Saya agak terkejut dengan kenyataan Ketua
Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar bahawa Himpunan Bersih 3.0 mengandungi unsur-unsur
cubaan untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia sebagaimana yang berlaku di Mesir dan
Tunisia. Apatah lagi kenyataan berasingan yang dikeluarkan oleh mantan Perdana
Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang juga menggambarkan bahawa
himpunan tersebut adalah bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada.
Saya percaya bahawa kenyataan liar yang penuh
prasangka sebegini dikeluarkan tanpa pertimbangan dan siasatan yang sewajarnya.
Malah kenyataan ini dibuat secara melulu bagi mempertahanankan kesalahan
kerajaan, menjustifikasikan tindakan-tindakan ganas pihak polis terhadap
peserta Bersih 3.0 dan yang penting adalah untuk memberikan pandangan yang
salah bahawa Bersih 3.0 adalah ganas.
Cuba kita soroti perjalanan Bersih 3.0
tersebut sebelum membuat sebarang kesimpulan yang melulu. Tujuan himpunan
tersebut diadakan adalah untuk menuntut 8 perkara bagi menjamin proses pilihan
raya Malaysia adil dan telus. Jika diteliti 8 tuntutan tersebut, ia sebenarnya
tidak menguntungkan mana-mana pihak pun sama ada pihak kerajaan ataupun
pembangkang. Malah ia memberikan keadilan bagi semua pihak yang mengambil
bahagian dalam proses pilihan raya. Barulah nyata keadilannya apabila
perlawanan diadakan diatas padang yang sama rata.
Malah cara bantahan Bersih 3.0 tersebut
hanyalah BERHIMPUN dan DUDUK sahaja. Semua peserta datang dengan bersantai
tanpa sebarang senjata. Malah ada yang datang bersama anak-anak dan ahli
keluarga. Ini adalah tujuan yang jelas dan bukti yang nyata bahawa himpunan
tersebut bukanlah berniat untuk menggulingkan kerajaan mahupun ingin bertindak
ganas.
Sekiranya himpunan Bersih 3.0 tersebut diadakan
untuk menggulingkan kerajaan yang memerintah, nescaya himpunan tersebut tidak
akan dibuat di Dataran Merdeka. Jika niatnya untuk menggulingkan kerajaan,
sudah pasti himpunan tersebut akan dibuat di Putrajaya selaku pusat pentadbiran
Kerajaan Persekutuan. Malah, Bersih 3.0 tidak akan membuat permohonan kepada
DBKL untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan!
Kalau niat Bersih 3.0 untuk menggulingkan
kerajaan, sudah pasti peserta yang hadir akan membawa senjata-senjata tertentu
sekurang-kurangnya pistol. Logikkah himpunan tersebut bertujuan untuk
menggulingkan kerajaan sedangkan perserta himpunan semuanya tidak bersenjata?
Kalau benar Bersih 3.0 bertujuan untuk
menggulingkan kerajaan, maka polis yang bertugas pada hari tersebut adalah
tidak akan mampu untuk mengatasi kekuatan peserta Bersih yang lebih ramai dari
anggota polis tersebut. Sudah pasti ramai anggota polis yang mati dan cedera
akibat rusuhan peserta Bersih 3.0. Dan hakikat tidak pun berlaku demikian.
Dan yang terbaru, Majlis Fatwa Kebangsaan
telah mengeluarkan fatwa mengenai himpunan yang merosakkan harta dan nyawa
dengan mengaitkan Bersih 3.0. Tanpa mengurangkan rasa hormatnya saya kepada
para mufti dan ulama yang terlibat dalam pengeluaran fatwa tersebut, saya yakin
bahawa anggota majlis tersebut tidak mendapat maklumat atau gambaran yang jelas
dan adil mengenai Bersih 3.0 sebelum mereka mengeluarkan fatwa tersebut.
Banyak gambar dan video yang tersebar boleh
menceritakan segala-galanya mengenai Bersih 3.0 tersebut. Maka teliti
seadil-adilnya sebelum membuat kenyataan kerana kenyataan tersebut akan
menggambarkan siapa kita dan siapa orang lain.
4 comments:
Fikir itu pelita hati; mencerahkan jiwa, memurnikan sikap.
Jika berfikir jangan fikir sebelit, kerana itu punca diri terbelit
Dalam maksud ayat Tuan tu.
Kata seorang cendekia Inggeris: Education has produced vast population able to read but unable to distinguish what is worth reading.
Post a Comment