hasbunallah

hasbunallah

Thursday, May 16, 2013

SPR : Menelan Ludah Sendiri


Dalam banyak-banyak akta dan peraturan di Malaysia, Akta dan Peraturan Pilihan Raya adalah antara yang selalu dan kerap serta banyak kali di pinda dengan alasan untuk memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan untuk menunjukkan ketelusannya kepada rakyat Malaysia. 
  

Banyak peraturan yang dibuat tetapi SPR sendiri tidak dapat mencapai maksud dan kehendak peraturan tersebut. Bahkan, kenyataan yang dikeluarkan oleh SPR berkaitan sesuatu isu yang diutarakan menampakkan lagi kepincangan yang tidak boleh diterima.

Ada juga Ketua Tempat Mengundi (KTM) yang tidak tahu Akta dan Peraturan Pilihan Raya menyebabkan keputusan yang dibuatnya bercanggah dengan peruntukan yang diagungkan oleh SPR sendiri. Contohnya ada KTM yang hanya membenarkan seorang ejen tempat mengundi (ETM) sahaja yang masuk bagi setiap parti. Sedangkan peruntukan Peraturan 15(4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 menyatakan bahawa:
Tidak lebih daripada seorang ejen tempat mengundi bagi setiap calon boleh dibenarkan masuk pada suatu masa ke mana-mana tempat mengundi semasa pengundian dijalankan.

Malah, pertemuan wakil-wakil parti dengan Bhg. Dato' Haji Noordin Che Ngah [Timbalan Setiausaha (Pilihan Raya) SPR telah menyatakan bahawa ETM adalah mewakili calon bukannya parti. Ini menunjukkan KTM sendiri tidak memahami peraturan SPR dalam mengendalikan proses pengundian.

Manakala kesilapan SPR dalam mendaftarkan nama pengundi pos yang bertindih di Parlimen Pasir Mas menambahkan lagi kesangsian masyarakat terhadap SPR. Walaupun SPR sering mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan perkara-perkara tersebut, namun ‘kesilapan’ tersebut masih terus berlaku. 

Ramai Ketua Tempat Mengundi (KTM) yang menjadi ketua saluran pengundian tidak memahami peraturan dan undang-undang sehinggakan ada yang enggan menyerahkan Borang 13 dan 14 kepada EMU calon yang bertugas ketika itu. KTM akan mengarahkan satu salinan BORANG 14 (Borang Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) kepada EMU yang hadir. [Subperaturan 25(21)(b)(ii) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981].

Isu yang paling ketara sekali adalah penggunaan dakwat kekal oleh SPR. Dalam beberapa pertemuan dengan SPR, saya diberitahu dakwat tersebut akan kekal paling kurang 3 hari selepas ia dicalt pada jari. Namun begitu, pengalaman saya sendiri dan orang lain menunjukkan bahawa dakwat tersebut tidak tahan atau tidak kekal. Jika dibasuh ia boleh tanggal dengan mudah. Malah jika dibandingkan dengan dakwat printer biasa, dakwat printer lebih kekal dan susah untuk tanggal walaupun dibasuh.

Apabila kenyataan demi kenyataan serta laporan polis dibuat berkaitan perkara tersebut, pihak SPR tampil menafikan. Bagaimana saya ingin menaruh kepercayaan pada SPR bila bukti yang jelas berlaku depan mata dan bersalahan dengan kenyataan SPR sendiri.