hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, March 5, 2014

Pencerahan Buat Kassim Ahmad (Bahagian II)

Ini adalah sambungan pencerahan saya terhadap teks ucapan Kassim Ahmad sempena Seminar Pemikiran Dr. Kassim Ahmad yang dianjurkan oleh Yayasan Pemikiran Perdana pada 15 dan 16 Februari 2014 di Putrajaya.

 4. Mendewakan Rasulullah saw

Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8] Juga di kebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut nama Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut ‘alihissalam’. Pada hal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin juga dalam Quran. [9] Juga perkataan ‘salla/yusalli’ bermakna ‘restu’, ‘bantu’ dan ‘sokong’, bukan selawat, seperti yang dibuat sekarang.

Saya pasti bahawa ucapan yang dibuat Kassim Ahmad tersebut dengan penuh sedar tanpa paksaan serta tidak dalam keadaan mabuk. Adalah besar impaknya apabila mempertikaikan dua kalimah syahadah iaitu kalimah yang menjadi sempadan antara iman dan kufur.
Kassim Ahmad menyatakan dalam nota kakinya bahawa ayat 1 surah al-Munafiqun telah membatalkan syahadah yang kedua. Ianya bermaksud syahadah kedua itu tidak perlu dan memadai dengan syahadah yang pertama sahaja.

1.  Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: "Kami mengakui, bahwa Sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah". dan Allah mengetahui bahwa Sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya; dan Allah mengetahui bahwa Sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta.

Beginilah jadinya bila ayat al-Quran ditafsirkan sesuka hati tanpa ilmu usul tafsir dan ilmu-ilmu yang bersangkutan dengannya. Kassim Ahmad sekadar membaca terjemahan al-Quran dan terus membuat kesimpulan membuta tuli sehingga tersasar jauh dari kehendak asal. Sepatutnya Kassim Ahmad merujuk kepada asbab nuzul ayat 1 surah al-Munafiqun tersebut sebelum membuat kesimpulan agar tidak sesat.

Imam Jalaluddin as-Suyuti menyebut dalam kitabnya Lubabun Nuqul fil Asbabin Nuzul  meriwayatkan sebab turun ayat tersebut bahawa Zaid bin Arqam mendengar Abdullah bin Ubay berkata kepada teman-temannya : ” Kalian semua jangan memberi nafkah kepada orang-orang yang hampir dengan Rasulullah sebelum mereka meninggalkan agama mereka. Apabila kita pulang ke Madinah kelak, pasti orang yang mulia akan mengusir orang yang hina dari kota itu.”   

Kemudian, kejadian ini diterangkan kepada bapa saudaranya dan bapa saudaranya memberitahu akan perkara ini kepada Rasulullah. Rasulullah memanggil Zaid bin Arqam untuk menerangkan kejadian itu kepadanya. Kemudian Rasulullah memanggil Abdullah bin Ubay bersama kawan-kawannya. Akan tetapi mereka bersumpah di hadapan Rasulullah bahawa mereka tidak berkata demikian. Sesungguhnya Rasulullah tidak percaya kepada Zaid bin Arqam, malahan Baginda lebihpercaya kepada Abdullah bin Ubay. Oleh kerana itu, Zaid merasa terlalu sedih kerana dia belum pernah mendapat musibah seperti itu. Maka dia berdiam diri di rumah dan tidak mahu keluar. Bapa saudaranya berkata: ”Aku tidak bermaksud untuk membuat Rasulullah membenci dan tidak mempercayaimu.”

Maka Allah menurunkan ayat 1 surah al-Munafiqun sebagai penjelasan bahawa kaum munafik berdusta dan membenarkan ucapan Zaid bin Arqam. Kemudian Rasulullah mengutuskan seorang utusan kepada Zaid bin Arqam untuk membacakan ayat-ayat itu dengan penjelasan bahawa: ”Sesungguhnya Allah telah membenarkan ucapannya.”  (Riwayat al-Bukhari)[1]

Lihatlah betapa jauh tersasar tafsiran dan kefahaman Kassim Ahmad mengenai ayat tersebut. Padahal Allah swt menceritakan kisah penipuan Abdullah bin Ubay dan kawan-kawannya di hadapan Rasulullah saw dan Allah mengetahui penipuan tersebut. Ianya sama sekali tidak boleh diqiaskan dengan syahadah kedua dan fahaman tersebut adalah salah.

