hasbunallah

hasbunallah

Saturday, March 28, 2009

Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang


Ini adalah hari kedua saya berada di Bukit Gantang, Perak bersama rombongan pertama Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), Dewan Pemuda Pas Kelantan yang diketuai oleh Pengerusi Luham sendiri saudara Hisham Fauzi.

Saya bertolak dari Kota Bharu bersama teman-teman yang lain pukul 10.00 pagi semalam dengan menaiki kereta yang saya pandu sendiri. Kami tiba di Bukit Gantang pada pukul 5.00 petang. Rombongan pertama ini akan berada di Perak bermula dari 27/03/2009 sehingga 29/03/2009 sempena penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang.

Disini kami menginap disebuah rumah yang telah dikhususkan oleh Juham Perak untuk kami.

Sunday, March 22, 2009

Tamrin Jabatan Amal Kawasan Tumpat


Pada hari Jumaat (20/03/2009) yang lepas, saya telah menyertai Tamrin Jabatan Amal Kawasan Tumpat yang telah diadakan di Pantai Kuda berhampiran dengan Kuala Besar. Program yang diadakan selama dua hari satu malam tersebut adalah bertujuan untuk memantapkan lagi Unit Amal Kawasan Tumpat sama ada dari segi organisasi atau gerak kerja.

Walaupun hati saya tidak begitu tenteram bila memikirkan keadaan anak saudara saya yang cedera teruk dan terlantar di rumah, namun oleh kerana tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ini saya terpaksa turut menyertainya dengan hati yang cukup berat.

Ujian kedua keatas saya ialah sewaktu perjalanan balik dari Pantai Kuda ke Pengkalan Kok Majid dengan menaiki bot. Keadaan air surut ketika itu menyebabkan bot yang saya dan teman-teman naiki tersangkut pada beting pasir di tengah-tengah sungai. Jadi saya terpaksa turun dengan beberapa rakan yang lain untuk menolak bot tersebut. Namun ketika itu air yang separas paha menjadi separas dada menyebabkan beg duit serta communicator saya turut berenang bersama.

Maka terpaksalah saya hantar communicator tersebut ke kedai telefon untuk dibaiki. Harap-harap saya masih berpeluang untuk menyelamatkannya dari mati kelemasan.


Tuesday, March 10, 2009

Hakikat Maulidur Rasul


Semalam adalah 12 Rabiul Awwal iaitu hari keputeraan Baginda Rasulullah s.a.w sebagai Penghulu segala Rasul serta Rasul akhir zaman untuk sekalian umat. Negara kita mengisytiharkan sebagai cuti umum bagi meraikan hari tersebut.

Semalam, sambutannya diserikan dengan perarakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka bagi peringkat kebangsaan. Manakala perarakan ditempat-tempat lain juga turut diadakan sebagai menunjukkan kecintaan kita kepada baginda Rasulullah s.a.w. Walaupun ada sesetengah golongan yang menghukum perayaan dan sambutan maulidur rasul ini sebagai bida'ah yang sesat. Pada pandangan saya, jika mereka ingin berpandangan demikian silakan. Namun janganlah menidakkan pendapat ulama-ulama lain yang juga turut mempunyai hujah-hujah mengenai kebolehan mengadakan perayaan dan sambutan maulidur rasul ini.

Namun begitu, janganlah kita hanya sekadar menyambut dan merayakan Maulidur Rasul semata-mata tanpa merenung dan memikirkan sirah pejuangan Rasulullah s.a.w yang wajib kita turuti. Adakah memadai dengan sekadar merayakan Maulidur Rasul sedangkan ajaran dan sunnah Rasulullah dipandang enteng serta diperlekeh-lekehkan begitu sahaja.

Tidak kiralah sama ada ianya sunnah Rasulullah yang kecil seperti menyimpan janggut serta berserban hinggalah sunnah-sunnah yang besar melibatkan politik dan pemerintahan negara, kita sepatutnya menghormati, memuliakan serta menuruti sunnah-sunnah tersebut. Jika kita tidak mahu atau masih belum mampu untuk menuruti sunnah-sunnah tersebut, janganlah pula kita menafikan kewujudannya serta memandang remeh perkara tersebut.

Dalam menyambut dan merayakan Maulidur Rasul ini, marilah kita sama-sama mencontohi Rasulullah yang merupakan Qudwatun Hasanah bagi ummatnya.


Monday, March 2, 2009

Kenapa Allah Haramkan Babi


Semalam ketika saya sedang melayari internet, tiba-tiba YM saya dimasuki seseorang yang tidak dikenali. Dia memperkenalkan diri sebagai seorang chinese dari Singapura. Dia memberitahu saya bahawa dia pernah bertanya kepada orang Melayu Singapura kenapa orang Islam tidak boleh makan babi? Mereka hanya menjawab bahawa agama yang melarangnya. Jadi Chinese tersebut tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Katanya " there must be a reason!" Oleh itu dia inginkan jawapannya dari saya.

Mula-mula saya bertanyakan tentang apakah agama anutannya. Dia memberitahu bahawa beliau beragama Buddha. Saya kemudiannya menjawab sebagaimana berikut:-

Saya yakin dalam agama anda tentu ada ritual atau arahan atau larangan yang perlu anda patuhi tanpa diberikan sebab kenapa anda perlu berbuat demikian. Dalam Islam, Tuhan melarang orang Muslim dari memakan babi kerana babi itu memakan makanan yang kotor. Tambahan pula penemuan terbaru yang menyokong larangan tersebut ialah babi merupakan 'kolam takungan kuman-kuman.' Kuman yang berada dalam badan babi tidak mati walaupun dimasak berapa lama sekali pun.

Kuman biasa apabila memasuki badan babi seolah-olah bermutasi menjadi lebih merbahaya kepada sesiapa yang memakannya. Ini telah disahkan oleh kajian para saintis sebagaimana yang dilaporan dalam Journal of Virology 1997. Itulah antara sebab-sebab kenapa orang Muslim dilarang memakan babi.

Kemudian Chinese tersebut seolah-olah belum berpuas hati dengan jawapan saya tersebut. Lalu dia berkata: "Awak tahukah masih terdapat binatang lain yang memakan makanan yang kotor macam babi, tetapi kenapa babi sahaja yang menjadi larangan?"

Saya kemudian bertanya kembali kepada beliau. " Boleh anda kemukakan kepada saya binatang lain yang memakan makanan kotor seperti babi?" Chinese tersebut kemudiannya seolah-olah cuba untuk tidak menjawab soalan saya itu. Sehinggalah saya berkata " Anda mahukan jawapan dari saya, tapi anda tidak memberikan jawapan terhadap pertanyaan saya!" Chinese tersebut memberikan jawapan: " Anjing!"

Saya jadi tersenyum sendirian dengan jawapan yang diberikan oleh Chinese tersebut lalu berkata: " Adakah anda tahu bahawa agama Islam juga turut melarang orang Muslim daripada memakan anjing?" Dia menjawab: " Saya tidak tahu!"

Chinese tersebut kemudian 'log out' dari YM dengan saya. Saya berharap jawapan yang saya berikan itu akan memuaskan hatinya. Namun dalam hati saya terdetik, sama ada dia betul-betul inginkan jawapan atau sekadar untuk mempersenda-sendakan saya? Hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu.


Sunday, March 1, 2009

Epilog Seorang Pejuang

Semalam, Pas Kawasan Tumpat khususnya telah kehilangan seorang aktivis dan pejuangnya yang hebat. Allahyarham Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian kira-kira pukul 1.00 pagi akibat jangkitan kuman pada buah pinggang.
Allahyarham merupakan Yang Di Pertua Pas Kawasan Tumpat merangkap Penyelia Dun Pengkalan Kubor telah banyak menyumbangkan bakti beliau semasa hayatnya dalam perjuangan Pas. Pemergian beliau ini merupakan satu kehilangan yang besar yang tiada gantinya. Hasil dari didikan dan tarbiyah beliau, bukan sedikit para pemimpin muda atau pelapis dapat dihasilkan. Kebanyakan para pimpinan Pas kawasan Tumpat pernah menjadi anak didik beliau.
Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh beliau dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. al-Fatihah....