang mendoakan pemimpin UMNO sedemikian?

Sebagai rakyat Kelantan, saya turut kecewa dengan tindakan kerajaan pusat dibawah kekuasaan UMNO yang enggan memberikan hak royalti minyak. Sebaliknya kerajaan pusat hanya sekadar memberikan wang ehsan, itu pun melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan bukannya terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Pada hak royalti tersebut sudah dijamin dan diakui melalui sebuah perjanjian antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas suatu ketika dahulu.

Tidakkah tindakan kerajaan pusat menafikan hak royalti milik rakyat Kelantan itu adalah suatu kezaliman? Bukankah mengambil milik atau hak orang lain itu dipanggil pencuri atau perompak dan tidakkah perbuatan tersebut zalim namanya?

Bila Tok Guru membuat kenyataan tersebut, maka ramailah pemimpin UMNO yang melenting dan marah. Tahu juga mereka takut dengan doa yea!! Tapi tahukah mereka bahawa doa orang yang dizalimi itu tidak ada hijabnya dengan Allah s.w.t sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

اتقوا دعوة المظلوم فإنها ليس بينها و بين الله حجابا

[ Takutlah olehmu akan doa orang - orang yang dizalimi kerana sesungguhnya antara doa orang yang dizalimi dengan Allah swt tiada hijab - halangan - ]

Hadis riwayat ibnu Hibban


Jadi pesan saya, sekiranya dah tahu takut kena doa berikanlah sahaja royalti minyak yang menjadi hak rakyat kelantan itu tanpa sebarang dalih.




DPPNK Buat Laporan Polis


Selepas solat maghrib semalam, saya telah menerima sms dari Setiausaha Kerja, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) meminta saya menghadirkan diri ke Balai Polis Kota Bharu, Kelantan pada pukul 10.00 malam bagi membantu untuk membuat satu laporan polis berkaitan satu khabar angin bahawa hari ini akan diadakan satu perhimpunan haram di hadapan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan, Kompleks Kota Darul Naim oleh pihak tertentu.

Saya bersama Hisham Fauzi dan Ahmad Najib Deris selaku wakil Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah mengiringi saudara Wan Azimin Wan Adnan, Bendahari DPPNK untuk membuat laporan polis tersebut. Turut hadir bersama sebagai tanda sokongan ialah kira-kira 30 orang pemuda Pas serta para wartawan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

Kemudiannya, satu kenyataan akhbar telah dibuat oleh saudara Hisham Fauzi selaku Naib Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Juham. Katanya, tujuan laporan polis tersebut dibuat adalah sebagai satu langkah keselamatan dan untuk memohon pihak polis menyiasat serta menyekat agar perhimpunan haram itu tidak akan berlaku. Ini adalah kerana perhimpunan haram tersebut diadakan seolah-olah ingin mengganggu gugat pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Laporan tersebut juga dibuat supaya pihak polis mengadakan siasatan bagi mengenal pasti siapakah dalang disebalik rancangan tersebut.

Saya pulang kerumah setelah hampir pukul 12.00 tengah malam dalam keadaan hujan renyai-renyai.



Sunday, November 29, 2009

Kerikil Di Laluan Perjuangan

Pada 10 Zulhijjah (Jumaat), saya berkesempatan untuk bertemu dengan YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan sewaktu hendak menunaikan solat fardhu Jumaat di Masjid al-Karomah, Baung. Saya menyambut salamnya sewaktu beliau keluar dari Proton Perdana. Buat seketika Tok Guru merenung kearah saya. Mungkin beliau sedikit terpaku dengan penampilan saya berambut panjang melepasi bahu, berjubah dan bersongkok tinggi. Saya hanya sekadar tersenyum sahaja.

Walaupun, beliau sibuk dengan jadual yang padat namun Tok Guru masih lagi sempat meluangkan masa untuk hadir menemui rakyat kalaupun sekadar solat Jumaat. Wajahnya membayangkan keletihan kerana sudah lanjut usia dan juga kepenatan dalam menghadapi kerikil-kerikil tajam di tengah laluan perjuangan. Sebagaimana yang diketahui, terlalu banyak isu yang dihadapi oleh Tok Guru tetapi beliau masih lagi kelihatan tenang.

Saya akui, dugaan dalam perjuangan merupakan asam garam yang perlu ditempuhi oleh setiap orang yang meletakkan diri mereka dalam arus perjuangan. Tidak kira tahap mana kita berada, ujian tetap akan kita temui bersesuaian dengan tahap kita. Begitu juga saya, jika diikutkan perasaan seperti mahu sahaja terus mengalah dengan ujian tersebut. Ianya terlalu mengganggu fikiran dan perjalanan hidup saya. Jika dilihat, ujian tersebut tidak sebesar mana sangat. Hanya segelintir manusia yang suka meletakkan perasaan tidak puas hati sebagai satu isu yang memecah belahkan masyarakat. Saya pun agak buntu dalam menghadapi golongan ini. Beberapa kali perbincangan telah dibuat untuk menjelaskan perkara sebenar, tapi ianya tetap tidak menemui jalan penyelesaian kerana perbahasannya tidak berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Kalau perkara kecil dijadikan isu besar dan kesalahan sendiri tidak pernah disedari, macam manalah agaknya perkara tersebut hendak selesai. Bila bercakap, mengaku sebagai golongan yang berjuang untuk Islam tetapi tindakan mereka tidak pernah melambangkan percakapan mereka.

Allahu Akbar...sekadar hendak lepaskan sedikit kepanasan dada dan beratnya fikiran yang saya tanggung. Tapi tatkala terkenang sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diceritakan oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam fiqh sirahnya, terlalu kecil sangat kerikil dipertengahan jalan perjuangan yang saya hadapi berbanding Baginda Rasul. Saya mohon kepada Allah Taala agar diberikan kekuatan jiwa seperti Rasulullah dalam menempuhi dugaan perjuangan. Lalu teringatlah saya akan firman Allah s.w.t yang bermaksud:-






Tuesday, November 24, 2009

Ariffahmi Dinasihatkan Letak Jawatan

Hari ini YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menasihatkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman meletakkan jawatan yang dipegangnya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Nasihat Tuan Guru itu dibuat setelah satu pertemuan diadakan dengan pimpinan Pas Pusat di rumah kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 hari ini.

Bagi saya, nasihat Tuan Guru selaku Mursyidul Am Pas amat tepat pada masanya. Berundur tidak semestinya membenarkan segala tuduhan atau fitnah yang telah dilemparkan terhadap menantu Menteri Besar itu. Tapi tindakan itu adalah sebenarnya demi menjaga nama baik dan imej Pas sebagai sebuah parti Islam. Lagipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat segala tuduhan rasuah yang melibatkan Ariffahmi selaku CEO PMBK itu.

Berundur bukan bererti mengalah, apatah lagi sekiranya kita fikirkan tindakan tersebut dibuat demi menjaga nama baik sebuah parti Islam sudah tentu ia akan dipandang mulia. Mengenai segala tuduhan tersebut, SPRM masih menyiasat dan kita tunggu sahaja hasilnya. Ingatlah sebuah firman Allah s.w.t:-


 
Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap". (al-Isra': 81)

Saturday, November 14, 2009

Forum Integriti

Pada hari Khamis (12/11/2009) yang lepas, saya dan pimpinan kawasan Tumpat telah menyertai satu program FORUM KEPIMPINAN INTEGRITI POLITIK DAN MASYARAKAT UNTUK PERINGKAT AKAR UMBI BAGI KAWASAN PARLIMEN TUMPAT anjuran Institut Integriti Malaysia yang telah diadakan di Hotel New Pacific, Kota Bharu.

Antara slot yang sangat menarik perhatian saya ialah sesi dialog bertajuk Pemantapan Integriti Politik Negara: Isu dan Cabaran yang telah dipengerusikan oleh YB. Mohd Zaki Hj Ibrahim manakala panelisnya terdiri daripada Prof. Dr. Aziz Bari (Pensyarah Undang-Undang, UIA) dan Dato' Hj. Zakaria Hj. Jaafar (Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM).

Pelbagai isu dikemukakan berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam politik di Malaysia telah dikupas oleh kedua-dua panelis sama ada semasa memberi ceramah mahupun semasa menjawab soalan yang diajukan oleh para peserta.

Walaupun Prof. Dr. Aziz Bari adalah personaliti konstraversi dikalangan ahli Pas sekarang ini, namun begitu beliau tetap menjadi orang yang saya kagumi semenjak saya masih menuntut di UIA dulu lagi. Beliau adalah pakar undang-undang perlembagaan selalu sahaja dijemput untuk memberikan ceramah berkaitan undang-undang.

Banyak pengetahuan baru yang diperolehi oleh peserta terutamanya undang-undang baru SPRM yang telah memasukkan pekerja parti sebagai penjawat awam dan ianya tertakluk dibawah akta SPRM serta boleh didakwa sekiranya terlibat dengan rasuah atau penyalahagunaan kuasa yang mana sebelum ini tidak termasuk dalam akta BPR.

Sunday, November 8, 2009

Bola Oh Bola



Walaupun saya tidak begitu minat perlawanan bola sepak, namun malam ini saya mengambil kesempatan untuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan. Pemuda Dun Kelaboran dengan kerjasama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan telah memasang skrin besar di Padang Kemahkotaan, Tumpat untuk peminat-peminat bola menonton perlawanan tersebut dengan selesa.

Rata-rata peminat bola memberitahu bahawa persembahan Kelantan malam ini agak mengecewakan kerana tidak dapat menahan asakan Negeri Sembilan dan barisan pertahanan selalu sahaja bolos menyebabkan gawang gol Kelantan selalu dalam keadaan bahaya. Namun begitu, saya tidak kisah sangat sebab memang sudah adat permainan.

Yang saya kesalkan di sini ialah sikap para penyokong Kelantan yang masih tidak dapat mengawal tingkah laku. Tindakan mereka melempar mercun dan botol air kearah pemain Negeri Sembilan sewaktu hendak mengambil tendangan sudut menunjukkan sikap penyokong Kelantan yang masih tidak berubah. Setelah Negeri Sembilan mendapat gol ketiga, mereka bertindak membakar kain rentang dan tempat duduk yang terletak dikawasan mereka. Sebagai rakyat Kelantan, saya turut rasa malu dengan sikap penyokong Kelantan yang boleh mencemarkan imej Kelantan itu.

Kenapalah para penyokong Kelantan masih belum dapat mengawal diri mereka sendiri. Entahlah, saya lebih kecewa dengan sikap para penonotong Kelantan berbanding kekalahan Kelantan 1-3 dengan Negeri Sembilan.



Monday, November 2, 2009

Penangkapan Dr. Asri

Walaupun saya memang tidak bersependapat dengan Dr. Asri yang dikenali sebagai pelopor fahaman Wahabi di Malaysia, namun cara penangkapan beliau begitu adalah amat tidak patut sama sekali. Apatah lagi beliau yang sepatutnya di dakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak terpaksa dilepaskan begitu sahaja oleh pihak Mahkamah kerana tiada wakil Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor untuk membuat pertuduhan ke atas beliau.

Sekiranya Dr. Asri memang melanggar mana-mana akta atau enakmen, beliau sepatutnya di tuduh di Mahkamah. Dibacakan pertuduhan keatas beliau dan memberikan peluang kepada beliau untuk membela diri. Dan bukannya dengan cara sedemikian kerana ini boleh memburukkan lagi keadaan yang telah kusut akibat penangkapan yang tidak mengikut prosedur itu.

Walau bagaimanapun, saya juga turut menyokong Memorandum yang dihantar oleh NGO Islam kepada Yang Di Pertuan Agong bagi membantah perlantikan Dr. Asri sebagai Yang Di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagaimana alasan-alasan yang terkandung dalam Memorandum tersebut.



Saturday, October 31, 2009

Pesta Bola 9 Sebelah Dun Kelaboran

Petang ini (Sabtu 31/10/2009) saya telah hadir untuk menyaksikan perlawanan bola sepak sempena Pesta Bola Sepak 9 Sebelah Dun Kelaboran, anjuran Lajnah Sukan Dewan Pemuda Pas Dun Kelaboran yang bermula sejak semalam (Jumaat) lagi. Sebanyak 12 pasukan telah mengambil bahagian dalam pesta bola ini.

Kehadiran saya juga ada sebagai mengganti YB Mohd Zaki Hj Ibrahim, Adun Kelaboran yang tidak dapat hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pasukan yang menang. Dalam perlawanan ini, Pasukan Kg. Baru Nelayan telah mendapat johan, tempat naib johan disandang oleh Pasukan Kg. Besut, manakala tempat ketiga bersama dikongsi oleh Pasukan Kg. Dalam Rhu dan Pasukan Kg. Padang Tembesu.

Ribuan kesyukuran saya panjatkan kerana program ini berjaya dilaksanakan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.


Friday, October 30, 2009

Usrah Pemuda Pas Kawasan Tumpat

Alhamdulillah, segala puji dan syukur saya tujukan kepada Allah s.w.t kerana walaupun masa yang selalu menghambat dan mengejar, saya masih diberikan kesempatan untuk sama-sama hadir usrah bersama-sama sahabat Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat yang diadakan pagi ini (Jumaat) pukul 7.00 pagi di Pejabat Pas Kawasan Tumpat, Berangan.

Bagi sesiapa yang menyedari, usrah merupakan antara bahagian yang penting dalam jemaah yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan. Daripada usrahlah kita boleh membincangkan usul 20 yang digarapkan oleh as-Syahid Imam Hassan al- Banna dan daripada usrah juga akan terhasilnya wehdatul fikr dan wehdatul amal.


Hari ini kami memilih ayat 5 hingga 10 dari Surah al-Anfal sebagaimana berikut:-


5. Sebagaimana Tuhanmu menyuruhmu pergi dan rumahmu dengan kebenaran[596], padahal Sesungguhnya sebahagian dari orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya,

[596] Maksudnya: menurut Al Maraghi: Allah mengatur pembahagian harta rampasan perang dengan kebenaran, sebagaimana Allah menyuruhnya pergi dari rumah (di Madinah) untuk berperang ke Badar dengan kebenaran pula. menurut Ath-Thabari: keluar dari rumah dengan maksud berperang.



6. Mereka membantahmu tentang kebenaran sesudah nyata (bahawa mereka pasti menang), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebab kematian itu).

7. Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahwa salah satu dari dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekekuatan senjatalah[597] yang untukmu, dan Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayat-Nya dan memusnahkan orang-orang kafir,

 

[597] Maksudnya kafilah abu Sofyan yang membawa dagangan dari Syiria. sedangkan kelompok yang datang dari Mekah dibawah pimpinan Utbah bin Rabi'ah bersama Abu Jahal.


8. Agar Allah menetapkan yang hak (Islam) dan membatalkan yang batil (syirik) walaupun orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya.


9. (Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut".

10. Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram karenanya. dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.


Ustaz Ubaidillah yang bertindak sebagai naqib menghuraikan mengenai ayat-ayat ini yang diturunkan oleh Allah s.w.t berkaitan dengan peperangan Badar.


Dalam ayat-ayat tersebut juga turut menyentuh mengenai kebergantungan manusia kepada Allah s.w.t yang perlu kita lakukan walau apa jua keadaan. Kita perlu yakin bahawa Allah berkuasa menentukan segala-galanya walaupun usaha kita yang bermacam. Apatah lagi kita yang meletakkan diri kita dalam sebuah jemaah Islam, sudah tentu perlu menghadamkannya agar is sebati dalam diri dan mengalir dalam pembuluh darah.


Saya amat tertarik dengan huraian Ustaz Ubaidillah itu yang turut menyentuh mengenai kepentingan usrah dalam jemaah terutamanya apabila timbul isu-isu yang perlu dibincangkan dalam usrah tersebut.


Monday, October 26, 2009

Interview

Semasa saya berehat selepas berjoging bersama isteri saya di Taman Tengku Anis, Tanjung Chat, kami telah didatangi sekumpulan anak gadis yang kemudiannya memperkenalkan diri sebagai pelajar sebuah kolej swasta. Mereka kemudiannya memberitahu kami bahawa mereka sedang menjalankan satu kajian untuk kursus yang mereka ambil di kolej tersebut dan memohon kerjasama kami untuk ditemuramah.

 
Pada mulanya mereka menemuramah isteri saya, namun kemudiannnya isteri saya meminta bantuan saya untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh kumpulan pelajar tersebut. Antara soalan-soalan yang dikemukakan dan jawapan yang saya berikan kepada mereka adalah seperti berikut:-

 
Pelajar : Apa yang encik faham dengan perpaduan kaum?

Saya : Pada pendapat saya, perpaduan ialah semangat toleransi yang ada diantara masyarakat yang berbilang kaum tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

 
Pelajar : Apa pendapat encik mengenai 1 Malaysia?

Saya : Entahlah, kerana ianya sesuatu yang masih baru dan saya masih konfius dengan slogan-slogan tersebut. Setiap Perdana Menteri mempunyai slogan masing-masing seperti Tun Dr. Mahathir dengan Wawasab 2020, Tun Ahmad Badawi dengan Islam Hadharinya dan Dato Seri Najib dengan 1 Malaysia. Sedangkan setiap slogan yang lalu tidak pernah mencapai matlamatnya.

 
Pelajar : Apa pendapat encik mengenai Islam Hadhari?

Saya : Islam Hadhari adalah satu slogan yang salah kerana Islam Hadhari bermaksud Islam Moden. Jika ada Islam Moden sudah tentu ada Islam Lapuk atau Islam Badawi. Sedangkan ulama mengatakan bahawa Islam itu adalah Islam. Ianyanya tidak boleh digandingkan dengan apa-apa sekali pun sama ada Islam Hadhari ataupun Islam Liberal.

 
Pelajar : Apa pendapat encik mengenai perpaduan kaum di Malaysia sekarang?

Saya : Walaupun kerajaan memberitahu bahawa hubungan antara kaum di Malaysia adalah baik. Namun dari segi hakikatnya perpaduan tersebut amat rapuh sekali kerana setiap kaum seolah-olah tidak mahu bertolak ansur. Orang Melayu yang kebanyakkannya mengalah sedangkan kaum lain seperti tidak mahu menghormati hak-hak orang Melayu dan Islam. Sedangkan hak-hak tersebut dijamin dalam Perlembagaan Malaysia.

Setelah mengambil sedikit biodata saya dan isteri serta mengucapkan terima kasih diatas kerjasama yang kami berikan, kumpulan pelajar tersebut kemudiannya berlalu pergi. Saya melihat jam tangan saya sudah menunjukkan pukul 6.40 petang. Saya mengambil keputusan untuk balik kerana maghrib pun sudah hampir.






Monday, October 12, 2009

Siapakah Pencetus Provokasi di Bagan Pinang?

Kalau kita ikuti berita arus perdana sama ada melalui tv atau akhbar, pihak media termasuklah para menteri dan pembesar negara secara melulu menuduh 'pihak pembangkang yang mencetuskan provokasi', 'pihak pembangkang bertindak ganas' dan sebagainya lagi demi untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat di mata rakyat semua.

