hasbunallah

hasbunallah

Sunday, February 21, 2010

Langkah-Langkah Di Perjalanan Ini


Walaupun badan masih lagi kepenatan dan keletihan kerana jadual program yang padat. Paginya saya balik dari program Pemantapan Syahsiah di Pantai Kuala Pok Min, Tumpat anjuran Dewan Pemuda Pas Dun Kelaboran yang di anjuran bermula dari hari Jumaat lagi.

Saya sampai bersama sahabat-sahabat di jeti lebih kurang pukul 8.30 pagi. Isteri menjemput saya kerana perlu bersegera untuk menghadiri Kursus Jentera Pilihan Raya Pemuda di Akademi Latihan Pemuda, Kok Lanas anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK).

Kemudian saya pulang ke rumah untuk berehat sebentar sebelum menghadiri kuliyah guru saya, Syeikh Abdul Qadir di Kampung Dalam Lanas, Tumpat. Saya tetap gagahkan diri untuk menghadirinya walaupun kepala saya terasa berdenyut-denyut.

Rupa-rupanya kesabaran yang cuba saya terapkan itu ada ganjarannya apabila saya telah diijazahkan oleh Tuan Syeikh Abdul Qadir akan amalan Aurad Syeikh Ahmad bin Idris r.a melalui sanad Syeikh Said Ahmad Linggi dan Syeikh Ahmad Dandarawi. Allahu Akbar…betapa bertuahnya saya rasakan kerana dianugerahkan kesempatan yang amat berharga ini.

Tetapi saya juga seolah-olah diuji oleh guru saya apabila saya disuruh beliau untuk mengimamkan solat Maghrib dan Isyak. Betapa gentarnya jiwa saya kerana menjadi imam solat sedangkan guru saya yang mulia berada dibelakang menjadi makmum saya. Rasanya begitu tidak layak untuk menjadi imam kerana dibelakang saya terdapat seorang guru yang melaut ilmunya.

Ya Allah..rahmatilah guru saya sehingga saya dapat menimba ilmu-ilmunya yang bergedung-gedung itu.   




Tuesday, February 16, 2010

Jiwa Sang Hamba


Sewaktu mula-mula bertatih menapak dalam medan juang, telah ada nasihat dari para teman-teman bahawa medan juang ini penuh dengan ujian getir dan pancaroba. Sekali kita melangkah, pastinya nanti ada masanya kaki kita luka terpijak duri. Badan kita mungkin calar dek terkena semalu tajam dan mungkin ada tikanya kita tersungkur sewaktu tersandung batu di pertengahan jalan. Saya menerimanya dengan penuh faham kerana ianya seribu kemungkinan yang akan berlaku. Itulah sifat kita sebagai ‘baru’ di sisi Tuhan Yang Maha Kekal.

Walaupun saya atur tapak dengan penuh hati-hati, sudah ditakdirkan bahawa kaki saya terjerlus lubang membuatkan saya terduduk. Usah ditanya bagaimana rasanya. Terngadah saya mencari jalan untuk berdiri walau sakitnya bukan kepalang. Nanar saya mencari tempat berpaut sedangkan jalannya masih jauh terbentang.

Lalu dalam kepayahan itu, saya bersimpuh dihadapan guru yang murabbi bagi mencari penawar. Lalu bicara sang murabbi “ Sabar itu umpama jadam. Memang permulaannya terlalu pahit tapi dihujungnya ada sebuah kesembuhan.”

Allahu Akbar… Saya bagai diberikan jamung peneman di perjalanan. Lalu terlihatlah lopak-lopak diri yang perlu diperbaiki segera sebelum sang utusan Tuhan datang menjemput. Lalu saya memutuskan untuk menimba gedung sang murabbi dan bertawaqquf buat seketika dari memberikan kuliyah-kuliyah mingguan dalam mencari damai sebuah jiwa hamba.   

Wednesday, February 10, 2010

Ranjau Sebuah Perjalanan


Sebelum ini saya ada menulis mengenai kemelut yang saya hadapi sebagai pengerusi Masjid at-Tawwabeen. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, namun masih ada pihak yang tidak berpuas hati serta tidak menghormati keputusan mesyuarat. Menggunakan nama para jemaah, membuat sesuka hati tanpa merujuk kepada ajk yang telah dilantik.

Setelah berfikir panjang dan berbincang dengan beberapa pimpinan, saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari memegang jawatan pengerusi masjid. Saya serahkan kepada mereka yang telah mendesak saya untuk meletakkan jawatan sebelum ini. Bagi saya, itu merupakan tanda bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada saya. Tidak mengapa, kerana itu hanyalah sebahagian kecil ranjau yang perlu saya lalui untuk sampai kemuncak yang masih jauh.

Saya bukanlah hendak mengatakan saya ini benar dalam semua perkara, tapi saya tetap berdoa bahawa saya dipihak yang benar. Sebagaimana kata salah seorang pemuda, beralah tidak semestinya bermakna kita salah. Apatah lagi demi menenang keadaan yang penuh kemelut ini. Jawapan saya kepadanya mudah, memang benar beralah tidak bererti kita salah tapi orang tetap memandang kita salah.

Semasa mesyuarat akhir ajk masjid tadi, saya mengumumkan penarikan diri dari jawatan pengerusi walaupun masih ada ajk yang mendesak saya untuk terus bertahan. Jawapan saya, apa guna saya pengerusi sekiranya saya terus diperlakukan seperti tunggul. Apa sahaja yang hendak dilakukan berkaitan masjid, terus dibuat tanpa merujuk kepada saya. Saya bukan hendak mempersalahkan sesiapa, kerana ia mungkin silap saya kerana telah menerima jawatan pengerusi tersebut suatu ketika dulu.