Saya tidak pasti sama ada Kassim Ahmad mempercayai dan beriman dengan Rasulullah saw sehingga beliau sanggup mengatakan bahawa tidak perlukan syahadah kedua tersebut. Jika beliau beriman dengan Rasulullah, maka beliau wajib mempercayai dan mengikuti apa sahaja yang yang dibawa oleh Rasulullah. Tidakkah beliau membaca firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 31:

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah swt yang mengarahkan Rasulullah supaya berkata demikian. Maka jika sesiapa yang tidak mengikuti Rasulullah, maka dia tidak mencintai Allah swt. Sedangkan syahadatain itu thabit dengan hadis Rasulullah saw.

عن أبي عبد الرحمن عبد الله بن عمر بن الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله وسلم يَقُوْلُ : بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ وَإِقَامُ الصَّلاَةِ وَإِيْتَاءُ الزَّكَاةِ وَحَجُّ الْبَيْتِ وَصَوْمُ رَمَضَانَ. )رواه الترمذي ومسلم(
Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar bin Khathab"Islam didirikan diatas lima perkara yaitu bersaksi bahwa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan shalat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan berpuasa pada bulan ramadhan". [2]

Apabila mengingkari terdapatnya syahadah kedua tersebut, maka ianya tidak memenuhi rukun Islam tersebut. Sedangkan syahadatain itu  adalah perkataan yang membezakan antara Islam dan kufur. Sekiranya tidak mengucap syahadatain, maka seseorang tersebut tidak boleh dikatakan sebagai Muslim.

Syahadah adalah satu pengakuan yang dilahirkan oleh perkataan yang terbit dari keyakinan hati, keyakinan yang dikasilkan dari ilmu pengetahuan. Dan maksud dari syahadah ialah pengakuan keimanan kepada Allah dan RasulNya. Syahadah ini adalah sendi atau rukun pertama dari yang lainnya. Sekiranya tidak ada syahadah ini sebagai tanda keimanan maka tidaklah ada Islam itu sama sekali, tidaklah ada ertinya solat dan lainnya.[3]

Adalah satu kesilapan besar apabila Kassim Ahmad mengatakan bahawa umat Islam mendewa-dewakan Rasulullah saw apabila meletakkan nama Rasulullah itu sebaris dengan nama Allah swt. Adakah Kassim Ahmad hendak mengatakan bahawa umat Islam menyembah Rasulullah saw? Begitu sekalikah pemikiran seorang yang bernama Kassim Ahmad?

Tidakkah Kassim Ahmad pernah membaca ayat 24 dari surah at-Taubah mengenai firman Allah swt:


Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan Keputusan NYA". dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Allah swt telah memberikan amaran kepada sesiapa yang mencintai sesuatu yang lain melebihi cinta dan kasihnya kepada Allah dan RasulNya, maka tunggulah azab Allah swt keatas mereka. Cukuplah ancaman dan balasan ini menjadi peringatan, dalil yang jelas dan hujjah yang kuat bagi menunjukkan thabitnya kewajipan mengasihi Rasulullah saw, membesarkan kedudukan Baginda dan tuntutan melaksanakan hak mengasihinya dengan sempurna.[4]

Itulah bukti bahawa Rasulullah saw mempunyai tempat atau martabat yang mulia dan utama berbanding makhluk lain disisi Allah swt. Para ulama telah ijma’ bahawa keutamaan Rasulullah saw diatas sekalian makhluk termasuklah malaikat[5]. Malah para Nabi a.s yang lain adalah mengikuti Rasulullah saw dalam hal keutamaan dan darjat. Maka martabat mereka itu adalah sesudah martabat Nabi kita Muhammad saw[6]. Bahkan Syeikh Ibn Taimiyah telah menyebut dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra satu riwayat bahawa:-
ان الله كتب إسمه أي النبي صلى الله عليه وآله وسلم على العرش وعلى ما في الجنة من الأبواب والقباب والأوراق

Sesungguhnya Allah swt telah menulis namanya (Nabi Muhammad saw) pada Arasy dan pada pintu-pintu syurga, juga pada kubah-kubahnya dan dalam perlbagai lembaran kertas yang ada di dalamnya[7].

Telah disebutkan bahawa Jibril a.s pernah berkata bahawa:
قلبت مشارق الأرض ومغاربـها فلم أر رجلا أفضل من محمد ولم أر بنـي أب أفضل من بنـي هاشم.
Aku membolak-balikkan bumi timur dan baratnya. Tetapi aku tidak menemukan seseorang yang lebih utama daripada Muhammad saw dan aku pun tidak melihat keturunan yang lebih utama daripada keturunan Bani Hasyim (H.R alBaihaqi, Abu Nuaim dan at-Thabarani dari Siti Aisyah r.a)[8]
    
Sekiranya Kassim Ahmad benar-benar beriman dengan al-Quran yang diturunkan Allah swt, tidakkah beliau pernah membaca firman Allah swt dalam surah an-Nisa ayat 59:
  
Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Ayat diatas merupakan arahan yang jelas daripada Allah swt supaya mentaatiNya dan mentaati Rasul yang diutuskanNya. Jika manusia berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalilah atau rujuklah kepada Allah iaitu kitabNya dan Rasul iaitu sunnahnya. Adakah Kassim Ahmad mengingkari arahan Allah swt yang terdapat dalam al-Quran tersebut ataupun beliau tidak memahami maksud ayat tersebut sebelum mengeluarkan kata-kata yang jelas bercanggah dengan arahan Allah swt. Tidakkah Kassim Ahmad tertanya-tanya kenapa Allah swt mengulangi kalimah أطيعوا   dalam ayat tersebut tanpa mempunyai maksud tertentu? Para mufassirin menyatakan bahawa pengulangan kalimah tersebut menunjukkan bahawa ketaatan kepada Allah swt dan Rasulullah itu bersifat mutlaq.   

Seterusnya Kassim Ahmad mempertikaikan kenapa apabila disebut Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam dan bukan Alaihissalam sebagaimana digabungkan apabila menyebut nama nabi yang lain. Beliau seterusnya berdalilkan ayat 43 surah al-Ahzab:

Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikat-Nya (memohonkan ampunan untukmu), supaya dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). dan adalah dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.

Kassim Ahmad bersungguh-sungguh mengajak manusia supaya kembali kepada al-Quran yang sebenar tetapi beliau sendiri rupanya telah tersasar jauh dari kehendak ayat al-Quran. Beliau yang tidak mempunyai asas bahasa arab bercakap dan menghuraikan ayat al-Quran yang berbahasa arab. Padahal ayat al-Quran itu bukanlah boleh diterjemah secara harfiah atau kalimah semata-mata tanpa melihat kepada keseluruhan ayat. Tidakkah beliau pernah membaca ayat 56 surah al-Ahzab:

56.  Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi[1229]. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya[1230].

Tidakkah dalam ayat diatas menjelaskan bahawa Allah swt dan para malaikat telah berselawat keatas Nabi dan Allah swt sendiri memerintahkan kita berselawat keatas nabi. Adakah Kassim Ahmad memahami apa maksud:
صلى الله عليه وسلم
Ianya bermaksud bahawa selawat dan salam Allah swt keatasnya iaitu Rasulullah. Kenapa perlu mengucapkan demikian apabila disebut nama Baginda Rasulullah? Ianya adalah kerana mengambil sempena intisari firman Allah swt dalam surah Ahzab ayat 56 tersebut. Sebuah hadis dari Ali bin Abi Thalib bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
البخيل الذي من ذكرت عنده فلم يصل علي (رواه الترمذى)
Sebakhil-bakhil manusia ialah apabila disebut namaku kepadanya, ia tidak mahu berselawat kepadaku. (Riwayat at-Tirmizi)[9]

Hadis diatas merupakan satu peringatan kepada sesiapa sahaja yang tidak mahu atau enggan berselawat keatas Rasulullah saw apabila disebutkan nama Baginda. Bahkan banyak hadis yang menunjukkan keutamaan berselawat kepada Baginda Rasulullah saw. Antaranya ialah Rasulullah saw telah bersabda:
من صلى علي واحدة صلى الله عليه عشر صلوات وحط عنه عشر خطيئات.(رواه النسائ)
Sesiapa yang berselawat atasku sekali, maka Allah akan menurunkan sepuluh rahmat kepadanya dan menghapuskan sepuluh kesalahannya.[10]

Dalam hadis lain, Rasulullah saw telah bersabda:
من صلى علي في اليوم مائة مرة قضى الله له مائة حاجة سبعين منها في الأخرة وثلاثين في الدنيا.
 Sesiapa yang berselawat ke atasku seratus kali sehari, maka Allah akan memenuhi seratus hajatnya. 70 di antaranya nanti di akhirat dan 30 di dunia.[11]

Jadi tidak ada sebab kenapa Kassim Ahmad mempertikaikan selawat keatas Rasulullah saw kecuali beliau pada hakikatnya beliau menafikan kerasulan Nabi Muhammad saw.

InsyaAllah bersambung ke bahagian seterusnya..


[1] As-Suyuti, Imam Jalaluddin, Lubabun Nuqul fil Asbabun Nuzul. Victory Agencie, Kuala Lumpur. 2004, muka surat 803.
[2] Mustafa Abdul Rahman, Hadis Empat Puluh: Terjemahan dan Syarahnya. Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam. 2005, muka surat : 119.

[3] Ibid, muka surat 123.
[4] Imam al-Qadhi Iyadh al-Maliki, Kewajipan Mencintai & Memuliakan Rasulullah SAW. Sofa Production. 2011, muka surat 3.
[5] Al-Laqqoni, Ibrahim, Jauharah at-Tauhid. Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur. 2000, muka surat: 329.
[6] Ibid. muka surat :334
[7] Al-Hasani, Prof. Dr. Muhammad bin Alawi al-Maliki, Meluruskan Kesalahfahaman. Rosdakarya, Bandung. 2011, muka surat : 218.
[8] Ibid, muka surat: 239.
[9] Riwayat at-Tirmizi, hadis no: 3469
[10] Muhadir Bin Haji Joll, Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’. Mawlee Publishing, Selangor. 2011, muka surat 550.

[11] Ibid. 

Tuesday, March 4, 2014

Pencerahan Buat Kassim Ahmad (Bahagian I)

Setelah membaca teks ucapan Kassim Ahmad sempena Seminar Pemikiran Dr. Kassim Ahmad yang dianjurkan oleh Yayasan Pemikiran Perdana pada 15 dan 16 Februari 2014 di Putrajaya membuatkan saya terpanggil untuk membuat sedikit pemurnian terhadap pemikiran idealist tersebut.

Agak terlalu sukar untuk membuat penjelasan kepada Kassim Ahmad menggunakan hujah hadis dan pandangan ulama Islam muktabar kerana beliau mempunyai pandangan yang skeptik terhadap kedua-dua sumber tersebut. Sedangkan dalam ajaran Islam, hadis dan pandangan ulama muktabar merupakan dua sumber rujukan perundangan dan hukum. Namun begitu, memadailah sekiranya tulisan saya ini boleh memberikan pencerahan terhadap kegelapan akal pandangan orang-orang yang mula berjinak atau terpengaruh dengan ’pemikiran’ modernis Kassim Ahmad tersebut.

Kesilapan terbesar Kassim Ahmad ialah merasai dirinya tahu dan pandai dalam bab agama terutama dalam menafsirkan ayat al-Quran. Sedangkan beliau tidak mempunyai pendidikan berasaskan agama apatah lagi pengajian bahasa arab yang menjadi tunjang utama untuk memahami firman Allah swt Yang Maha Suci dari segela sesuatu.

Saya ingin menyentuh beberapa perenggan daripada teks ucapan tersebut dengan sedikit penjelasan dan pencerahan agar orang yang terpengaruh dengan pemikiran Kassim Ahmad tersebut boleh menilai dengan akal yang sejahtera dan hati yang terbuka.

1. Kesalahfahaman Terhadap Hudud

Kassim Ahmad menyatakan bahawa ’konsep “sempadan Allah”, atau apa yang disalah-ertikan sebagai “hukum hudud”. Konsep ini langsung tidak ada kena-mengena dengan hukuman.’

Nampaknya beliau tidak memahami konsep pahala dan dosa dalam Islam. Sekiranya Allah mempunyai sempadan, adakah seseorang yang melanggar sempadan tersebut dikira bersalah atau tidak? Apa gunanya ada sempadan sekiranya sesiapa sahaja boleh melanggarnya sesuka hati kerana tidak dikira sebagai satu kesalahan. Bukankah pandangan atau pendapat tersebut terlalu dangkal? Nampaknya banyak lagi ayat al-Quran yang gagal difahami oleh beliau. Sedangkan beliau mencadangkan supaya al-Quran itu ditafsirkan semula secara bebas tanpa terikat dengan Hadis Rasulullah dan pandangan ulama. Adakah beliau tidak pernah membaca ayat firman Allah swt dalam surah an-Nisa’ ayat 14:

14.  Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya siksa yang menghinakan.

Allah swt sendiri menyatakan dalam al-Quran bahawa Dia akan memasukkan sesiapa yang melanggar ketentuan atau sempadanNya akan menyeksanya dalam neraka. Bukankah itu suatu hukuman yang telah ditetapkan Allah swt bagi sesiapa sahaja yang melanggar sempadanNya? Barangkali pengkajian Kassim Ahmad mengenai HUDUD masih belum sampai kepada ayat ini. Bukankah Kassim Ahmad sendiri menyatakan bahawa al-Quran itu sepatutnya ditafsirkan dengan al-Quran sendiri?

2. Menyamakan Ulama Dengan Paderi dan Kasta Hindu

Kassim Ahmad menyatakan bahawa ” Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran. Inilah kesilapan yang besar yang telah mereka lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi yang dipanggil ulama, seperti penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu.”

Allah swt telah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 7:


Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada Mengetahui.

Adakah Kassim Ahmad tahu siapakah Ahli Zikr itu? Jika saya kemukakan pandangan atau tafsiran ulama mengenai Ahli Zikr, tentu Kassim Ahmad atau orang yang mengikutinya tidak akan menerima hujah tersebut kerana mereka adalah golongan yang menolak pendapat ulama. Terlalu pelik jika kumpulan yang membawa slogan penafsiran semula al-Quran gagal untuk memahami kalimat dalam al-Quran?

Sekurang-kurangnya mereka boleh merujuk kamus dalam mencari erti atau makna Ahli Zikr tersebut agar fikiran mereka tidak tersasar. Bagaimana mereka ingin menafsirkan al-Quran tanpa panduan Hadis Nabawi dan pendapat ulama sedangkan syarat-syarat sebagai ahli tafsir pun mereka gagal memenuhinya. Al-Hafiz Imaduddin Ibn Kathir telah menafsirkan Ahli Zikr itu sebagai ulama.

Kassim Ahmad menyamakan ulama dengan paderi dan kasta Hindu adalah merupakan satu pemikiran yang jauh dari kebenaran. Ulama dalam Islam adalah orang yang diberikan ilmu oleh Allah swt dan Allah swt mengangkat martabat mereka sebagaimana firman Allah swt dalam surah al-Mujadalah ayat 11:


Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat.

Adalah suatu padangan yang salah apabila menyamakan ulama Islam dengan paderi dan kasta Hindu kerana Allah swt sendiri yang memperakui kelebihan ulama. Adakah mereka tidak membaca ayat ini atau mereka tidak memahami maksud ayat ini sewaktu membacanya?

Allah swt berfirman lagi dalam surah Fathir ayat 28:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama

Makin bertambah keraguan saya mengenai kredibiliti Kassim Ahmad dalam memahami al-Quran kerana padangan beliau mengenai kedudukan ulama adalah jauh tersasar dengan firman Allah swt. Sedangkan beliau sendiri yang menyeru agar penafsiran al-Quran itu tidak tertakluk kepada Hadis dan pandangan ulama tetapi memadai dengan ayat al-Quran itu sendiri. Namun Kassim Ahmad sendiri nampaknya telah gagal untuk memahami maksud harfiah kalimat a-Quran, apatah lagi untuk menafsirkannya.

Satu hadis nabi sebagai sokongan buat orang yang mahu mengambil pengajaran yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
إن مثل العلماء في الأرض كمثل النجوم يهتدى بـها في ظلمات البر والبحر فـإذا انطسمت النجوم أو شك أن تضل الـهداة. (رواه أحمد)
Sesungguhnya perumpamaan ulama di bumi ini adalah seperti bintang-bintang yang dijadikan petunjuk dalam kegelapan-kegelapan di darat dan di laut. Apabila bintang-bintang in lenyap di antara kegelapan-kegelapan tadi maka sudah tentu para penunjuk jalan akan dikhuatiri akan tersesat jauh.[1]

Saya percaya bahawa penjelasan ringkas ini boleh memberikan gambaran asas perbezaan ulama Islam dengan paderi dan kasta Hindu serta dapat menolak pandangan salah Kassim Ahmad tersebut.

3. Mendewa-dewakan ulama

Kassim Ahmad berkata ” Mereka mendewa-dewakan pemimpin ugama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka – apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’

Saya tidak pasti kepada siapakah Kassim Ahmad menujukan kata-kata tersebut kerana dalam Islam hanya Nabi dan Rasul sahaja yang maksum. Sekiranya ada golongan yang mengatakan bahawa ada orang lain selain Nabi dan Rasul juga maksum, maka ia telah terkeluar dari ajaran Islam. Atau Kassim Ahmad membuat andaian sendiri berdasarkan serkap jarang yang tidak mempunyai bukti yang kukuh di atas dakwaan tersebut? Allah swt telah berfirman dalam surah at-Taubah ayat 31:

31.  Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah[639] dan (juga mereka mempertuhankan) Al masih putera Maryam, padahal mereka Hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Adakah Kassim Ahmad memahami maksud ayat al-Quran di atas sehingga beliau menyamakan ulama dengan paderi ataupun kasta Hindu? Dalam ayat diatas, Allah swt menceritakan golongan manusia yang mematuhi ajaran-ajaran orang-orang alim dan rahib-rahib mereka dengan membabi buta, biarpun orang-orang alim dan rahib-rahib itu menyuruh membuat maksiat atau mengharamkan yang halal.

Adakah ulama Islam berbuat demikian sebagaimana yang diceritakan oleh ayat al-Quran tersebut? Nampaknya beliau telah gagal untuk memahami ayat al-Quran tersebut apatah lagi untuk menafsirkannya.

Pintu ijtihad ditutup kepada orang yang bukan ahli ijtihad. Tetapi masih terbuka bagi mereka yang memenuhi syarat dan kepakaran untuk terus berijtihad. Jika pintu ijtihad ini dibukakan seluas-luasnya sehingga kepada orang yang bukan ahli, maka ditakuti orang seperti Kassim Ahmad ini akan mengambil kesempatan untuk berijtihad dan berfatwa sesuka hati walaupun mereka sama sekali tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat demikian. Maka timbulah kekalutan dalam masyarakat.

Ulama ini adalah pengiktirafan yang diberikan masyarakat kepada seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan agama yang luas serta mempunyai kemahiran dalam membuat analisis hukum. Ulama ini bukan satu pangkat yang boleh didakwa oleh seseorang individu dengan sesuka hati.

InsyaAllah bersambung...


[1] Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, Martabat Ilmu & Ulama. PSN Publication, Shah Alam. 2012, muka surat : 67.