Padahal yang berlaku adalah sebaliknya. Saya sendiri yang berada di sana bermula dari 09/10/2009 (Jumaat) sehingga 11/10/2009 (Ahad) untuk membantu jentera disana telah melihat sendiri tindak- tanduk para penyokong dan jentera BN terutamanya Pemuda dan Putera Umno.

Pada malam 09/10/2009 semasa saya berada di Markaz Induk Pas di Bagan Pinang, Pemuda UMNO yang bermotosikal secara berkonvoi dengan bangganya membuat bising di hadapan markaz dan bunyi ekzos yang nyaring. Bahkan ada diantara mereka telah membaling risalah propaganda UMNO ke dalam Markaz Pas. Mungkin para pemimpin UMNO akan menafikannya, tapi itulah realitinya.

 Manakala pada hari pengundian iaitu 11/10/2009 (Ahad) saya, Nik Bahrum, Ahmad Najib dan Mohd Farhan telah ditugaskan untuk memantau dan menyelia pusat pembuangan undi di Sekolah Rendah Kebangsaan Panglima Adnan, Bagan Pinang telah menyaksikan sendiri provokasi yang dibuat oleh golongan Pemuda dan Putera UMNO.

Mereka mengeluarkan kata-kata kesat serta lucah kepada petugas-petugas Pas, malah para pengundi yang sepertinya memberikan sokongan kepada Pas juga turut dihambur kata-kata yang menyakitkan hati. Sehinggakan berlaku beberapa siri pergaduhan yang sengaja dicetuskan oleh pihak UMNO tetapi mereka masih menunding jari ke arah penyokong Pas.

Insiden yang teruk sekali ialah apabila UMNO menayangkan satu banner propaganda yang menunjukkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang berdoa dengan kata-kata ' Ya Allah berikanlah kemenangan kepada Tan Sri Isa Samad. Amin!!' . Keadaan in telah mencetuskan rasa tidak puas hati dikalangan para penyokong dan jentera Pas. Mereka telah meminta supaya UMNO menurunkan banner tersebut tetapi mereka menolaknnya dengan angkuh lalu berlaku pertikaman lidah. Kemuncaknya pihak UMNO telah membaling botol air minuman, batu serta bungkusan nasi kearah penyokong Pas dan telah mencederakan seorang penyokong Pas dan seorang anggota polis yang berkawal di situ. Nasib baik ketika itu saya berada di atas bukit di kawasan tersebut dan dapat melihjat kejadian tersebut dengan jelas sekali.

Namun saya amat percaya bahawa anggota polis yang turut tercedera dalam insiden itu tidak dilaporkan oleh media kerana ianya akan membuktikan siapakah yang telah membaling batu tersebut sebab ketika kejadian anggota polis tersebut sedang berada dalam kawasan penyokong Pas. 

Jadi siapakah sebenarnya yang telah mencetuskan provokasi serta bertindak ganas? Saya tetap yakin dan percaya bahawa ianya pasti akan dinafikan oleh para pemimpin UMNO. Alaaa..biasa...UMNO..kalau tidak macam tu bukan UMNO la namanya...

  

Sunday, October 11, 2009

Siapakah Yang Rasuah??

Hari ini adalah hari pembuangan undi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N.31 Bagan Pinang. Saya bersama beberapa peguam Juham Kelantan telah ditugaskan untuk memantau perjalanan pembungan undi bagi UPU Bagan Pinang bertempat di Sekolah Rendah Kebangsaan Panglima Adnan.

Seawal 8.00 pagi kami berada disana untuk memastikan tiada perlanggaran undang-undang berlaku terutamanya oleh para penyokong BN yang nampaknya semakin agresif. Semasa ditempat pengundian tersebut, deretan para penyokong dan perayu undi BN melaungkan 'Pas parti rasuah'. Mereka juga turut menyebut beberapa nama pimpinan Pas yang dikatakan mereka sebagai pengamal rasuah.

Saya dan para penyokong Pas yang lain agak pelik kerana setahu kami belum ada pimpinan Pas yang didakwa oleh SPRM atau badan disiplin parti atas tuduhan rasuah. Sedangkan calon mereka sendiri Tan  Sri Isa Samad telah dibuktikan bersalah mengamalkan rasuah dalam pemilihan UMNO serta dijatuhkan hukuman oleh badan disiplin parti itu sendiri.

Jadi sebenarnya siapakah yang mengamalkan rasuah? UMNO dan BN seolah-olah parti yang tidak mengambil berat mengenai jenayah rasuah. Buktinya dengan pencalonan Isa Samad sebagai calon mereka dalam PRK Bagan Pinang, sepertinya BN atau UMNO menutup mata mengenai kesalahan tersebut.

Yang sudah terbukti, Tan Sri Isa Samad adalah seorang pengamal rasuah. Kalau dalam pemilihan parti sendiri pun dia boleh berbuat demikian, apatah lagi dalam pilihan raya kecil seperti ini!!!

Saturday, October 10, 2009

Sejenak Bersama Calon PAS Di Bagan Pinang

Setelah seharian memandu dari Kota Bharu ke Bagan Pinang semalam, pasukan Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Kelantan berpeluang untuk bertemu dengan calon Pas di Bagan Pinang, Zulkefly Mohamad Omar yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan.

Hari ini kami tidak mempunyai jadual atau program khusus melainkan memantau segala pergerakan perjalanan pilihan raya ini agar bercalan lancar tanpa seberang perlanggaran undang-undang yang boleh mencetuskan huru-hara.




Thursday, October 8, 2009

'Rasul Melayu' Bertaubat??



Semalam, lelaki yang mengaku atau mendakwa dirinya sebagai 'Rasul Melayu', Abd Kahar Ahmad telah membuat aku janji di hadapan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam bahawa dia akan membetulkan semua aqidah pengikutnya selepas selesai menjalani hukuman kelak.

Dia juga telah memberitahu Mahkamah bahawa telah bertaubat nasuha dan berjanji akan menghabiskan sisa umurnya untuk menjadi seorang Islam yang soleh berpandukan kepada Al-Quran dan sunnah. Dia juga memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu khususnya Sultan Selangor atas keterlanjuran dan pendapat yang batil yang  lakukannya serta menghina agama Islam yang maha suci. Dia juga memohon maaf kepada Majlis Agama Islam Selangor dan pihak Jabatan Mufti serta Majlis Fatwa. Pengakuan secara bertulis yang ditandatangani Abdul Kahar itu dibacakan oleh peguam syarie Azmi Rais semasa mengemukakan rayuan tambahan agar dia dikenakan hukuman yang ringan.

Abdul Kahar, yang turut diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong, mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 termasuk mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam.

Pihak berkuasa telah mengambil masa hampir 3 tahun untuk menangkap dan mendakwa Abd. Kahar yang telah mengisytiharkan dirinya sebagai 'Rasul Melayu'. Dia mempunyai begitu ramai pengikut yang turut terdiri dari kalangan mereka yang terpelajar.

Padahal telah banyak dalil dan bukti yang berupa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w adalah seorang Rasul dan Nabi Terkahir. Tidak akan ada lagi nabi dan rasul sesudah Baginda Rasulullah sebagaimana yang termaktub didalam al-Qur'an surah Al-Ahzaab ayat 40 :

Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup para Nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (QS. 33:40)

Sementara itu, Rasulullah s.a.w sendiri telah bersabda yang bermaksud:-
Dari Mut'im r.a. katanya bahawa Rasulullah Saw bersabda : 'Sesungguhnya aku mempunyai beberapa nama: Aku Muhammad (yang amat dipuji), *Aku Ahmad (yang banyak memuji)*, Aku yang penghapus karena aku Allah menghapuskan kekafiran, Aku pengumpul yang dikumpulkan manusia dibawah kekuasaanku dan aku pengiring yang *TIADA KEMUDIANKU SEORANG NABIPUN*.(HR. Muslim)

Kenapa tidak dihayati dan direnungi maksud firman Allah s.w.t dan sabda Nabi tersebut sebelum mempercayai kemunculan 'Rasul' baru sedangkan ia jelas telah bercanggah dengan firman Allah s.w.t Semoga tidak ada lagi kesesatan yang begitu nyata, padahal cahaya kebenaran itu terang menyuluh alam.

Saturday, October 3, 2009

Sekepulanganku


Sewaktu menjejaki kaki di KLIA setelah hampir seminggu berada di Sulawesi, banyak perkara dan isu yang saya ketinggalan dengan apa yang berlaku di Malaysia. Pertamanya, saya merasakan kesyukuran yang terlalu tinggi kepada Allah s.w.t kerana Kepulauan Sulawesi yang saya lawati terselamat dari gempa bumi seperti yang telah melanda Sumatera.

Keduanya hari ini adalah hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil N. 31 Dun Bagan Pinang yang saya terlepas peluang untuk menyertainya. Saya percaya, jika saya berada di tanah air sebelum ini mungkin saya juga akan ke sana atas kapasiti Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan.

Ketiganya, sewaktu saya melihat berita mutakhir di Berita Harian Online mengenai bantahan 14 NGO Islam di Pahang terhadap Sister in Islam (SIS) dan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang masih mempertikaikan hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan terhadap Kartika Dewi atas kesalahan meminum arak. Apa kena dengan SIS ni? Pertubuhan yang membawa aliran Islam Liberal ini yang kononnya hendak mempertahankan hak-hak wanita, sedangkan mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka yang telah mengeksploitasi kaum mereka sendiri. Kemana alim- ulama dan mufti di negara kita? Kemana Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan? Kenapa tidak bersidang dan membincangkan isu SIS dan akidah yang dibawa mereka? Saya tidak pasti kenapa, atau mungkinkah akidah dan pandangan yang dianuti SIS itu selari dan tidak bercanggah dengan Islam? Mungkin juga kot....

