Semalam, lelaki yang mengaku atau mendakwa dirinya sebagai 'Rasul Melayu', Abd Kahar Ahmad telah membuat aku janji di hadapan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam bahawa dia akan membetulkan semua aqidah pengikutnya selepas selesai menjalani hukuman kelak.
Dia juga telah memberitahu Mahkamah bahawa telah bertaubat nasuha dan berjanji akan menghabiskan sisa umurnya untuk menjadi seorang Islam yang soleh berpandukan kepada Al-Quran dan sunnah. Dia juga memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu khususnya Sultan Selangor atas keterlanjuran dan pendapat yang batil yang lakukannya serta menghina agama Islam yang maha suci. Dia juga memohon maaf kepada Majlis Agama Islam Selangor dan pihak Jabatan Mufti serta Majlis Fatwa. Pengakuan secara bertulis yang ditandatangani Abdul Kahar itu dibacakan oleh peguam syarie Azmi Rais semasa mengemukakan rayuan tambahan agar dia dikenakan hukuman yang ringan.
Abdul Kahar, yang turut diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong, mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 termasuk mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam.
Pihak berkuasa telah mengambil masa hampir 3 tahun untuk menangkap dan mendakwa Abd. Kahar yang telah mengisytiharkan dirinya sebagai 'Rasul Melayu'. Dia mempunyai begitu ramai pengikut yang turut terdiri dari kalangan mereka yang terpelajar.
Padahal telah banyak dalil dan bukti yang berupa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w adalah seorang Rasul dan Nabi Terkahir. Tidak akan ada lagi nabi dan rasul sesudah Baginda Rasulullah sebagaimana yang termaktub didalam al-Qur'an surah Al-Ahzaab ayat 40 :
Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup para Nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (QS. 33:40)
Sementara itu, Rasulullah s.a.w sendiri telah bersabda yang bermaksud:-
Dari Mut'im r.a. katanya bahawa Rasulullah Saw bersabda : 'Sesungguhnya aku mempunyai beberapa nama: Aku Muhammad (yang amat dipuji), *Aku Ahmad (yang banyak memuji)*, Aku yang penghapus karena aku Allah menghapuskan kekafiran, Aku pengumpul yang dikumpulkan manusia dibawah kekuasaanku dan aku pengiring yang *TIADA KEMUDIANKU SEORANG NABIPUN*.(HR. Muslim)
Kenapa tidak dihayati dan direnungi maksud firman Allah s.w.t dan sabda Nabi tersebut sebelum mempercayai kemunculan 'Rasul' baru sedangkan ia jelas telah bercanggah dengan firman Allah s.w.t Semoga tidak ada lagi kesesatan yang begitu nyata, padahal cahaya kebenaran itu terang menyuluh alam.