Semalam adalah 12 Rabiul Awwal iaitu hari keputeraan Baginda Rasulullah s.a.w sebagai Penghulu segala Rasul serta Rasul akhir zaman untuk sekalian umat. Negara kita mengisytiharkan sebagai cuti umum bagi meraikan hari tersebut.
Semalam, sambutannya diserikan dengan perarakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka bagi peringkat kebangsaan. Manakala perarakan ditempat-tempat lain juga turut diadakan sebagai menunjukkan kecintaan kita kepada baginda Rasulullah s.a.w. Walaupun ada sesetengah golongan yang menghukum perayaan dan sambutan maulidur rasul ini sebagai bida'ah yang sesat. Pada pandangan saya, jika mereka ingin berpandangan demikian silakan. Namun janganlah menidakkan pendapat ulama-ulama lain yang juga turut mempunyai hujah-hujah mengenai kebolehan mengadakan perayaan dan sambutan maulidur rasul ini.
Namun begitu, janganlah kita hanya sekadar menyambut dan merayakan Maulidur Rasul semata-mata tanpa merenung dan memikirkan sirah pejuangan Rasulullah s.a.w yang wajib kita turuti. Adakah memadai dengan sekadar merayakan Maulidur Rasul sedangkan ajaran dan sunnah Rasulullah dipandang enteng serta diperlekeh-lekehkan begitu sahaja.
Tidak kiralah sama ada ianya sunnah Rasulullah yang kecil seperti menyimpan janggut serta berserban hinggalah sunnah-sunnah yang besar melibatkan politik dan pemerintahan negara, kita sepatutnya menghormati, memuliakan serta menuruti sunnah-sunnah tersebut. Jika kita tidak mahu atau masih belum mampu untuk menuruti sunnah-sunnah tersebut, janganlah pula kita menafikan kewujudannya serta memandang remeh perkara tersebut.
Dalam menyambut dan merayakan Maulidur Rasul ini, marilah kita sama-sama mencontohi Rasulullah yang merupakan Qudwatun Hasanah bagi ummatnya.
No comments:
Post a Comment