Monday, September 28, 2009

Rehlatul Kubra


Nantikan sebuah catatan perjalanan ke Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia yang saya namakan sebagai Rehlatul Kubra yang akan muncul menemui para pengunjung sekembalinya saya ke tanah air nanti. Lawatan ini adalah bertujuan untuk melawat makam moyang saya, Syed Hussin Jamaluddin al- Akbar di Makasar serta untuk menghadiri Majlis Hol Syed Idrus bin Salim al- Jufri.

Saturday, September 26, 2009

Sukarkah Untuk Memohon Maaf?


Saya yakin dan percaya bahawa setiap orang pasti akan melakukan kesalahan. Tidak kira sama ada ia berupa kesalahan besar atau kecil, sama ada serius atau tidak. Kecuali para nabi dan rasul yang ditetapkan Allah s.w.t sebagai maksum. Sekiranya kesalahan tersebut berkaitan dengan hak Allah s.w.t, maka memadai untuk bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan meninggalkan perbuatan salah tersebut. Tapi sekiranya ia bersangkutan dengan hak manusia, maka tidak memadai dengan bertaubat dan memohon keampunan Allah Taala semata-mata. Kita juga dituntut untuk memohon maaf daripada mereka yang terjejas akibat perbuatan salah kita itu sebagaimana yang disebut oleh al-Alim Rabbani Ibn Ataillah as-Sukandari dalam kitabnya Tajul Arus.

Namun daripada jumlah tersebut, berapa ramaikah yang sanggup untuk memohon maaf? Kebanyakkan kita tidak mahu menundukkan perasaan ego yang merajai jiwa kita dengan memohon maaf diatas kesalahan kita. Adakah akan berkurangan martabat kita dengan mengakui kesalahan kita dengan memohon maaf? Pepatah ada menyebut tidak hilang bisa ular yang menyusur akar. Keras sangatkah hati kita untuk berbuat demikian? Rasulullah s.a.w telah bersabda:
ٍSesungguhnya sejauh-jauh manusia dengan Allah Taala ialah orang yang keras hati.

Sebagai seorang muslim, kita perlu ada sifat rendah diri terhadap semua mukmin yang lain dan berlemah lembut terhadap mereka. Allah s.w.t telah berfirman:

Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, yaitu orang-orang yang beriman. (Asy- Syua'ra': 215)

Saya percaya, walau perkataan 'maaf' itu nampak suatu yang 'simple' tapi ia memberikan kesan yang besar. Memohon maaf itu umpama siraman air yang dingin keatas kepanasan hati akibat marah atau dendam yang membara di dalam hati. Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Dan tidaklah Allah menambahkan kepada seseorang itu dengan sebab memaafkan orang melainkan ditambah pula kemuliaannya, dan tidaklah seseorang itu bertawadhuk kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan Dia akan mengangkat darjatnya. (HR Muslim)


Monday, September 14, 2009

Pilihan Raya Kecil N.31 Bagan Pinang


Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat pengumuman bahawa hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.31 Bagan Pinang pada 03/10/2009 (Sabtu) dan hari membuang undi ialah 11/10/2009 (Ahad). Kedua-dua hari penting tersebut jatuh pada hari cuti hujung minggu. Ini berlainan dengan apa yang telah berlaku pada PRK Manek Urai dan PRK Permatang Pasir yang mana kedua-dua hari sama ada hari penamaan calon atau hari membuang undi masing-masing jatuh pada hari bekerja.

Saya tidak pasti sama ada ianya satu kebetulan ataupun telah dirancang sebegitu. Namun kalau kita perhatikan dengan teliti, nampaknya seolah-olah ketidakadilan berlaku kerana pihak SPR mempunyai budi bicara untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Tapi kini SPR nampaknya sudah hilang budi bicara sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Pilihan Raya. Malah tindakan SPR yang menetapkan hari mengundi khususnya pada hari bekerja menyebabkan ramai yang tidak dapat keluar mengundi dan tindakan SPR tersebut seolah-olah menafikan hak warganegara Malaysia untuk mengundi.

Saya tidak pasti apa alasan yang direka SPR untuk menjustifikasikan tindakan mereka menetapkan hari mengundi PRK Bagang Pinang pada hari cuti hujung minggu sedangkan PRK Manek Urai dan Permatang Pasir dibuat pada hari kerja? Pada mulanya saya ingin berbaik sangka terhadap SPR yang ianya adalah sebuah badan bebas dan tidak dibayangi oleh pihak pemerintah ataupun tangan-tangan ghaib untuk membuat sebarang keputusan. Namun dengan pengumuman yang dibuat SPR hari ini membuatkan saya rasa was-was dengan SPR.

Selama ini SPR selalu menyatakan bahawa mereka adalah badan bebas dan telus. Pihak kerajaan juga turut menafikan campur tangan mereka keatas SPR. Namun tindakan SPR hari ini menunjukkan cakap mereka tidak serupa bikin. Pepatah Karam Singh Walia ada menyebut: 'Baling batu sorok tangan'. Tetapi pepatah yang saya reka berbunyi:
'Kentut berbunyi, busuk tercium tapi tiada siapa hendak mengaku!'.

Saturday, September 12, 2009

Kesibukan Yang Mengekang

Sudah banyak hari saya tidak masukkan entry terbaru kedalam blog ini. Ini disebabkan kesibukan saya mengendalikan kes serta menyiapkan 'penghujahan' yang perlu difailkan membuatkan saya buntu dan kehilangan idea. Minda jadi penat berfikir tambahan pula program imarah Ramadhan yang sentiasa penuh. Jadual majlis berbuka dan penyampaian zakat anjuran Dun Kelaboran mahupun Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat.

Tambahan pula saya juga perlu berulang-alik dari Kota Bharu ke Tumpat untuk memenuhi jadual imam terawih sepanjang Ramadhan ini. Kalau difikirkan jarak antara Kota Bharu - Tumpat tu agak jauh juga menyebabkan saya lesu sendirian. Namun apabila memikirkan amanah yang perlu ditunaikan dan akan dipersoalkan nanti, maka saya harungi juga. Doa saya, semoga Allah memberikan kekuatan untuk saya hadapinya.

Saturday, September 5, 2009

Khilaf Ulama’ Dalam Hukum Figh : Sebab Dan Adab-Adabnya

Khilaf Ulama’ Dalam Hukum Figh : Sebab Dan Adab-Adabnya[1]
Oleh : Prof. Madya Mohd. Saleh Bin Haji Ahmad



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين





PENDAHULUAN
Bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menghidupkan hati-hati kita dengan WahyuNya, menyelamatkan kita dari kejahilan, memberi hidayat dari kesesatan dan seterusnya menjadikan kita sebaik-baik ummah yang dilahirkan untuk faedah manusia, apabila kita beriman denganNya (wahyu) yang didatangkan kepada kita dan kita mengamalkannya sebagaimana semestinya. Selawat dan salam dituju kepada baginda Rasulullah s.a.w yang membawa rahmat untuk sekelian alam, para sahabatnya dan yang mengikut jalannya hingga hari Kiamat.

Perbahasan tajuk kertas kerja ini memang panjang kalau hendak diperincikan, tetapi untuk menyesuaikan dengan peserta yang terlibatdalam seminar ini, maka penulis terpaksa mengambil pendekatan yang mudah dengan meringkaskannya kepada beberapa noktah penting. Mudah-mudahan dengan pembentangan yang sebegini dapat memberi peluang yang banyak kepada peserta utnuk turut serta dalam sesi perbincangan yang akan menghasilkan natijah yang berfaedah untuk kita semua. InsyaAllah.

Sebelum memulakan perbincangan lebih lanjut berkenaan khilaf, sebab dan adab-adabnya, saya kira adalah lebih baik kita membentangkan dahulu pengertian fiqh dari segi bahasa dan istilah, sumber hukum dan perbahasan ruang lingkupnya serta mazhab-mazhab fiqh dalam Islam.

PENGERTIAN AL-FIQH
Perkataan fiqh adalah dari segi bahasa Arab yang memberi erti faham atau kefahaman, iaitu kefahaman seseorang secara mutlak atau mendalam yang dapat memahami tujuan perkataan yang diucapkan dan perbuatan yang dilakukan[2]. Dalilnya firman Allah s.w.t , antaranya:

Ertinya: “Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengertikan perkataanku”.(Surah Taha: 27,28)



Ertinya: “Wahai Syuaib! Kami tidak faham kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu”. (Surah Hud: 91)

Daripada perkataan fiqh dari segi istilah telah melalui beberapa tahap perubahan secara perlahan-lahan. Pada awal istilah fiqh dimaksudkan “Semua hukum-hukum agama yang dibawa oleh Syariat Islam, sama ada hukum-hukum ini berkaitan dengan aqidah, akhlak, ibadat dan muamalat”.

Kemudian berlaku perubahan penggunaan kalimah fiqh kepada “Mengetahui dan memahami hukum-hukum Syara’ yang berkaitan dengan mukallaf seperti wajib, haram, sunat, makruh, harus, keadaan sesuatu akad itu sah atau batal, keadaan ibadat itu qadha’ atau ada’ dan sebagainya”[3]. Perkembangan berikutnya fiqh dari segi istilah dimantapkan dengan maksud “Mengetahui hukum-hukumSyara’ yang Amali dengan berdalilkan dari dalil-dalil tafsili atau juz’iy”[4].



SUMBER HUKUM FIQH
Secara ringkas dapatlah disimpulkan bahawa sumber hukum fiqh ada yang disepakati ulama’ dan ada yang khilaf. Maka sumber yang disepakati ialah al-Qur’an, al-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qiyas. Sementara yang khilaf pula ialah al-Istihsan, al-Masalih al-Mursalah, al-’Urf, mazhab Sahabi, al-Istishab dan Syar’u Man Qablana.[5]


PERBAHASAN ILMU FIQH
Fokus ilmu fiqh tertumpu kepada segala perkara yang berhubungkait dengan perlakuan dan tindak tanduk lahiriah manusia. Maka pokok perbincangannya ialah segala perbuatan manusia dalam semua keadaan, sama ada perkara yang berhubung antara manusia dengan Allah s.w.t sebagai Pencipta, atau manusia sesama manusia dan manusia dengan haiwan dan alam sekitar, sama ada perkara yang berhubungan dengan hukum wajib, sunat, makruh, harus,syarat, sah, mani’, sebab dan batal. Justeru itu ia bukan berkisar mengenai hukum taklifi sahaja malah berhubungan juga dengan hukum wadh’iy.

Jelaslah bahawa perbincangan dan skop ilmu fiqh ini menyentuh berkenaan hukum Syara’, iaitu segala apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t melalui wahyu matluw (al-Qur’an) atau wahyu ghair matluw (al- Sunnah). Berdasarkan luas dan syumulnya skop perbincangan ilmu fiqh ini dapatlah ditegaskan bahawa ia mencakupi hukum-hukum berikut:


1. Ibadat seperti solat, puasa, zakat dan hukum-hukum yang mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya.
2. Sistem mu’amalat
3. Sistem kekeluargaan atau munakahat
4. Sistem kehakiman atau pengadilan
5. Undang-undang khas antarabangsa
6. Undang-undang am antarabangsa
7. Sistem pemerintahan
8. Sistem kewangan
9. Undang-undang jenayah Islam dan lain-lain lagi


MAZHAB-MAZHAB FIQH DALAM ISLAM
Ramai tokoh ulama’ mujtahidin muncul pada peringkat keempat (daripada awal kurun kedua hijrah hingga pertengahan kurun keempat) dalam sejarah perkembangan fiqh. Mereka telah memainkan peranan penting dalam mengembangkan, menyubur dan memajukan fiqh dan seterusnya mengasaskan madrasah atau sekolah-sekolah fiqh yang berjaya melahirkan ulama’-ulama’ besar dan pengikut-pengikut yang ramai. Madrasah dan sekolah inilah yang dinamakan mazhab-mazhab Islam atau fiqh bersama dengan nama pengasasnya.

Mazhab-mazhab ini walaupun banyak bukanlah bermakna ianya mengecilkan Islam dalam aliran tertentu dan bukan juga suatu proses mewujudkan Syari’at baru. Namun begitu ia merupakan manhaj atau metod untuk memahami Syari’at, cara-cara menafsir nas-nas dan mengambil hukum dari sumber-sumbernya. Mazhab-mazhab yang berkembang pada waktu itu ada yang masih berdiri teguh dan mempunyai pengikut yang ramai hingga kini dan ada di antaranya sudah lenyap ditelan zaman tanpa pengikut dan tidak diketahui adanya kata-kata atau fatwa mereka, melainkan apa yang disebut dalam kitab-kitab “al-Khilaf” (perbandingan Mazhab) dan kitab-kitab mazhab yang masih kekal[6]. Bolehlah kita bahagikan mazhab-mazhab ini kepada tiga bahagian:


1. Mazhab yang tidak berkembang lama
2. Mazhab Syi’ah dan Khawarij
3. Mazhab fiqh yang paling masyhur bagi imam-imam Ahli Sunnah wa al-Jama’ah


MAZHAB YANG TIDAK BERKEMBANG
Para mujtahid pada zaman ini sebenarnya cukup ramai, terdiri daripada tabi’in atau tabi’i al-tabi’in atau mereka yang berikutnya, tetapi kebanyakan mereka ini tidak ada orang yang mengumpul dan menyebarkan mazhab mereka di kalangan orang Islam dan mamfatwakannya.

Akhirnya mazhab ini makin lama makin mengecil. hampir pupus dan hilang fiqhnya, kecuali pandangan mereka yang ditemui bertaburan di dalam kebanyakan kitab tafsir bil ma’thur, syarah-syarah hadith dan kitab-kitab fiqh mazhab yang kekal. Di antara tokoh-tokoh mujtahid ini ialah seperti ‘Ata’ bin Abi Rabah, Sa’id bin al-Musayyib, Ibrahim al- Nakha’iy, Sufyan al-Thauri. al-Imamal-Auza’iy, Ibn Jarir al-Tabari, Daud al-Zahiri dan lain-lain lagi.


MAZHAB SYI’AH DAN KHAWARIJ
Terdapat beberapa mazhab lain yang masih hidup, kekal, berkembang dan diberi perhatian. Namun begitu ijtihad pendokong-pendokongnya telah terkeluar dari lingkungan Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari segi Usul (prinsip) dan Furu’. Mazhab yang terpenting sekali ialah Syi’ah dan Khawarij, kemudian yang paling masyhur sekali ialah:
1. Mazhab al-Ibadiyyah dari golongan al-Khawarij
2. Mazhab al-Imamiyyah dari Syi’ah
3. Mazhab al-Zaydiyyah dari Syi’ah juga tetapi ia lebih dikenali sebagai mazhab yang sedehana dan lebih hampir kepada Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah


MAZHAB-MAZHAB FIQH AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAMA’AH
Mazhab fiqh yang termasyhur dari kalangan imam Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah yang masih terus menerus memberi khidmat dan mempunyai pengikut setia yang ramai mengembang, menyebar, mengajar seterusnya dipelajari ialah empat mazhab yang terkenal seperti berikut:
1. Imam Abu Hanifah (80-150H)
2. Imam Malik bin Anas (93-179H)
3. Imam al-Syafi’i (150-204H)
4. Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H)


KONSEP IKHTILAF ATAU KHILAF
Ikhtilaf dalam bahasa Arab membawa maksud tidak sependapat atas sesuatu perkara dalam ertikata setiap orang mengambil jalan yang berbeza sama ada dalam perkataan mahu pun pendapat. Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama, oleh itu setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf. Sementara khilaf ialah pertentangan atau berlawanan مضادة (mudadah), jadi ia membawa erti yang sama dengan ikhtilaf, walaupun maknanya lebih umum[7]. Ikhtilaf menurut istilah fuqaha’ bererti berbeza tentang pendapat, agama, jalan-jalan dalam agama dan kepercayaan terhadap sesuatu yang boleh membawa kebahagiaan atau kecelakaan kepada manusia di dunia dan akhirat[8].

Al-Imam al-Syatibi berpendapat al-Khilaf ialah sesuatu yang lahir dari hawa nafsu yang menyesatkan, bukan hasil daripada mencari objektif syara’ dengan mengikut dalil-dalilnya. Oleh itu ia tidak diambilkira kerana lahir daripada hawa nafsu, sepertimana tidak mengambil kira mana-mana pendapat yang menyalahi hukum syara’ yang sabit secara qat’iy. Manakala Ikhtilaf menurut Syatibi ialah:
1. Pendapat-pendapat yang lahir daripada ulama mujtahidin dalam masalah-masalah ijtihadiyyah yang tiada nas qat’iy padanya, atau
2. Pendapat-pendapat terhadap masalah-masalah yang berlaku di antara dua pihak yang jelas bertentangan menurut pandangan mujtahidin disebabkan tersembunyi sebahagian dalil-dalil dan tidak ditemuinya[9].

Namun demikian perbezaan di antara Ikhtilaf dan Khilaf yang dikatakan oleh al-Syatibi itu hanyalah istilah sahaja yang dilihat tidak ada kekuatan sandarannya, kerana para fuqaha’ telah menggunakan al-khilaf dan al-ikhtilaf dengan makna yang sama sahaja iaitu “Sesuatu yang tidak disepakati para fuqaha’ dalam masalah-masalah ijtihad tanpa memandang betul atau salah atau ganjil pendapat yang diperkatakan itu”[10].


LARANGAN IKHTILAF DALAM ISLAM
Islam memerintahkan supaya bersatu dan bermuafakat serta melarang berpecah belah dan berselisih pendapat. Dari sini dapat difahami beberapa perkara berikut:
Pertama : Ikhtilaf adalah sesuatu yang boleh berlaku di kalangan manusia, kerana jika ia mustahil berlaku pasti syara’ tidak akan melarangnya dan tidak menuntut mukallaf meninggalkannya, kerana melarang dari melakukan benda yang mustahil adalah sia-sia.

Kedua : Apabila ikhtilaf itu sesuatu yang boleh berlaku dan lahir daripada manusia, maka ia juga boleh dicegah dan boleh dihasilkan lawannya iaitu bersatu dan bersepakat, kerana salah satu prinsip syara’ “Tidak ada taklif melainkan terhadap sesuatu yang mampu dilakukannya”, atau “Tiada taklif terhadap sesuatu yang mustahil”.

Ketiga : Apabila Ikhtilaf itu sesuatu yang dilarang dalam Syariat Islam, maka sudah tentu ia mazmum (dicela). Ini adalah kerana pada dasarnya yang dicela itu dilarang melakukannya.
Keempat : Apabila ikhtilaf dilarang atau dicela, maka sesiapa yang terlibat melakukannya akan dikenakan balasan seksa.

Oleh yang demikian timbul persoalan sejauhmanakah boleh berlaku ikhtilaf di antara manusia, dalam ertikata lain adakah ia suatu yang jarang atau sering berlaku, atau sampai kepada tahap mesti berlaku? Adakah orang Islam dikecualikan daripada berlaku khilaf di kalangan mereka atau tidak? Adakah khilaf itu satu jenis sahaja atau berbagai? Adakah celaan itu terhadap semua jenis khilaf atau sebahagian sahaja? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan khilaf dan bagaimana menanganinya? Apakah balasan seksaan akan dikenakan ke atas semua orang yang berkhilaf dan lain-lain persoalan yang boleh dibangkitkan[11].

