hasbunallah

hasbunallah

Sunday, July 10, 2011

BERSIH 2.0 : Kebenaran dan Pembohongan


Semalam telah berlalu dengan jayanya Himpunan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya yang lebih bersih dan adil daripada pihak kerajaan yang memerintah. Walaupun berlaku banyak halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihak pengajur dan juga peserta himpunan tersebut, tetapi ianya tidak mematahkan semangat untuk melihat Malaysia Negara yang kita cinta ini ditadbir oleh para pemimpin yang adil dan telus.

Namun begitu, pelbagai pandangan dilontarkan mengenai perkara ini sama ada yang menyokong Himpunan Bersih tersebut dan tidak kurang juga yang menentangnya dengan berbagai-bagai alasan serta hujah. Antara hujah mereka ialah:-

1.      Kenapa perlu mengadakan demonstrasi jalanan?
Mereka tegaskan kenapa ianya tidak diselesaikan dimeja rundingan sahaja tanpa perlu kepada tunjuk perasaan begitu? Telah banyak kali rundingan dengan pihak terbabit terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai 8 tuntutan BERSIH tersebut. Namun ianya tidak diendahkah oleh SPR. Kecacatan proses pilhan raya yang diajukan oleh BERSIH bukanlah omongan kosong semata-mata. Malah ianya turut dikemukakan dengan bukti-bukti kukuh.
Malah, Himpunan BERSIH tersebut bukanlah satu demonstrasi jalanan yang sebagaimana yang dihebohkan oleh UMNO/BN serta media. Tetapi ia hanya satu himpunan rakyat semata-mata untuk menyerahkan memorandum kepada YDPA.

2.       Sekiranya SPR tidak adil, kenapa pihak pembangkang dapat memerintah 5 negeri?
Negeri yang diperintah pembangkang adalah bukan isunya di sini. Cuba perhatikan 8 tuntutan yang dikemukakan BERSIH:-

                    i.            Bersihkan senarai undi
Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal. Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

                 ii.            Mereformasikan undi pos

SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi. Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi. Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

               iii.            Gunakan dakwat kekal
Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

               iv.            Masa kempen minima 21 hari
 Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja. Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

                 v.             Akses media yang bebas dan adil
RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding. Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

               vi.             Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia

            vii.             Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.


          viii.            Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor

Adakah kesemua 8 tuntutan BERSIH tersebut memihak dan menguntungkan pihak pembangkang semata-mata? Bila pihak kerajaan menolak perkara tersebut, maka timbul perasaan curiga kenapa ianya ditolak? Pasti ada sebab, dan adakah ianya berkaitan dengan pembangkang semata-mata? Cuba fikirkan.

3.      Kenapa tidak dibuat di stadium sahaja?

UMNO/BN sentiasa berdolak dalik dalam perkara ini. Pada mulanya mereka sendiri yang mencadangkan supaya himpunan tersebut diadakan di stadium sahaja dan mereka akan benarkan kalau ‘nak melalak sampai pagi pun’.
Tapi setelah ajk pemandu BERSIH mengadap YDPA, himpunan tersebut telah di pindahkan ke Stadium Merdeka sebagai mematuhi titah YDPA. Namun pihak-pihak yang berkenaan dengan pelbagai alas an dan karenah tetap menghalang dan cuba untuk menggalkan himpunan tersebut. Sekarang, siapakah sebenarnya yang menderhakai YDPA?

4.      Himpunan BERSIH hanya topeng politik pembangkang sahaja.

Secara realitinya cuba perhatikan ahli jawatankuasa pemandu BERSIH. Ianya diketuai oleh Datuk S. Ambiga serta turut dianggotai oleh sasterawan Negara Datuk A.Samad Said dan turut disokong oleh sejumlah NGO yang mahukan pilihan raya yang lebih adil dan telus di Malaysia ini.
Namun tindakan kerajaan menggunakan pihak polis serta FRU dalam menyuraikan himpunan aman tersebut dilihat sebagai satu tindakan yang amat tidak wajar sekali. Pihak media kerajaan menayangkan bahawa tindakan polis dan FRU dalam menyuraikan penunjuk perasaan adalah tepat kerana peserta himpunan tersebut telah membuat provokasi terhadap pihak polis dan mengganggu ketenteraman awam.
Malah pihak polis bertegas bahawa mereka tidak melepaskan gas pemedih mata kearah peserta himpunan tersebut. Ironinya, clip video yang di uploadkan ke youtube menyatakan sebaliknya. Kenapa perlukan pembohongan tersebut? Pihak polis sepatutnya mengawal himpunan tersebut dan bukannya membuat provokasi. Kemudian menunding jari kearah peserta himpunan tersebut yang kononnya pencetus provokasi. Walaupun pihak polis dan FRU adalah penegak undang-undang, namun mereka juga terikat dengan undang-undang. Mereka tidak boleh sesuka hati bertindak diluar perikemanusiaan seolah-olah hanya mereka yang betul. Sebagaimana kenyataan Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat:  Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah SWT. Kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah SWT nanti.