Kalau difikirkan dengan otak yang singkat dan jiwa yang serabut, memang difikirkan terlalu tidak adil saya diperlakukan sebegini. Namun meneliti kembali dengan jiwa yang tenang dan hati yang terbuka, inilah dinamakan takdir. Ada hikmah yang tersembunyi mungkin tidak saya ketahui. Salah satunya, saya dapat menumpukan kepada tanggungjawab lain kerana amanah yang saya pikul sebagai pengerusi masjid telah saya lepaskan.

Masih ada suara yang bergema memberitahu bahawa mereka tetap berada dibelakang saya, bagi saya duduklah dibelakang saya selagi mereka mampu kerana saya tidak berhak untuk menghalang mereka. Bagi saya apa perlunya sokongan kalau ia membawa rebah. Memadailah bagi saya untuk menyakini bahawa yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah walaupun kita melihatnya dari sisi yang berbeza. Dan sesungguhnya Allah bersama orang yang benar.


Tuesday, February 9, 2010

Guruku


Setelah agak lama, tawaqquf daripada mengajar atas sebab kesihatan dan perjalanan rohani, guru saya Syeikh Abdul Qadir kembali untuk memberikan kuliyah kepada murid-muridnya yang sentiasa dahagakan ilmu dan mutiara berharga daripada beliau.  

Walaupun terpaksa dipapah oleh para murid, beliau tetap kelihatan bersemangat memberikan kuliyah. Malah solat jemaah pun diimamkan oleh salah seorang murid kanan beliau.

Tatkala saya menatap beliau, ada ketenangan mengalir dalam hati. Belum sempat tangan dihulur untuk bersalaman dengan guru yang mulia itu, beliau mendahului saya bertanyakan khabar.

Allahu Akbar… selepas solat maghrib, kami mendengar guru kami mensyarahkan Surah al-Fatihah. Syarahan yang begitu lengkap bagi saya kerana turut disebutkan mengenai qiraat-qiraat bacaan yang berbeza dan sebab-sebab perbezaannya.

Beliau juga turut membahaskan perbezaan mazhab-mazhab dalam memahami nas-nas al-Quran serta sunnah. Beliau juga turut menolak pendapat bahawa umat Islam tidak perlu mengikut mana-mana mazhab dengan memetik kata-kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali apabila ditanya kepada beliau : Engkau seorang yang alim dalam semua perkara, tapi kenapa engkau membuat mazhab yang baru tetapi masih mengkut mazhab Imam Syafie? Jawab al-Ghazali: Sesungguhnya aku tidak termasuk dalam kurun yang telah dijanjikan Rasulullah s.a.w.

Betapa besar kesyukuran kerana dianugerahkan Allah seorang guru yang menjadi murabbi bagi saya sejak saya berada dibangku sekolah lagi. Semoga Allah memberkati umur beliau sehingga saya dapat mengambil manfaat daripada ilmu-ilmu beliau yang bergedung- gedung itu.   


Sunday, February 7, 2010

Dua Laporan Dalam Satu Hari


Hari ini, walaupun sibuk dan kepenatan dalam menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan, saya dan rakan-rakan dari Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan telah berjaya membuat satu laporan polis terhadap sebuah blog yang telah menghina YAB Dato Tuan Guru Menteri Besar Kelantan di IPD Kota Bharu, Kelantan.

Blog tersebut telah menghina Tuan Guru dengan tulisan-tulisan dan gambar-gambar super imposed yang keterlaluan, menjijikkan serta melampau. Nampaknya pemilik blog tersebut seolah-olah tidak menghiraukan tatasusila serta adab. Laporan tersebut telah dibuat oleh Mejar (B) Mohamad bin Ibrahim selaku setiausaha keselamatan Pas Kelantan.

Manakala satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah dibuat selepas itu terhadap UMNO Kelantan kerana cuab untuk campur tangan mengenai pembahagian wang ehsan sedangkan mereka tidak layak untuk berbuat demikian serta tidak pernah diberikan kuasa oleh kerajaan negeri bagi mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat mengenai perkara tersebut.

Laporan tersebut telah dibuat di pejabat SPRM Negeri Kelantan, Tingkat 12 Wisma Persekutuan Kota Bharu.   

Berita berkaitan:
1. The Malaysian Insider

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2009


Pada 30/01/2010 Lajnah Penerangan Pas Kawasan Tumpat telah menganjurkan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2009 yang diadakan bertempat di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh, Tumpat.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato Ahmad Yaacob merangkap Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan. Manakala perasmian penutupnya disempurnakan oleh YB Dato Paduka Husam Musa, Exco Kanan Kerajaan Kelantan.

Pembentangan ucapan dasar pula dilakukan oleh YB Dato Kamarudin Jaafar, ajk Pas Pusat merangkap Ahli Parlimen Tumpat. Semua dewan-dewan dijemput hadir. Saya selaku Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah diberikan tanggungjawab untuk membentangkan kertas kerja dimajlis tersebut sebagai wakil DPPKT.

Saya telah mengambil masa beberapa hari untuk meneliti ucapan dasar YB Dato Seri Tuan Guru Presiden tersebut yang begitu dalam makna dan hasratnya. Hasilnya saya berjaya membuat khulasah menjadi 10 helai kertas kerja. Maha alhmadulillah, saya telah berjaya menunaikan amanah tersebut dengan pembentangan kertas kerja di majlis munaqasyah tersebut.