Sebenarnya perbincangan ini amat luas, tidak mungkin diperkatakan semuanya dalam kertas yang ringkas ini. Penulis akan memberi tumpuan kepada jenis-jenis khilaf, kaedah-kaedah menangani masalah khilafiyyah dan adab al-Khilaf.


PEMBAHAGIAN KHILAF
Sebelum dibincangkan sebab-sebab khilaf antara fuqaha’ ini, khilaf itu sendiri terbahagi kepada tiga bahagian[12]:

الخلاف المقبول . 1 (Khilaf Yang Diterima)
Perbezaan yang berlaku dalam perkara-perkara yang disyariatkan itu berbagai-bagai, cuma ulama’ berbeza pendapat tentang yang lebih afdal dan patut diutamakan sahaja seperti haji Qiran, Tamaatu’ dan Ifrad. Setiap jenis haji ini sah dilakukan walaupun mereka berselisih pendapat tentang yang lebih afdal. Demikian juga menyaringkan Basmalah dan memperlahankannya, kedua-duanya harus yakin tidak membatalkan solat walaupun sebahagian ulama’ mengatakan sunat membaca nyaring dan sebahagian ulama’ lain menganggapnya makruh.

الخلاف المذموم . 2 (Khilaf Yang Dicela)
Terdapat khilaf yang keji lagi dicela. Ini berpunca daripada empat sebab:
i. Kejahilan
ii. Kezaliman dan penderhakaan
iii. Mengikut hawa nafsu
iv. Menyalahi manhaj nabawi dalam penerimaan hukum Syara’ dan cara mengamalkannya

الخلاف الساثغ المعقول . 3 (Khilaf Yang Harus Dan Dapat Diterima Akal)
Khilaf ini ialah perbezaan yang berlaku di kalangan ulama’ mujtahidin dalam masalah ijtihadiyyah iaitu masalah yang tidak terdapat nas qat’iy. Namun demikian khilaf ini dapat diterima dengan syarat-syarat berikut:

a. Hendaklah khilaf itu berlaku di kalangan ulama’ fiqh dan orang yang berkelayakan dalam agama

b. Hendaklah ijtihad dan khilaf mereka itu dalam masalah far’iyyah yang tiada dalil-dalil qat’iy berhubung dengan hukumnya

c. Hendaklah tujuan masing-masing untuk mencapai kebenaran dan yang betul

d. Setiap orang faqih itu telah mencurahkan seluruh tenaganya bagi mencapai kebenaran

Khilaf seperti ini juga berlaku di kalangan para sahabat dan tabi’in, namun demikian tidak ada seorang pun dikalangan mereka dicela kerana perbezaan yang berlaku itu, ini disebabkan masing-masing bekerja untuk mencari kebenaran, kalau tersalah ketika menuntut dan mencari kebenaran itu mereka tidak dipersalahkan bahkan dimaafkan. Ini jelas daripada sabda baginda s.a.w :




إذا حكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران ، واذا حكم فاجتهد ثم أخطاء فله أجر

(حديث رواه البخارى مسلم)
Ertinya : “Apabila seorang hakim hendak menjatuhkan hukuman, lalu ia berijtihd dan betul ijtihadnya, nescaya mendapat dua pahala, apabila tersalah ijtihadnya maka ia mendapat satu pahala”.


SEBAB-SEBAB KHILAF
Walaupun wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama’ mujtahidin dan masing-masing menjelaskan hujah yang menjadi sandaran kepada setiap masalah yang dihasilkan oleh ijtihad mereka, tetapi perbezaan itu tidak sedikitpun membawa kepada pulau memulau, benci mereka tanpa mengetahui dalil-dalil sandaran hukum yang mereka ijtihadkan. Dalam pada itu mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain dan berlapang dada serta bertolak ansur dalam masalah yang mereka tidak boleh bersatu. Ini disebabkan tabiat masalahmasalah yang dalilnya tidak qat’iy, maka pasti akan berlaku khilaf. Faktor- faktor khilafiyyah adalah seperti berikut:

Pertama : التفاوت فى العقل والفهم ولقدرة على تحصيل العلم
(Kemampuan Menguasai Ilmu Tidak Sama Dari Segi Akal Fikiran Dan Kefahaman)
Manusia berbeza sesama mereka dari segi paras rupa dan warna kulit dengan perbezaan yang nyata dan ketara. Mustahil terdapat dua orang yang serupa seratus peratus dalam semua keadaan walaupun mereka itu adalah sepasang adik-beradik kembar. Perbezaan ini sebenarnya adalah di antara tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t sepertimana firmanNya:



Ertinya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu” dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”.

Perbezaan sesama manusia tidaklah setakat rupa paras dan warna kulit sahaja bahkan perbezaan itu menjangkau jauh lebih daripada itu kepada bakat semulajadi, persediaan, kecenderungan, aliran, akal, kecerdikan, kepintaran, tabiat, naluri dan lain-lain sifat yang membentuk hakikat batin manusia.

Perbezaan-perbezaan ini mempunyai pengaruh yang besar terhadap khilaf fuqaha’. Sebahagian fuqaha’ mempunyai kemampuan yang tinggi dari segi hafazan dan kefahaman, ada di antara mereka yang hafazannya lebih baik daripada kefahamannya. Sementara yang lain pula kefahamannya lebih baik daripada hafazannya[13].


Kedua : التفاوت فى الحصيلة العلمية (Perbezaan Dalam Pencapaian Ilmu)
Di antara faktor besar yang menyumbangkan khilaf fuqaha’ ialah perbezaan mereka dalam pencapaian ilmu, khususnya tentang al-Quran dan al-Sunnah. Apabila seorang faqih lebih pengetahuannya tentang al-Quran dan al-Sunnah, maka hukumnya lebih hampir kepada tepat.

Sementara itu ayat-ayat al-Quran terbatas bilangannya dapat dihafaz sedangkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w pula banyak tentulah sukar dikuasai dan dihafaznya. Ini adalah kerana ketika Rasulullah s.a.w memperkatakan sesuatu atau melakukan sesuatu perbuatan tidak semua sahabat mendengar atau melihat apa yang baginda lakukan atau perkatakan.

Maka apabila baginda wafat, sunnahnya tersimpan kepada segolongan sahabat dan tidak semua sahabat yang menghimpun sunnah itu di dalam dada atau buku masing-masing. Para sahabat pula berlebih kurang tentang menghafaz al-Sunnah, ada di antara mereka yang menghafaz dua atau tiga hadis sahaja, sementara yang lain ada yang menghafaz beribu-ribu dan ada yang sederhana sahaja hafazannya. Ramai sahabat bertebaran di beberapa wilayah Islam, masing-masing menyebarkan sunnah yang dihafaznya kepada penduduk tempatan. Begitulah caranya ilmu dan sunnah Rasulullah s.a.w tersebar luas di seluruh wilayah Islam. Ulama’ setiap negeri itu akan memberi fatwa berdasarkan hadis-hadis yang ada pada mereka , jika sesuatu perkara itu tidak ada hadis pada mereka sebagai rujukan mereka akan berijtihad, kadangkala ijtihad mereka menepati hadis dan adakalanya tersalah.

Namun demikian Allah s.w.t telah menyediakan untuk umat ini beberapa tokoh yang mempunyai cita-cita yang tinggi, azam yang kuat dan niat yang bersih, mereka menjelajah seluruh dunia Islam merentasi timur dan barat bagi mengumpulkan sunnah Rasulullah s.a.w dan menyusunnya dalam kitab-kitab al-Sihah, al-Masanid dan al-Ma’ajim. Sebahagiannya masyhur dikenali ramai dan sebahagiannya tidak masyhur, kesemuanya ini memudahkan untuk mengetahui sunnah Rasulullah s.a.w.

Tetapi untuk menguasai semua sunnah itu amat sulit bahkan mustahil, kerana himpunan hadis begitu banyak. Lebih-lebih lagi arah pandangan ulama’ berbeza dalam menghukum sebahagian hadis, kerana sebahagian ulama’ berpendapat beberapa hadis itu sahih sedangkan yang lain berpendapat hadis itu daif. Ini adalah satu bab yang luas perbincangannya sehingga membawa kepada berlakunya khilaf di kalangan ulama.


Ketiga : التفاوت فى الاحاطة بعلوم اللغة العربية(Perbezaan Dalam Penguasaan Ilmu-ilmu Bahasa Arab)

Allah s.w.t menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab. Firman Allah s.w.t
dalam surah Taha ayat 113 :


Dan Demikianlah kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab, dan kami Telah menerangkan dengan berulang kali, di dalamnya sebahagian dari ancaman, agar mereka bertakwa atau (agar) Al Quran itu menimbulkan pengajaran bagi mereka.


Allah s.w.t memilih Rasul yang terakhir berbangsa Arab bahkan baginda seorang Arab yang paling fasih bahasa Arabnya. Ulama’ tidak dapat memahami al-Quran al-Karim dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w selagimana mereka tidak memahami bahasa Arab. Perbezaan yang nyata di kalangan ulama’ dalam memahami hukum-hukum Syara’ disebabkan perbezaan mereka memahami Lisan al-Arab, penguasaan terhadap rahsia-rahsia bahasa Arab. Dari sinilah juga akan menyumbangkan khilaf di antara ulama[14].