5.      Kenapa Ambiga?
Orang Islam terutamanya mempertikaikan Himpunan BERSIH tersebut kerana ianya diketuai oleh Ambiga yang dikatakan sebagai sedangkan beliau adalah seorang yang disifatkan anti Islam berdasarkan rekodnya yang tersebar, sebahagiannya benar, manakala sebahagian lagi adalah bohong dan fitnah. Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz telah menjawab dalam blognya sebagaimana berikut:-
Pertama, Bolehkah kita berketuakan seorang non muslim? Ini soalan yang jawabannya agak mudah, cuma mudah juga untuk dikelirukan oleh pengeliru yang suka menyusahkan dan menjalani hidup hipokrit.

Untuk institusi dan kumpulan kehidupan sosial, samada dalam masyarakat Islam yang majoriti atau sebaliknya, Islam tidak pernah melarang berketuakan seorang non muslim, lelaki atau perempuan, jika institusi dan kumpulan itu bertujuan baik dan tidak bercanggah dengan agama. Itu dapat dilihat melalui ‘ijmak’ ulama masa kini yang membiarkan penglibatan umat Islam di dalam pelbagai pertubuhan sosial yang bertujuan membina kehidupan manusia yang lebih baik.

Contoh terbaik adalah pertubuhan peringkat antarabangsa seperti PBB. Ia selalunya diketuai non muslim dan tujuannya baik walaupun sering tunduk kepada kekuasaan yang acap kali memusuhi Islam seperti Amerika. Tiada fatwa yang mengharamkan negara-negara Islam – sedangkan mereka adalah ketua-ketua umat Islam – menganggotainya. Jika begitu, anda bolehlah kiaskan secara mudah betapa pertubuhan-pertubuhan yang lebih kecil adalah lebih layak dan syar’ie bagi umat Islam untuk menyertainya.

Maka, pada asasnya, penyertaan PAS di dalam BERSIH 2.0 yang diketuai seorang non muslim adalah harus kerana tujuannya yang murni, malah merupakan tunjang kehadiran Islam di muka bumi, iaitu menegakkan keadilan dan kebebasan hidup.

Adapun untuk sebuah negara, berketuakan non muslim dalam sebuah negara yang umat Islam Islam memiliki kekuatan untuk melantik dan memilih seorang muslim sebagai ketuanya adalah tidak harus. Ini kerana adalah mustahil seorang non muslim akan memandu negara tersebut untuk patuh tunduk kepada syariat Islam di dalam bernegara.

Sebaliknya, jika umat Islam tiada memiliki kekuatan tersebut, seperti memiliki jumlah minoriti, maka berketuakan non muslim adalah harus selagi mereka bebas menjalani hak mereka sebagai seorang muslim. Contoh mudah ialah kerajaan nabi Yusuf alaihissalam. Baginda adalah menteri kepada kerajaan yang kufur. Ada beberapa persoalan mungkin timbul, saya ketepikan dulu untuk memberi laluan kepada topik asal perbincangan.

Kedua, bagaimana jika ketua itu anti Islam? Ada beberapa keadaan. Pertama, jika pertubuhan itu bermaksud anti Islam, maka jelas haram menyertainya. Jika tidak, bahkan untuk turut menyokong matlamat Islam, maka hukum adalah sebaliknya. Kedua, jika ketuanya anti Islam dan secara jelas dilihat begitu, maka hendaklah dilihat kesan baik dan buruknya. Jika keburukan mendahului atau sama atau ditakuti buruknya, maka hukumnya tidak harus. Ini soal ijtihadiah dalam siyasah syar’ieyah.

Lihat juga perbahasan ulama dan fatwa mereka dalam penyertaan umat Islam di dalam pertubuhan-pertubuhan tajaan zionis misalnya. Walaupun zahirnya kelihatan baik, tetapi keraguan adalah besar disebabkan matlamat zionis terhadap Islam adalah jelas, apatah jika ketua pertubuhan tersebut dilihat pro zionis.

Adapun jika ketua tersebut dilihat anti Islam kerana beberapa tindakannya yang menunjuki demikian, maka ia bergantung kepada matlamat pertubuhan tersebut dan perjalanannya, bukan pada ketuanya. Semua bukan Islam adalah biasa dan natural jika beberapa tindakannya dilihat bercanggah atau memusuhi Islam. Jika tidak, terbantutlah kehidupan yang dicanang agama Islam yang sejagat agar Islam menghubungkan sesama manusia, bukan memutuskan! Islam dengan itu akan hanya relevan dalam masyarakat Islam sahaja, bukan masyarakat manusia dan dunia seluruhnya.

Sebagai kesimpulannya, walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan himpunan tersebut namun ianya telah membuka mata pihak tertentu mengenai keperluan untuk meneliti 8 tuntjtan yang dikemukakan BERSIH. Adakah kita ingin wariskan Negara kita ini kepada anak cucu kita nanti sebuah Negara yang dipimpin serta ditadbir oleh sekumpulan pemimpin yang korup yang dipilih melalui sistem yang penuh kecacatan dan pembohongan.  

No comments: