Dunia sekarang ini dilanda satu fenomena ‘penggulingan kerajaan’. Bermulanya dari revolusi rakyat menjatuhkan Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali seterusnya merebak ke Mesir yang menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak. Sekarang ini rakyat Yaman bangkit untuk menjatuhkan Presiden Ali Abdullah Saleh dan di Libya untuk menjatuhkan Presiden Muamar Ghaddafi.
Pelbagai pandangan dan pendapat diberikan oleh pelbagai pihak mengenai revolusi tersebut sama ada dari ahli ulama Islam, negarawan, pemerhati politik dan rakyat biasa. Perbincangannya di tv, dada akhbar, internet sehinggalah perdebatan hangat di kedai-kedai kopi.
Setelah meneliti dan berbincang dengan beberapa sahabat, timbul juga sedikit persoalan dalam benak fikiran saya ini. Adakah revolusi rakyat yang sedang melanda dunia sekarang ini merupakan satu revolusi untuk mencari kebenaran demi menegakkan Islam atau sekadar untuk memenuhi agenda-agenda golongan tertentu sahaja?
Ini adalah kerana, revolusi rakyat yang berlaku sekarang ini hanya berlaku di negara-negara rakyat Islam sahaja. Tidak nampak pun ada cetusan sebegitu di negara-negara bukan Islam yang mengamalkan prinsip kapitalis mahupun komunis. Bukan apa, saya yakin dan percaya bahawa para pendokong perjuangan Islam tidak mahu revolusi rakyat ini merupakan cetusan dari pihak-pihak tertentu yang ingin melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’ terhadap negara umat Islam. Kita pastinya tidak mahu negara-negara tersebut menerima nasib seperti Iraq dan Afganistan. Sehingga sekarang negara tersebut tidak dapat pulih seperti sediakala walaupun dikatakan pemerintah dahulu adalah orang yang zalim setelah campur tangan kuasa asing seperti Amerika dan NATO.
Sebelum terjadi revolusi tersebut pun negara umat Islam terutamanya negara arab tidak pernah bersatu dalam menangani isu-isu yang melibatkan umat Islam. Kalaulah negara-negara arab boleh bersatu, nescaya Palestin dan Baitul Maqdis sudah lama dapat dibebaskan dari penjajahan zionis. Apatah lagi setelah berlakunya revolusi sebegini, saya parcaya kesatuan umat akan lagi menjadi suatu impian yang amat sukar untuk dicapai.
Saya bukanlah ingin menongkah arus dalam memberikan pendapat mengenai isu ini. Namun sekadar pandangan dari pemerhatian yang telah menimbulkan kegusaran dihati ini. Mungkin orang lain mempunyai pandangan berbeza dengan saya, tapi itulah hak kita yang bebas untuk berpandangan dan berpendapat asalkan ianya mempunyai landasan yang betul untuk membuat suatu kesimpulan.
No comments:
Post a Comment