Keempat : الاختلاف فى مدى حجية بعض المصادر الفقهية (Perbezaan Tentang Kehujahan Beberapa Sumber Hukum)
Khilaf ulama’ dalam hukum-hukum furu’, antara faktornya ialah berlaku khilaf di antara mereka tentang kehujahan sebahagian sumber-sumber yang menjadi sandaran kepada hukum-hukum furu’. Contohnya fuqaha’ telah khilaf tentang kehujahan al-Hadith al-Mursal, al-Qiyas, al-Ijma’, al-’Urf, al-Masalih al-Mursalah, al-Istihsan dan Syar’u Man Qablana.

Setiap mereka yang berpendapat satu-satu sumber itu hujjah akan mengamalkannya dalam mensabitkan sebahagian hukum Syara’. Sementara bagi mereka yang tidak menganggapnya sebagai hujjah akan menolak dan membatalkannya serta hukum-hukum yang dibina ke atasnya selagimana tidak ada dalil yang lain[15].

Kelima:الاختلاف فى الشروط التى يجب توافرها فى الحديث الصحيح الذى يجوز الاحتجاج به
(Perbezaan Tentang Syarat-syarat Yang Wajib Dipenuhi Pada Hadis Sahih Yang Boleh Dijadikan Hujah)
Al-Hanafiyyah telah meletakkan syarat bagi beramal dengan Hadith Ahad; hendaklah perawi itu tidak beramal menyalahi apa yang diriwayatkannya, tajuk hadis itu bukan daripada perkara yang umum balwa dan hendaklah hadis itu tidak menyalahi konsep al-qiyas dan dasar-dasar umum dalam Islam khususnya apabila perawi itu bukan seorang yang faqih.

Sementara al-Malikiyyah mensyaratkan Khabar Ahad itu hendaklah selari dengan amal ahl al-Madinah, kerana ianya sama seperti periwayatan daripada Rasulullah s.a.w, sedangkan riwayat orang ramai lebih berhak diamalkannya daripada riwayat seorang sahaja. Lagipu penduduk Madinah lebih mengetahui yang terakhir warid daripada Rasulullah s.a.w[16].

Jumhur fuqaha’ pula yang terdiri daripada al-Syafi’iyyah, al-Hanabilah, al-Zahiriyyah, al-Ja’fariyyah dan sebahagian fuqaha’ mazhab lain berpendapat yang pentingnya wajib beramal dengan hadith Ahad itu ialah apabila riwayatnya itu sahih dan berhubung sanadnya dengan Rasulullah s.a.w, maka hendaklah diistinbatkan hukum daripadanya serta dijadikan sebagai sumber perundangan Islam.

Sekiranya sanad hadis itu tidak berhubung dalam ertikata hadis mursal, mazhab Syafi’i menerima pakainya dengan syarat ianya daripad mursal kibar al-tabi’in seperti perawinya Sa’id bin al-Musayyib dan mempunyai sanad daripada riwayat lain atau hadis itu selaras dengan kata-kata sahabat atau difatwakannya oleh kebanyakan sahabat. Namun begitu bagi mazhab Ahmad bin Hanbal pula hadith mursal tetap diambil dan diterima pakai apabila tidak ada pada bab yang berkenaan hadis yang berhubung sanadnya[17].

Keenam : الاختلاف فى القواعد الأصولية (Perbezaan Tentang Beberapa Qawa’id Usuliyyah)
Qawa’id Usuliyyah ialah prinsip-prinsip, metod, manhaj, cara dan kaedah- kaedah yang digubal oleh para mujtahidin sebagai panduan untuk melakukan istinbat hukum-hukum Syara’. Para ulama’ fiqh akan iltizam dengannya bagi mengambil hukum-hukum Syara’ daripada dalil-dalilnya yang tafsili. Khilaf dalam Qawa’id Usuliyyah adalah di antara faktor-faktor yang menyumbangkan khilaf dalam hukum-hukum furu’.

Qawa’id Usuliyyah ini sebahagian merujuk kepada bahasa Arab dan sebahagian yang lain merujuk kepada akal. Di antara contoh-contoh khilaf tentang Qawa’id Usuliyyah adalah seperti berikut:

· الاختلاف فى تحديد معنى اللفظ المشترك
· الاختلاف فى حمل الأمر على الوجوب أو على الندب
· الاختلاف فى حمل النهي على التحريم أو الكراهة

Ketujuh : الاختلاف فى القراءت فى القرآن الكريم
(Khilaf Tentang Qiraat Dalam al-Quran al-Karim)

Kelapan : الاختلاف بسبب تعارض الادلة
(Khilaf Disebabkan Percanggahan Dalil-dalil)[18]


KAEDAH MENANGANI MASALAH KHILAFIYYAH

Suatu perkara yang perlu diketahui bahawa hukum-hukum fiqh ada yang disepakati para imam mujtahidin, ada yang hanya disepakati di kalangan ulama’-ulama’ mazhab berkenaan sahaja, ada yang berlaku khilaf di antara imam-imam mujtahidin dan ada juga berlaku khilaf di kalangan ulama’-ulama’ dalam mazhab yang sama.

Oleh yang demikian, umat Islam harus menerima kenyataan di atas kerana khilaf dalam perkara ijtihad dan hukum yang berasaskan kepada dalil-dalil zanni adalah suatu perkara yang tabi’iy bahkan pasti berlaku sebagaimana yang dinyatakan dalam sebab-sebab khilaf sebelum ini. Seruan untuk menyatukan mazhab-mazhab fiqh adalah suatu yang lucu, justeru memaksa orang lain meleburkan atau mengorbankan pandangan ijtihadnya untuk berada dalam satu mazhab sahaja. Ini tidak mungkin bahkan ianya bercanggah dengan konsep dan tuntutan ijtihad kerana seorang yang mampu berijtihad dan beramal dengan hukum yang dihasilkan oleh ijtihadnya bahkan tidak harus ia bertaqlid atau berpaling dari mazhabnya kepada pendapat orang lain. Sementara orang awam pula wajib bertaqlid kepada mana-mana mazhab dan pendapat ulama’ mujtahidin yang menjadi pilihannya.

ADAB AL-IKHTILAF
Sebagai seorang muslim, kita perlu menghayati akhlak-akhlak Islamiyyah dalam semua keadaan sebagaimana yang diajar kepada kita oleh Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah. Adapun adab atau etika dalam berhadapan dengan masalah-masalah khilafiyyah khususnya bagi kita yang bukan ulama’ mujtahidin perlu sekali diberi penekanan agar tidak menimbulkan porak peranda dan kecelaruan dalam masyarakat.

Justeru itu penulis merasakan penting perkara ini diberi perhatian sewajarnya. Setiap orang mesti membersihkan dirinya dari sebarang sentiment ta’asub mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukanlah sebagai faktor memecahbelahkan Islam dan bukan sebagai agama-agama yang menasakhkan Syariat Islam, bahkan ia merupakan sebagai aliran pentafsiran dan pemahaman Syariah. Ia juga merupakan metod dan kaedah dan kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam mengistinbat hukum. Kesemuanya bertujuan untuk mengetahui hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Kita tidak harus merasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana perbezaan dalam pemahaman dan istinbat adalah suatu perkara lumrah dan tabi’iy bagi akal manusia, maka sudah pasti akan berbeza dalam istinbat dan fahaman. Bahkan kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan kepada kita sebagai suatu perbendaharaan fiqh yang amat berharga. Ia juga merupakan sebagai bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh, betapa luasnya pemikiran para fuqaha’ kita yang agong dalam melaksanakan kewajipan mereka memberi khidmat kepada Syariat Islam yang mulia.

Kita wajib menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh ulama’-ulama’ mujtahidin dalam berbagai mazhab ini. Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diber pahala sama ada betul ataupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka[19].

Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah. Kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum- hukum yang disepakati para ulama’. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:

“ لاينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه
Maksudnya : “Tidak atau jangan dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha’. Dan sesungguhnya yang perlu dibantah ialah perkara munkar yang disepakati ulama’ atas pengharamannya”[20].

Kita mesti beradab dengan ulama’ yang berbeza pandangan dengan kita, jangan celupar mulut melempar tuduhan kalimah bid’ah dalalah ke atas amalan-amalan yang khilafiyyah. Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapatnya sebagai sesat, pembuat bida’ah, khurafat dan sebagainya kerana masing-masing ada hujah dan alasan yang perlu kita hormati.

Kita jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim besar menghentam ulama’-ulama’ silam yang tidak sealiran dengan mereka, sambil menyeru masyarakat menentang amalan-amalan yang sudah mantap dalam masyarakat sedangkan amalan itu khilaf ulama’ padanya. Lebih dahyat dari itu terdapat sebahagian mereka yang biadap menyeru supaya membakar kitab-kitab tua atau jawi lama kerana menurut pandangan mereka kitab-kitab tersebut menyesatkan. Subhanallah.

Kita sebagai seorang pendakwah, guru atau imam harus bijak dalam menangani masalah khilafiyyah. Amat bodoh kalau seseorang pendakwah membangkitkan perkara yang remeh-temeh dan khilafiyyah dalam ceramah-ceramahnya kerana ini boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dan tuduh-menuduh antara satu sama lain.

Sebagai seorang pendakwah, kita perlu memfokuskan syarahan dan pengajaran kepada persoalan pokok yang perlu kita berganding bahu dalam membangun atau meruntuhnya. Sepertimana yang diungkapkan oleh Syaikh Abd al-Rasyid Ridha:

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه “
Maksudnya : “Saling bantu-membantu di antara kita dalam menegakkan perkara yang kita sepakati dan saling bertolak ansur dan bermaafan di antara kita dalam perkara khilafiyyah”.

