Kita dikejutkan dengan kenyataan terbuka Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mempertikaikan Kerajaan Kelantan yang mengharamkan penjualan tiket loteri di negeri ini.
Beliau turut menghentam Kerajaan Kelantan yang telah mengambil tindakan keatas premis judi haram yang wujud di Negeri Kelantan. Malah beliau turut menyokong usaha untuk membawa isu ini ke Mahkamah bagi mendapatkan perintah bahawa larangan yang dibuat oleh Kerajaan Kelantan itu adalah tidak sah dan bercanggah dengan undang-undang.
Dalam keadaan begini, di manakah para mufti dan ulama UMNO yang selama ini kononnya begitu menonjol untuk mempertahankan kesucian dan kedaulatan hukum Islam? Setakat ini tidak ada satu pun kenyataan yang dibuat oleh mereka mengenai perkara ini.
Cuba bayangkan kalau larangan tersebut dipertikaikan oleh DAP atau seumpamanya dalam Pakatan Rakyat, saya yakin dan percaya bahawa bukan setakat mufti dan para ulama UMNO sahaja yang mengutuk serta memberikan kenyataan yang menunjukkan seolah-olah mereka adalah pejuang agama yang tulin malah seluruh menteri Islam, cina dan india juga turut membantah kenyataan yang dibuat oleh DAP tersebut!!
Bukan sikap sedemikian juga tergolong dalam mempolitikkan agama? Bila isu agama yang terkena keatas batang hidung mereka sendiri, mereka diam seribu bahasa. Bila ada kenyataan yang nampak bercanggah dari Pakatan Rakyat, tidak hanya sekadar Majlis Fatwa Kebangsaan diminta bersidang untuk mengeluarkan fatwa berkaitan perkara tersebut malah UMNO turut mengheret institusi Raja untuk campur tangan.
Adakah pengharaman judi ini memerlukan satu fatwa khusus barulah UMNO dan konco-konconya akan bangkit mengatakan bahawa judi itu haram? Tidakkah sudah memadai dengan firman Allah Taala dalam Surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:
Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
UMNO seolah-olah tersepit diantara kemahuan politik dan isu agama. Jika mereka menyokong tindakan pengharaman judi yang dibuat Kerajaan Kelantan, mereka akan kehilangan sokongan MCA. Jika mereka menyokong bantahan yang dibuat MCA, mereka akan akan kehilangan sokongan orang Islam dan dakwaan bahawa mereka adalah pejuang Islam yang sebenar.
Ini adalah isu kedua yang telah ditimbulkan oleh Chua Soi Lek selepas isu bersalaman calon PAS Cikgu Normala semasa PRK Tenang dahulu. Dan UMNO masih berdiam tidak berkutik walau sedikit.
Kesimpulannya, dimanakah para ulama UMNO dan apakah hujah mereka??!!
No comments:
Post a Comment