Mengelak dari melakukan masalah yang dipertikaikan memang digalakkan berdasarkan kaedah fiqhiyyah الخروج من الخلاف مستحب( Keluar dari khilaf itu digalakkan)

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi telah menggariskan beberapa panduan dalam menghadapi masalah khilafiyyah dengan mengatakan seperti berikut[21]:

الدعائم الفكرية فى فقه الاختلاف
· الاختلاف فى الفروع ضرورة ورحمة وسعة
· اتباع المنهج الوسط وترك التنطع فى الدين
· التركيز على المحكمات لا المتشاهات
· تجنب القطع والإنكار فى المسائل الاجتهادية
· ضرورة الاطلاع على اختلاف العلماء
· تحديد المفاهيم والمصطلحات
· شغل المسلم هموم أمته الكبرى
· التعاون فى المتفق عليه
· التسامح فى المختلف فيه
· الكف عمن قال لا إله إلالله



الدعائم الفكرية فى فقه الاختلاف
· الإخلاص التجرد من الأهواء
· التعصب للأشخاص والمذاهب والطوائف
· إحسان الظن بلآخرين
· ترك الطعن والتجريح المخالفين
· البعد عن المراء واللدد فى الخصومة
· الحوار بالتى هى أحسن

BEBERAPA CONTOH MASALAH KHILAFIYYAH
1.Membaca doa Qunut.
2. Sembahyang sunat qabliah Maghrib.
3. Sembahyang sunat qabliah Jumaat.
4. Talqin mayat setelah dikebumikan.
5. Bacaan al-Qur’an dan tahlil dihadiahkan pahalanya kepada si mati.
6. Fidyah sembahyang.
7. Berwirid secara jama’ah selepas sembahyang fardhu.
8. Batal wuduk dengan sebab sentuhan lelaki dengan perempuan yang harus dikahwini.
9. Membaca Usalli atau melafazkan niat sebelum takbir.
10. Bilangan rakaat sunat tarawih 20 atau 8
11. Membaca surah Yasin pada malam Jumaat
12. Maulid al-Rasul s.a.w.
13. Membaca Sayyidina dalam Salawat.
14. Imam berdoa lepas solat jama’ah dan makmum mengaminkannya.
15. Aqiqah dengan kambing sahaja.
16. Menyapu muka selepas memberi salam dan membaca:


أشهد أن لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن “
“ بسم الله الذى لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن


SIKAP ULAMA’ TERHADAP MASALAH KHILAFIYYAH
Ulama’-ulama’ kita di kalangan rumpun bangsa Melayu di Malaysia, Patani, Kemboja, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia dan Selatan Filipina umumnya pengikut mazhab Syafi’i semenjak Islam mula mengembangkan sayapnya di daerah ini dan mereka amat arif tentang masalah khilafiyyah bersikap cukup terbuka dan sederhana sekali.

Para ulama’ kita dari Seberang Perai, Pulau Pinang yang terkenal dengan kealimannya seperti al-Marhumin Syeikh Zain al-’Abidin bin Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tuan Minal dari Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Syeikh Tuan Husin al-Banjari Pokok Sena, Syeikh Abdullah Fahim Kepala Batas, Syeikh Tuan Haji Othman Jalaluddin al- Kelantani dan Tuan Haji Muttalib, Pondok Kubang Hulu, Penanti, Syeikh Tuan Haji Saleh al-Masri dan Haji Ahmad al-Masri, Masriyyah Tanah Liat, Bukit Mertajam, Syeikh Haji Ahmad Tuan Husin Pokok Sena, Tuan Syeikh Haji Adnan, Mufti Pulau Pinang dan Tuan Haji Yusuf Sungai Bakap.

Di negeri Perak pula ulama’ terkenal seperti al-Marhumin Tuan Guru Syeikh Zubair Mudir al-Madrasah Idrisiyyah Kuala Kangsar, Tuan Gur Haji Muhammad Saman Kati, Tuan Guru Haji Adb al-Samad Nuh Padang Rengas, Dato’ Tuan Haji Ghazali Haji Arsyad Batu 26 Bagan Datuk, Tuan Haji Ahmad Haji Yunus Malim Nawar, Ustaz Abu Bakar al-Baqir Gunung Semanggol, Tuan Haji Ahmad Haji Yunus Sungai Petani, Bukit Gantang dan mufti-mufti Perak yang telah meninggal dunia.

Sementara di Kedah, tokoh-tokoh ulama’ dan tuan-tuan guru yang telah melahirkan ribuan ulama’ dan pendakwah antaranya dari daerah Pendang yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Wan Ibrahim Wan Abdul Kadir (Pak Cu Him) Pondok Gajah Mati, Haji Ahmad Rubab Pondok Chegar, Tuan Haji Ibrahim Pondok Batu Hampar dan Tuan Haji Abdul Aziz Haji Ibrahim Pondok Pendang. Di daerah Alor Star pula, Tuan Haji Abd Rahman Syeikhul Islam Kedah, Dato’ Mursyid DiRaja Haji Tajuddin Pondok Melele, Tuan Haji Itam Pondok Tanjung Bedil, Tuan Haji Abu Bakar Pelastin Pondok Air Hitam dan Tuan Haji Abdullah Saghir Pondok Langgar. Ulama’ daerah Guar Cempedak pula ialah Tuan Haji Othman Madrasah al-Nahdah, Bukit Besar, Tuan Haji Yahaya Junaid Madrasah Taufiqiyyah, Batu 16, Tuan Haji Abd Majid dan Tuan Haji Husin Che Dol, Guar Cempedak. Ulama’ Sungai Petani yang terkenal ialah Tuan Haji Yahaya Pondok Kampung Pisang, Kupang dan Tuan Haji Umar Pondok Lanai. غفرلله لهم ولنا أجمعين

Saya yakin mereka ini kesemua amat memahami masalah khilafiyyah dan tidak sedikitpun menimbulkan ketegangan dalam masyarakat pada zaman mereka, malah saling memahami dan sering melakukan muzakarah dalam suasana mahabbah dan kasih sayang kerana Allah s.w.t. Oleh kerana mereka amat faham adab dan akhlak dalam masalah khilafiyyah inilah, maka mereka amat dihormati, disanjungi dan dipelajari ilmu Islam dari mereka. Walaupun kemungkinan ada masalah yang mereka tidak setuju kerana berbeza pandangan dan pendapat tetapi mereka tetap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.


PENUTUP
Perbahasan masalah khilafiyyah ini tidak wajar diperbesarkan dan saling menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi menghukum bid’ah, khurafat dan kafir. Ini kerana khilaf dalam masalah furu’ suatu yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan Syariat Islam dalam diri, rumahtangga, masyarakat dan negara. Seterusnya memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang disepakati dan bekerja keras menegakkan yang ma’ruf yang diijma’ ulama’ di samping berlapang dada dan bertolak ansur ketika menghadapi perkara-perkara khilafiyyah dalam semangat persaudaraan Islam dan kesatuan ummah.


والله أعلم بالصواب

_____________________________________________________________________
[1] Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Pengembangan Ilmu anjuran Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Institut Pengajian Ar-Razi, S. Prai Selatan bertempat di Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) Wilayah Utara, Kepala Batas, S. Prai Utara pada 31.7.2004
[2] Wahbah al-Zuhaili (Dr.), (1986) Damsyik, Dar al-Fikr “Usul al-Fiqh al-Islami”, jld : 1, hal : 8
[3] al-Ghazali, “al-Mustasfa”. jld : 1, hal : 4-5
[4] Abu al-Karim Zaidan (1994), Beirut, Muassasah al-Risalah, “al-Wajiz”, hal : 8
[5] Boleh dirujuk kepada kitab-kitab “Usul al-Fiqh”.
[6] Abd al-Karim Zaidan (1969), “Madkhal Li Dirasah al-Syari’ah al-Islamiyyah”. Baghdad, Matba’ah al-’Ani. hal : 155
[7] Kerana khilaf itu sebahagian daripada (al-did) dan tidak semestinya setiap dua benda yang berbeza itu berlawanan, walaupun dua benda yang berlawanan itu berbeza. Lihat Ibn Manzur (t.t) “Lisan al-Arab”, Matba’ah al-Dar al-Arabiyyah Lial-Ta’lif wa al-Tarjamah. Kaherah. jld :1, hal : 430
[8] Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa al-Lakhmi al-Gharnati (t.t), “al-Muwafaqat”, Kaherah. Matba’ah ‘Ali Subaih Wa Auladihi. jld : 4, hal : 110
[9] Ibid
[10] Dr. Abd al-Karim Zaidan (1982), “Majmu’ah Buhuth Fiqhiyyah”, hal : 275. Lihat juga Ibn Taymiyyah (1326H), “Majmu’ al- Fatawa”, Matba’ah Kurdistan. Kaherah. jld : 20. hal : 42
[11] Dr. Abd al-Karim Zaidan, Op cit, hal : 275-277
[12] Umar Sulaiman al-Asyqar dan Muhammad Othman Syabir (1996), al-Urdun. Dar al-Nafais, “Masail fi al-Fiqh al-Muqarin”, hal : 10
[13] Umar Sulaiman al-Asyqar dan Muhammad Othman Syabir Op cit, hal : 20. Abd al-Karim Zaidan, Op cit, hal : 277. Perhatian : Setiap faktor-faktor khilaf ini ada contoh-contohnya, namun untuk mengelak daripada terlampau panjang kertas ini penulis tidak memasukkannya.
[14] Ibid. hal : 30
[15] Ibid. hal : 31
[16] Ibid, hal : 31-32
[17] Ibid.
[18] Ibid, hal : 33-40
[19] Abd al-Karim Zaydan, Op cit, hal : 413
[20] Al-Suyuti (1998) Beirut. Dar al-Kitab al-’Arabi, “al-Asybah wa al-Nazair”, hal : 292
[21] Al-Qaradawi (1992), “al-Sahwah al-Islamiayyah Bayna al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum”. Dar al-Wafa’. Kaherah. Hal : 57 dan 189